CUEPACS JUMPA JPA BINCANG PEMANSUHAN SISTEM MATRIK FEB INI

 

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama)-- Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) awal bulan depan bagi menjelaskan kepada jabatan itu kenapa pelaksanaan sistem matrik, iaitu kenaikan gaji secara melintang dan menegak di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), perlu dimansuhkan.

Presiden Cuepacs, N. Siva Subramaniam berkata semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Samsudin Osman itu pihaknya akan memaklumkan mengenai rungutan-rungutan yang diterima Cuepacs berhubung wujudnya penyelewengan dalam pelaksanaan sistem matrik.

"Cadangan pemansuhan ini hanya membabitkan sistem matrik sahaja dan bukannya SSB secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan peralatan sekolah untuk 70 anak-anak anggota kesatuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata Cuepacs juga sudah menghantar sepucuk surat kepada Samsudin bagi memaklumkan wujudnya penyelewengan dalam pelaksanaan sistem matrik di Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah.

"Dalam surat tersebut yang salinannya dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali, pihak kami telah memaklumkan bahawa 65 hingga 70 peratus kakitangan di Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah yang mendapat kenaikan gaji melintang dan menegak baru-baru ini adalah dibuat secara tidak sah," katanya.

Siva Subramaniam berkata pihaknya meminta JPA, Kementerian Pendidikan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat perkara tersebut bagi memastikan penyelewengan itu tidak berterusan.

Abdul Halim dalam satu kenyataan semalam berkata beliau memberi jaminan akan meneliti pandangan semua pihak mengenai kemungkinan mengubahsuai pelaksanaan SSB sedia ada.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr Fong Chan Onn semalam supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa khas yang berperanan mengawasi pihak penilai bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam penilaian prestasi pekerja, Siva Subramaniam berkata Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan Dr Fong itu.

"Cuepacs berpendapat adalah lebih wajar penilaian berasaskan sistem matrik sekarang dihapuskan keseluruhannya," katanya. -- BERNAMA

Kirim email ke