*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KUALA KANGSAR, 6 Julai (Bernama) -- Kesemua 27 anggota kumpulan
yang merompak senjata api dari dua kem tentera di Gerik pada Ahad lepas
menyerah diri petang ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan hari ini.


Katanya, 22 daripada mereka telah ditahan dan lima lagi yang cedera,
termasuk dua yang parah, dimasukkan ke hospital.

Ketika bercakap pada sidang media di Balai Polis Kati dekat sini, Najib
berkata pasukan keselamatan telah mengambil beberapa strategi yang
membawa kepada penyerahan diri kumpulan penjenayah itu.

Ini termasuk mengadakan kepungan yang ketat sehingga sukar bagi anggota
kumpulan itu keluar-masuk, katanya. Katanya selain itu anggota keluarga --
isteri dan anak -- telah digunakan untuk membuat rayuan di samping rayuan
oleh pihak polis dan tentera.

"Akhirnya apabila segala rayuan tidak diendahkan, kerajaan mengeluarkan
kata dua untuk mengambil tindakan jika tidak menyerah diri," katanya. Najib
berkata selain itu Panglima Medan Lt Jen Datuk Zaini Mohamed Said telah
bersemuka dengan ketua kumpulan itu, yang dikenali sebagai Prebet Amin,
bekas anggota cawangan khas perisikan tentera, di tempat persembunyian
mereka di Bukit Jenalek dalam usaha memujuknya menyerah diri.

Dalam kejadian itu, katanya, Amin telah mengacu raifel automatik M203 ke
muka Zaini tetapi telah ditepis Zaini, lalu tembakan itu terkena kepada
seorang anggota kumpulan itu.

Tindakan Zaini yang berani berdepan dengan penjenayah itu amat dipuji,
katanya.

Najib berkata senjata api dan peralatan senjata yang dicuri telah dijumpai
semula. Bagaimanapun jumlahnya masih belum diketahui kerana usaha
sedang diambil untuk mengenal pasti senjata-senjata itu.

Beliau juga berkata dua tebusan, seorang anggota polis dan seorang renjer
tentera, telah dibunuh dengan kejam oleh kumpulan penjenayah itu.
"Anggota polis itu telah ditembak dengan kejam manakala anggota tentera
itu juga telah dibunuh dengan kejam, diseksa dengan kedua-dua belah
kakinya ditembak hingga hancur.

"Kerajaan mengucapkan takziah (kepada keluarga anggota keselamatan
yang terbunuh) dan merasa sedih atas kehilangan kedua-dua anggota ini,"
katanya. Najib berkata kesemua anggota kumpulan itu keluar menyerah diri
secara berperingat-peringkat mulai pagi tadi apabila dua daripada mereka
menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada pukul 5.30 pagi, diikuti
dua lagi pada tengah hari ini.

Selebihnya menyerah diri pada petang ini juga secara
berperingkat-peringkat, katanya.

Beliau berkata langkah mereka menyerah diri adalah berikutan tindakan
kerajaan mengeluarkan kata-dua kepada mereka yang kerajaan akan
bertindak tegas terhadap mereka.

Lima anggota kumpulan itu yang cedera merupakan antara kumpulan yang
terakhir menyerah diri.

Najib berkata daripada 27 anggota kumpulan itu, kerajaan setakat ini
mengenal pasti tiga daripadanya anggota tentera atau bekas anggotanya
termasuk ketuanya Prebet Amin.

"Dua lagi ialah bekas pegawai waran Ibrahim daripada pasukan renjer dan
seorang lagi Kapt Jamaluddin Darus yang masih dalam perkhidmatan di unit
penyenggaraan kawasan angkatan tentera di Kem TUDM, Butterworth,"
katanya.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai ketiga-tiga
mereka.

Najib berkata ramai daripada anggota kumpulan itu bukan terdiri daripada
golongan tegar tetapi telah menyertai kumpulan itu kerana ajaran kerohanian
dan kebatinannya.

"Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai motif, dan tidak pernah
menggunakan senjata tetapi tertarik kepada ajaran kerohanian dan kebatinan
(kumpulan itu)... mereka ini jelas disesatkan," katanya.

"Kebanyakan anggota kumpulan itu tidak mempunyai sebarang latihan
formal mengendalikan senjata," katanya.

Beliau berkata golongan yang bukan tegar itu yang telah sedar, dan
merupakan kumpulan pertama menyerah diri.

Katanya, walaupun ketua mereka hanya seorang prebet tentera, mereka
telah menganggapnya sebagai mahaguru dan memandang tinggi
terhadapnya. Sebelum tindakan akhir diambil oleh pihak berkuasa, ketua
kumpulan itu menuntut supaya Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri
Mohd Zahidi Zainuddin bersemuka dengannya.

"Dia dalam keadaan pemikiran yang silap...," katanya. Bagaimanapun pihak
keselamatan memutuskan supaya Lt-Jen Zaini mendaki bukit itu bagi
bersemuka dengan Amin.

"Bagi saya yang pastinya tindakan mereka bercorak jenayah,"
katanya.Katanya, kumpulan itu juga menonjolkan banyak slogan, mahu
melakukan kekerasan dan menimbulkan huru-hara. Najib berkata bagi
pasukan keselamatan operasi masih belum tamat kerana usaha
"pembersihan yang perlu dilakukan." Sementara itu Ketua Polis Negara Tan
Sri Norian Mai pada majlis yang sama berkata kesemua penjenayah itu
"akan dibawa ke mahkamah secepatmungkin dan akan menghadapi proses
undang-undang yang biasa.

"... setakat ini mereka dianggap penjenayah dan tidak ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Penangkapan mereka adalah di bawah undang-undang biasa dan
pertuduhan terhadap mereka akan bergantung kepada keterangan yang
dikumpul... mereka telah melakukan banyak kesalahan mengikut Kanun
Keseksaan," katanya.

Mengenai kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Al-Ma'unah, beliau
berkata daripada segi pengajaran ia adalah mengenai seni silat dan telah
dijalankan sejak setahun lebih.

Polis telah mengenal pasti "beberapa ratus" anggotanya di seluruh negara,
katanya. Beliau berkata selain daripada 15 yang ditangkap di Selangor,
Perak, Terengganu dan Kelantan, lebih banyak lagi anggota kumpulan itu
akan ditangkap.

Kepada soalan pemberita mengenai pembunuhan dua anggota keselamatan
yang ditahan sebagai tebusan itu, Norian berkata belum dapat dipastikan
sama ada ia dilakukan oleh ketua kumpulan itu. -- BERNAMA


______________________________________________
FREE Personalized Email at Mail.com
Sign up at http://www.mail.com/?sr=signup


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Ibrahim Yaakob <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke