July 13, 2000

Mahathir cabar Al-Ma'unah tembak dahinya?
Hassan Karim (Bahagian Akhir) (Bahagian 1)

Apabila berlaku peristiwa rampasan senjata di Gerik dan Bukit Jenalek, kegemparan akibat peristiwa ini secara politiknya disenangi oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Umno. Hinggakan Presiden parti Melayu itu menyeru supaya setiap bahagian Umno mengadakan kenduri kesyukuran.

Mengapa Umno sahaja yang mesti bersyukur? Kenapa tidak diajak rakyat Malaysia semua, tanpa mengira politik mereka, kaum mereka, agama mereka sama-sama bersyukur - sama-sama kita berkenduri?

Mahathir perlu menjawab: mengapa Umno sahaja mesti bersyukur? Mungkin jawapannya begini:

Pertama, sekarang pemimpin-pemimpin gerakan Islam di Malaysia sama ada PAS atau badan-badan lain terpaksa berhati-hati apabila menganjurkan seruan pembentukan sebuah negara Islam. Jika tersalah cakap, mereka akan dikaitkan dengan Al-Ma'unah.

Kedua, setiap pemimpin gerakan reformasi dan para penyokongnya serta parti-parti pembangkang terpaksa berhati-hati bercakap apabila menyeru Perdana Menteri agar meletakkan jawatan atas dakwaan rasuah, tidak adil, tidak demokrasi atau sebagainya kerana bimbang akan dikaitkan dengan Al-Ma'unah.

Ketiga, anggota tentera atau polis yang mengundi secara sulit menentang kerajaan dalam pilihanraya umum lalu atau Sanggang dan Telok Kemang baru-baru ini supaya kembali ke pangkal jalan setelah angkatan tenterta dimalukan dengan peristiwa rampasan senjata ala
Mission Impossible itu.

Keempat, sesiapa yang menyeru slogan jihad Islam dan mahu melaksanakan hukum Islam di Malaysia, baik di Kelantan, Terengganu hatta di Selangor (oleh JAIS misalnya), perlu lebih cermat dan menyekat keghairahan mereka itu agar tidak mudah disabitkan dengan seruan "jihad" Al-Ma'unah.

Jadi sekarang pokok pangkalnya, Al-Ma'unah telah mengambil peranan hantu rekaan yang akan menakut-nakutkan atau memomok-momokkan orang. Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil bogey.

Pada masa dahulu Parti Komunis Malaya (PKM) telah dijadikan momokan terhadap sesiapa yang menentang kerajaan, walaupun menurut perlembagaan. Mereka yang sering berpendirian kritis, maka segera dicop subversif, antinasional atau komunis.

Tetapi sekarang kumpulan Al-Ma'unah yang dituduh sesat dengan seni silat kebatinan itu, yang dikatakan bercakap tentang jihad dan pembentukan negara Islam, mungkin akan mengambil tempat PKM pula untuk menakutkan mereka yang bercakap dalam perjuangan menegakkan keadilan, demokrasi, menentang rasuah, kronisme, pemborosan dan kezaliman.

Sekarang lebih 20 orang sudah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Lebih ramai lagi akan ditahan menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara yang zalim itu.

Apabila semua pihak ditakut-takutkan dengan ISA dan ugutan, kerajaan akan bertindak keras tanpa kompromi selepas peritiwa ini. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah ini akan kembali berkuasa dengan tenang dan selesa tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa.

Rakyat akan dipaksa menerima sahaja kerajaaan yang rasuah dan tidak demokratis. Rakyat dijajah dengan idea: "Tidak mengapa kerajaan yang rasuah atau tidak demokratik, asalkan keselamatan kita terkawal; tidak ada pergaduhan kaum atau agama. Tidak ada hak asasi tidak
mengapa asalkan negara aman."

Demikian mesin propaganda kerajaan BN akan memupuk minda rakyat dengan buah fikiran menyerah (defeatist). Nampaknya di bawah kerajaan seumpama ini, harga yang perlu dibayar untuk keamanan dan keharmonian itu begitu tinggi sekali. Inilah yang mungkin dihajatkan kerajaan BN.

Tetapi siapa sebenarnya yang mencetuskan kegelisahan, kemarahan dan kebencian rakyat terhadap BN yang menjadi pemerintah selama ini?

Mahathir harus menjawab soalan ini.

Siapa yang bercakap di London sebelum pilihan raya umum lalu bahawa beliau tidak akan berundur sebagai Perdana Menteri melainkan jika ada pihak yang sanggup menembak di dahinya?

Orang itu tentu masih ingat akan ucapan provokasinya. Jadi orang yang sengaja "menjolok sarang tebuan" itu jangan terperanjat jika ada tebuan yang sesat dan gila mengamuk.

Sebenarnya secara jujur, Mahathir patut bertanggungjawab jika muncul gerakan ekstremis bersenjata, seperti kumpulan Al-Ma'unah yang mahu berjuang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya yang ada sekarang di luar garis perlembagaan.

Kita juga perlu mencari jawapan mengapa kumpulan Al-Ma'unah itu berani mengangkat senjata untuk membentuk satu negara Islam dan menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat dalam pilihan raya?

Kenapa mereka memilih jalan perjuangan bersenjata, kenapa tidak melalui proses perlembagaan melalui pilihan raya? Kenapa? Jawapannya mungkin ada.

Mungkin sesetengah pihak termasuk golongan ekstremis seperti Al-Ma'unah itu tidak lagi mempercayai sistem pilihan raya di Malaysia. Pada mereka, demokrasi berparlimen seperti dicorakkan oleh BN dan Mahathir tidak adil atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah. Media massa di negara ini dikongkong sepenuhnya oleh parti pemerintah.

Mereka mungkin melihat perjuangan secara pilihan raya atau agitasi politik di jalanraya, seperti golongan reformasi, hanya membuang masa.

Sebab kerajaan pimpinan Dr Mahathir tidak pernah peka dan ambil pusing akan tuntutan dan suara hati mereka. Lalu mereka hilang kepercayaan kepada perjuangan secara berperlembagaan dan memilih jalan yang tidak dihalalkan oleh perlembagaan - merampas senjata dan melancarkan perjuangan bersenjata.

Mahathir, malah kita semua yang mencintai keamanan dan keharmonian di Malaysia, boleh menuduh golongan seperti Al-Ma'unah itu sesat, penjenayah, zalim dan bodoh. Tetapi kerajaan BN yang memerintah perlu juga bertanya kenapa kumpulan yang ekstremis, sesat, penjenayah dan bodoh itu muncul?

Apakah kerana pengaruh parti-parti pembangkang yang bergerak secara perlembagaan? Mahathir cepat menuding jari kepada pembangkang - dituduhnya pembangkang menanam politik kebencian terhadap kerajaan.

Itu tuduhan yang tidak benar. Pembangkang memang melancarkan kempen. Tetapi kempen politik mereka untuk mendedahkan segala kelemahan, kesilapan, keborosan, rasuah dan sikap tidak bertanggungjawab BN.

Tuduhan parti-parti pembangkang itu benar. Bukan tohmahan. Kempen sedemikian itu satu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan. Ia bukan kempen membenci kerajaan atau membenci pemimpin kerajaan.

Yang berlawan dalam pilihan raya ialah parti politik Barisan Alternatif melawan Barisan Nasional, bukan melawan kerajaan. Sebaliknya, parti BA lawan parti BN. Dasar BA lawan dasar BN.

Yang dikritik dan ditentang ialah dasar BN dan rekod pemerintahan BN sebagai parti yang menjadi kerajaan. Tetapi Perdana Menteri cuba mengelirukan rakyat dalam hal ini dengan menuduh parti pembangkang melancarkan kempen membenci kerajaan.

Maka, tidaklah benar Mahathir cuba menyalahkan pembangkang sebagai punca tercetusnya peristiwa Gerik dan Sauk, Perak itu.

Mahathir, Umno dan BN sendiri perlu berani dan jujur mengukur dan mencermin diri sendiri.

Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab bahawa segala reaksi baik yang positif atau negatif rakyat ada sebabnya, antara lain, puncanya daripada corak pemerintahan kerajaan yang berkuasa sekarang. Parti yang telah berkuasa sejak negara merdeka ialah Umno dan BN.

Orang yang menjadi Perdana Menteri sejak hampir 20 tahun ini ialah Mahathir sendiri. Sebagai Perdana Menteri, beliau harus berani memikul tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam peristiwa rampasan senjata oleh kumpulan Al-Ma'unah.

Untuk bersikap adil, parti-parti Barisan Alternatif juga perlu membuat koreksi dan kritik diri masing-masing. Sama-sama kita menghadapi musibah baru ini secara bertanggungjawab dan mencari hikmah di sebaliknya.


HASSAN KARIM merupakan bekas aktivis pelajar 1970-an dan kini Naib Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM)

COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke