KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini
mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan naib presiden UMNO
pada pemilihan parti Mei ini tetapi membayangkan kemungkinan bertanding
untuk jawatan Ketua Pergerakan Wanita.
"Saya tidak
beria-ria untuk membuat sesuatu yang lebih...bertanding jawatan naib
presiden. Lupakan itu. Jika saya mahu bertanding jawatan naib presiden,
saya pasti telah melakukannya lama dulu."
"Biarlah lelaki sahaja
yang berlawan untuk naib presiden. Saya tidak perlu menyertainya," kata
beliau ketika diminta menyatakan pendiriannya mengenai permintaan agar
beliau bertanding jawatan itu.
Rafidah, yang memimpin Pergerakan
Wanita selama 12 tahun sebelum tewas kepada Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman
pada 1996, berkata, beliau akan melihat maklum balas ahli-ahli dan
"kemungkinan membuat keputusan akhirnya jawatan mana yang hendak
ditandinginya".
Rafidah berkata demikian kepada pemberita selepas
menemui delegasi daripada Dewan Perniagaan dan Industri Jepun, Bangkok di
sini.
Menurut beliau, kebanyakan anggota Wanita yang ditemuinya
turut melahirkan perasaan yang sama agar beliau tidak bertanding jawatan
naib presiden.
Ditanya mengenai cadangan agar beliau bertanding
jawatan naib presiden dan bukannya Ketua Pergerakan Wanita, Rafidah
berkata beliau percaya orang yang sama tidak mahu beliau bertanding
jawatan Wanita itu bagi "melindungi kedudukan mereka."
"Mungkin
sesetengah orang tidak mahu saya bertanding Ketua Pergerakan Wanita bagi
menyelamatkan kedudukan mereka sendiri...saya tidak tahulah," katanya.
Anggota Exco Wanita, Datuk Maznah Abdul Hamid baru-baru ini
menyeru Rafidah tidak bertanding bagi kepimpinan pergerakan itu dan
sebaliknya perlu bersaing bagi jawatan naib presiden.
Maznah
dilaporkan sebagai berkata bahawa Rafidah "terlebih layak" bagi jawan
Ketua Pergerakan Wanita.
Menjawab satu soalan, Rafidah menyelar
sesetengah pihak yang menyatakan perlunya menjaga perpaduan dalam Wanita
UMNO terutamanya menjelang pemilihan UMNO ini.
"Apabila ada orang
mahu melawan saya dulu, tidak ada orang bercakap tentang perpaduan,
apabila ada yang membuat keputusan melawan saya, mereka berhenti bercakap
tentang perpaduan, mereka kata ini demokratik.
"Orang mempunyai
alasan mereka sendiri untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan pemikiran
mereka ketika itu. Kenapa mereka tidak memikirkan tentang ini apabila
mereka membuat keputusan bertanding jawatan Wanita tiga tahun lepas,"
katanya.
"Perpaduan perlu dikekalkan setiap masa tetapi mereka
mempunyai anggapan berbeza dulu, untuk menyesuaikan dengan kepentingan
sendiri, matlamat sendiri. Itulah yang saya dapat lihat," katanya.
Pada masa yang sama, Rafidah mengucapkan penghargaan kepada semua
pihak yang memuji beliau dan mencadangkan agar beliau bertanding jawatan
lebih tinggi dalam parti.
Beliau juga mengingatkan pemimpin parti
agar tidak melebihi batas dalam kempen mereka atau mengubah pemilihan
parti menjadi medan perang yang mungkin memecahkan parti itu.
"Apa
gunanya menjadi pemimpin jika parti itu tinggal untuk menjadi lemah. Apa
gunanya menjadi pemimpin jika parti kita kalah dalam pilihanraya di tempat
yang tidak sepatutnya kita kalah? Tidak ada gunanya menjadi pemimpin pada
nama sahaja.
"Kita hanya gembira jika kita menjadi pemimpin sebuah
parti yang kuat yang mendapat keyakinan semua pihak. Jika kita berlawan
sesama sendiri, pemimpin hanya ada untuk memegang jawatan," katanya. --
BERNAMA |