BERITA
MALAYSIA
November 01 , 1999 20:09PM
|
NGO ANTI KARPAL SINGH
DITUBUH |
KUALA LUMPUR, -- Pengerusi Badan Bertindak Rakyat
Anti-Karpal Singh (BERAKSI) Datuk Mohd Noor Dom meneliti memorandum
bantahan terhadap tingkahlaku tidak beretika peguam Karpal Singh
sebelum diserahkan kepada pengarah eksekutif Majlis Peguam Catherine
Eu (tengah) di sini hari ini. |
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) --
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah ditubuhkan untuk
bertindak terhadap peguam Karpal Singh yang didakwanya telah
melanggar etika guaman.
Pertubuhan itu yang
bergelar Badan Bertindak Rakyat Anti-Karpal Singh (Beraksi) hari ini
menyerahkan memorandum kepada Majlis Peguam menggesa siasatan segera
dijalankan ke atas Karpal Singh, peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim
dalam perbicaraan kes liwat sekarang.
Pengerusinya Datuk
Mohd Noor Dom bersama kira-kira 50 orang berarak dari bangunan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur ke pejabat Majlis Peguam di Jalan Tun Perak
di sini bagi menyerahkan memorandum itu.
Pengarah Eksekutif
Majlis Peguam, Catherine Eu menerima memorandum itu bagi pihak
Majlis Peguam."Memorandum ini ekoran pendapat umum mengenai dengan
kedudukan Karpal Singh yang dikatakan telah banyak kali melanggar
etika guaman dan menggunakan mahkamahsebagai gelanggang politik,"
katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.
Menurut memorandum itu, Karpal yang pernah memberi pandangan
serta nasihat guaman kepada saksi-saksi dalam kes berkenaan iaitu
Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda telah melanggar "kerahsiaan"
perhubungan antara peguam dan pelanggannya.
Dalam pertemuan
antara mereka dalam Ogos 1997, Karpal Singh telah menerima satu
salinan surat pengakuan bersumpah Azizan dan surat yang
ditandatangani oleh Ummi Hafilda yang dialamatkan kepada Perdana
Menteri dengan mendakwa Anwar telah melakukan liwat.
Menurut
Mohd Noor, dalam forum umum anjuran DAP di Federal Hotel di sini
tahun lepas, Karpal Singh secara terbuka mengutuk Anwar atas
perbuatan itu dan mencabar Kerajaan semasa di Parlimen supaya
mendakwa Anwar yang pada masa itu timbalan perdana menteri.
Mohd Noor yang juga Pengerusi Belia 4B Muar berkata Beraksi
yakin bahawa Karpal Singh telah melanggar Akta Profesion Guaman
(Praktik dan Etika) Peraturan 1978 yang antara lain memperuntukkan
tidak ada peguambela atau pendakwa yang boleh menerima kes yang dia
tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawaamalan
profesionalnya mungkin boleh dicabar.
Sebagai seorang
pegawai mahkamah, Karpal sepatutnya memaklumkan kepada mahkamah
dahulu segala kenyataan, kutukan dan pendirian umumnya terhadap
perilaku seks Anwar sebelum bertindak sebagai peguambela bekas
menteri kewangan itu, katanya.
Beliau berkata Beraksi kesal
kerana Karpal sanggup berbuat apa saja demi kepentingan sendiri
asalkan dibayar wang serta menggunakan mahkamah sebagai medan
politik yang sekaligus mencemar nama baik profesion guaman dan imej
perundangan negara. -- BERNAMA
| |
|
blue.gif
be0111_41.jpg