Bukan Melayu jadi PM:
DR M tiru idea PAS

KOTA BHARU, 18 Jun (Hrkh) - Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad disifatkan baru menyedari kebenaran idea yang pernah dilontarkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menerima bangsa bukan Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebelum ini, idea seperti itu pernah ditentang oleh pemimpin-pemimpin Umno dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Bagaimanapun semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, suatu hari nanti jawatan Perdana Menteri akan disandang oleh orang keturunan Cina atau India iaitu apabila rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu soal perkauman.

Harakahdaily.com difahamkan ucapan Perdana Menteri mengenai perkara itu sebagai salah satu taktik untuk meredakan tuntutan MCA terhadap kerajaan di bawah kepemimpinannya terhadap quota jawatan kabinet.

Krisis dalaman yang berlaku dalam MCA tersebut telah menyebabkan Presidennya, Dato' Seri Dr Ling Liong Sik mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri pengangkutan, bagaimanapun menarik balik selepas itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika mengulas isu tersebut berkata, beliau sudah lama menyebut perkara itu, namun telah dipolitikkan oleh Umno.

"Ketika saya kemukakan isu ini dahulu, saya dan PAS ditentang hebat oleh Umno termasuk Dr Mahathir sendiri. Namun, sekarang Dr Mahathir sendiri seakan-akan mengakui kebenaran idea yang ditimbulkan saya sebelum ini," katanya di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, beliau pernah menyatakan bangsa mana sekalipun termasuk Cina, India boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan mereka menerima wadah Islam.

"PAS tidak pernah bimbang bangsa mana sekali pun yang memerintah Malaysia selagi mereka menggunakan pendekatan Islam seperti yang diperjuangkan PAS," tambahnya.

Menurutnya, sebab itu soal bangsa tidak menjadi halangan kepada PAS kerana Islam yang lebih diutamakan.

Bagaimanapun beliau berkata, Umno takut sekiranya bangsa lain dibenarkan memerintah kerana pendekatan mereka bukan menjadikan Islam sebagai syarat utama.

"PAS tidak kisah walau apa bangsa sekali pun yang memerintah Malaysia, cuma janjinya mereka mesti beragama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.

"Bila kita sudah berpegang kepada tali Islam sudah tentulah masalah bangsa lain untuk menjadi Perdana Menteri tidak timbul lagi," katanya.

Menurutnya, perlembagaan Malaysia tidak pernah mencatat bangsa tertentu menjadi perdana menteri di negara ini yang seperti diakui Perdana Menteri semalam.

Menteri Besar dalam kenyataanya menjelang pilihan raya umum ke-10, November lalu, pernah berkata, pemimpin DAP bukan beragama Islam yang diterima sebagai Perdana Menteri tidak boleh melakukan sesuka hati dan mesti menerima wadah Islam.

Menurutnya, jika pemimpin DAP yang bukan beragama Islam mahu menjadi PM tetapi tidak mampu mematuhi wadah tersebut, jawatan berkenaan boleh diserahkan kepada pemimpin DAP Melayu yang beragama Islam.






COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke