*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Lawati: http://www.parti-pas.org KENYATAAN AKHBAR YB. DATO’ FADZIL MOHD. NOOR PRESIDEN PAS DAN KETUA PEMBANGKANG 28 FEBRUARI 2000 ‘EPISOD IWK JANGAN BERULANG: HENTIKAN SEGERA SEMUA CADANGAN PENSWASTAAN YANG BELUM BERMULA’ Rakyat kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan untuk mengambil alih Indah Water Konsortium (IWK) yang dianugerahkan projek penswastaan pembersihan air kumbahan. Langkah ini dilakukan berikutan kerugian berterusan yang dialami dan ketidakmampuan IWK mengendalikan loji-loji perkhidmatan pembersihan air kumbahan sejak IWK mengambil alih perkhidmatan ini daripada pihak berkuasa tempatan 6 tahun lalu. Projek penswastaan ini telah mendapat tentangan hebat dari rakyat sejak mula ia dicadangkan dan dilaksanakan. Ianya merupakan tindakan yang sangat tidak popular sejak awal ianya diura-urakan. Kerajaan mengambil sikap tidak mengindahkan protes rakyat kerana seperti yang kita semua tahu, projek ini di kurniakan kepada orang tertentu yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa. Rakyat juga telah meramalkan bahawa projek penswastaan ini akan gagal kerana rakyat sendiri boleh mengambil tindakan sendiri secara pasif dan aktif bagi menunujukkan ketidakpuasan mereka. Rakyat yang mana rumah mereka mempunyai sistem kumbahan sendiri tidak nampak mengapa mereka harus membayar kepada syarikat swasta bagi perkhidmatan yang mereka tidak perolehi. Menitipkan bil IWK dalam bil penggunaan bekalan air telah menaikkan kemarahan rakyat kerana mereka merasa seolah-olah diugut untuk dinafikan hak mendapat bekalan air seandainya tidak membayar bil IWK. Namun kerajaan tetap berdegil semata-mata bagi memastikan keputusan silap mereka terus dilaksanakan. Kini kerajaan melakukan satu lagi angkara yang memilukan, iaitu memberikan gantirugi kepada IWK yang gagal dalam jumlah yang besar, RM 200 juta, sebelum mengambil alih semula perkhidmatan pembersihan air kumbahan. Jumlah ini adalah tambahan kepada RM 1 bilion yang telah dileburkan dalam projek penswastaan ini. Rakyat langsung tidak dimaklumkan mengenai tindakan kerajaan ini melalui parlimen. Maka berkuburlah satu projek penswastaan kesayangan BN. Sampai bilakah BN boleh menipu rakyat dalam skim atau skandal seperti ini? Kita meramalkan beberapa lagi projek penswastaan akan turut menghadapi masa depan yang sama, seperti projek lebuhraya yang dikatakan menanggung hutang yang banyak. Kita dapat membaca bahawa wang rakyat akan terus digunakan bagi menebus kerugian pihak pemegang konsesi. Kini rakyat yang mempunyai maklumat tidak akan berdiam diri. Bagi mengelakkan sebarang kerugian di pihak rakyat dan kerajaan, Pas mendesak supaya: 1.Semua langkah menswastakan perkhidmatan seperti penswastaan perkhidmatan kesihatan, IPTA, bekalan air dan sebagainya, diberhentikan segera. 2.Kerajaan membatalkan keputusan membayar pampasan dengan wang rakyat kepada pihak swasta yang telah gagal dalam projek mereka dan wang rakyat ini digunakan untuk membantu rakyat miskin dan kakitangan awam yang bergaji rendah. 3.Kerajaan menjalankan kajian segera secara mendalam semua projek penswastaan yang telah dimulakan bagi mengenalpasti keberkesanan dan keuntungannya kepada rakyat dan bukannya selepas ia mengalami kerugian dan hampir bangkrap. 4.Pihak kerajaan mengemukakan episod terbaru ini untuk dibincangkan dalam Dewan Rakyat dengan kadar segera. Jika pihak kerajaan tidak mengambil sikap telus membincangkan perkara ini di Parlimen, pihak Barisan Alternatif akan mengusulkan supaya isu ini dibahaskan melalui satu usul tergempar. Dalam masa yang sama Pas mengajak rakyat bersatu dalam menghadapi berbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sekarang. Sekian. DATO’ FADZIL MOHD. NOOR Presiden Pas dan Ketua Pembangkang ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>