DEWAN PEMUDA PAS MINTA USIR DUTA RUSIA

 

ALOR SETAR, 19 Dis (Bernama) -- Dewan Pemuda PAS Pusat meminta kerajaan Malaysia memanggil pulang dutanya ke Rusia dan mengusir segera Duta Besar Rusia ke negara ini kerana bekas negara komunis itu masih meneruskan serangan besar-besaran terhadap Chechnya.

Ketuanya, Mahfuz Omar berkata, walaupun banyak negara menggesa Rusia supaya menamatkan serangan di Chechnya, tetapi kerajaan Malaysia dilihat lebih banyak berdiam diri terhadap serangan itu.

"Sebagai sebuah negara Islam sepatutnya kita lebih bersimpati dan menentang keras perlakuan Rusia menyerang Chechnya yang penduduknya beragama Islam," katanya di majlis ceramah di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena dekat sini, malam tadi.

Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena berkata, Pemuda PAS mengutuk serangan yang tidak berperikemanusiaan itu dan melahirkan rasa kesal atas sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam diri. -- BERNAMA

Reply via email to