MEMO: Tindakan dan sekatan yang dikenakan ke atas pembangkang oleh
kerajaan kebelakangan ini semakin keras dan ketat. Program-program ceramah dan
perhimpunan semakin sukar diadakan dan kalau diadakan pun sering diganggu dan
terpaksa dibatalkan di tengah jalan. Bagaimanakah saudara melihat perkara
ini.
MAHFUZ: Bagi saya, langkah-langkah itu memperlihatkan kekalutan dan ketakutan
kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan kebangkitan rakyat yang semakin hangat
membincangkan soal-soal berkaitan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan
pemerintah. Sebab itu, apa jua alasan yang diberikan oleh kerajaan dalam hal ini
didapati tidak munasabah. Umpamanya, alasan keselamatan; ini langsung tidak
munasabah kerana negara kita telah lama bebas dari ancaman komunis. Jadi, pihak
kerajaan atau pihak keselamatan tidak perlu menghadkan atau menghalang
ceramah-ceramah yang diadakan, sebagaimana sebelum ini. Kecuali jika kerajaan
merasakan terdapatnya ancaman komunis yang baru. Dan pada ketika itu darurat
perlu diisytiharkan. Semalam (18/7/2001) kerajaan mengatakan syarat-syarat lama
berkaitan hal ini akan diperketatkan. Kita ingin bertanya; apakah masalahnya
dengan syarat-syarat lama itu? Pembangkang tidak pernah mengingkari
syarat-syarat yang dikenakan selama ini. Mereka juga mengatakan ceramah-ceramah
terbuka tidak lagi akan dibenarkan. Apa masalahnya? Sebelum ini tidak pernah
berbangkit masalah kesan-kesan buruk yang timbul dari ceramah-ceramah terbuka.
Dan polis memberikan kerjasama yang sangat baik. Oleh itu, saya menyeru kepada
kerajaan dan juga pihak keselamatan supaya memberikan alasan yang lebih
munasabah, bukannya alasan berdasarkan ego pangkat.
Ego pangkat?
Ya. Umpamanya pihak polis; hanya disebabkan mereka rasa mereka ada kuasa,
maka syarat-syarat dibuat sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan
menteri-menteri. Syarat-syarat yang dibuat sepatutnya diberikan alasan-alasan
yang rasional.
Apakah kesannya pada kegiatan pembangkang apabila presiden PAS Ustaz
Fadzil Noor dan Mohamad Sabu dihalang meneruskan ceramah, sedangkan kejadian
seperti ini belum pernah berlaku sebelumnya?
Bagi PAS, kita akan terus mengadakan program-program ceramah di seluruh
negara. Tapi ini tidak bermakna kita mahu berlawan dengan pihak polis. Apa yang
kita lakukan itu berasaskan tuntutan hak yang sepatutnya diberikan kepada kita
seperti termaktub dalam fasa 10 Perlembagaan negara. Sebarang penangkapan atau
gangguan yang dikenakan, seperti dalam kes Ustaz Fadzil dan Mohamad Sabu ini,
tidak sedikit pun akan menghalang PAS dari meneruskan ceramah.
Bagaimana jika tindakan yang lebih aggresif diambil pemerintah?
Itu terpulang, tapi jika ia berlaku maka akan lebih buruklah nasib negara
kita ini. Dunia akan melihat Malaysia semakin hampir untuk menjadi police state
atau negara polis. Dan pada waktu itu ekonomi negara akan turut terjejas kerana
pelabur-pelabur asing semakin menjauhkan diri dan pelancong juga tidak akan
datang ke mari. Di samping itu, dari sudut politik, suasana yang lebih tidak
sihat akan timbul. Apabila ceramah dan perhimpunan disekat dan dihalang terus,
natijahnya mungkin akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti
demonstrasi jalanan dan gerakan yang menjurus ke arah militan. Sekatan seperti
ini seolah-olah mengundang dan memprovokasi supaya perkara seperti itu berlaku,
sedangkan kerajaan berkali-kali memberi amaran ‘jangan berdemonstrasi’,
‘demonstrasi bukan cara kita’ dan sebagainya.
Bagaimanakah jika semua itu memang bertujuan memprovokasi supaya apabila
berlaku kejadian yang tidak diingini kerajaan dapat mewajarkan dakwaan dan
tindakannya selama ini, seperti penggunaan ISA dan tuduhan terdapat kegiatan
bercorak militan.
Kalaulah benar tujuannnya begitu, apakah keuntungannya pada negara? Tidak ada
untungnya. Tindakan jahat seperti itu hanya akan memporak-porandakan negara dan
sangat merugikan. Apabila rakyat mula turun ke jalan raya tanpa dapat dikawal,
kekacauan akan wujud.
Tapi kerajaan pada waktu itu dapat menjustifikasikan pemakaian ISA …
Kerajaan sekarang tidak memerlukan sebarang justifikasi untuk memakai ISA.
Sebab, jika kita tengok, orang yang tidak keluar ke jalan raya pun ditangkap
menggunakan ISA. Bagi saya dalam hal ini kerajaan sebenarnya hilang arah dalam
menghadapi kebangkitan rakyat.
Memandangkan program ceramah terus disekat dan dihalang, apakah
pembangkang, khususnya PAS akan menggunakan cara yang lebih kreatif untuk
menyampaikan mesejnya?
Salah satu program ‘tradisional’ Pas ialah ceramah. Pas tidak akan
meninggalkan program tradisionalnya ini dan dari semasa ke semasa kita akan
terus mempertingkatkan mutu dan persembahannya. Di samping itu kita menggalakkan
organisasi parti di semua peringkat mempelbagaikan kegiatan untuk menyalurkan
mesej dan maklumat kepada orang ramai. Ini tertakluk kepada kreativiti
organisasi setempat supaya kegiatan yang dijalankan itu bersesuaian dengan
kehendak persekitaran. Tapi satu perkara yang agak menyulitkan kita ialah
apabila kegiatan-kegiatan itu melibatkan kos yang tinggi. Itu sebabnya kita
lebih menumpukan perhatian pada ceramah-ceramah; ia tidak melibatkan kos yang
tinggi, malah sebaliknya dapat memberikan pulangan yang seterusnya akan
digunakan pula untuk melaksanakan program-program lain. Justru, apabila
program-program ceramah disekat, sumber kewangan parti turut terjejas.
Komen mengenai pemimpin pelajar yang baru dibebaskan sehari dua lalu?
Ini membuktikan pelajar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan militan
seperti yang didakwa sebelum ini. Perdana Menteri pernah membuat tuduhan
mengatakan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM adalah angkara sabotaj dan
perbuatan khianat pelajar. Dan selain itu dia juga mengaitkan pelajar dengan
kegiatan bercorak militan. Tapi apabila Fuad dibebaskan, dengan sendirinya
menunjukkan polis tidak mempunyai bukti tentang itu. Saya melihat, akibat
tuduhan-tuduhan liar yang dibuat PM dan pemimpin-pemimpin Umno, kerajaan kini
cuba mengekang pelajar dan ahli-ahli akademik dengan meletakkan terma-terma baru
dalam perjanjian bagi setiap kemasukan baru pelajar atau pensyarah. Bagi saya,
kalaulah perkara ini dilaksanakan, kerajaan secara tidak langsung mahu
memberitahu dunia bahawa golongan akademik dan intelektual tidak lagi
bersamanya. Untuk memastikan mereka ini menyokong semula kerajaan, diadakan
perjanjian baru. Inilah mesejnya sekiranya syarat-syarat baru itu dilaksanakan.
Apa agaknya kesan tindakan mengenakan syarat-syarat baru ini?
Tujuan syarat-syarat ini dikenakan adalah untuk mengekang dan mengongkong
pergerakan dan idealisme pelajar dan juga golongan intelek. Tapi perlu diingat
bahawa idealisme golongan ini tidak berasaskan emosi dan egoisme. Idealisme
anak-anak muda dan juga ahli-ahli akademik ini, berasaskan budaya ilmu. Jadi,
oleh kerana idealisme itu berasaskan budaya ilmu, maka kerajaan seharusnya
menghadapi mereka dengan budaya ilmu, bukannya melalui keegoan kuasa.
Menggunakan ego kuasa untuk menangani hal-hal seperti tentu sahaja tidak akan
dapat menyelesaikan masalah. Kerajaan mungkin boleh meletakkan syarat bagi
kemasukan pelajar tapi kerajaan tidak akan berjaya meletakkan syarat pada
pemikiran mereka.
Menurut penelitian, apakah kejadian menangkap pelajar di bawah ISA
baru-baru ini telah melemahkan atau membantutkan gerakan pelajar?
Satu hal perlu di perhatikan di sini ialah, peritiwa penangkapan itu
menunjukkan kerajaan semakin sedar dan bimbang terhadap kebangkitan anak-anak
muda, pelajar-pelajar dan belia. Mereka cukup takut pada student power dan juga
youth power. Bagi saya penangkapan itu dibuat memang bertujuan untuk melemah dan
membantutkan pergerakan pelajar; untuk menjadikannya pasif. Itulah maksud
mereka. Tapi saya lihat apa yang berlaku adalah sebaliknya; mahasiswa kini
semakin sedar mengenai kuasa dan kekuatan yang mereka miliki. Mereka boleh
berperanan untuk menentukan kedudukan dan corak politik dalam negara. Peristiwa
penangkapan ISA itu tidak membuatkan pergerakan mereka terencat, bahkan semakin
memperkasakan idealisme mereka.