*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu'alaikum,

Ulasan oleh Shahrir Samad mengenai Cadangan penjualan saham MAS:
................................................................

MELAHIRKAN HARTAWAN MELALUI BERHUTANG.
http://www.shahrir-umno.com/Source/article.asp?Article=MAS

Setiap kali saya membaca mengenai syarikat penerbangan MAS dan masaalah yang 
sedang menimpa pemiliknya, Tan Sri Tajuddin Ramli, saya sentiasa teringat 
kepada wawancara saya dengan akhbar Wall Street Journal pada bulan April, 
1998. Didalam wawancara itu, saya telah menyatakan bahawa adalah tidak 
munasabah untuk mengujudkan beberapa orang ‘billionaire’ Melayu sebagai asas 
kearah melahirkan golongan kaya Melayu pula, kononnya melalui proses 
limpahan kekayaan dari atas ke bawah. Pada pendapat saya, proses ini tidak 
akan berjaya oleh kerana ‘billionaire’ atau hartawan yang diwujudkan itu 
akan bersikap tamak dan, oleh kerana itu, kekayaan tidak akan melimpah ke 
peringkat bawah.

Apatah lagi apabila seseorang hartawan itu dilahirkan melalui wang pinjaman 
secara berhutang kepada bank-bank. Kepada saya, adalah lagi tidak munasabah 
seseorang yang diberikan pinjaman sebanyak satu billion ringgit itu sudah 
boleh dianggap sebagai seorang ‘billionaire’. Pinjaman dan hutang perlu 
dibayar balik. Selagi ianya masih belum dilupuskan, aset atau harta yang 
bernilai sebillion ringgit itu yang dibeli secara berhutang itu tetap bukan 
milik peminjam. Kalaulah si peminjam agak begitu sibuk berusaha untuk 
membayar balik hutangnya itu, bilakah masanya untuk berusaha pula bagi 
melimpahkan kekayaan ke peringkat bawah.

Katakanlah, saya dipilih untuk meminjam sebillion ringgit bagi tujuan 
membeli sebuah syarikat AAA Bhd. Sudah dibeli syarikat itu, saya menjadi 
Pengerusi Eksekutifnya untuk memimpin syarikat itu sebagai syarikat sendiri. 
Untuk membayar balik pinjaman saya, saya akan bergantung kepada pembayaran 
dividen dari syarikat AAA Bhd. Malangnya, dividen yang saya terima tidak 
cukup pun untuk membayar faedah keatas pinjaman yang telah saya ambil itu. 
Apakah yang patut saya lakukan ?

Sudah tentunya fokus saya adalah untuk membayar balik pinjaman saya sebanyak 
sebillion ringgit itu. Saya akan mulalah mencari peluang perniagaan dengan 
syarikat saya sendiri, tetapi melalui kawan-kawan dan saudara-mara yang 
menjadi proksi kepada saya. Kalau syarikat saya hendak membeli alat-alatan 
yang bernilai tinggi, saya akan menggunakan proksi-proksi saya itu untuk 
menjualkannya kepada syarikat AAA Bhd. supaya saya boleh mendapatkan 
keuntungan. Mungkin ini tidak patut berlaku, tetapi apa yang hendak dibuat, 
saya perlu membayar balik hutang. Dan perkara ini akan dilakukan beberapa 
kali lagi untuk cuba menampung hutang saya. Akhirnya, syarikat AAA Bhd. 
sendiri mengalami tekanan kos dan berkurangan keuntungannya.

Kemungkinan saya akhirnya menjadi hartawan ‘billionaire’ kerana saya 
membayar balik hutang, tetapi di dalam proses untuk mewujudkan seorang 
‘billionaire’ Melayu, saya perlu mendapat lebih banyak lagi peluang 
perniagaan. Secara kasar, saya perlu memperolehi keuntungan bersih sebanyak 
satu billion ringgit juga untuk membayar balik pinjaman saya sebanyak 
sebillion itu. Kalau kadar keuntungan bersih kepada saya ialah katakan 10%, 
ini bermakna saya perlukan peluang perniagaan sebanyak sepuluh billion 
ringgit untuk saya cukup membayar balik pinjaman saya dan muncul sebagai 
seorang billionaire sebenarnya. Jadi, mana ada limpahan kemewahan ke bawah? 
Macam mana ini mungkin berlaku didalam keadaan saya belum cukup makan selagi 
tidak mendapat perniagaan berjumlah sepuluh billion ringgit. Pendek kata, 
kalau hendak menjadi billionaire saya ‘terpaksa’ tamak. Ini mungkin memenuhi 
hasrat pemimpin, tetapi adakah ia menepati kehendak sebenar Dasar Ekonomi 
Baru ?

Pendapat bahawa kehadiran beberapa orang ‘billionaire’ Melayu adalah perlu 
untuk menjadi penggerak dan pemangkin kepada sebuah masyarakat perdagangan 
dan perindusterian Melayu, kepada saya, hanyalah helah untuk mengagihkan 
kekayaan negara di kalangan suatu kumpulan tertentu. Oleh itu, wawancara 
saya, di dalam akhbar Wall Street Journal pada April 1998, yang menegur 
pendekatan itu telah mendapat reaksi yang begitu pantas dan keras daripada 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir, yang sebenarnya tokoh yang ingin 
sangat mewujudkan sekumpulan ‘billionaire’ Melayu

Pada akhir bulan yang sama, Datuk Seri Dr. Mahathir telah mengadakan suatu 
majlis pertemuan dengan pegawai-pegawai UMNO diperingkat bahagian-bahagian. 
Sebagai seorang ketua bahagian, saya telah turut hadir di majlis itu, yang 
diadakan di PWTC. Saya agak terperanjat apabila sepanjang ucapannya di 
majlis itu, Dr. Mahathir telah merujuk kepada wawancara saya itu dan 
mengkritik serta menyindir segala pendapat saya. Beliau menyifatkan saya 
sebagai Mr. S sepanjang ucapannya walaupun nama saya jelas sebagai pihak 
yang memberikan wawancara itu. Saya rasa semua yang hadir tahu siapa 
sebenarnya Mr. S itu.

Saya agak terperanjat dengan reaksi yang begitu emosi dari Dr. Mahathir 
kerana akhbar itu tidaklah begitu meluas pembacaannya di Malaysia. Apabila 
Datuk Seri Dr. Mahathir merujuk kepada wawancara saya, ini akan hanya 
mempopularkan pendapat saya di kalangan mereka yang hadir. Saya juga pasti 
bahawa tidak semua yang hadir terpengaruh sangat dengan kritikan beliau 
terhadap saya itu, walaupun beliau Presiden UMNO dan Perdana Menteri. 
Sungguhpun mereka mendiamkan diri,tidak semua pemimpin UMNO bawahan 
bersetuju dengan strategi ekonominya untuk mewujudkan sekumpulan 
‘billionaire’ Melayu secara terpilih, dilonggokan berbagai peluang kepada 
mereka, termasuklah membeli dan mengambilaleh aset-aset kerajaan, serta 
dimudahkan pula mereka berhutang dengan bank-bank tempatan atau asing.

Tan Sri Tajudin Ramli adalah seorang peniaga Melayu yang terpilih itu. 
Beliau dipilih untuk mengambil-alih syarikat penerbangan negara MAS dan 
untuk tujuan itu, beliau meminjam wang daripada bank-bank. Harga 
pembeliannya pada tahun 1994 ialah 1.8 billion ringgit ataupun pada kadar RM 
8.00 bagi setiap satu saham. Sekarang MAS mengalami kerugian dan Tan Sri 
Tajudin sedang berhadapan dengan masaalah membayar balik hutangnya itu. 
Sepertimana yang saya bayangkan pada April 1998 (dan menerima padahnya 
secara terus dari Datuk Seri Dr. Mahathir di sebuah majlis UMNO), pendekatan 
untuk melahirkan billionaire Melayu, melalui hutang serta mengharapkan pula 
limpahan kekayaan dari golongan hartawan ini ke peringkat bawah, hari ini 
sudah jelas tidak berjaya.

Golongan peniaga Melayu yang terpilih ini perlu mendapat subsidi demi 
subsidi untuk setakat mereka membayar hutang mereka sahaja. Bagaimana 
bersemangat kita sekalipun untuk mempercepatkan proses melahirkan sebuah 
masyarakat perdagangan dan perindusterian Melayu, yang pastinya perlu kepada 
kehadiran beberapa jutawan dan hartawan, kita tidak boleh mengenepikan 
hakikat ekonomi dalam sebarang perancangan kita. Satu hakikat perniagaan 
ialah modal pelaburan itu sebahagian besarnya mestilah datangnya dari punca 
simpanan kita sendiri. Tidak ada jalan pintas untuk melahirkan hartawan, 
kecualilah dengan cara yang tidak beretika dan, mungkin juga, salah.

Sebenarnya Tan Sri Tajudin Ramli pada tahun 1994 adalah seorang ahli 
perniagaan yang berjaya dan mungkinpun sudah termasuk didalam golongan 
jutawan negara. Syarikat MAS pula, ketika itu, juga sebuah syarikat 
penerbangan negara yang agak terkemuka dan terpopular di rantau Asia dan 
juga bertaraf dunia. Pendekata, sebelum Tan Sri Tajudin mengambil-alih MAS, 
kedua-dua pihak berada didalam keadaan yang sihat dan teguh didalam bidang 
masing-masing. MAS tidak menghidapi sebarang penyakit dan begitu juga Tan 
Sri Tajudin. Hari ini, selepas enam tahun, kedua-dua pihak berhadapan dengan 
masaalah masing-masing.

Umpamanya, kedengaran desas-desus bahawa Kerajaan akan mengatur pembelian 
balik saham milik Tan Sri Tajudin pada harga yang dibelinya, iaitu pada 
harga RM 8.00 suatu saham walaupun harga pasaran MAS pada hari ini berada 
dibawah RM 4.00 sesaham. Kalau benar, ini adalah suatu yang tidak adil 
kerana Tan Sri Tajudin mengambil-alih MAS bukanlah dengan tujuan 
menyelamatkannya, kerana MAS tidak menghadapi apa-apa masaalah pun ketika 
itu. Yang mendorong beliau ketika itu ialah suatu fahaman bahawa perlunya 
dilahirkan seorang hartawan-billionaire Melayu dengan menggunakan aset 
kerajaan dan hutang bank. Fahaman ini, walaupun tidak realistik, telah 
disambut oleh kerana adanya perasaan tamak manusia. Akhirnya, berapa banyak 
lagi jumlah wang yang perlu digunakan untuk menyelamat MAS dan juga Tan Sri 
Tajudin Ramli, suatu pasangan yang malang bagi kedua-dua mereka, dan negara 
juga.

.....................

BA tak perlu risau. Orang berani bersuara macam Shahrir tak ramai dalam 
UMNO. Kalau adapun, susah nak bersuara takut kena ngap.

Wassalam.




_____________________________________________________________________________________
Get more from the Web.  FREE MSN Explorer download : http://explorer.msn.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke