*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu'alaikum,

Dari malaysiakini.com.my:

.....................
Cerita hantu cuba mengundi
http://www.malaysiakini.com.my/archives_news/2000/dec/dec8/news5.htm
Ng Boon Hooi

Pada 4.30 pagi 29 November lalu, hari pengundian bagi pilihan raya kecil 
Lunas, ketua bahagian keselamatan Barisan Alternatif, Abdul Razak Halidi 
tanpa menduga menerima satu panggilan telefon.

Pemanggil memberitahu beliau bahawa lima buah bas yang mengangkut sekumpulan 
"pengundi hantu" akan tiba di Lunas pada awal pagi itu.

"Mula-mula dapat panggilan, saya tak percaya," cerita Razak, tetapi beliau 
masih mencatat nombor pendaftaran kelima-lima bas itu yang diberikan oleh 
pemanggil misteri itu.

"Mereka tidak mahu memperkenalkan diri, hanya bagi maklumat sahaja," kata 
Razak yang ragu-ragu tentang maklumat yang diterima.

Bagaimanapun, pada 5.40 pagi, sewaktu Abdul Razak melalui pusat gerakan 
Barisan Nasional di Taman Seladang, beliau ternampak sebuah bas yang baru 
masuk dari arah Lebuhraya Butterworth-Kulim, termasuk dalam senarai nombor 
pendaftaran yang diterima sejam sebelum itu.

Beliau cepat-cepat menanggalkan semua simbol BA yang dipakainya, dan 
menyamar sebagai pemuda BN sambil melambai tangan ke arah bas tersebut.

"Datang dari mana?" soal Razak.
"Dari Selangor. Kawalan semua cantik, selamat sampai," jelas pemandu bas 
itu.
"Mana lagi bas-bas yang belum sampai?" tanya Razak lagi.
"Belum sampai, mereka akan tiba," jawab pemandu itu.

Dengan tidak lengah-lengah lagi, Razak mengesyaki bahawa itulah bas yang 
membawa "pengundi hantu," beliau terus keluar dari tempat itu dan menyuruh 
pasukannya memantau bas-bas yang akan datang.

"Kami membuat sekatan di depan markas (bilik gerakan) BA," kata Razak. 
Kebetulan pusat itu berada di salah satu jalan masuk ke pekan Lunas dari 
lebuhraya berkenaan.

"Mereka nampaknya takut," kata Razak.

Pasukan khas Pemuda BA dan juga penyokong pembangkang menahan bas-bas itu 
dengan tangan.

"Kami melambai-lambai tangan dan minta bas-bas itu berhenti," kata Ketua 
Pemuda Keadilan Kedah, Mokhtar Mansor. Bas-bas itu diminta berhenti di tepi 
jalan.

Sebuah demi sebuah

Apabila berhenti, bas itu cepat-cepat dihalang dengan motosikal dan kereta 
supaya ia tidak dapat bergerak ke mana-mana lagi.

"Kami minta mereka menunjukkan permit JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) 
mereka," kata Razak, sambil menambah permit itu diperlukan oleh bas-bas yang 
mengangkut penumpang keluar dari negeri asal pendaftarannya.

"Pemandu tidak mahu beri permit. (Dia) kata tidak ada permit dan (dia) tidak 
mahu buka pintu," ceritanya lagi. "Penyokong (BA) pun jadi agak kasar kerana 
mereka tidak memberikan kerjasama."

Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan kerjasama pemandu.

Menurut Naib Ketua Pemuda Keadilan Low Chee Chong, beberapa wakil pasukan 
khas BA menyiasat setiap bas itu selama 30 minit. Wakil itu bertanya tujuan 
sebenar mereka datang ke Lunas.

"Sebahagian besar penumpang itu tidak dapat menunjukkan Borang E mereka," 
kata Low. Borang rasmi ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya 
(SPR) diperlukan untuk membolehkan seseorang bertugas sebagai perayu undi 
bagi parti masing-masing.

"Walau ada (penumpang) yang mempunyai Borang E, tetapi nama mereka tidak 
menepati apa yang terkandung dalam Borang E," kata Low.

Tambahnya, pakatan pembangkang kali ini cukup bersiap sedia kerana setiap 
pilihanraya, bas-bas yang mengangkut ramai penumpang seumpama itu berada di 
kawasan pilihan raya.

Menurut Pengarah Pilihanraya Keadilan Mohd Azmin Ali pula (foto, kiri) yang 
juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelang, pada 12 tengah malam 28 November 
mereka telah dimaklumkan bahawa beberapa bas akan mengangkut pengundi hantu 
ke Lunas.

Lantaran itu, pasukan khas BA yang terdiri daripada 50 orang bersiap sedia 
memantau kemasukan bas melalui semua jalan ke Lunas sejak tengah malam.

Menurut Razak lagi, lebih kurang setiap 10 minit, sebuah demi sebuah bas 
masuk ke Lunas. Sehingga pukul 7.30 pagi, lima buah bas - memakai nombor 
pendaftaran seperti dimaklumkan tiga jam sebelum itu - telah tiba. Bas-bas 
itu dipenuhi penumpang berbangsa India dan Melayu, tua dan muda.

Mokhtar, yang pernah naik memeriksa satu daripada bas tersebut berkata, 
apabila beliau meminta mereka menunjukkan kad pengenalan secara rawak, 
penumpang-penumpang bas itu tidak membantah.

Senarai nama tidak tepat

"Kad pengenalan itu menunjukkan mereka datang dari kampung yang sama - 
Kampung Rusa, Selangor," kata aktivis Pemuda Keadilan Kedah itu lagi.

Beliau juga mendakwa seorang penumpang India yang telah berusia, di dalam 
bas kedua yang diperiksanya, memberitahu mereka berhasrat membuang undi.

"Di dalam bas yang memuatkan penumpang Melayu, mereka beri alasan hendak 
pergi kenduri. (Sekarang bulan) puasa, mana ada kenduri? Cukup 
suspicious-lah," cerita Mokhtar lagi.

Kebanyakan penumpang berusia lebih 50 tahun, katanya.

Pasukan keselamatan BA itu juga memperolehi senarai nama penumpang daripada 
beberapa orang pemandu bas tersebut. Tetapi apabila pasukan itu memanggil 
nombor telefon yang diperolehi daripada senarai tersebut - untuk mengesahkan 
nama dan alamat - butiran itu tidak tepat, jelas Razak pula.

Pada pukul 8.30 pagi, seorang penyokong pembangkang Azizan Ismail 
memberitahu malaysiakini, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang 
tempatan yang menceritakan bahawa 15 penumpang (dari sebuah bas sekolah) 
berjalan kaki menuju ke pusat membuang undi di Kampung Keladi, Lunas. Mereka 
disyaki pengundi hantu.

Azizan sempat ke situ jam 9 pagi dan beliau melihat semua mereka wanita 
berusia lebih 40 tahun, berada di belakang perayu undi Umno.

"Depa (kamu semua) datang dari mana?" tanya Azizan.
"Dari Teloi Kanan (Baling, Kedah)," jawab seorang daripada kumpulan wanita 
itu.
"Datang (untuk membuang) undi ke?" beritahu Azizan, mengulangi perbualannya 
pada hari itu.

Antara mereka ada yang mengangguk kepala, ada pula yang senyap sahaja.

"Saya suruh orang tempatan memastikan mereka tidak masuk ke pusat membuang 
undi," kata Azizan.

Semasa keluar dari tempat itu, Azizan nampak sebuah lagi bas tiba. Penduduk 
tempatan cepat-cepat menghalang bas itu daripada menurunkan penumpang.

"Mereka tidak membawa logo apa-apa parti, sungguh mencurigakan. Mustahil 
pula orang kampung datang mengundi dengan bas kerana kampung ini kecil 
sahaja," katanya lagi.

Menurut Azizan, bas itu kemudian menuju ke arah Bukit Mertajam, Pulau 
Pinang.

Sementara itu, sekitar jam 8.30 juga, sekurang-kurangnya 50 anggota polis 
pelbagai unit sampai di bilik gerakan BA untuk menangani kepungan bas-bas 
itu. Pemimpin-pemimpin utama Keadilan Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd Nor dan 
Azmin Ali terus dipanggil untuk menyelesaikan itu dengan polis, kata 
Mokhtar.

Suasana tegang

"Saya tiba di sana pada pukul 8 pagi, dan mengesahkan enam buah bas telah 
dibawa ke halaman di belakang pusat gerakan utama BA di Taman Megah," kata 
Azmin.

Setelah berbincang dengan polis, mereka bersetuju agar bas-bas itu dibawa ke 
balai polis Lunas untuk dilaporkan secara rasmi kerana petugas BA mengesyaki 
bas itu membawa pengundi hantu.

Sesampai sahaja wartawan malaysiakini di balai polis Lunas, semua bas itu 
sudah diletakkan di kawasan balai. Pada masa itu, semakin ramai wartawan 
tempatan berkumpul di luar balai. Penduduk kampung dan penyokong BA juga 
tidak ketinggalan - mereka melihat perkembangan itu dengan penuh tanda 
tanya.

Wartawan turut tertanya-tanya sesama sendiri: Apa yang sebenarnya berlaku? 
Bagaimana BA dapat mengesahkan penumpang bas itu pengundi hantu?

"Saya pernah bersama BN (Barisan Nasional). Saya pernah menjadi setiausaha 
politik kepada Timbalan Perdana Menteri," jelas Ezam kepada seorang 
wartawan, dalam bahasa Inggeris, membayangkan beliau sedar pakatan kerajaan 
itu pernah menggunakan taktik seperti itu demi mencapai kemenangan dalam 
pilihanraya.

"Kenapa ramai orang sampai awal pagi pada hari mengundi?" jelas Ezam lagi, 
sambil menegaskan peraturan pilihanraya melarang sebarang kempen pada hari 
mengundi.

"Penumpang-penumpang yang berumur 60 hingga 70 tahun itu, takkanlah datang 
untuk menolong kempen BN?"

Tidak lama kemudian, pintu pagar balai dibuka, kira-kira 50 anggota polis 
Pasukan Gerak Am (PGA) berkumpul di tengah jalan dengan cota dan sangga 
pelindung.

Dengan pembesar suara, seorang pegawai PGA menyeru kira-kira 100 orang 
pemerhati supaya segera bersurai tetapi mereka tetap berkumpul, cuma 
berundur ke tempat yang jauh sedikit dari balai itu.

Pasukan polis itu bergerak ke depan, tidak pasti sama ada mereka akan 
mengambil tindakan memancut air atau memukul orang ramai. Suasana kian 
tegang.
.....................

Wassalam.

_____________________________________________________________________________________
Get more from the Web.  FREE MSN Explorer download : http://explorer.msn.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke