PEMUDA PPP
HARAP BEBERAPA PEMIMPINNYA DILANTIK SENATOR |
|
KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pergerakan
Pemuda Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berharap Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan melantik beberapa pemimpinnya sebagai
senator manakala presidennya Datuk M. Kayveas diberi jawatan "penting"
dalam kabinet. Ketuanya, T. Murugiah berkata, pelantikan itu
akan membolehkan PPP sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN)
memberikan khidmat kepada masyarakat.
"Kami masih menaruh harapan
kepada Dr Mahathir, mungkin beberapa jawatan senator boleh diperuntukkan
kepada PPP bagi membolehkan kami menjalankan tugas yang perlu untuk ahli
dan orang ramai," katanya pada persidangan berita di sini hari ini.
Katanya, PPP akan terus memberi sokongan kepada BN walaupun parti
itu tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding pada pilihan raya
umum lalu.
"Inilah masa yang sesuai untuk kita membantu BN menawan
kembali dua negeri (Kelantan dan Terengganu) yang dikuasai oleh
pembangkang," katanya.
Beliau juga berkata, Pemuda PPP akan
mengemukakan memorandum kepada Dr Mahathir bagi menyarankan formula untuk
menawan kembali kedua-dua negeri itu.
Katanya, antara formula yang
dicadangkan ialah menggalakkan penghijrahan lebih ramai kaum Cina dan
India ke Kelantan dan Terengganu untuk mengimbangi pengaruh parti Pas.
"Ketika ini kedua-dua negeri itu majoriti penduduknya ialah orang
Melayu dan kita rasakan dengan lebih banyak kaum lain tinggal di sana, BN
berpeluang merampas kembali menerusi sokongan kaum India dan Cina,"
katanya.
Beliau juga berkata, Dr Mahathir akan menghadiri majlis
rumah terbuka parti itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di
sini pada 1 Januari depan. --
BERNAMA |
|