KU LI DIPERSIMPANGAN

ROSLAN SMS

Sebagaimana yang dijangka akhirnya Majlis Tertinggi UMNO memberi tamparan maut terhadap peluang dan masa depan Ku Li untuk kembali berperanan dalam arus perdana UMNO melalui tindakan MT yang licik dan bacul itu. MT yang bersidang Isnin lalu telah memasyhorkan bahawa keputusan UMNO Bahagian Gua Musang mencalonkan Ku Li bagi jawatan Naib Presiden melalui keputusan Jawatankuasa bahagiannya adalah tidak sah. Oleh itu tindakan MT tersebut mengakibatkan Ku Li kekurangan satu pencalonan (jatuh 16 dari 17) untuk melayakkan beliau bertanding pada persidangan UMNO 12 Mei nanti.

Ku Li sesungguhnya menjadi mangsa “tyranny of the minority”, kelompok kecil yang berkuasa yang duduk dalam MT yang diketuai oleh Presidennya. Dr. Mahathir telah mengunakan kuasa yang ada baginya bagi mematahkan peluang Ku Li dengan mengatakan bahwa MT adalah tempat rujuk terakhir bagi sebarang permasalahan dalam UMNO. Demikianlah sebagaimana yang didakwa Ku Li, dalam kes beliau pengadil yang mengadili pertandingan turut menjadi pemain dalam pertandingan tersebut. Pastilah keputusan pengadil tadi akan memihak kepada pasukan yang diwakilinya (selain Mahathir dan Pak Lah – Najib, Abu Hassan, Ghani, Mat Taib calon-calon Naib Presiden belaka semuanya duduk dalam MT). Dalam erti kata lain Ku Li cuba ketengahkan bahawa keadilan sudah tiada lagi dalam UMNO. Presiden UMNO hari ini sebenarnya menggunakan ketiga-tiga jubah peguam, pendakwa dan hakim, maka beliau laksana diktator dalam menentukan hal-ehwal partinya, tegas agar semuanya selaras dengan selera dan kehendaknya semata-mata.

Kini dengan tindakan bacul MT UMNO itu Ku Li secara teknikalnya tiada lagi layak untuk bertanding merebut sebarang jawatan dalam UMNO. Dengan usia yang semakin memanjat diri, masa depan Ku Li dalam UMNO hampir kelam dan pudar. Ahli-ahli UMNO dari peringkat akar-umbi sehinggalah ke perwakilan Mei nanti perlu belajar dari insiden terhadap Ku Li ini. Begitulah keadaan parti anda kini di bawah genggaman Dr. Mahathir sebagai Presiden. Kalau parti pembangkang mendakwa PM dan kerajaannya tidak adil, tidak demokratik, menyekat kebebasan rakyat, mencabul hak asasi pantas sahaja ahli dan pimpinan UMNO termasuk yang tak berjawatan di kampung-kampung menepis dan menangkis dengan seribu alasan. Kini melalui insiden terhadap Ku Li ini terserlah lah peribadi dan sikap Presiden anda itu yang cuba anda pertahankan.

Dengan keputusan ini bermakna Dr. Mahathir telah memaku padat dan kemas keranda untuk Ku Li dalam UMNO. Kata-kata Ku Li semalam seharusnya menjadi iktibar kepada ahli-ahli UMNO khusus buat mereka yang benar-benar taksub dan fanatik terhadap manusia bernama Mahthir ini. Ku Li dipetik sebagai berkata:

“Pertimbangan seharusnya diberikan hanya terhadap pemimpin-pemimpin yang layak dan mempunyai wibawa sahaja, iaitu yang bebas dari RASUAH, SALAH GUNA KUASA dan pelbagai jenis SKANDAL, TUDUHAN dan FITNAH yang hanya akan membawa aib kepada UMNO, umat Melayu dan negara.”

Kepada Ku Li kita menasihatkan agar banyak-banyaklah bersabar. Inilah hakikat kediktatoran dan kuku besi Mahathir yang Ku Li sebenarnya telah pun masak berkenaannya sejak pertandingan 1987 lalu. Sesungguhnya siapalah UMNO di Kelantan jika tidak kerana Ku Li. Datuk Mustapha, Annuar Musa dan Hussien Ahmad tidak mampu menonjol dan diterima rakyat Kelantan sebagimana Ku Li. Yang jelas pada pilihanraya lalu panji-panji UMNO cuma dapat berkibar melalui 1 kerusi parlimen dan 2 kerusi DUN, itupun kerana pengaruh Ku Li di Gua Musang. Melalui sikap MT ini nyatalah UMNO sudah tidak lagi menghargai jasa Ku Li itu.

Sesungguhnya jika Ku Li masih ikhlas dan mahu mempertahankan maruah ummah dan bangsa, perjuangan sebenar masih belum selesai. Biarlah UMNO dengan karenah Presidennya yang angkuh itu kerana UMNO pun sudah terbukti beransur terhakis dari keutamaan dan selera orang Melayu serta semakin songsang dari perjuangan asalnya . Ayuhlah Ku Li demi perpaduan umat Melayu dan Islam, ayuh bersama-sama kami dalam Barisan Alternatif menegakkan panji-panji perjuangan yang telah dinodai dan dicabul oleh Dr. Mahathir dan kroni-kroni suku sakatnya itu. Nasib serta masa depan ummah dan agama lebih penting dari perut dan periok nasi mereka yang durjana itu. Ayuhlah juga sahabat-sahabat yang lain yang masih dalam UMNO, tinggalkanlah sahaja perjuangan yang sudah tidak mengenal erti kebenaran dan keadilan itu, disini rakan-rakan dalam PAS, KeAdilan, DAP dan PRM sedang menunggu dengan tangan persahabatan yang ikhlas dan jujur.

Ayuh Ku Li jangan fikir panjang-panjang lagi. Ayuh Bersama Menegakkan Keadilan.

[EMAIL PROTECTED]
 
 



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send online invitations with Yahoo! Invites.

Kirim email ke