Muslim sedia gadai nyawa demi negara

Oleh Noor A. Rahman

MASYARAKAT Islam Singapura percaya dengan sebuah Singapura yang merdeka dan sedia bergadai nyawa demi mempertahankan negara ini sebagai tanah tumpah darah mereka.

Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, berkata demikian di Parlimen semalam ketika menyentuh isu Melayu dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menimbulkan tengkarah baru-baru ini, ekoran kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kanan, Encik Lee Kuan Yew.

Ucapan Encik Zainul itu dibuat semasa Parlimen membahaskan usul mengucapkan terima kasih kepada ucapan Presiden kerana membuka sesi parlimen kedua semalam.

Beliau telah menimbulkan keadaan serba salah yang dihadapi oleh masyarakat Islam Singapura yang secara serius dan ikhlas percaya diri mereka sebagai rakyat Singapura, tetapi pada masa yang sama mendapati diri mereka seolah-olah dilihat sebagai tidak setia kepada Singapura.

Encik Zainul juga menekankan bahawa bagi kebanyakan orang Islam, menjadi seorang Muslim yang warak juga bererti menjadi seorang yang bertanggungjawab, seorang manusia biasa dan juga rakyat yang baik.

"Adakah rakyat biasa Singapura, khususnya kaum Cina yang sekular, lebih sukakan masyarakat Melayu/Islam yang tidak warak?

"Adakah terdapat kebenaran dengan apa yang pernah dikatakan oleh seorang peserta Cina kepada saya dalam satu majlis forum: 'Masalah anda, orang Melayu, ialah anda seorang Islam. Jika anda hanya orang Melayu, anda tiada masalah'."

Beliau kemudian bertanya:

"Adakah ini satu masalah stereotaip? Adakah masyarakat Melayu/Islam di sini diacu dengan imej dan bayangan sesetengah kumpulan pelampau Islam di tempat lain?

"Masyarakat Melayu Singapura umumnya percaya dengan sikap sederhana dan masyarakat majmuk. Mereka sedar tentang konteks masyarakat berbilang bangsa di sini.

"Kebanyakan mereka, saya yakin, percaya dengan kemerdekaan Singapura dan sedia mati demi Singapura sebagai tanah tumpah darah mereka."

Kirim email ke