*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
    http://www.parti-pas.org

      Ucapan Perbahasan Belanjawan 2000 oleh YB  Hj.
          Mohammad Sabu di Parlimen pada 29/2/2000


     17.11 ptg.

     Tuan Mohamad bin Sabu [Kuala Kedah]:

     Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.  Bismillahirrahmanirrahim.

     Ketika Rancangan Malaysia Ketujuh dibentangkan pada 1996
     yang lalu ketika itu ekonomi negara berada di tahap yang
     membanggakan di mana perkembangan ekonomi di sekitar 8%.
     Waktu itu diberitahu bahawa ekuiti bumiputera telah merosot
     daripada 19.5% kepada 18% .  Itu ketika kemuncak ekonomi di
     mana Malaysia digelar sebagai negeri “Harimau Asia Timur”.
     Rupa-rupanya harimau itu hanyalah harimau kertas.  Tahun
     1997-2000 kemelesetan ekonomi berlaku.  Banyak
     konglomerat-konglomerat bumiputera gulung tikar.
     Korporat-korporat jadi miskin.  Kalau dulunya korporat-korporat
     Melayu ketika di puncak kemewahan bercakap bahasa Malaysia
     pun tidak terus.  Kalau dia minum di Grand Continental, Grand
     Con.  Semalam I ada dinner kat Pan Pac.  Baju I ini ori beli kat
     London.  Itu di zaman kemajuan ekonomi bumiputera dan
     korporat-korporat ini menikmati keadaan ekonomi itu begitu
     hebat sekali.  Kemerosotan ekonomi itu begitu hebat sekali.

     Kemerosotan ekonomi tahun 1997 sehingga sekarang
     menyebabkan ramai yang gulung tikar, yang bankrup sehingga
     kerajaan terpaksa menubuhkan Danaharta untuk membantu
     syarikat-syarikat yang berada di dalam keadaan nazak, NPL –
     Non Performing Loan.  Kemudian dalam keadaan begitu sudah
     tentulah penguasaan bumiputera dalam ekuiti ekonomi di
     Malaysia ini terus menurun sebab ketika tahun 1996 berada di
     kemuncak kemajuan ekonomi, peratus ekuiti bumiputera sudah
     mula menurun.  Bila berlaku kemelesetan ekonomi di mana
     syarikat-syarikat bumiputera kebanyakkannya dibantu oleh
     kerajaan ataupun disokong oleh kerajaan mengalami kegagalan
     dalam perniagaan mereka, saya yakin ekuiti bumiputera terus
     menurun.

     Kemudian selepas itu kita lihat pula Kelantan, Terengganu
     diperintah oleh pembangkang.  Kelantan bermula pada tahun
     1990 dan Terengganu 1999.  Kelantan, Terengganu  kita tahu
     lebih 95% adalah kaum bumiputera.  Orang-orang Tionghua di
     sana tidaklah kaya sangat.  Tetapi 95% adalah bumiputera.
     Lebih dua juta bumiputera daripada lebih kurang 14 juta ataupun
     13 juta bumiputera dalam negara kita ini berada di Kelantan dan
     di Terengganu.  Jikalau pihak Kerajaan Pusat terus menganaktiri
     Kelantan dan Terengganu maka saya yakin ekuiti bumiputera
     akan terus menurun lagi.

     Angka sebenar keadaan ekuiti bumiputera sekarang tidak
     diterangkan kepada kita.  Kalau di tahun 1996 berada di tahap
     18% menurun 1.5% berlaku kemelesetan ekonomi yang dahsyat
     1997-1999 bankrupnya syarikat-syarikat bumiputera begitu
     banyak.  Kalau ada diskriminasi terhadap negeri yang
     bumiputeranya ramai - Kelantan dan Terengganu maka saya
     yakin bahawa ekuiti bumiputera di Malaysia sekarang ini berada
     di tahap yang mencemaskan.

     Tuan Yang di-Pertua, tambahan pula kalau berlaku penangguhan
     projek-projek yang telah dirancangkan tetapi kerana pihak
     Barisan Nasional kalah kemungkinan projek-projek itu
     ditangguhkan.  Misalnya telah diluluskan pembinaan jalan antara
     Bukit Raja dengan Gua Musang tetapi sampai sekarang tidak lagi
     menjadi kenyataan.  Kenapa ditangguhkan, adakah kerana politik
     ataupun tidak cukup wang?.  Begitulah juga pembesaran airport
     di Pengkalan Chepa.  Nampaknya juga sekarang ini seolah-olah
     ditangguhkan.  Pembesaran airport Kuala Terengganu yang telah
     diumumkan dalam Parlimen ini…


     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Ya, Rompin berdiri Yang Berhormat.

     Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
     Terima kasih Yang Berhormat.  Saya amat bangga, seronok
     benarlah dengan ucapan Yang Berhormat pada hari ini bahawa
     PAS juga memperjuangkan hak orang Melayu.  Alhamdulillah.
     Kalau dulu dituduh belah sini, kami ini ‘perjuangan’ hanya bangsa
     sahaja tinggalkan agama.  Nampaknya PAS pun berubah macam
     kita juga ini.  Dulu dia tuduh kita telah perjuangkan orang
     Melayu,  Assabiah.  Tetapi ini ‘perjuangkan’ untuk orang Melayu
     juga.  Syabas Yang Berhormat.   Saya seronok.  Tetapi saya
     hendak bertanya sedikit.  Adakah pertanggungjawaban untuk
     membela orang Melayu ini hanya diletakkan semata-mata di
     tangan Kerajaan Federal sahaja.  Mengapa tidak kerajaan negeri
     juga Yang Berhormat.  Sebab saya merasakan kerajaan negeri
     ada tanah di bawah dia, air di bawah dia, banyak khazanah
     negara kita, aset negara kita di bawah kerajaan negeri.

     Semalam ada kenyataan oleh Menteri Besar Kelantan dia
     tentang akaun kerajaan negeri, SCDC negeri yang tidak bergerak
     dengan baik.  Atau rugi tidak saya tidak baca lagi.  Tetapi
     bergeraknya tidak baik.  Itu salah satu lagi syarikat di bawah
     kerajaan negeri yang boleh digemblengkan untuk membela masa
     depan orang Melayu.  Kita tahu.  Saya bersetuju Yang
     Berhormat.  Kemelesetan ekonomi ini ada kemungkinan membawa
     kepada penyertaan ekuiti bumiputera jatuh.  Tetapi kerajaan
     negeri juga bertanggungjawab juga bersama dengan Federal
     untuk sama-sama membela isu tentang bumiputera ini.  Saya
     minta sedikit pandangan Yang Berhormat tentang perkara ini.


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Terima kasih, terima kasih.  Terima kasih memang kerajaan
     negeri ada tanggungjawabnya tetapi sebahagian besar cukai
     dipungut oleh Kerajaan Pusat termasuklah cukai pendapatan,
     road tax dan sebagainya.  Jadi kerajaan negeri itu banyak mana
     sangat pendapatannya.  Saya ingat Rompin tahu tetapi
     saja-saja hendak usik.

     Tuan Yang di-Pertua, begitulah juga barangkali akan
     ditangguhkan pembesaran lapangan terbang di Kuala
     Terengganu kerana negeri itu jatuh kepada pembangkang dan
     juga pembinaan jambatan daripada Tendung ke Wakaf Che Yeh
     yang diperjuangkan begitu hebat sebelum pilihan raya oleh
     Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dulu  dan apakah
     semua ini tertangguh dengan kemenangan pembangkang di dua
     negeri tersebut.  Kalau projek-projek ini tertangguh dengan
     kemerosotan ekonomi dan sebagainya maka insfrastruktur tidak
     berlaku di dua negeri tersebut dengan lebih hebat,  kita bimbang
     ekuiti bumiputera akan terus menurun maka bila kita lihat ekuiti
     bumiputera terus menurun pada masa yang akan datang tidak
     lainlah yang akan kita salahkan kepada pemerintah yang diterajui
     oleh UMNO dan Barisan Nasional.

     Dato’ Yang di-Pertua,  begitulah sekarang ini kita lihat  ketika
     ekuiti yang menurun saya yakin, kemudian  pula biasiswa  sudah
     begitu kurang dan orang-orang luar bandar begitu  susah
     sekarang ini untuk menyarai anak-anak mereka  dalam  bidang
     pendidikan. Ini lagi satu  bebanan yang dikenakan kepada
     orang-orang luar bandar khasnya.

     Begitulah juga kita lihat mutakhir ini, dalam penyusunan semula
     bank rungutan begitu nyata kepada  para peniaga, iaitu mereka
     susah mendapat pinjaman sekarang ini. Bank  Bumiputra yang
     ditubuhkan  di atas semangat kongres  bumiputera  untuk
     memberi pinjaman kepada  bumiputera untuk berniaga. Kita
     memang  kesal di atas penyelewengan yang berlaku dalam Bank
     Bumi, sama ada  kes BMF dan lain-lain kes yang menyebabkan
     kerajaan  terpaksa menyuntik lebih daripada  RM4.6 bilion untuk
     menyelamatkan Bank Bumi. Itu adalah penyelewengan yang
     dilakukan,  tetapi konsep penubuhan Bank  Bumi itu jangan lari
     daripada  dasar  kongres ekonomi bumiputera yang kita lihat
     sekarang ini Bank Bumi apabila ditelan oleh Commerce Bank,  kita
     lihat dasarnya  mula lari.

     Penyelewengan dilakukan  oleh orang-orang atas tetapi yang
     menjadi mangsa para peniaga tulen yang susah untuk mendapat
     pinjaman sekarang ini. Yang Berhormat bagi Rompin pun tidak
     bela  peniaga-peniaga sekarang ini, sebab itu UMNO tak
     sokong.


     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Yang Berhormat  bagi Rompin bangun, sila dia beri.

     Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
     Terima kasih, saya Yang Berhormat tuduh di dalam Dewan, saya
     tak ada masalah, tetapi jangan tuduh di luar Dewan, sebab tak
     ada masa, peluang saya hendak menjawabnya.  Saya bersetuju
     kita patut bela semua, yang susah orang Melayu, yang susah
     bukan Melayu pun  perlu dibela pun kita bela, tak ada masalah.
     DAP  dengar Setiausaha Agong  dia  tapi ada orang kompelin
     juga mengapa  Setiausaha Agong bagi orang baru, kenapa tak
     beri pada Yang Berhormat bagi Kepong. Ada juga dalam DAP kita
     dengar cerita. [Ketawa]. Persoalan yang saya tanya, adakah
     Yang Berhormat… [Disampuk]  Ehh!  rasa pedaskah,  makan cili?


     Puan Teresa Kok Suh Sim: [Menyampuk]

     Beberapa Ahli:  Bangunlah.

     Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
     [Ketawa]  Terasa  itu  saya Yang Berhormat  sebut saya, saya
     senyum sahaja, saya tak jawab. Kita biasalah, masa  saya
     bangun,  saya sentuh, Yang Berhormat  bangun Yang Berhormat
     sentuh, ini biasalah dalam Parlimenkan.


     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Teruskan Yang Berhormat, ya.

     Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
     Saya hendak tanya, adakah Yang Berhormat ketahui  bahawa
     gabungan dua bank itu masih  diketuai oleh kerajaan,  pemegang
     saham yang terbesar. Bermakna   kalau…., saya tidak menuduh
     sebab  Yang Berhormat tak ada mengata, adakah Yang
     Berhormat sedar  bahawa walaupun digabungkan  keduanya,,
     tetapi saham   terbesar totally share holder kedua-dua bank ini
     masih lagi  kerajaan. Adakah Yang Berhormat  sedar tentang
     perkara ini. Kalau Yang Berhormat sedar,  sudah semesti
     perkara-perkara Yang Berhormat  bimbang nanti akan  dipastikan
     oleh kerajaan tidak berlaku. Ini saya hendak tanya sedikit  pada
     pandangan Yang Berhormat.


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Saya sedar memang  masih dikuasai oleh kerajaan. Tetapi
     commitment  pegawai-pegawai bank itu dirungut oleh para
     peniaga sekarang, sebab kita bertemu  dengan para peniaga
     terutama peniaga yang asli, yang genuine.  Bank Bumi ini  yang
     melingkupkannya orang-orang atas, tetapi  akhirnya yang
     menerima akibat sekarang  yang susah untuk buat pinjaman
     adalah  orang yang hendak berniaga secara betul. Kita bimbang,
     yang saya sebut tadi dengan kemerosotan ekonomi,  dua  negeri
     diperintah oleh pembangkang, bank mula lari  pada dasarnya.
     Maka   ekuiti bumiputera  semakin menurun. Ini UMNO kena
     bertanggungjawab kalau  perkara ini berlaku.


     Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  [Bangun]

     Tuan Mohamad bin Sabu:  Ada lagi?.


     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Ya, Yang Berhormat Pokok Sena.


     Tuan Haji Mahfuz bin Haji Jaafar:
     Penjelasan  daripada Yang Berhormat bagi Kuala Kedah, adakah
     Yang Berhormat  sedar bahawa  Bank of Commerce yang
     mengambil alih  Bank Bumiputra  itu antara pemegang syernya
     ialah mereka yang mempunyai  hutang yang tertangguh dengan
     Bank Bumiputra dan ini bagi saya  satu  penyelewengan, bila
     orang yang  berhutang dengan Bank Bumiputra kemudian dia
     mengambil alih  dan kemudiannya hutang dia itu dilangsaikan
     dengan  NPL.


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Saya sedar,  perkara  ini kita bahas dulu  dalam belanjawan
     yang tak jadi dahulu [Ketawa].  Jadi  inilah  yang kita  bimbang
     sekarang ini matlamat  kongres bumiputera melahirkan  Bank
     Bumi itu  tidak  berjalan lagi sekarang. Ini yang  kita  bimbang.

     Sepatutnya keadaan sekarang  pemimpin-pemimpin kerajaan
     yang bercakap  dengan hal-hal hendak membela Melayu
     mestilah agresif seperti tahun 1971 terutama  seperti selepas 13
     Mei,  tetapi kita lihat ucapan-ucapan  terutama golongan muda
     sekarang  ini tidak bersikap untuk membela golongan  umum ini
     tetapi lebih bersikap  menyokong  apa sahaja yang dibuat oleh
     pemerintah walaupun kita lihat sekarang ini  usaha-usaha
     menolong bumiputera yang miskin, bumiputera umum ada
     komitmennya agak kurang sekarang  ini daripada pemerintah.
     Sebab itulah orang Melayu kurang undi parti tuan.


     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]   Yang Berhormat  bagi Rompin  sila.

     Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
     Terima kasih  Yang Berhormat, saya sungguh kagum dengan
     semangat  Yang Berhormat. Saya mengucapkan syabaslah.
     Memang  UMNO  pada dahulu lagi perjuangan  kita  membela
     bangsa kita dan perjuangan kita  dapat kerjasama  daripada
     MCA dan Gerakan.  Tetapi cara Yang Berhormat bercakap ini
     adakah DAP boleh menerimanya, sebab kadang-kadang  dia tidak
     setuju bahawa pengagihan   dibuat mengikut ras.  Dia kata
     mengikut  meritokrasi  sahaja.  Ini yang  dua tiga orang depan,
     adakah   ini  dasar Yang Berhormat  sebagai Parti PAS atau  ini
     dasar Parti Alternatif  termasuk DAP, sebab Setiausaha
     Agongnya senyum sahaja. Ha…. Ini  sebab  dia senyum sahaja,
     tengok tu sama ada  dia dah angguk ke, dia senyum, dia tak
     bersetuju…


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Cukuplah masa tak banyak ni. DAP setuju  kita bantu bumiputera
     yang dia tidak setuju membantu ‘UMNOputra’.

     Beberapa Ahli:   Ya….. [Tepuk] [Ketawa]

     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Tuan Yang di-Pertua,  oleh  itu kita harap pemimpin-pemimpin
     yang diberi amanah untuk memerintah buat sementara ini  mesti
     komitmen terus  untuk  membantu bumiputera terutama selepas
     agensi-agensi yang  ditugaskan membantu bumiputera terbantut
     seperti Bank Bumi dan sebagainya.  Kita harap semangat  tahun
     1971 mesti dikobarkan semula  dan memperbetulkan
     kesilapan-kesilapan yang   lalu di mana kita lihat..


     Tuan Haji Noh bin Haji Omar:  [Bangun]

     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:   Ya, ada yang bangun tu.  Yang Berhormat.

     Tuan Haji Noh bin Haji Omar:   Sikit sahaja  ini, Terima kasih
     saya hendak tanya sikit sahaja.
     Masa kita  membuat perlantikan Pengerusi PAC pada Yang bagi
     Berhormat Rompin,   Yang Berhormat  pernah berjanji dalam
     Dewan,  Yang Berhormat hendak pastikan pengerusi PAC di
     Terengganu dan juga  di Kelantan dipilih pada  wakil
     pembangkang iaitu wakil daripada Barisan Nasional, jadi sebelum
     hendak terus  ucapan berapi ini, telahkah ditunaikan janji Yang
     Berhormat itu.


     Tuan Mohamad bin Sabu:  Janji saya kalau Pusat buat dulu.
     Pusat tak buat, kami nak ikut macam mana.  Ini Yang Berhormat
     bagi Tanjong Karang lena nampaknya.

     Beberapa Ahli:   Selamat     [Ketawa]

     Tuan Mohamad bin  Sabu:
     Itu hal ekonomi. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang seterusnya
     yang saya  ingin  sentuh ialah masalah  rule of law   kedaulatan
     undang-undang  di  negara kita ini. ISA sudah  tidak popular.
     Penggunaan terhadap ISA  ditentang oleh rakyat. Orang yang
     ditahan   di bawah ISA tidak dilihat buruk  oleh  rakyat, bahkan
     pemerintahlah yang dilihat buruk. Di sini ramai  yang di bawah
     ISA Yang Berhormat  Kepong, Yang Berhormat  Pokok Sena,
     ini….

     Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin
     Abdullah]: Kuala Kedah…[Ketawa]

     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Kuala Kedah lagi lama.  [Ketawa]. Rakyat  melihat kerajaan yang
     salah dan orang yang dikenakan ISA  itu tidak  bersalah. Oleh
     itu  sekarang  ini Kerajaan Barisan Nasional tidak lagi
     menggunakan ISA tetapi mereka bergerak ke arah   ‘Lee Kuan
     Yew’nism’, iaitu menggunakan   undang-undang  untuk menekan
     pembangkang.  ‘Lee Kuan Yew’nism’ sedang  melanda negara
     kita sekarang.

     Ini kita lihat  setelah  orang yang dulunya  Timbalan Presiden 46
     telah  membuat tesis Ph.D   dan  dengan tesisnya itu  dia
     mendapat Ph.D iaitu  penguasaan eksekutif  sepenuhnya
     terhadap perundangan di Malaysia.  Beberapa para dalam buku
     mengkritik  sistem perundangan di Malaysia dan  sekarang bila
     beliau jadi Menteri   rupa-rupanya ‘Lee Kuan Yew’nism’  sedang
     melanda negara kita ini.
     Kita  lihat  OSA,  Printing Act, Police Act, Akta Hasutan  mula
     digunakan sekarang ini.


     Dato' Haji Azmi bin Khalid:   Boleh, sekejap sahaja.

     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Ya,  Yang Berhormat  bagi Padang Besar.

     Dato' Haji Azmi bin Khalid:
     Tuan Yang di-Pertua,  saya tertarik  dengan apa yang
     disebutkan oleh  Yang Berhormat  bagi Kuala Kedah tadi tetapi
     adakah  Yang Berhormat  bagi Kuala Kedah sedar  bahawa
     dengan perlantikan seseorang yang membuat  tesis  mengenai
     dan mengkritikkan  undang-undang  itu   setelah diletak dia  di
     tempat yang berkenaan yang mampu dia  memberi nasihat yang
     sebaiknya kepada  kerajaan, adakah  itu satu  pertanda bahawa
     kerajaan ini  amat demokratik memilih  orang  yang tahu dan
     memilih orang  yang mengkritik,  letak di situ untuk  dia
     memperbaiki segalanya. Bukankah ini satu gambaran  baik bagi
     kerajaan dan  kepada rakyat, insya-Allah - dia baru sangat  di
     situ, insya-Allah- semuanya akan diperlakukan  supaya segala
     apa yang buruk itu diperbaiki.


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Baiklah kita hendak lihat dahulu prestasinya.  Tapi yang kita
     lihat  selepas pilihan raya, yang didakwa semuanya
     pembangkang.

     Beberapa Ahli:   Ya…[Ketawa]  [Tepuk]


     Tuan Mohamad bin Sabu:
     Ini  yang pelik, tak kanlah dalam Akta Hasutan  tak dak Menteri,
     Timbalan Menteri  di Parlimen yang bercakap  menyentuh Akta
     Hasutan, tiba-tiba  yang didakwa Karpal Singh,  yang  didakwa
     Ezam Mohamad Noor, yang didakwa Marina Yusof, yang didakwa
     Zulkifli Sulong, semua pembangkang kecuali isu rasuah iaitu
     Saidin Tamby  dan juga Joseph Chong.

     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Yang Berhormat  boleh sambung besok.

     Tuan Mohamad bin Sabu:  Oh.. boleh   20  minit  lagi
     [Ketawa]

     Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
     Abdullah]:  Ahli-ahli Yang Berhormat   Dewan ditangguhkan
     sehingga jam 10.00 pagi  besok hari Rabu.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke