DJZ: Ucapan pengerusi Dong Zong diputarbelit Pemuda Umno

6:24pm Thu Aug 8th, 2002 Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina
Malaysia dan Persatuan Guru-guru Sekolah yang lebih dikenali sebagai Dong
Jiao Zong (DJZ) kesal dengan tindakan Pemuda Umno yang didakwanya telah
memutarbelitkan kenyataan pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang untuk
menuduhnya sebagai “pelampau dan berbau hasutan”. “DJZ berpendapat Pemuda
Umno berniat untuk memutarbelitkan pernyataan Quek bagi mengalihkan
perhatian rakyat daripada isu bantahan terhadap pengajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris,” kata DJZ dalam satu kenyataan hari ini.
Mengikut laporan muka depan Berita Harian hari ini, pergerakan Pemuda Umno
menuduh kenyataan Quek berhubung isu itu sebagai “melampau, lari dari isu
sebenar dan berbau hasutan”. Ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin
Hussein, dalam kenyataan semalam, mendakwa bahawa Quek telah memberi
gambaran kerajaan Malaysia mahu melaksanakan proses penyerapan seperti dasar
kerajaan Indonesia terhadap masyarakat Cina di republik itu. Hishamuddin
dilaporkan berkata Quek cuba menghasut dan mengapi-apikan emosi masyarakat
Cina dengan menabur fitnah terhadap sekolah wawasan serta membayangkan
seolah-olah kerajaan akan menutup sekolah Cina di negara ini. Namun bidas
DJZ, Malaysia sebagai sebuah negara demokratik sebenarnya memerlukan satu
sistem yang lebih telus untuk memperluaskan medan perbincangan. Kenyataan
bercanggah “Kami berpendapat kerajaan pada masa ini terlalu gesa-gesa dalam
mengendalikan dasar penting tanpa perbincangan langsung dengan pihak-pihak
lain,” katanya. Selain itu, kata DJZ, alasan yang diberikan untuk
melaksanakan dasar baru ini juga tidak meyakinkan. “Kenyataan menteri dan
pegawai-pegawai berkenaan juga seringkali bercanggah. Kadang-kadang mereka
memberi alasan untuk menaikkan taraf penguasaan bahasa Inggeris dan
kadang-kadang untuk menaikkan pengetahuan Sains dan Matematik. Malah ada
pula yang berkata bukan untuk menaikkan taraf bahasa Inggeris.” Menurut
DJZ, kenyataan yang tidak konsisten ini telah mengelirukan rakyat. Selain
itu, DJZ juga meminta kerajaan supaya mengkaji semula sistem pendidikan yang
dilaksanakan selama ini kerana ia gagal untuk meningkatkan prestasi pelajar
dalam matapelajaran bahasa Inggeris. Pertubuhan itu bersetuju bahawa rakyat
perlu menguasai pelbagai bahasa dalam menghadapi era globalisasi tanpa
berlengah-lengah lagi, tetapi bukanlah dengan pendekatan yang dicadangkan
oleh kerajaan. Turut dipengaruhi “Sehubungan itu, rakyat, terutamanya
pertubuhan pendidikan seharusnya diberikan ‘ruang perbincangan’ yang
secukupnya, dan keputusan bukannya berdasarkan satu perintah ‘mesti
dilaksanakan’. Ini kerana [pelaksanaan cadangan] mempunyai kesan yang besar
kepada masyarakat,” kata persatuan itu. DJZ berkata dari maklum balas yang
telah dikumpulkan, masyarakat Cina secara umumnya berpendapat ciri-ciri
sekolah Cina akan turut dipengaruhi jika penggunaan bahasa Inggeris dalam
dua matapelajaran tersebut dilaksanakan. “Dengan itu, DJZ sebagai satu
badan pendidikan masyarakat Cina bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej
kepada masyarakat Cina mengenai pendidikan bahasa ibunda dan tidak
sepatutnya dipandang sebagai melampau dan berbau hasutan,” katanya. Oleh
itu, DJZ berharap Pemuda Umno dapat melihat perkara ini dari gambaran yang
lebih besar, iaitu bagaimanakah rakyat Malaysia dapat membuat persediaan
untuk menjadi lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran era globalisasi.
Penggunaan bahasa Inggeris itu akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan mulai
tahun depan tetapi belum ada keputusan bilakah ia akan dilaksanakan di SRJK
Cina dan Tamil. Bagaimanapun, cadangan itu telah mendapat tentangan
pelbagai pertubuhan yang mewakili kaum masing-masing kerana ia dijangka
menjejaskan prestasi pelajar dalam Sains dan Matematik. Namun begitu,
bantahan tiga pertubuhan Cina termasuk Dong Jiao Zong dan Dewan Perhimpunan
Cina Selangor (DPCS) telah mendapat perhatian yang lebih di dalam
akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang mengkritik pendirian mereka.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
HotJobs, a Yahoo! service - Search Thousands of New Jobs

Kirim email ke