*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum wrt

Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun jua dan mana mana
kawasan kawalan keselamatan penduduk.  Ianya hanyalah sebagai satu gurauan di
celah celah kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Mula mula untuk mendapatkan keanggotaan ahli kawalan keselamatan, proses
rekrut telah dijalankan.  Maka beribu ribu surat jemputan dihantar ke setiap
pelusuk kampung batu ini. Ianya menjemput rakyat jelata untuk memasuki pasukan
hulubalang malam. . AJK kawalan keselamatan bersama Jeneral tak berturus
angkatan keselamatan kampung batu pun menunggu dengan penuh minat disisi
telefon akan sebarang maklum balas. Alangkah malangnya hanya sekitar 5 / 1000
yang menelefon dan berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan ini. Ini
bermakna kurang dari satu peratus berminat untuk berpisah dari bantal busuk
dan mengawal kampung batu mereka sendiri .

Akhirnya dengan rasa berat hati, AJK Surau dan AJK Keselamatan bersama AJK
Penaja Persatuan Penduduk bergabung untuk menubuhkan pasukan keselamatan
kawasan. Setelah dikira, dicongak dan ditolak keahlian yang bertindih, maka
adalah 40 orang anggota soldadu kawasan. Memandangkan bahawa setiap shif ada 8
hulubalang maka antara mahu dengan tidak, ada hulubalang yang terpaksa
berkawal lebih dari dua kali seminggu. Jikalah  orang bujangan atau isteri
sedang bercuti maka tentulah tidak menjadi masalah.  Akan tetapi bila awal
pagi sudah terpaksa keluar ke bendang dan isteri pula sihat walafiat, maka
timbullah rasa tidak senang. Kemanakah perginya gerangan sang suami dua malam
seminggu dan bila pulang pula letih dan lesu ?. Adakah suami  bermain kayu
cota atau kayu tiga ?

Dicelah celah tidak cukupnya keanggotaan panglima kawalan, ada pula yang cuti
sakit. Memandangkan Jeneral kawalan kawasan tidak memerlukan surat pengesahan
cuti sakit dari tabib dan bomoh yang bertauliah, maka ramailah pula yang cuti
sakit dan buat buat sakit serta pening pening angau.  Ditakdirkan cerita, maka
pada suatu malam bulan yang tidak berapa purnama, hanya ada seorang sahaja
yang keluar untuk berkawal. Setelah panglima tunggal ini meronda ronda selama
sejam seorang diri dengan motosikal kapcainya, beliau pun pulang ke riba
isteri tersayang, di dalam bilik tidur berhawa dingin, di atas katil spring
empuk jauh dari segala ancaman petualang laknat seperti nyamuk dan agas.

Keesokan harinya di surau sewaktu solat Isyak maka soldadu tunggal ini
melapurkan bahawa beliau berasa tidak syok dan agak ketakutan untuk berkawal
seorang diri. Roh jihad belum sempat terpancar dari sanubari panglima ini.
Apalah salahnya bertempur seorang diri dengan segerombolan penyamun di
dinihari. ? Perkara paling tragis yang boleh berlaku hanyalah lebam lebam
dibelasah pencuri atau pun isteri isteri menjadi janda dan anak anak menjadi
yatim. Terpantul rasa tidak puas hati dari air muka beliau walau pun tidak
diceritakannya. Mungkin malu alah kepada jiran tetangga sendiri, sahabat
seperjuangan yang berjihad diatas katil dengan senang lenang.

Maka Jeneral pun gundah gulana, tidak berpuas hati dan dipanggillah semua
rakyat jelata di kampung batu ini untuk berhimpun dan bermesyuarat di padang
permainan yang tidak seumpamanya dan tidak berumput itu. Surat jemputan sekali
lagi  dilayangkan ke setiap pintu pagar.  Kempen dari rumah ke rumah
dijalankan dan pengumuman menggunakan pembesar suara yang tidak sebesar mana
juga diadakan. Maka terpekik pekiklah suara Jeneral disuatu petang selepas
Asar dari van MPV beliau mengkhabarkan akan berita perhimpunan ini.

Alangkah keluh kesunya rakyat jelata bila perhimpunan itu hendak diadakan pada
jam 8 pagi pada hari Ahad.  Terdengar bisikan dari rakyat jelata yang masa
yang dipilih terlalu awal kerana inilah masanya untuk mandi wajib di hujung
minggu. Walau bagaimana pun  120 kepala muncul merendah embun di awal pagi.
Sebenarnya embun sudah pun kering kerana hulubalang hulubalang tanpa ijazah
ini tiba sejam lebih lewat dari jadual penerbangan dan penerangan.

Majlis yang tak seumpamanya ini dimulakan dengan ucapan demi ucapan dari
Pengerusi, CEO dan Ketua ketua AJK itu dan ini. Walau dimana pun bermesyuarat
bangsa ini sangat penuh dengan protokol itu dan ini. Bila sampai ke giliran
Jeneral untuk berucap, tumpuan soldadu dan hulubalang lebih kepada teh o panas
yang di dalam cerek cerek di tepian buaian. Lazat sekali minum teh ini dikala
pagi dari mendengar suara Jeneral yang  sedang memperli hulubalang hulubalang
yang tidak bertanggungjawab, tidak boleh diharapkan dan menghabiskan beras.
Hulubalang hulubalang yang tidak takut untuk kehilangan pangkat dan kedudukan
ini pula menjawab mereka tidak dikhabarkan tentang jadual bertugas oleh
Kapitan masing masing.  Agak lega juga rasa dihati bahawa Jeneral, Kapitan dan
para soldadu dhaif ini tidak di tugaskan di perbatasan Sipadan, jika tidak
tentulah semua anak dara pingitan dan anak dara tua dilarikan orang.

Suara Jeneral mempertahankan kedudukan beliau terdengar ajak jauh, disebalik
tiupan angin sepoi kurang  bahasa. Yang jelas kedengaran hanyalah data
statistik tentang berlakunya berpuluh puluh kes pecah rumah yang dilapurkan
kepada Rumah Pasung berdekatan semenjak terbina dan siapnya kampung batu ini.
Pegawai bertugas di Rumah Pasung di situ amat prihatin sekali tentang masalah
rakyat marhain di kampung batu ini, maka beliau menghantar seorang pegawai
meronda  sebulan sekali sahaja atau begitulah rasa kekerapannya. Maka Jeneral
pun amat bersyukur kepada jasa baik pegawai berkenaan.

Maka tibalah masanya giliran soldadu soldadu malam menceritakan kisah kisah
perang masing masing sewaktu bertugas di perbatasan parit besar dan semak
samun lalang.. Sambil mengeluarkan buku nota masing masing, para hulubalang
menceritakan betapa susahnya mengejar dengan kaki bakal pencuri yang
menggunakan kereta Kancil , Wira dan Vannette. Ada pula yang menceritakan
tentang banyaknya kenderaan yang disyakki sebagai bakal penyamun sedang
membuat kajian pasaran. Hulubalang hulubalang mengkhabarkan nombor plat
kenderaaan yang disyaki sebagai penyamun tarbus dan maling ini. Terdengar
suara sumbang yang berjenaka mengatakan bahawa, itulah nombor plat kereta bini
muda jiran tentangga beliau.

Cerita yang paling menggerunkan ialah apabila seorang hulubalang menunjukkan
alat pemotong besi sepanjang lima kaki yang diperolehi dari bakal penyamun
setelah berlaku siri kejar mengejar di dalam taman bunga. Alangkah tidak
romantisnya.  Malangnya penyamun ini tidak berjaya diberkas dan dipukul
separuh nyawa. Mengikut hulubalang lain yang membuat kajian tidak rasmi dan
kurang saintifik, alat pemotong ini yang tujuan asalnya untuk memotong besi
jerajak, boleh memotong mana mana besi jeriji pintu dan tingkap dan mana mana
mangga kunci termasuklah mangga ”Solex”. Alangkah terperanjatnya rakyat jelata
yang hadir. Rupa rupanya tidak ada apa apa yang boleh menghalang para penyamun
ini untuk masuk ke dalam rumah kesayangan masing masing. Mungkin hanya Roh
Tuhan  yang makan pisang atau  Dewata yang bertangan enam bisa membantu.
Mungkin juga para jin, jembalang dan toyol perlu direkrut untuk mengawal
kampung batu ini jika manusia sendiri enggan berusaha.

Maka berduyun duyunlah rakyat jelata menandatangani jadual bertugas menjadi
hulubalang malam. Kesemuanya mahu diingatkan oleh Kapitan tentang jadual
bertugas masing masing. Ada yang mahu Kapitan menghubungi setiausaha Eksekutif
beliau di pejabat agar dapat dicatat didalam diari. Jeneral tersenyum bangga
kerana berjaya menakut nakutkan rakyat jelata dan menambahkan peratusan
rekrut.

Sebelum bersurai, diadakan sesi soal dan soal. Sesi ini tidak seperti sesi
soal jawab kerana Pengerusi, CEO, Ketua ketua Jabatan serta Jeneral tidak
dapat menjawab soalan soalan yang diajukan oleh rakyat marhain. Hanya satu
soalan sahaja yang dapat dijawab oleh Jeneral berkenaan.

Beliau ditanya tentang peratus rekrut hulubalang malam yang begitu rendah.
Dengan bersungguh sungguh Jeneral cuba memimik salah seorang penduduk yang
engkar dan enggan berkawal. Jeneral mengajuk,  ” Apa saya susah, rumah saya
ada alat penggera, semua barang barang dalam rumah saya telah diinsurankan,
malah isteri dan anak anak saya ada insuran nyawa, belum sempat pencuri masuk
alat penggera sudah berbunyi, kalau barang barang saya hilang, saya akan
dibayar ganti rugi sepenuhnya dan jika anak isteri saya terbunuh, saya akan
dapat pampasan yang lumayan.” Rakyat jelata yang hadir terlopong bila
mendengarkan jawapan dari jiran tetangga mereka sendiri. Sesungguhnya di dalam
kampung batu ini ada berbagai bagai watak dan termasuklah yang  kurang ajar,
kurang asam dan jelik.  Tidak kurang pula yang mengada ngada dan banyak
“songel”.

Ada pula suara sumbang yang menyatakan rasa tidak puas hati tentang ada suku
kaum yang malas untuk keluar berkawal. Separuh dari kampung batu ini didiami
oleh suku kaum ini dan ada yang terasa terkilan kerana hulubalang hulubalang
dari puak ini tidak menampilkan muka dan perut masing masing.  Maka Jeneral
pun menugaskan dua orang panglima dari ras ini untuk membuat kajian dan
seterusnya meningkat penampilan dan keterampilan puak puak ini. Walau
bagaimanapun tidaklah menghairankan kerana di negara Malaysia ini pun
peratusan puak ini didalam pasukan keselamatan amatlah terlalu kecil. Hal yang
sama berlaku kepada kampung batu ini.

Sambutan kepada keanggotaan kawalan keselamatan akhirnya berjaya ditingkatkan
bila AJK Keselamatan berjaya menakut nakutkan rakyat jelata di kampung batu
ini. Cerita cerita ngeri dan seram dimana para penyamun berjaya mengopak masuk
ke rumah rumah dimain mainkan tanpa henti. Rakyat sebenarnya amat mudah
ditakut takutkan sepanjang masa dan ini membuatkan mereka sanggup bersengkang
mata dan rela berpisah dari katil empuk dan TV Astro masing masing.


Wassalam

Berhati Hati di Jalanraya, Pandu Cermat Jiwa Selamat


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Adam <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke