BERITA MALAYSIA


October 02 , 1999 12:00PM

 

NIK AZIZ BERTEGAS TIDAK MAHU JADI MUFTI

 

KOTA BAHARU, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan beliau menolak tawaran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Mufti.

"Saya tidak mahu dan tamakkan jawatan itu, seolah-olah Mufti yang ada sekarang, tidak berkelayakan", katanya pada ceramah politik di sini malam tadi ebagai mengulas tawaran berterusan yang dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan khususnya Tengku Razaleigh untuk melantiknya sebagai Mufti sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum kelak.

Menurut Nik Aziz beliau juga menolak tawaran itu kerana jawatan Mufti dilantik oleh Sultan Kelantan dan bukan orang politik seperti Tengku Razaleigh.

Mengenai dakwaan bahawa Kelantan tidak mampu melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri ini, Nik Aziz berkata ia merupakan satu pembohongan kerana bukan sahaja kerajaan negeri yang melaksanakan tanggungjawab itu tetapi juga Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan oleh Pas di Kelantan adalah seimbang dengan kemampuan rakyat Kelantan kerana kerajaan negeri tidak akan melaksanakan projek-projek pembangunan yang tidak mampu dimilik orang Melayu.

"Selagi saya memimpin Kelantan, pembangunan yang tidak mampu dimiliki rakyat tidak akan dilaksanakan," katanya. -- BERNAMA

blue.gif

bernamasmall.gif

Kirim email ke