*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Usul Di bawah Fasal 30, Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap 
Dewan Undangan Negeri
Perkara-perkara yang Mustahak Bagi Orang Ramai
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan satu usul di bawah 30 untuk menangguhkan 
persidangan dewan bagi membincangkan satu perkara yang mustahak bagi orang 
ramai yang perlu disegerakan. Usul tersebut berbunyi: Bahawa Dewan ini 
mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan prinsip demokrasi 
dan konsep sistem kerajaan berpersekutuan (Federalisme) oleh pimpinan 
kerajaan pusat terhadap rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu dan menyeru 
supaya pimpinan Kerajaan Pusat menghentikan tindakan menindas dan menzalimi 
rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu semata-mata atas perbedaan dasar 
perjuangan dan pemerintahan serta kembali melaksanakan tanggungjawab 
mengikut kaedah dan ketetapan yang telah dipersetujui bersama berdasarkan 
peruntukan undang-undang dan perjanjian khususnya dalam soal royalti 
Petroleum.
Ketetapan ini perlu berdasarkan faktor-faktor berikut:
a) Demokrasi memberi kebebasan kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka 
kehendaki. Selama berpuluh-puluh tahun rakyat negeri Terengganu memilih 
parti Barisan Nasional (BN) untuk memerintah mereka dan selama itu tidak 
ada sebarang diskriminasi dilakukan terhadap Kerajaan Negeri Terengganu 
oleh Kerajaan Pusat. Tetapi aoabila kerajaan Negeri Terengganu diambilalih 
oleh parti Barisan Alternatif (BA) yang dipimpin oleh PAS dan telah 
melaksanakan polisi baru yang memberikan manfaat kepada rakyat di 
antaranya:
i. Menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud.
ii. Menghapuskan cukai pintu rumah kediaman.
iii. Menaikkan elaun Imam dan Bilal.
iv. Menaikkan bantuan Kebajikan Masyarakat kepada orang miskin dan kurang 
upaya.
v. Memberikan kemudahan pinjaman kenderaan dan rumah kepada kakitangan 
kerajaan dan agensinya tanpa riba dan tanpa keuntungan.
vi. Memberikan kemudahan cuti bersalin selama tiga bulan kepada kakitangan 
wanita dengan dibayar gaji penuh.
vii. Membuka semula permohonan tanah kepada rakyat yang sudah dibekukan 
berpuluh-puluh tahun, membuka tapak kediaman dan penternakan.
viii. Menyusun semula aspek-aspek pendidikan agama sama ada di 
sekolah-sekolah kerajaan atau yang diuruskan oleh rakyat.
ix. Menekankan konsep pembangunan yang menyeluruh dan bersepadu berteraskan 
kepada konsep pembangunan insan.
x. Penubuhan Suruhanjaya Hisbah iaitu satu-satunya yang pernah ditubuhkan 
di Malaysia. Satu mekanisma bagi menjamin terlaksananya ketelusan, 
keadilan, akauntabiliti dan good governance yang menyeluruh dan merata bagi 
kepentingan rakyat tanpa mengira perbedaan kaum, agama dan politik. xi. 
Semua perubahan ini dilihat oleh pimpinan BN sebagai satu ancaman kepada 
pengaruh dan kekuatan mereka bukan sahaja di Terengganu tetapi di luar 
negeri Terengganu. Ketakutan dan kepentingan politik inilah yang mendorang 
mereka melakukan diskriminasi dan penindasan secara terancang kerajaan 
negeri Terengganu sekarang.
Oleh itu, atas nama hak dan keadilan, usul ini perlu mendapat sokongan padu 
termasuk daripada pembangkang. Dr Sulaiman Abdullah Adun Ladang, 
Terengganu.




Perjanjian secara terang menyatakan royalti
Royalti: Pusat ketepi undang-undang
Oleh AZMI YUSOF dan KAMARUDDIN MAT AKIB
KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Hrkh) - Tindakan Kerajaan Pusat untuk 
menghentikan bayaran royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu adalah 
membelakangkan undang-undang, kata Dr Haji Alias Razak.
Wakil PAS Bukit Tunggal itu berkata, ini kerana perkara itu termaktub dalam 
perjanjian mengenai pembayaran royalti minyak antara kerajaan negeri dengan 
Petronas.
Katanya, langkah yang dilakukan Kerajaan Pusat itu dikhuatiri menjadi 
teladan yang tidak baik dan akan menjadi ikutan pihak lain.
Beliau berkata, apa akan terjadi kepada negara ini jika rakyat 
membelakangkan undang-undang dan tidak mengikut apa yang digaris dalam 
undang-undang negara.
Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak sepatutnya menjadikan perbezaaan politik 
sebagai alasan untuk membelakangkan undang-undang.
"Oleh itu, saya minta Kerajaan Pusat jangan teruskan tindakan ini kerana ia 
akan menjadikan kedudukan mereka hina di mata dunia antarabangsa," ujarnya 
ketika membahaskan usul tergempar pada Mesyuarat Yang Kedua Penggal 
Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri Kesepuluh hari ini.
Usul tersebut dibawakan oleh Dr Sulaiman Abdullah (PAS-Ladang). Sementara 
itu, Ustaz Saiful Bahri Mamat (PAS-Paka) ketika membahaskan usul yang sama 
berkata, Kerajaan Pusat bersifat talam dua muka dan kuku besi.
Ini, katanya kerana pada peringkat antarabangsa, para pemimpin negara 
secara lantang mencanangkan keadilan supaya negara kaya tidak menindas 
negara membangun.
Bagaimanapun, tambahnya di negara sendiri, pemimpin Kerajaan Pusat 
membelakangkan proses demokrasi apabila ia menindas negeri yang diperintah 
oleh parti pembangkang.
"Pemimpin Kerajaan Pusat patut mengikis sikap berdendam dan lakukan 
keadilan kepada semua termasuk Terengganu," ujarnya.
Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin Umno negeri yang 
menyokong agar royalti minyak itu tidak disalurkan kepada kerajaan negeri.
"Semasa PAS menjadi pembangkang, kita tidak suruh Pusat tarik balik royalti 
sebaliknya meminta dinaikkan royati kepada 20 peratus," katanya.
Mohd Azmi Lop Yusof (PAS-Bandar) pula berkata, Terengganu yang menjadi 
sebahagian daripada Malaysia tidak sewajarnya dianiayai oleh Kerajaan 
Pusat. Katanya, perpecahan yang berlaku di negara-negara dalam Soviet Rusia 
suatu masa dahulu juga berkait dengan penindasan yang dilakukan oleh para 
pemimpinnya.
Beliau juga berpendapat tindakan kerajaan Pusat tidak menyalurkan royalti 
kepada kerajaan negeri menyebabkan dunia luar meragui kepimpinan negara 
untuk melabur.
Bagi Ustaz Nik Zawawi Mohd Salleh (PAS-Kuala Besut), perkara itu tidak 
timbul jika BN terus memerintah negeri ini.
Katanya, pihak yang sengaja mempersoalkan ke mana wang royalti yang telah 
diterima sebanyak RM432 juta itu hanyalah dalih semata-mata.
"Mereka hanya berdalih, kata kerajaan negeri tidak mengurus wang royalti 
itu," katanya.





KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Hrkh)- Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan 
Tugas-Tugas Khas negeri, Tun Mohd Salleh Abas menegaskan bahawa perjanjian 
bersurat bertarikh 16 September 1987 yang ditandatangani oleh Menteri Besar 
ketika itu secara terang-terang menyebut royalti.
Katanya, dalam perjanjian itu disebutkan tentang cara menghitung lima 
peratus ialah dengan mengikut harga FOB.
"Dengan sebab itu, surat yang ditulis oleh Tan Sri Abdullah Mohd Salleh dan 
ditandatangani oleh Menteri Besar, apabila dibayar lima peratus adalah 
royalti," ujarnya ketika menggulung perbahasan usul tergempar pada 
Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, perkataan royalti telah diubah kepada wang ehsan 
oleh kerajaan Pusat hari ini yang merupakan penilaian satu pihak sahaja.
"Inilah pencabulan, jika hak Terengganu lima peratus (royalti), macam mana 
(kerajaan) Persekutuan yang tiada hak, tak pindah (royalti) kepada 
Terengganu. Ini adalah penindasan," ujarnya.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Persekutuan telah merampas hak kerajaan 
negeri kerana tidak membayar wang royalti kepada kerajaan negeri.




Dun Terengganu lulus usul kutuk batalkan royalti minyak
KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Hrkh) - Dewan Undangan Negeri Terengganu yang 
bersidang hari ini meluluskan usul tergempar untuk mengutuk 
sekeras-kerasnya pencabulan prinsip demokrasi dan sistem kerajaan 
berpesekutuan di negara ini yang dilakukan olek kerajaan pusat berikutan 
tindakannya membatalkan royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.
Usul yang dikemukakan oleh Adun Ladang, Dr Sulaiman Abdullah itu, dibuat di 
bawah fasal 30, peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan 
Negeri.
Setelah dibahaskan oleh pembangkang dan penyokong kerajaan serta digulung 
oleh Exco kerajaan negeri termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad 
Salleh Abbas, usul itu diterima dan diluluskan oleh Dewan.
Usul yang diterima oleh Speaker Dewan, Husein Awang itu telah dibahaskan 
oleh ahli-ahli Dewan dari pembangkang dan juga penyokong kerajaan.
Empat penyokong kerajaan iaitu wakil dari Paka (Saiful Bahari), Bukit 
Tunggal (Bukit Tunggal), Bandar (Azmi Lope) dan Kuala Besut (Nik Zawawi 
Salleh) telah memberikan hujjah masing-masing. Tiga wakil pembangkang iaitu 
Kemasik (Abu Bakar Ali), Telemong (Tengku Putera) dan Seberang Takir (Dato' 
Rashid Ngah) telah berucap membangkang usul tersebut.
Bagaimanapun, wakil Ajil tidak berucap.

Royalti Terengganu: Pusat membalas dendam
Oleh:Mat Zahari Ali
Cerita mungkir janji dari beberapa episod lakonan kerajaan pusat berhubung 
perjanjian yang ditangani antara mereka dengan kerajaan Terengganu bukan 
hanya berkisar kepada pemberian royalti sahaja. Malah beberapa perjanjian 
lain juga pernah dicerobohi oleh kepimpinan sekular Perdana Menteri, Dato 
seri Dr Mahathir Mohamad.
Mei lalu kerajaan pusat memberi penjelasan membatalkan kos RM200 juta ke  
pada kerajaan Terengganu untuk menaikkan taraf lapangan terbang Sultan 
Ismail sungguhpun ia pernah dijadikan isu pilihan raya 1999 oleh umno dan 
Barisan Nasional (BN).
Begitu juga dengan perjanjian Lebuhraya Pantai Timur yang menghubungkan 
Pahang ke Kelantan. Pada awalnya perjanjian tersebut menggariskan bahawa 
projek lebuhraya di Pahang dan di Bukit Besi di Terengganu akan di mulakan 
secara serentak.
Akhirnya bulan lalu kerajaan pusat pipinan Umno dan BN membuat keputusan 
menangguhkan projek di Terengganu dan hanya meneruskan projek di Pahang.
Manakala penghujung Jun lalu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bagi 
mencadangkan supaya pembayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS 
Terengganu di kaji semula walaupun Petronas memberi jaminan akan memberikan 
royalti sebanyak RM 810 juta.
Seluruh rakyat menyedari bahawa sebelum ini ketika Terengganu dibawah 
kerajaan Umno/BN isu royalti tidak pernah berbangkit. Malah seluruh rakyat 
tidak memperoleh maklumat terperinci berhubung sumbangan royalti petronas 
kepada pentadbiran Wan Mokhtar.
Hukuman menyingkirkan Wan Mokhtar dari arena politik membayangkan kemarahan 
Dr Mahathir kepada beliau kerana membiarkan jatuhnya empayar Terengganu 
yang kaya dengan sumber minyak itu kepada PAS. Keputusan memeranjatkan di 
seluruh negara mengenai tersisihnya sokongan orang melayu kepada Umno 
menambahkan lagi 'dos kronik' kemarahan Dr Mahathir kepada PAS dan Barisan 
Alternatif (BA).
Kehilangan mempertahankan terengganu bukan sahaja mengaibkan Umno dari 
sudut politik dan ekonomi tetapi ia memberi kekuatan baru kepada 
pembangkang khususnya PAS kerana memiliki sumber kewangan baru dari royalti 
tersebut. Lantaran itu menghalang Terengganu dari memperoleh bayaran 
royalti menjadi agenda utama Umno untuk melemahkan PAS dan BA. Sehubungan 
itu pelbagai usaha untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PAS dan BA 
di lihat sebagai momentum utama dari Agenda tersembunyi Umno/BN.
Perkembangan ini dapat kita lihat bagaimana isu Tabung Memali dijadikan 
bahan serangan ke atas PAS. Hasil dari repot polis yang dibuat oleh seorang 
ahli PAS yang tidak mendapat tempat dikalangan ahli PAS setempat dijadikan 
bahan utama untuk diperbesarkan. Tujuan Tabung Memali di perbesarkan bagi 
menggambarkan se akan-akan PAS tidak mempu mengendalikan wang yang di 
amanahkan.
Ini jelas terbukti bilamana isu ini dimainkan hampir tiga minggu sebelum 
kabinet memutuskan untuk menghentikan bayaran royalti kepada Terengganu. 
Walhal hampir dua belas repot polis yang dibuat oleh BA berhubung kes 
penyalahankuasa Dr Mahathir ke atas kes kenyataan bersumpah di Mahkamah 
Tinggi Persekutuan oleh Bekas Ketua Pengarah BPR di diamkan oleh pihak 
polis dari pengetahuan rakyat hingga ke hari ini. Tabung memali tidak 
pernah di sebut sejak sekian lama namun ia dijadikan isu pada saat royalti 
minyak Terengganu hendak di hapuskan. Andai hendak dijadikan alasan .
Tabung Memali itu seharusnya diuruskan oleh kerajaan sendiri bagi membela  
 rakyat yang pernah dikejami oleh Umno/BN. Sentimen cemburu dengan 
kepimpinan ulama yang kian mendapat tempat dihati rakyat termasuk mereka 
yang bukan Islam di Terengganu juga menjadi faktor yang mengapa royalti 
ditarik balik. Menteri Besar Terengaganu, Tuan Guru Haji Hadi Awang dalam 
satu majlis ceramah umum di Selangor sabtu lalu menegaskan penghapusan tol 
di jambatan Sultan Nasarudin dan penghapusan cukai pintu dikalangan rakyat 
terengganu antara tekanan yang cuba dikenakan ke atas Terengganu.
Menurut Haji Hadi penghapusan tol dan cukai pintu tersebut dilaksanakan 
oleh kerajaan PAS terengganu kerana beliau yakin dengan Royalti minyak yang 
diterima Terengganu mampu untuk menanggung bebanan rakyat terengganu 
sekiranya diuruskan dengan penuh amanah. Begitu juga dengan cadangan 
kerajaan Terengganu untuk membiayai sendiri lebuhraya pantai timur hingga 
ke Kelantan anatara sebab kerajaan pusat menghentikan bayaran Royalti 
tersebut. Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perindusterian, petrolium dan 
Sumber manusia, Mustapha Ali bahawa sekatan royalti kepada Terengganu 
merupakan serangan kerajaan pusat ke atas rakyat terengganu memang ada 
kebenaran.
Ini jelas memandangkan bahawa di bawah kepimpinan Ulama di Terengganu 
segala penyelewangan tidak timbul kerana ia dipantau oleh Jawatan kuasa 
Pemantau dalaman (HISBAH). Sekali gus segala perlaksanaan pembangunan 
meterial yang diseimbangi dengan perkembangan kerohanian akan melahirkan 
rakyat terengganu yang berakhalak dan dedikasi. Andai ini terjadi maka 
untuk menawan kembali terengganu akan menjadi mimpi di siang hari pada 
Umno/BN.
Secara keseluruhannya kesan sekatan royalti ini memberi kesan yang besar 
kepada ekonomi di samping memberikan imej yang buruk kepada negara. Menurut 
AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, pelabur luar akan takut untuk melabur di 
negara ini. Sikap mungkir janji kerajaan pusat terhadap perjanjian yang 
mereka tandatangani akan memberi pengaruh negetif kepada perkembangan dan 
pertumbuhan ekonomi negara. Menurut Dr Hatta lagi sikap mungkir janji ini 
juga meletakkan imej Islam yang digembar-gemburkan sebagi agama rasmi 
negara juga akan terjejas.
Ia antara sikap yang akan memburukkan imej Islam seluruh dunia. Isu mungkir 
janji pemberian royalti kerajaan pusat perlu dilihat secara global kerana 
ia melibatkan tanggungjawab bersama dalam sebuah negara yang mengamalkan 
demokrasi. Seandai kerajaan pusat bertindak mengabaikan prinsip demokrasi 
di Terengganu maka BA perlu mempertahankan hak rakyat dalam negara ini.
Maka rakyat seharusnya bersedia untuk mengembalikan hak tersebut melalui 
kuasa rakyat jika ingin mengembalikan hak rakyat terus terjamin.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "sahruddin esa" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke