Berakhirnya spekulasi

Oleh: G MANIMARAN
RAMAI terkejut dan tersentak. Itulah gambaran yang dapat dirumuskan sebaik sahaja pembubaran Parlimen diumumkan semalam. Pemikiran dan strategi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengatasi andaian pelbagai pihak sebelum ini.

Pihak-pihak yang membuat andaian akhirnya, sekali lagi terjerat dengan pendekatan politik Perdana Menteri yang sememangnya terkenal dengan sifat seringkali 'menafikan' tanggapan pihak lain.

Pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini mengakhiri spekulasi yang berlarutan sejak awal tahun lalu. Sepanjang dua tahun lalu begitu banyak desas-desus dibangkitkan oleh pelbagai pihak khususnya penganalisis dan pemerhati politik tempatan dan luar negara.

Malah sejak Jun 1998, hampir setiap bulan Dr. Mahathir diajukan soalan-soalan mengenai masa Parlimen akan dibubarkan oleh para wartawan.

Pihak-pihak yang pernah membuat spekulasi, sejak kebelakangan ini mengeluh bahawa mereka terlalu 'letih' membuat spekulasi demi spekulasi mengenai pilihan raya. Malah diplomat-diplomat asing yang ditemui juga pernah mengutarakan bahawa mereka turut dan amat terkeliru dengan begitu banyak andaian yang dikemukakan sejak kebelakangan ini.

Dalam alasannya semalam, Perdana Menteri berkata, pada mulanya beliau bercadang untuk mengadakan pilihan raya selepas Hari Raya Puasa Januari depan, tetapi mendapat inspirasi baru kelmarin untuk membubarkan Parlimen hari ini supaya pilihan raya umum dapat diadakan sebelum bermulanya puasa yang dijangka 9 Disember ini.

Dr. Mahathir menegaskan, beliau tidak mahu suasana sepanjang bulan Ramadan diganggu oleh kegiatan yang tidak baik semasa umat Islam berpuasa dan mengerjakan kegiatan keagamaan yang lain.

''Pihak-pihak tertentu juga akan cuba menggagalkan pilihan raya dengan mengadakan demonstrasi dan rusuhan, terutama setelah mereka dapati mereka tidak mungkin menang,'' kata beliau.

Tambah Dr. Mahathir: ''Saya menghadapi pilihan raya bukan untuk menguji populariti saya berbanding seseorang. Pilihan raya satu urusan yang serius dan kita hadapi pilihan raya untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan.

''Saya tidak kisah sama ada saya popular atau tidak. Apa yang penting ialah negara ini mendapat sebuah kerajaan yang baik.''

Bagi Dr. Mahathir, ini merupakan pilihan raya umum kelima yang beliau akan memimpin sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Sepanjang lima pilihan raya umum lalu, bermula 1982, beliau terus mengekalkan kelebihannya mengatasi spekulasi mengenai pilihan raya umum.

Jawapannya, Perdana Menteri sekali lagi berjaya memperdaya dan mengelirukan spekulator yang sejak Januari 1998 mengandaikan pilihan raya akan diadakan dalam waktu terdekat. Turut dalam senarai itu termasuklah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang sendiri mengaku tewas 10 sen kepada Dr. Mahathir selepas andaiannya bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi.

Kit Siang membuat andaian itu pada awal Januari 1998. Malah sehingga pagi semalam ramai yang masih mengandaikan bahawa pilihan raya umum hanya akan diadakan pada awal Januari depan, selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pembatalan pada minit-minit terakhir untuk tidak menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), di Durban, Afrika Selatan, esok memberi petanda awal bahawa Dr. Mahathir telah mendapat ilham untuk mengadakan pilihan raya umum.

Seminggu sebelum membubarkan Parlimen pada 5 April 1995, Perdana Menteri mengumumkan bahawa beliau telah mendapat ilham untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya kesembilan pada 1995 ketika mengadakan lawatan kerja ke Sarawak. Kali ini beliau langsung tidak memberikan petanda-petanda awal, sebaliknya seringkali menolak andaian dengan hanya menyebut ''pastinya pilihan raya akan diadakan sebelum Jun 2000''.

Pilihan raya umum kesembilan telah diadakan pada 24 dan 25 April 1995 manakala persidangan pertama Dewan Rakyat pula diadakan pada 7 Jun tahun yang sama. Ini bermakna tempoh hayat Kerajaan Pusat yang ada sekarang akan tamat pada 7 Jun 2000.

Ramai menerima ulasan itu dengan terus meletakkan pelbagai alasan, termasuklah musim tengkujuh dan sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

Dengan pembubaran Parlimen kali ini, 9,694,156 pemilih akan menentukan kerajaan untuk penggal lima tahun akan datang. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod sebelum ini, selain mengambil kira perkembangan sosioekonomi dan politik semasa, pilihan raya kemungkinan akan diadakan dalam tempoh tiga minggu mulai sekarang.

Pilihan raya umum ke-10 ini merupakan menarik untuk diperhatikan kerana ia akan menjadi yang terakhir alaf ini. Ia juga menarik untuk dilihat kerana ia akan dilangsungkan dalam suasana negara diselubungi krisis politik dan ekonomi.

Semua sembilan pilihan raya umum lalu diadakan sama ada tanpa sebarang krisis politik atau ekonomi yang besar, atau pun sekurang-kurang salah satu masalah terbabit. Misalnya, pilihan raya umum 1986 diadakan ketika kemelesetan ekonomi manakala 1990 selepas masalah politik dalaman UMNO yang membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46). Bagaimanapun, pilihan raya umum lalu diadakan pada waktu 'selesa' ketika negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Pilihan raya umum ke-10 pula akan diadakan ketika masalah politik berlarutan dan kegawatan ekonomi dalam pemulihan. Negara sedang berhadapan dengan dua masalah ini. Bagaimanapun, usaha-usaha yang diambil oleh BN sejak setahun lalu telah memulihkan suasana semasa.

Pilihan raya kali ini juga menarik untuk diperhatikan kerana wujud kesedaran politik di kalangan rakyat negara ini. Bilangan mereka yang mendaftar untuk menjadi pemilih meningkat secara mendadak - pertama kali dalam sejarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada Jun lalu, SPR mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima lebih sejuta borang permohonan sepanjang urusan pendaftaran dan semakan selama 42 hari yang berakhir 13 Mei lalu.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 65 peratus permohonan adalah daripada kalangan bakal pemilih baru manakala bakinya merupakan mereka yang memohon menukar alamat tempat mengundi. Tetapi, ekoran pembubaran Parlimen hari ini, mereka tidak dapat mengundi kerana daftar pemilih 1999 hanya akan diwartakan pada awal Januari depan.

Penggunaan komputer untuk menyemak daftar pemilih dan saluran-saluran mengundi pada hari pengundian adalah antara beberapa pendekatan baru yang akan digunakan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke-10.

Kemungkinan akan wujud kelainan pada kali ini berbanding masa-masa lalu juga tetap ada berdasarkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah lalu.

Untuk pilihan raya umum ke-10 ini, sebanyak 193 kerusi Dewan Rakyat dan 394 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan. Bahagian-bahagian pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada bahagian pilihan raya hasil daripada urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi Semenanjung dan Sabah (1994) serta Sarawak (1996). Jumlah pemilih layak ialah 9,694,156 orang - berdasarkan daftar pemilih 1998.

Pada pilihan raya umum lalu, tujuh parti tidak termasuk calon-calon bebas bertanding di peringkat Dewan Rakyat manakala lapan lagi merebut kerusi- kerusi Dewan Undangan Negeri. Kedua-dua peringkat itu, masing-masing mencatatkan seramai 416 orang dan 852 orang calon. Selain BN, parti-parti yang bertanding empat tahun lalu ialah DAP, Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Malaysia (PRM), S46 dan Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Dalam pada itu, Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) merupakan parti tambahan yang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Pada kali ini, bilangan parti yang akan bertanding dijangka kekal. Bagaimanapun, berlaku sedikit perubahan ekoran pembubaran S46 dan kewujudan Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Yang pasti BN akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan. Timbul persoalan sejauh mana parti-parti pembangkang akan bertindak kali ini.

Kemungkinan pihak-pihak berkenaan akan membentuk kerjasama sebagaimana dilaung-laungkan sememangnya sesuatu yang menarik untuk dilihat.

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, sebanyak 17 pilihan raya kecil, termasuk lapan kerusi Dewan Rakyat telah diadakan. Selain itu, wujud tiga kekosongan termasuk kerusi Parlimen Kota Melaka yang dimenangi oleh Lim Guan Eng. Negara juga menyaksikan senario politik berubah sedikit sejak 1995. Justeru, pilihan raya kali ini sudah tentu menarik sebagaimana pada tahun 1990 iaitu penubuhan Gagasan Rakyat hasil 'perkahwinan bermusim'. Kali ini pembangkang mewujudkan pakatan yang dikenali sebagai Barisan Alternatif.

Analisis menunjukkan bahawa pembangkang dari semasa ke semasa mengubah nama pakatan mereka mengikut kesesuaian masing-masing sepanjang satu dekad lalu. Pembangkang juga telah mengeluarkan manifesto mereka lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan. BN yang belum berbuat demikian telah memberi jaminan bahawa akan menekankan tema kesejahteraan rakyat.

Sebagaimana disaksikan dalam pilihan raya umum lalu, pertandingan kali ini juga akan menyaksikan pertarungan dua penjuru di kebanyakan kerusi.

Kirim email ke