*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Perjuangan Menerapkan Nilai-Nilai Islam

Keputusan Anwar untuk aktif di dalam UMNO pada bulan Mac 1982 merupakan satu
keputusan yang memeranjatkan
banyak pihak terutamanya ahli-ahli politik. Keadaan ini timbul kerana beliau
yang pernah menjadi pemimpin Angkatan Belia
Islam (ABIM) merupakan seorang tokoh yang sering mengkritik dengan keras
kepimpinan UMNO dan kerajaan. Menurut
beliau kemasukannya ke dalam UMNO adalah kerana terdapatnya sikap keterbukaan
dan ikhlas kerajaan pimpinan Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad. Sebenarnya sebelum inipun Anwar pernah ditawarkan
menjadi kabinet oleh Tun Abdul Razak
pada tahun 1974 iatu ketika Tun menjadi Perdana Menteri. Datuk Harun Idris juga
pernah mengajak Anwar Ibrahim supaya
menyertai Pergerakan Pemuda semasa beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda tetapi
 pelawaan tersebut telah ditolak oleh
Anwar. Hubungan baik yang wujud di antara beliau dengan Dr Mahathir telah
terjalin sejak mereka sama-sama mengkritik
pimpinan Tunku Abdul Rahman selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 adalah
merupakan salah satu faktor mengapa
beliau mengambil keputusan untuk aktif di dalam UMNO.

Kemasukan beliau ke dalam UMNO telah mendapat sokongan bukan sahaja daripada
ahli-ahli UMNO malahan daripada
pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Misalnya Presiden
MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu
menyifatkan kemasukan Anwar akan membantu UMNO dan kerajaan melaksanakan
dasar-dasarnya. Sokongan serta
perhatian yang diberikan oleh rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO dan komponen BN
yang lain telah terbukti apabila beliau
memenangi pilihanraya umum pada tahun 1982 bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh
dengan mengalahkan calon Pas,
Zabidi Hj Ali dengan majoriti 14,352 undi. Kemenangan ini telah mengkagumkan
banyak pihak kerana beliau baru saja aktif di
dalam UMNO. Malahan dalam susunan kabinet, beliau telah dilantik oleh Dr
Mahathir sebagai Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri.

Sebelum aktif di dalam politik UMNO, Anwar telah memimpin ABIM selama sepuluh
tahun. Di bawah kepimpinanya, ABIM
telah banyak mendapat perhatian daripada masyarakat, terutamanya di kalangan
belia Islam yang terpelajar. Penumpuan
kegiatan pertubuhan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai Islam dengan
mengadakan aktiviti-aktiviti seperti usrah, ceramah,
forum, simposium dan penerbitan khusus bagi meningkatkan penghayatan dan
penglibatan ummah terhadap Islam.
Kecenderungan ABIM memperjuangkan nilai-nilai Islam serta tindakan-tindakan
Anwar yang lebih menekankan konsep
keIslaman di dalam arena politik, beliau akan memilih PAS sebagai wadah
perjuangannya. Keputusan untuk aktif dalam
UMNO telah menghampakan beberapa orang pemimpin PAS dan rakan-rakannya di dalam
ABIM. Menurut J.V. Morais,
ahli-ahli syura ABIM terlalu berat untuk melepaskan Anwar untuk aktif di dalam
UMNO.

Menjelang pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda bagi penggal 1982/84, Datuk Suhaimi
yang pada ketika itu sebagai Ketua
Pemuda sudah dianggap tidak sesuai dengan corak pentadbiran Dr. Mahathir dan
Timbalannya, Datuk Musa Hitam. Malah
menurut Saidin Tamby, bekas Setiausaha Kerja Pemuda sejak zaman dari Datuk Harun
 Idris sehinggalah zaman Datuk
Suhaimi, jika Pemuda tidak mengubah corak bertindaknya, Pergerakan itu akan
tercicir kebelakang dan imejnya sebagai sayap
kanan UMNO akan terjejas. Dalam situasi ini Pemuda perlu mencari seorang tokoh
yang lebih dinamik untuk memastikan
Pergerakan tersebut akan dapat bergerak dengan lebih cemerlang.

Antara tokoh-tokoh baru yang dirasakan sesuai mengambilalih jawatan tersebut
ialah Datuk Rais Yatim dan Abdul Rahim
Bakar. Seorang lagi calon yang dirasakan berkebolehan dan layak untuk memimpin
Pemuda ialah Anwar Ibrahim. Beliau
popular di kalangan ahli-ahli UMNO kerana tindakannya yang lantang dan agresif
semasa memimpin ABIM. Menurut laporan
daripada akhbar Berita Harian, 17 Jun 1982, tiga bulan daripada tarikh pemilihan
 dibuat, Anwar telah mendapat pencalonan
daripada enam buah bahagian Pemuda. Bahagian-bahagian tersebut ialah Ipoh,
Jelutung, Kuala Selangor, Nibung Tebal,
Temerloh dan Tanjung. Dalam kerancakan kempen-kempen menjelang pemilihan
tersebut, Datuk Rais telah menarik diri
daripada bertanding dan beliau telah menyatakan sokongannya kepada Anwar.

Melihat kepada keadaan di mana terdapatnya persaingan di antara Anwar dan Datuk
Suhaimi untuk mendapat sokongan
daripada bahagian-bahagian Pemuda, Hang Tuah Arshad yang juga merupakan salah
seorang tokoh Pemuda telah
menyatakan kesediaannya untuk bertanding. Oleh yang demikian pertandingan untuk
merebut jawatan Ketua Pemuda pada 9
September 1982 adalah merupakan pertandingan tiga penjuru di antara Anwar, Datuk
 Suhaimi dan Hang Tuah Arshad.

Dalam Kempen-kempen yang dijalankan, Anwar menegaskan tujuan beliau menerima
pencalonan untuk bertanding adalah
untuk membawa perubahan sama ada dalam parti mahupun perjuangannya. Perubahan
yang beliau maksudkan ialah dari segi
penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, kecekapan pentadbiran, isu-isu
Islam yang lebih tegas dan jelas, pembelaan
nasib bangsa Melayu dan tiada tolak ansur dalam membenteras rasuah. Beliau telah
 bertungkus-lumus untuk menentukan
kejayaannya dan telah menjelajah ke seluruh negara dan menemui lebih kurang 70
bahagian Pemuda untuk menyatakan
pendiriannya. Semasa berkempen beliau telah menasihatkan penyokong-penyokongnya
supaya berkompromi dengan cara
yang bersih dan jangan memburuk-burukkan serta mencemarkan keperibadian lawan
mereka. Slogan yang beliau gunakan
semasa berkempen ialah Undi Untuk Perubahan dengan tema Era Baru yang menekankan
 soal bersih.

Bagi Datuk Suhaimi pula, tujuan beliau bertanding mengekalkan jawatan Ketua
Pemuda yang disandangnya ialah untuk
menawarkan khidmat kepada Pemuda. Untuk mengimbangi Anwar yang menonjolkan
ciri-ciri keislaman dalam usaha
memimpin Pemuda, Datuk Suhaimi juga telah menyatakan akan mempergiatkan
usaha-usaha menerapkan nilai-nilai Islam
dalam pentadbiran. Datuk Suhaimi mempunyai kelebihan semasa berkempen kerana
ketika itu beliau sedang memegang
jawatan Ketua Pemuda; maka beliau lebih mudah untuk berjumpa dengan ahli-ahli
Pemuda sebelum persidangan diadakan.
Hang Tuah Arshad pula menyatakan tujuan beliau bertanding adalah untuk membawa
kepimpinan yang berkecuali, sama ada
dari organisasi belia ataupun lain-lain pertubuhan. Kenyataan ini beliau buat
kerana antara Datuk Suhaimi dan Anwar,
masing-masing mewakili ABIM dan persatuan-persatuan belia.

Di dalam persidangan Pemuda yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada
September 1982, Anwar telah berjaya
memenangi jawatan Ketua Pemuda. Beliau telah mendapat 183 undi mengalahkan Datuk
 Suhaimi yang mendapat 173 undi
dan Hang Tuah Arshad hanya berjaya mendapat tiga undi sahaja. Kelebihan sepuluh
undi yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim
daripada Datuk Suhaimi menunjukkan beliau belum mendapat sokongan yang padu dari
 anggota-anggota Pemuda.
Bagaimanapun kemenangan beliau ini telah mengkagumkan ahli-ahli UMNO. Ini
memandangkan beliau baru lebih kurang enam
bulan (Mac - September) aktif di dalam UMNO. Untuk jawatan Naib Ketua, Datuk
Najib Tun Abdul Razak telah
memenanginya tanpa bertanding.

Dengan kemenangan tipis yang diperolehinya, Anwar telah mengorak langkah untuk
mengkotakan janji-janji yang dibuatnya
sehari sebelum pertandingan itu. Beliau berjanji akan membawa perubahan dalam
Pemuda terutamanya dalam perjuangan dan
pentadbiran tersebut. Beliau telah berusaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam
dalam Pemuda dan menjadikan Pergerakan itu
lebih dinamik selaras dengan dasar UMNO dan kerajaan. Sehari selepas
kemenangannya, beliau telah memberikan
jaminannya sekali lagi bahawa Pemuda akan menerapkan nilai-nilai Islam dengan
cara yang berkesan dan akan menjalinkan
persefahaman dengan anggota-anggota BN.

Dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam terhadap perjuangan dan cara
bekerja, Pemuda di bawah kepimpinannya telah
mempergiatkan usaha-usaha meningkatkan program-program berbentuk keislaman serta
 memberikan penerangan seluas
mungkin kepada masyarakat Islam dan bukan Islam melalui proses pendidikan yang
berterusan. Menurut beliau, walaupun
penerapan nilai-nilai Islam merupakan salah satu soal pokok yang akan dilakukan
oleh Pemuda tetapi ianya tidak akan
mencapai matlamatnya jika tidak ada ketahanan jiwa, aqidah dan kekuatan semangat
 di kalangan ahli-ahli Pemuda. Untuk itu,
Pemuda telah menubuhkan Biro Dakwah untuk melicinkan perlaksanaan
program-program tersebut. Biro ini telah
dipengerusikan oleh Haji Awang Jabar dan ahli-ahli jawatankuasanya adalah
terdiri daripada wakil-wakil Biro Dakwah
Pemuda dari setiap negeri. Antara kegiatan-kegiatan yang dijalankan melalui biro
 ini ialah ijtimak kepimpinan dan dakwah
peringkat negeri dan kebangsaan, seminar dan penerbitan jurnal dakwah. Jurnal
Dakwah yang diterbitkan pada bulan Ogos
1983 adalah merupakan satu-satunya jurnal yang diterbitkan oleh Pemuda sejak
ianya ditubuhkan.

Anwar tidak mengalami sebarang masalah besar untuk menggerakkan Pemuda yang
dipimpinnya dalam usaha untuk
menyerapkan nilai-nilai Islam. Ini kerana sebelum menjadi Ketua Pemuda beliau
telah pun terlibat dalam gerakan-gerakan
Islam seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam (PKPIM), Perhimpunan
Belia Islam Se Dunia (WAMY) dan
ABIM. Sewaktu memimpin ABIM beliau sering memberi ceramah kepada belia-belia
Islam sama ada di dalam mahupun di
luar negara. Sebagai seorang pemimpin gerakan Islam, beliau juga sering bertemu
dengan pemimpin-pemimpin Islam dunia
seperti Presiden Ghadaffi dari Libya dan Pemimpin Iran Ayatollah Khomeini.
Beliau juga pernah mendapat jemputan khas
daripada kerajaan Islam Iran.

Usaha-usaha Anwar untuk menerapkan nilai-nilai Islam di dalam pentadbirannya
tidak menghadapi masalah kerana usaha ini
adalah selari dengan hasrat dan cita-cita Dr Mahathir Mohamad. Apabila Dr
Mahathir mengambilalih teraju pemerintahan
negara, soal penerapan nilai-nilai Islam juga telah diberikan penekanan yang
serius oleh beliau. Beliau telah melancarkan dasar
tersebut di dalam pentadbirannya. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh Anwar
adalah merupakan pengisian terhadap dasar
yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri itu.

Kemasukan Anwar ke dalam UMNO dan kerajaan telah banyak membantu pihak kerajaan
menjayakan dasar tersebut.
Bahkan dalam merealisasikan penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam
Antarabangsa, tanggungjawab ini telah diberikan
kepada beliau. Kejayaan kepada penubuhan kedua-dua institusi tersebut merupakan
satu bukti bahawa usaha untuk
menerapkan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran merupakan satu usaha yang
bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh
UMNO dan kerajaan.

Penekanan terhadap nilai-nilai yang murni ini juga diketengahkan oleh Anwar
dalam pentadbiran serta cara bertindak Pemuda
telah berjaya melahirkan serta mengenengahkan pemimpin-pemimpin pelapis yang
lebih cenderung kepada konsep dan cara
bekerja Islam. Perkara ini merupakan satu kejayaan yang besar kerana gelombang
kebangkitan serta kesedaran terhadap
Islam yang berlaku di dalam negara memaksa pemimpin-pemimpin yang bakal
menerajui pimpinan parti dan negara mestilah
seorang yang mempunyai pegangan Islam yang teguh dan mendalam.

Faktor Islam di dalam politik Malaysia merupakan satu faktor yang dapat
menyatupadukan penduduk terutamanya
orang-orang Melayu. Selain daripada ketokohan, pengetahuan serta pengalaman yang
 ada pada Anwar, faktor kebangkitan
Islam di dalam negara, merupakan salah satu faktor yang telah membantu beliau
dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam
dalam Pemuda. Gaya serta pendekatan beliau telah mula diterima oleh
anggota-anggota Pemuda. Ini dapat dibukti apabila
beliau dapat mengekalkan jawatannya untuk penggal 1984/86 dengan mengalahkan
Datuk Suhaimi dengan majoriti yang lebih
besar daripada pemilihan tahun 1982.




Generasi Penggerak Zaman

Di bawah kepemimpinan Anwar, Pergerakan Pemuda telah memberikan keutamaan kepada
 semangat perjuangan meliputi
kekuatan daya tahan, imam, kemurnian jiwa dan peningkatan akhlak dalam
kegiatan-kegiatan yang dijalankannya. Corak serta
gaya bertindak Pemuda dalam era ini lebih mirip kepada gaya bertindak Senu Abdul
 Rahman dan Sardon Jubir yang lebih
menyokong serta mendukung segala dasar-dasar parti dan kerajaan. Keadaan ini
sama seperti apa yang dilakukan oleh
Pemuda di dalam era Anwar yang menjadikan perjuangan serta dasar Pemuda selari
dan selaras dengan apa yang
diperjuangkan oleh parti dan kerajaan.

Anwar tidak menjadikan Pemuda sebagai Pressure Group kerana ketika itu para
pemimpin UMNO mempunyai sikap yang
terbuka dan sedia mendengar teguran serta pandangan daripada anggota-anggota
Pemuda UMNO. Segala teguran-teguran
boleh dibuat melalui perjumpaan-perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti. Oleh itu
 tidak ada sebab mengapa Pemuda perlu
membuat kenyataan-kenyataan terbuka yang boleh menyinggung perasaan pemimpin
parti dan akan mewujudkan konflik di
antara Pemuda dengan badan induknya.

Pemuda dalam era ini lebih menumpukan kepada perlaksanaan tanggungjawab untuk
meninggikan moral rakyat serta
usaha-usaha mempertahankan maruah bangsa dan negara. Menurut Anwar kejayaan
Pemuda ketika ini tidak diukur daripada
kelantangan bersuara tetapi ianya terletak pada kebijaksanaan akal serta
bertindak untuk menyempurnakan tanggungjawab
yang diamanahkan dan memastikan agar jaminan serta dasar yang dijanjikan dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Malahan
Anwar secara terbuka telah menyatakan pendirian Pemuda dan dirinya apabila
terdapat suara-suara sumbang yang
menyatakan Pemuda dalam era ini sudah kehilangan bisanya. Menurut beliau;

     ".....Jangan minta saya serang Presiden parti kerana saya merasakan
perjuangan Pemuda UMNO mesti seiring
     dengan pucuk pimpinan dan jika ada sebarang teguran, ia hendaklah dibuat
mengikut saluran tertentu sama ada
     dalam Mesyuarat Jemaah Menteri atau Majlis Tertinggi..."

Walaupun Pemuda di bawah kepimpinan Anwar sentiasa mendukung serta bertindak
selari dengan badan induknya, ini tidak
bermakna Pemuda mengiakan sahaja apa yang berlaku. Dalam hal-hal rasuah,
keangkuhan dalam kuasa, kemiskinan
masyarakat, kebebasan bersuara dan soal perpaduan sering mendapat perhatian dan
teguran daripadanya. Segala
teguran-teguran dan cadangan daripada Pemuda akan diselesaikan melalui
perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan dengan
badan induknya dan kerajaan. Kadangkala dialog serta perbincangan yang diadakan
itu telah menimbulkan suasana yang
tegang tetapi ianya akan kembali reda setelah satu-satu keputusan diambil.

Pada pertengahan tahun-tahun 80an, Pemuda telah menjadikan soal membasmi
kemiskinan sebagai dasar utama
perjuangannya. Mengikut angka-angka hasil penyelidikan Unit Penyelidikan
Sosio-ekonomi (SERU), Jabatan Perdana
Menteri, kadar kemiskinan bagi tahun 1982 ialah 42.8 peratus. Mereka ini adalah
terdiri daripada para petani, nelayan dan
pekebun kecil. Kajian ini juga menunjukkan duapuluh daerah yang paling miskin di
 Semenanjung ialah kawasan-kawasan desa
yang didiami oleh orang-orang Melayu. Sebagai langkah awal Pemuda telah
mewujudkan Biro Khas Kemiskinan pada bulan
Julai 1983. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan sendiri oleh beliau. Tujuan
utama jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk
membantu pihak kerajaan memerangi kemiskinan selaras dengan matlamat DEB.

Melalui Jawatankuasa Khas Kemiskinan ini satu Bengkel Kemiskinan dan Peranan
Pemuda telah diadakan di kampus induk
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, dari 16 - 18 Disember 1983. Bengkel ini
telah dihadiri oleh 280 orang peserta yang
mewakili 76 bahagian Pemuda. Hasil daripada bengkel ini, satu ketetapan diambil
untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas
Kemiskinan di setiap bahagian Pergerakan Pemuda. Satu perjumpaan dan
perbincangan telah diadakan dengan badan-badan
kerajaan yang terlibat dengan masalah kemiskinan seperti SERU, Kementerian
Pertanian dan Kementerian Kesihatan. Setiap
saranan serta teguran telah dibuat di dalam perjumpaan-perjumpaan tersebut.

Berlandaskan resolusi bengkel tersebut Pemuda telah memilih dua buah kampung
sebagai kampung angkat kepada rancangan
itu. Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Tengkek, Ulu Jempol, Kuala
Pilah dan Kampung Air Deras, Sungai
Manik, Perak. Segala pengurusan mengenai kampung angkat ini adalah dikendalikan
oleh Ahli Jawatankuasa Khas
Kemiskinan. Segala bantuan dan keperluan yang dikehendaki telah diberikan.

Untuk melicinkan perjalanan Jawatankuasa Khas Kemiskinan tersebut, pada 1 Mei,
1984, Yayasan Gerak Bakti yang
bertindak sebagai dana kepada Jawatankuasa tersebut telah dibentuk. Wang yang
diperolehi daripada yayasan ini akan
digunakan oleh ahli jawatankuasa ini melakukan program-program kajian dan
penyelidikan untuk meningkatkan taraf hidup
penduduk miskin di negara ini. Program-program serta usaha-usaha yang telah
dijalankan oleh jawatankuasa ini telah berjaya
mendekatkan lagi Pemuda dengan penduduk desa yang rata-rata memerlukan bantuan
untuk meningkatkan pendapatan serta
memperbaiki kehidupan mereka.

Perjuangan untuk membasmi kemiskinan ini bukanlah satu yang baru kerana sejak
dari zaman Datuk Harun lagi, Pemuda telah
membangkitkan soal ini tetapi pendekatan yang digunakan oleh mereka di dalam era
 Anwar ini sahaja yang berbeza.

Semasa memperjuangkan soal-soal ekonomi orang-orang Melayu, Datuk Harun lebih
banyak menumpukan kepada
perkara-perkara mengenai penglibatan mereka dalam bidang perniagaan dan iktisas.
 Manakala di bawah kepemimpinan
Anwar pula perhatian Pemuda lebih ditumpukan kepada peningkatan kedudukan
ekonomi orang-orang Melayu di kawasan
luar bandar yang rata-rata merupakan golongan petani, nelayan dan pekebun kecil.
 Soal Kemiskinan ini juga merupakan soal
dasar yang diperjuangkan oleh Pemuda dan ianya menjadi pengukur kepada kemampuan
 dan kejayaan Generasi Penggerak
Zaman di bawah kepimpinan Anwar.

Sikap berkompromi dan bekerjasama Pemuda dengan pucuk pimpinan parti yang
dijalankan di dalam era ini tidak menghalang
mereka daripada menjalankan peranannya untuk membenteras gejala rasuah dan
politik wang yang melanda UMNO pada
pertengahan tahun-tahun 1980an. Pada Perhimpunan Agung ke 34 pada 26 September
1985, Anwar telah mendedahkan
bahawa terdapatnya tokoh-tokoh politik di dalam UMNO yang membeli undi, menipu,
mengugut dan hidup berpura-pura.
Mereka telah menggunakan jentera kerajaan untuk memelihara kepentingan sukuan
dan sanggup melakukan kegiatan rasuah
untuk memastikan kemenangan mereka.

Untuk ini Pemuda menyeru pihak kerajaan melalui Badan Pencegah Rasuah
menjalankan siasatan terhadap mereka yang
terbabit dalam melakukan perkara tersebut. Menurut Anwar, tindakan haruslah
diambil ke atas mereka sama ada mereka
pemimpin politik, pegawai kerajaan, pengusaha ataupun orang-orang tertentu yang
memegang teraju kerajaan. Beliau dan
Pemuda telah berusaha untuk menyingkirkan pengaruh golongan tersebut kerana jika
 dibiarkan ianya akan menghancurkan
parti.

Pemuda juga melalui Ketuanya, Anwar telah memberikan perhatian kepada kegiatan
pembaziran yang dilakukan oleh pihak
kerajaan terutama kerajaan-kerajaan negeri. Perang menentang projek-projek mewah
 dan membazir telah diumumkan oleh
Anwar semasa beliau mengadakan Mesyuarat Kerja Pemuda pada 27 Mei 1985. Menurut
Pemuda, kerajaan-kerajaan negeri
telah menjalankan projek-projek mewah yang kurang memberi keuntungan kepada
rakyat. Anwar telah membuat
teguran-teguran terbuka kepada pihak berkenaan agar tidak menjalankan satu-satu
projek yang hanya menguntungkan
golongan tertentu semata-mata.

Teguran terbuka oleh Anwar terhadap kerajaan-kerajaan negeri ini telah mendapat
reaksi daripada Menteri-menteri Besar di
semua negeri. Mereka mendakwa projek-projek mewah seperti yang didakwa oleh
Ketua Pemuda itu tidak pernah wujud di
negeri-negeri mereka. Walaupun teguran yang dilakukan itu telah dinafikan oleh
semua Menteri-menteri Besar, tetapi melalui
teguran tersebut Pemuda telah menyedarkan kerajaan-kerajaan negeri agar lebih
mementingkan projek-projek yang dapat
menguntungkan rakyat dan bukan hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja.

Dalam menangani soal-soal antarabangsa, Pemuda di bawah kepimpinan Anwar telah
menubuhkan Biro Politik dan Hal Ehwal
Antarabangsa. Melalui biro ini Pemuda telah mengadakan program lawatan ke
negara-negara jiran, negara-negara Islam dan
lain-lainnya. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membantu pihak kerajaan
mengeratkan hubungan dengan negara-negara
luar. Ianya juga dapat memberikan pendedahan kepada anggota-anggota terhadap
isu-isu antarabangsa. Beberapa siri lawatan
ke luar negara telah diadakan. Antaranya lawatan ke Indonesia pada 20 hingga 30
Oktober 1983. Lawatan ini telah diketuai
sendiri oleh Anwar di samping Exco-exco Pemuda yang lain. Selain daripada
perbincangan-perbincangan yang telah diadakan
termasuk perbincangan dengan Presiden Suharto, beberapa persetujuan dan
kerjasama telah pun dicapai untuk merapatkan
hubungan melalui aktiviti sukan, kebudayaan dan pertukaran belia.

Manakala dalam lawatan ke Libya yang dilakukan dari 19 hingga 23 Januari 1984,
beberapa persetujuan telah dicapai.
Antaranya ialah bantuan dan kerjasama kerajaan Libya terhadap Pembangunan Islam
di Malaysia, pembinaan Universiti Islam
Antarabangsa, pembinaan pusat dakwah, pertukaran belia-belia dan lain-lain
kerjasama antara kedua-dua negara. Pemuda
juga telah menerima kunjungan-kunjungan daripada Christian Democratic Union
(Youth), Jerman Barat; Liberal Democratic
Party (Youth), Japan dan rombongan Dr Abdul Ghafur, Menteri Negara Pemuda dan
Olahraga Indonesia.
Perbincangan-perbincangan serta kerjasama di antara kedua-dua negara telah
dilakukan.

Pemuda di bawah kepimpinan Anwar juga sering menghantar ahli-ahlinya menyertai
seminar serta forum-forum antarabangsa
di luar negara. Antaranya ialah seminar penyatuan rakyat Korea yang diadakan di
Tokyo. Seminar ini telah diwakili oleh
Mohd. Nazri Tan Sri Abdul Aziz Yeop. Selain daripada itu, Pemuda juga telah
menghantar saudara Nazri dan saudara Abu
Bakar Dewa untuk menyertai seminar mengenai dunia ketiga yang telah diadakan di
Prague. Bagi membantu perjuangan
Rakyat Palestin dan Mujahiddin Afghanistan pula Pemuda telah mengadakan tabung
kutipan derma untuk disalurkan kepada
perjuangan mereka. Melalui kegiatan-kegiatan antarabangsa yang disertai oleh
Pemuda dalam era ini, mereka telah berjaya
memperkenalkan Pergerakan tersebut kepada dunia luar, di samping
pendedahan-pendedahan yang diperolehi oleh
anggota-anggota Pemuda.

Satu lagi kejayaan besar yang dicapai oleh Pergerakan Pemuda dalam era ini ialah
 kejayaannya mengadakan hubungan yang
baik dengan pemuda-pemuda Barisan Nasional. Hasil daripada kerjasama ini, satu
Jawatankuasa Tertnggi Pemuda Barisan
Nasional telah dibentuk dengan Anwar sebagai Pengerusinya. Kerjasama serta
semangat perpaduan yang terjalin ditunjukkan
semasa berlakunya rapat umum anti Russia yang diadakan di Kuala Lumpur dan semua
 negeri di Malaysia. Rapat umum yang
dilakukan adalah reaksi daripada amaran terbuka yang dilakukan oleh Timbalan
Menteri Luar Soviet Union iaitu Mikhail
Kapitsa di Singapura. Dalam kenyataan terbukanya, beliau telah memberi amaran
agar negara-negara Asean menamatkan
konfrontasi terhadap negara Vietnam dan sekiranya negara-negara Asean tidak
berbuat demikian negara-negara Asean akan
menghadapi kemusnahan melalui tindakbalas daripada Vietnam dan sekutu-sekutunya.

Amaran yang dilakukan oleh Mikhail Kapitsa ini telah mencabar negara-negara
Asean termasuk Malaysia dan ianya dirasakan
boleh menjejaskan keutuhan hubungan di antara negara-negara Asean. Sebagai
membantah terhadap apa yang diperkatakan
oleh pemimpin Soviet itu, maka pada 16 April 1983, Pemuda Barisan Nasional telah
 menghantar satu rombongan yang
diketuai oleh Anwar untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Besar
Soviet di kedutaannya. Anggota-anggota
lain rombongan itu adalah terdiri daripada Datuk Lee Kim Sai (Pemuda MCA), Haji
Lampong Yahya (Pemuda Berjaya),
Muthupalianiapan (Pemuda MIC), Dr Koh Tsu Koon (Pemuda Gerakan) dan beberapa
orang exco-exco Pemuda Barisan
Nasioanl.

Barisan pemuda-pemuda komponen Barisan Nasional juga telah mengadakan satu
majlis sambutan ulangtahun penubuhan
Malaysia yang ke 29 pada 6 September 1986 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia
 Putra. Majlis ini telah dihadiri oleh
Pemuda-pemuda Barisan Nasional dari seluruh negara. Kerjasama serta semangat
perpaduan yang tinggi yang telah
ditunjukkan itu telah membantu pemuda-pemuda Barisan Nasional mengadakan
perbincangan-perbincangan apabila
berlakunya perselisihan pendapat di antara parti-parti komponen.

Yang nyata, Pemuda di bawah era Anwar telah menunjukkan kematangan, terutama
dalam perjuangannya serta corak
bertindak yang dilakukan terhadap satu-satu isu yang timbul. Tiada lagi
kritikan-kritikan terbuka yang dilakukan terhadap
isu-isu yang timbul. Keadaan ini bukan bererti Pemuda sudah kehilangan bisa atau
 kurang berperanan tetapi segala masalah
yang wujud telah dapat diselesaikan dengan cara yang baik bersesuaian dengan
kematangan yang berlaku terhadap
Pergerakan ini. Penyelesaian masalah yang dilakukan dengan cara diplomasi itu
telah dapat mengurangkan ketegangan di
antara Pemuda dengan badan induknya.

Kurangnya ketegangan yang timbul di antara parti induk dengan sayap kanannya
telah membantu UMNO menumpukan
perhatian terhadap kemajuan serta kekuatan parti. Pemuda pula dapat menumpukan
kegiatan mereka untuk membantu parti
dan kerajaan membasmi kemiskinan serta menaikkan lagi taraf kehidupan
orang-orang Melayu terutamanya di desa-desa.
Semasa Anwar mengambilalih teraju kepimpinan Pemuda, negara sedang mengalami
kepesatan pembangunan dan ini telah
membuatkan Pemuda terpaksa melakukan banyak kerja. Oleh itu, di awal
kepemimpinannya beliau telah menggariskan
perjuangannya untuk mengembalikan maruah bangsa, meningkatkan taraf hidup orang
Melayu, meningkatkan kesungguhan
bekerja dan mengemblengkan tenaga muda ke arah mencapai cita-cita negara.




Cabaran Serta Rintangan Pemuda Era Anwar Ibrahim

Kelembapan ekonomi negara akibat kemelesetan ekonomi dunia telah menjejaskan
usaha penyusunan semula masyarakat
melalui DEB. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa matlamat kerajaan untuk
meletakkan Bumiputera memegang
sekurang-kurangnya 30 peratus kegiatan ekonomi negara tidak akan tercapai. Kesan
 daripada kelembapan ekonomi ini juga
telah menyebabkan penyusunan semula guna tenaga turut terencat, malahan ianya
telah memburukkan lagi keadaan. Pada
tahun 1985, pengangguran di kalangan Bumiputera ialah 8.7 peratus berbanding
dengan Cina 5.5 peratus dan India 8.4
peratus.

Berdasarkan kepada pencapaian DEB sehingga 1986 jelas menunjukkan matlamatnya
tidak akan tercapai apabila tempohnya
tamat pada 1990. Oleh itu Pemuda telah mengambil ketetapan mendesak agar
semangat serta falsafah DEB dilanjutkan
sesudah tahun 1990 bagi meneruskan perjuangan membela nasib golongan miskin
serta menyusun semula masyarakat
Malaysia.

Selepas pilihanraya 1986, terdapat suara-suara sumbang daripada pihak
pembangkang dan ahli-ahli komponen Barisan
Nasional yang mempersoalkan perlaksanaan DEB. Misalnya, Datuk Lee Kim Sai dan
beberapa orang lagi pemimpin tertinggi
MCA telah menyalahkan perlaksanaan dasar tersebut sebagai punca utama kekalahan
MCA dalam pilihanraya umum yang
diadakan pada 3 Ogos 1986. Reaksi daripada tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh
pemimpin MCA itu, Pemuda di dalam
Persidangan Agung Pemudanya telah meluluskan satu usul mendesak kerajaan supaya
bertindak tegas melaksanakan
usaha-usaha membasmi kemiskinan terutamanya dikalangan penduduk-penduduk luar
bandar serta memberi peluang
perniagaan kepada Bumiputera selaras dengan matlamat DEB. Usul tersebut juga
telah mengutuk sekeras-kerasnya apa juga
percubaan untuk mengugat DEB dari mana-mana pihak.

Tindakan pemimpin MCA mempersoalkan perlaksanaan DEB telah mencabar orang-orang
Melayu terutamanya
anggota-anggota Pemuda. Pemimpin-pemimpin MCA seolah-olah sudah tidak peduli
dengan tanggungjawab mereka untuk
memupuk persefahaman antara kaum. Pemuda telah mengingatkan pemimpin-pemimpin
parti berkenaan supaya jangan terlalu
ghairah mencari alasan untuk menyembunyikan kelemahan partinya dalam pilihanraya
 tersebut. Anwar telah mengingatkan
pemimpin MCA supaya tidak membangkitkan soal hak keistimewaan Melayu kerana
ianya akan memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya:

     "...Jika pemimpin MCA begitu lantang mengungkit isu tersebut, maka Pemuda
UMNO juga berhak mengungkit
     kembali soal kewarganegaraan orang-orang Cina".

Walaupun semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pemuda-pemuda
Barisan Nasional adalah baik, tetapi di
dalam soal-soal yang berkaitan dengan hak orang-orang Melayu Pemuda tidak akan
berdiam diri. Dalam Perhimpunan
Agungnya pada 17 September 1986, Anwar telah menegaskan bahawa Pemuda bersedia
menghadapi apa jua risiko dalam
memperjuangkan hak-hak orang-orang Melayu jika ianya terus dipertikaikan.

Selain daripada menghadapi cabaran daripada pemimpin-pemimpin MCA mengenai isu
DEB, Pemuda di akhir kepimpinan
Anwar telah menghadapi masalah krisis kepemimpinan di peringkat pucuk pimpinan
UMNO. Pada 16 Mac 1986, UMNO
telah mengalami kejutan besar apabila Datuk Musa Hitam, selaku Timbalan Presiden
 UMNO dan Timbalan Perdana Menteri
telah meletakkan semua jawatannya di dalam parti dan kerajaan. Kesan daripada
tindakan Datuk Musa itu, menyebabkan
UMNO berpecah kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang menjadi penyokong kepada
regu Dr Mahathir-Ghafar Baba dan
regu Tengku Razaleigh-Musa Hitam.

Perpecahan yang berlaku di dalam UMNO itu telah mempengaruhi Pergerakan Pemuda.
Krisis yang berlaku dalam badan
induknya itu telah menyebabkan Pemuda berada didalam dilema. Anggota-anggota
Pemuda telah berbelah bagi ketika itu,
sama ada menyokong perletakan jawatan Datuk Musa atau berusaha mnegusahakan
supaya Datuk Musa kembali memegang
jawatannya. Anwar secara terang-terang telah menyatakan sokongannya kepada Dr.
Mahathir.

Lanjutan daripada krisis yang berlaku itu, di dalam pertandingan merebut jawatan
 Ketua Pemuda bagi penggal 1986/88,
Anwar telah ditentang oleh seorang calon yang dikatakan mewakili regu Tengku
Razaleigh-Musa Hitam iaitu Syed Hamid
Syed Jaafar Albar. Akan tetapi menurut Syed Hamid, faktor yang menyebabkan
beliau bertanding untuk merebut jawatan
Ketua Pemuda adalah kerana beliau telah mnedapat pencalonan yang banyak daripada
 Pemuda UMNO. Dalam pertandingan
tersebut, Anwar Ibrahim telah berjaya mengekalkan jawatan Ketua Pemuda dengan
mengalahkan Syed Hamid Albar dengan
kelebihan 194 undi.

Kemenangan Anwar mengekalkan jawatan Ketua Pemuda yang disandangnya menunjukkan
beliau telah berjaya meyakinkan
anggota-anggota Pemuda terhadap kepimpinannya di dalam Pergerakan tersebut.
Malahan semasa kempen-kempen sebelum
Persidangan Pemuda itu diadakan, beliau telah mendapat sokongan daripada hampir
keseluruhan bahagian Pemuda.
Bahagian-bahagian Pemuda itu mengharapkan agar Anwar terus memegang jawatan
Ketua Pemuda.

Ketua-ketua Pemuda Kedah, Perlis dan Pulau Pinang semasa menyatakan sokongannya
kepada Anwar telah menegaskan
bahawa Anwar telah berjaya mewujudkan suasana mesra di kalangan anggota-anggota
Pemuda. Ketua Pemuda Wilayah
Persekutuan, Dr Sulaiman Mohamad, menyatakan Anwar telah berjaya membawa satu
perubahan besar terutama dalam
menerapkan nilai-nilai Islam sejajar dengan perjuangan Pergerakan Pemuda serta
telah berjaya menanamkan semangat
nasionalisma dan ketahanan Melayu di jiwa anggota-anggota Pemuda.

Kepimpinan Anwar di dalam Pergerakan Pemuda berakhir apabila beliau meletakkan
jawatannya sebagai Ketua Pemuda dan
bertanding untuk jawatan sebagai Naib Presiden UMNO pada 24 April 1987.
Keputusannya bertanding jawatan tersebut
adalah kerana beliau merasakan pengaruhnya di dalam UMNO telahpun kukuh jika
dibandingkan semasa beliau menerima
pencalonan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda mula-mula dahulu. Semasa ucapan
terakhirnya di dalam Persidangan Agung
Pemuda pada 23 April 1987, beliau telah menegaskan kepada anggota-anggota Pemuda
 tujuan beliau bertanding jawatan
Naib Presiden. Menurut beliau:

     "...Keputusan yang saya ambil ini (iaitu meletakkan jawatan sebagai Ketua
Pemuda UMNO) dibuat

     memandangkan rakan seangkatan dengan saya telahpun menganggotai badan induk
 UMNO dan di sini saya fikir
     sudah sampai masanya saya mengikuti jejak langkah mereka..."

Selama lima tahun memimpin Pergerakan Pemuda Anwar telah berjaya membawa
perubahan kepada pergerakan itu dengan
menonjolkan ciri-ciri keislaman dan menjadikan perjuangan Pemuda selari dengan
perjuangan badan induknya.




Kesimpulan

Kemasukan Anwar ke dalam UMNO dan seterusnya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda
telah menimbulkan rasa kurang
senang di kalangan beberapa orang pemimpin UMNO. Walau bagaimanapun setelah
memimpin Pemuda lebih dari dua
penggal dan berjaya menjadikan Pergerakan tersebut sebuah Pergerakan yang
disegani, akhirnya Anwar Ibrahim telah diterima
oleh anggota-anggota Pemuda dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dalam era ini satu perkembangan baru dapat dilihat iaitu peranan Islam telah
diserapkan dalam tindakan-tindakan Pergerakan
Pemuda. Program-program seperti membasmi kemiskinan, membenteras rasuah, politik
 wang, pembaziran dan sebagainya
yang dijalankan sepanjang era ini adalah berlandaskan penerapan nilai-nilai
Islam. Ketokohan yang ada pada Anwar Ibrahim
telah berjaya menaikkan semula imej Pemuda di mata masyarakat setelah sering
dipertikaikan peranannya di akhir kepimpinan
Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Anwar juga telah berjaya membuktikan bahawa tanpa bertindak secara lantang dan
melakukan kritikan-kritikan secara
terbuka, Pergerakan Pemuda masih dapat menjalankan peranannya dengan berjaya.



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke