Oleh :
DINSMAN
Ketika
melihat semula gambar-gambar
video yang diambil sepanjang mengikuti pergerakan harian Tok Guru Nik Aziz
Oktober lalu, satu imej yang paling ketara dan menonjol mengenai Menteri
Besar Kelantan ini ialah solat. Paling banyak
gambar
beliau solat dirakamkan sepanjang kami mengikuti beliau selama dua minggu
itu.
Kami
cuba
merakamkan pergerakan Tok Guru Nik Aziz yang menjadi rutin kehidupan
hariannya dalam seminggu, bermula daripada dia keluar rumah di waktu pagi
hinggalah dia pulang ke rumah di waktu malam, iaitu pergerakan yang boleh
menjadi perhatian umum - tidak yang bersifat peribadi
dan rahsia.
Pergerakan
umum Nik Aziz pada setiap hari bermula dengan perjalananya ke masjid untuk
solat subuh. Jarak rumahnya dengan masjid sangat dekat. Bumbung masjid dengan
bumbung rumahnya hampir bertemu. Daripada tangga pintu depan rumahnya ke
tangga pintu khas masjid, seperti yang saya hitung langkahnya berdasarkan gambar
video yang dirakamkan pada suatu subuh di bulan Oktober lalu, ialah 19
langkah.
Sekiranya
dia berada di rumah, dan dia tidak sakit, pintu depan rumahnya pasti terbuka
tidak lama selepas berakhirnya laungan azan subuh, iaitu sebelum pukul 6.00
pagi. Nik Aziz akan melangkah turun dari rumahnya, masuk masjid, dan
mengimami jemaah solat subuh.
Selepas
solat dia membaca
wirid atau bacaan
selepas solat, yang apabila sampai kepada bacaan
ayat Kursi, para jemaah yang di bahagian
depan akan bangun
untuk berubah
tempat, duduk semula mengelilinginya dalam jarak yang sangat dekat.
Pergerakan ini berlaku seperti secara otomatis dan cepat. Mereka yang biasa
berjemaah di situ terus melakukannya seperti spontan, sama ada pelajar
mahupun orang dewasa. Sudah terbiasa begitu.
Selesai
ayat Kursi, Nik Aziz pun membuka kitab yang sudah diletakkan di atas rehal di
sebelah kanan tempat duduk sembahyangnya.
Dia pun memulakan kuliah subuh, yang merupakan kuliah atau ceramahnya yang
pertama untuk hari itu.
Ini
berlaku pada setiap hari. Seawal itu, Nik Aziz yang kini sudah 11 tahun
menjadi Menteri Besar negeri Kelantan, memulakan tugasnya kepada rakyat -
mengajar ilmu agama. Seawal jam 6.15 pagi. Begitu dia melakukannya
bertahun-tahun sejak belum menjadi menteri besar pada tahun 1990, dan
begitulah juga dia melakukannya setelah menjadi menteri besar, sampailah
sekarang.
Dia
terus mengajar begitulah. Setiap hari, selepas solat subuh. Dan kuliahnya itu
adalah sebahagian
daripada wirid solatnya, kerana dia memulakan kuliah selepas membaca
ayat Kursi, dan sebaik
saja selesai kuliah dia pun menyambung semula wiridnya, dengan zikir
subhanallah … dan seterusnya hingga selesai do'a.
Sebaik
saja selesai do'a, para jemaah di sekelilingnya - pelajar mahupun orang
dewasa - terus bersalam dan mencium tangannya, seorang demi seorang.
Ketika
mula-mula menyaksikan adegan ini dulu, saya agak terharu. Kebetulan waktu itu
yang ramai mengelilinginya ialah para pelajar SM Darul Anuar - sekolah yang
berada hampir dengan rumah Nik Aziz, dan menjadi sebahagian
daripada persekitaran rumahnya sejak bertahun-tahun.
Saya
membayangkan
adegan seperti itu berlaku pada setiap pagi. Saya melihatnya dari segi
hubungan intim Tok Guru dengan anak-anak muridnya. Begitu intim sekali.
Tiap-tiap subuh, menjadi sebahagian
daripada kegiatan solat, mereka duduk rapat mengelilingi Tok Guru, mendengar
dia mengajar (walaupun ada yang mengantuk).
Saya
tertarik memikirkan mereka itu bangun
untuk duduk semula rapat dengan Tok Guru, sedangkan mereka boleh saja menadah
telinga mendengar Tok Guru mengajar dari tempat duduk mereka yang asal, tak
perlu bangun
berubah
tempat.
Tetapi
mereka bangun
mengubah
tempat untuk duduk rapat dengan Tok Guru. Dan Tok Guru itu (sejak 11 tahun
yang lalu) adalah orang yang sama yang menjadi Menteri Besar negeri itu.
Jadi, setiap pagi, mereka berkesempatan duduk dalam suasana yang begitu intim
dengan seorang Tok Guru yang juga Menteri Besar.
Tak
tahulah bagaimana
dan bila mula terjadinya keadaan duduk yang seperti itu. Nik Aziz sendirikah
yang mengaturnya demikian, atau bagaimana
- itu semua tidak mustahak. Yang mustahaknya, saya melihat keadaan itu agak
mempesona. Saya melihat jalinan hubungan yang intim itu terjadi pada setiap
pagi. Saya melihat seorang Menteri Besar memulakan harinya dengan mengajar
agama, dalam suasana hubungan guru-murid yang begitu intim, selepas mengimami
solat subuh.
Dari
kacamata filem, adegan ini memang cantik, mempesona, terutama apabila dilihat
dari sudut atas (high angle). Dan apabila anak-anak muda itu seorang demi
seorang mencium tangan Tok Guru, kita terasa akan kemesraan hubungan
guru-murid itu.
Dan
saya terfikir - siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara,
yang memulakan harinya seperti itu - seperti Tok Guru Nik Aziz itu?
(Seorang
kawan saya di Kota Bharu, Zainuddin, bertanya saya apakah saya mengikuti
kehidupan Imam Khomeini? Jawab saya: Tidak, saya tidak mengikuti. Jadi saya
tak dapat membuat bandingan.)
Setelah
itu, Nik Aziz akan berjalan keluar masjid menuju ke rumahnya. Perjalanan yang
kurang daripada 20 langkah itu kadang-kadang terganggu atau dihalang pula
oleh kehadiran orang yang hendak bertemu dengannya, sama ada sebagai
menteri besar ataupun sebagai
Tok Guru.
Tidak
ada orang yang akan menghalang sesiapa pun yang hendak bertemu dengannya.
Semua orang boleh bertemu. Terus saja halang perjalanan dia di situ, dan
cakaplah apa-apa pun. Dia sentiasa bersedia mendengar, dan membantu.
Itu
pada hari-hari biasa, bukan hari Jumaat. Pada hari Jumaat lain pula
keadaannya. Jalan ceritanya belum habis sampai setakat pelajar-pelajar atau
makmum mencium tangannya. Ia ada sambungannya lagi.
Jemaah
pada subuh Jumaat biasanya lebih ramai daripada hari-hari lain. Bukan sahaja
kerana hari Jumaat itu hari cuti di Kelantan, tetapi adalah kerana satu upacara
khas yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz pada setiap pagi Jumaat, selepas
selesai solat subuh.
Selepas
para jemaah mencium tangan Tok Guru, mereka pun akan beredar. Pada waktu
itulah akan tampil pula orang-orang yang mendukung anak kecil (bayi),
untuk menghulurkan anak mereka ke pangkuan Nik Aziz.
Nik
Aziz yang masih di tempat duduknya seperti ketika menyampaikan kuliah tadi,
akan menyambut bayi
yang dihulurkan kepadanya, meletakkannya di atas ribanya,
dan memulakan upacara 'membelah mulut' dan memotong rambut bayi
tersebut.
Upacara
ini mengambil masa kira-kira lima minit untuk seorang bayi.
Setiap bayi
disuap dengan sedikit makanan manis, seperti buah korma, kemudian digunting
sedikit rambutnya, dan kemudian dibaca
do'a. Semuanya dilakukan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz.
Sepanjang
yang saya saksikan, beberapa kali, tidak pernah saya melihat ada anak yang
menangis ketika Nik Aziz melakukan upacara ini.
Bukan
seorang dua bayi
yang dihulurkan kepadanya pada setiap Jumaat. Beberapa kali yang saya hadir
saya perhatikan tidak kurang daripada 10 orang. Dan pernah sekali itu begitu
ramai, mungkin hingga 20 orang. Nik Aziz pun terpaksa berehat sebentar, dan
ada orang pula mengurut badannya
bagi
mengembalikan
tenaganya.
Pernah
juga saya melihat dia berhenti untuk sembahyang
sunat dhuha, dan kemudian sambung semula upacara tersebut.
Sekali
lagi, saya memikirkan bahawa
yang sedang melakukan upacara ke atas anak-anak kecil itu, di subuh-subuh
hari, adalah seorang menteri besar. Orang-orang yang membawa
anak-anak kecil itu datangnya dari mana-mana saja, ada yang dari jauh, dan
hampir semuanya tidak dikenali oleh Nik Aziz. Mereka datang mengharapkan
keberkatan.
Mereka
datang, dan selepas mendapat layanan Tok Guru ke atas bayi
mereka, mereka pun balik.
Tinggallah Tok Guru masih meneruskan khidmatnya kepada mereka yang terus
menghulurkan bayi
ke pangkuannya. Daripada suasana subuh yang suram, hingga cahaya pagi sudah
cerah dan matahari mulai melepaskan panasnya.
Orang
ramai sudah pulang, tetapi Nik Aziz masih lagi melayani orang yang
menghulurkan bayi
kepadanya. Kata mereka, biar berapa ramai pun orang yang menghulurkan bayi
kepadanya, Nik Aziz tidak akan menolak, kerana dia tak mahu menghampakan
harapan orang yang telah bersusah payah dating dari jauh.
Pernah
sekali itu dia sudahpun bangun
dan melangkah hendak meninggalkan masjid, tetapi tiba-tiba
ada lagi orang yang baru
tiba
dan membawa
bayi
kepadanya. Dia pun melayani juga.
Dan
saya pun terfikir: siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin
negara, yang sanggup melayani rakyat seperti ini - seperti Tok Guru Nik Aziz
ini?
Barangkali
ada orang akan membuat tohmah: Nik
Aziz
sanggup melayani rakyat seperti itu, hingga akibatnya
dia gagal menjalankan tugas membangun
ekonomi negerinya. Insya-Allah saya akan menjawab tohmahan itu dalam
kesempatan yang lain.
NOTA: Kami akan menerbitkan VCD "Seminggu Dalam
Kehidupan Tok Guru Nik Aziz", sepanjang 60 minit, dan akan
mengedarkannya di pasaran selepas Hari Raya Idul-fitr. Sesiapa yang berminat
membeli atau menjadi pengedar, sila hubungi Penerbitan Pemuda melalui surat
atau telefon/fax 03-40243531, atau 019-3432056 (Zabidi) atau e-mail
[EMAIL PROTECTED] "
|