Kehormatan Dewan Negara Diperkosa

Perlantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin sebagai Senator berkuatkuasa semalam, Rabu 3 Oktober, meletakkan Dewan Negara Malaysia di bawah pancaran lampu spotlight. Perlantikan itu menjemput pelbagai soalan. Adakah wajar dan tepat orang seperti Aziz Shamsuddin menjadi ahli Dewan Negara?

Siapa Aziz Shamsuddin?

Abdul Aziz, 62 tahun, telah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mulai 1975 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik Mahathir pada 1981, apabila Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri. Latarbelakang Aziz seperti yang disebutkan ini tidak menimbulkan pertikaian. Tetapi yang menjadi kemusykilan ialah hakikat bahawa nama Aziz Shamsuddin sekarang telah dikaitkan dengan konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Nama Aziz Disebut Di Mahkamah

Di bawah keterangan bersumpah di mahkamah, Anwar Ibrahim, selaku orang tertuduh yang sedang membuat pembelaan diri, menyebut tentang Aziz. Dalam perbicaraan pada hari Rabu, 3 Oktober, Anwar Ibrahim berkata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, ada memberitahunya pada 1997 berhubung siasatan Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas terhadap surat layang. Rahim memberitahunya berhubung pembabitan beberapa tokoh politik tetapi hanya menamakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin. Menurut Anwar, Rahim memaklumkan kepadanya bahawa dakwaan salah laku seks dan liwat yang terkandung dalam surat layang itu adalah tidak berasas dan satu pakatan politik.

Kewibawaan Aziz Shamsuddin Dipertikaikan

Wajarkah seseorang seperti Aziz Shamsuddin dilantik menjadi senator dan menjadi ahli Dewan Negara? Anwar mendakwa Aziz Shamsuddin adalah salah seorang dalang di sebalik konspirasi keji yang cuba menjatuhkannya. Apakah Dewan Negara mesti diisi dengan dalang konspirasi? Di sinilah kewibawaan Aziz Shamsuddin dipertikaikan.

Siapa Lagi Selain Aziz Shamsuddin?

Di Dewan Negara sekarang ini, sarat dengan orang-orang Mahathir belaka. Ibrahim Ali, yang kalah dalam pilihanraya di Kelantan, diangkat oleh Mahathir menjadi ahli Dewan Negara bergelar senator. Kemudian, dia diangkat lagi menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal mahkamah dan undang-undang. 

Tetapi kerja Ibrahim yang sebenar ialah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Majlis Tertinggi UMNO "Melawan Fitnah". Ibrahim Ali akan menghantar orang-orangnya menjadi spy atau pengintip di ceramah-ceramah parti alternatif. Selepas dirakam dan divideo ucapan tersebut, Ibrahim akan membuat laporan polis, menuduh kononnya pemimpin-pemimpin alternatif itu memfitnah pemimpin-pemimpin UMNO.

Apakah Kedudukan Dewan Negara Dalam Perlembagaan

Dewan Negara mempunyai kedudukan yang mulia dan bermartabat dalam Sistem Perundangan Malaysia. Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menyebut: 

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak pada parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Bagaimana Keanggotaan Dewan Negara?

Perkara 45(1) menyebut: Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut:

(a) dua orang ahli bagi tiap-tiap satu negeri

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong

Siapa Yang Layak Menjadi Ahli Dewan Negara?

Perkara 45 (2): Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesion, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang-orang asli.

Apakah Aziz Shamsuddin dan Ibrahim Ali Memenuhi Syarat?

Syarat untuk menjadi ahli Dewan Negara agak tinggi. Orang yang baik-baik yang patut dilantik. Tentu sekali, dalang konspirasi, atau pengampu dan pembodek Perdana Menteri tidak memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan di atas. Orang-orang yang berjasa kepada negara dan tinggi sahsiahnya yang sepatutnya dilantik. Bukannya orang-orang yang patuh setia sebagai gurkha-gurkha kepada Perdana Menteri yang jadi ukuran. Dewan Negara seharusnya tidak menjadi sarang bagi konco-konco Mahathir. 

Senator Zainal Rampak

Begitu juga, Dewan Negara bukan tempat bagi pemimpin kesatuan sekerja yang mengkhianati perjuangan pekerja seperti Zainal Rampak. Zainal tidak memperjuangkan nasib beratus ribu pekerja elektronik di seluruh negara yang menuntut kerajaan membenarkan mereka menubuhkan sebuah kesatuan kebangsaan pekerja elektronik. 

Dari RM308.6 bilion pendapatan eksport Malaysia pada tahun 1999, 61.0% datangnya dari keluaran elektrik dan elektronik. Ini bermakna pekerja-pekerja kilang elektronik adalah golongan penting yang mencipta kekayaan negara ini, tetapi Mahathir melarang hak asasi mereka untuk berkesatuan. 

Dalam hal ini, Zainal Rampak hanya berdiam diri sahaja. Mengapa? Sebab Zainal sudah menjadi senator. Selain itu, 250,000 pekerja estet menuntut gaji bulanan. Kerajaan tak pedulikan tuntutan mereka. Telah 50 tahun kesatuan NUPW berjuang dalam isu itu. Tetap Zainal Rampak, Presiden MTUC, buat tak peduli. Mengapa? Sebab dia sudah jadi senator. Dia sudah duduk dalam kocek Mahathir.

Senator Zainuddin Maidin

Begitu juga, Dewan Negara tidak sepatutnya menjadi tempat tokoh wartawan yang menyokong kebebasan akhbar di Malaysia ditekan oleh kerajaan Mahathir. Tetapi itulah yang berlaku. Mahathir lantik Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, menjadi senator, iaitu ahli Dewan Negara.

Reformasi Ke Atas Dewan Negara

Pendek kata, barisan senator-senator seperti Aziz Shamsuddin, Ibrahim Ali, Zainal Rampak, Zainuddin Maidin dan ramai lagi adalah konco-konco Mahathir belaka di Dewan Negara. Hal inilah yang menjadikan imej Dewan Negara dipandang rendah oleh rakyat dan masyarakat dunia. Reformasi diperlukan untuk mengembalikan kehormatan Dewan Negara. Perkosaan ke atas kehormatan Dewan Negara perlu ditamatkan segera.

Tamat

 

Kirim email ke