Konsep 'Tassabut dan Tabayyun' dalam Islam

Oleh Ustaz Ismail Haron

ISU persekolahan wajib hangat dibincangkan sekarang. Ada segelintir anggota masyarakat Melayu/Islam berasa khuatir implikasinya terhadap peranan dan masa depan madrasah di Singapura.

Ada juga membuat andaian yang terlalu jauh seolah-olah madrasah setempat akhirnya akan menerima nasib yang sama seperti sekolah-sekolah Melayu.

Kekhuatiran yang diutarakan dapat difahami tetapi seperti isu-isu sebelum ini, langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengawal emosi. Terlalu emosional dan melenting tanpa syura sesama kita dan para ahlinya adalah perbuatan sia-sia.

Memang tidak salah menjadi vokal, hero atau pembela umat tetapi mesti di platform dan masa yang sesuai. Retorik tanpa perbincangan dan tindakan bermakna akan hanya merumitkan keadaan. Lebih buruk lagi, ia memberi isyarat yang salah kepada pihak-pihak tertentu. Kalau silap langkah, diri sendiri dan masyarakat yang akan rugi.

Dari itu, kita perlu mengamalkan sikap 'Tassabut dan Tabayyun' semasa berhadapan dengan sesuatu masalah. Ia penting bagi mengelakkan salah faham dan tuduhan tergesa-gesa yang kelak akan merugikan kita semua.

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep 'Tassabut dan Tabayyun' di dalam Islam?

Tassabut ertinya menetapkan sesuatu hal berlandaskan dalil yang kukuh secara teliti dengan tidak tergesa-gesa. Ayat-ayat Quran ingatkan umat amalkan Tassabut dan Tabayyun

Tabayyun pula bererti mencari ketetapan dari suatu hakikat yang dapat menjadi jelas dan terang keadaannya. Pengertian Tabayyun hampir sama dengan pengertian Tassabut.

Kekata Tassabut dan Tabayyun terkandung dalam Al-Quran seperti firman Allah taala: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berperang di jalan Allah, maka telitilah... (Surah An-Nisaa: 94).

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti... (Surah Al-Hujurat: 6).

Dalam surah An-Nisaa, kekata Tassabut digunakan untuk teliti dan di dalam surah Al-Hujurat, lafaz Tabayyun pula digunakan untuk teliti.

Menurut Ibnu Jarir, kedua-duanya bererti mencari kepastian dan kejelasan dengan berdasarkan dalil dan bukti yang teliti. Dapat juga diertikan tidak tergesa-gesa dalam menghadapi sesuatu perkara, tanpa gelabah dan gegabah.

Ada banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan sikap Tassabut dan Tabayyun. Sila rujuk surah An-Nisaa ayat 83, surah Al-Isra ayat 36, surah An-Nur ayat 15 dan ayat-ayat lainnya.

Islam amat menggalakkan kita mengumpul dan menganalisis suatu perkara dari pelbagai perspektif, lebih-lebih lagi terhadap perkara-perkara yang masih tertutup, samar-samar atau tidak jelas. Kesan negatif menimpa jika tiada konsep tersebut

Rasulullah saw telah menasihatkan Saidina Ali bin Abi Talib ketika beliau hendak diutus kepada penduduk Yaman, dengan sabda baginda: "Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayah ke dalam hatimu dan memantapkan lidahmu. Maka apabila dua orang bermasalah telah berada di hadapanmu, jangan sekali-kali engkau memutuskan perkara sehingga engkau mendengar pengaduan dari yang lainnya sebagaimana engkau mendengarkan pengaduan dari orang pertama. Sebab, yang demikian itu lebih baik bagimu saat engkau menjatuhkan keputusan yang jelas." (Hadis riwayat Abu Daud).

Dari itu, tiadanya sikap Tassabut dan Tabayyun boleh mengakibatkan kesan-kesan negatif dalam dakwah Islamiyah, umpamanya:

  • Cenderung bersikap ekstrim.

  • Timbul rasa cemas, pertumpahan darah dan akhirnya penyesalan.

  • Renggangnya saf (barisan) umat.

  • Timbul prasangka negatif sesama kita.

  • Mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

    Kesimpulannya, bersikap Tassabut dan Tabayyun adalah termasuk akhlak Islami.

    Ia banyak memberi manfaat dalam kita berdakwah secara kolektif. Masyarakat intelek yang bersikap kritis pemikiran dan pertimbangan dengan sendirinya akan terbentuk.

    Seterusnya, segala kelemahan dan kepincangan semasa bertindak dapat diatasi dan dakwah Islamiyah dapat diteruskan dengan jayanya. Nota: Penulis adalah seorang lulusan universiti Madinah dan kini pendakwah.

    Kirim email ke