Mohamadazhan.com
 
 
Kisah Imam Syafie Menuntut Ilmu
 
Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai 
ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran 
seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab 
al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai 
ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk 
keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar 
daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan 
solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis 
ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. 
Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang 
kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang 
mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah 
yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama 
murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu 
membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam 
Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati 
segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. 
Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik 
bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam 
Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main 
dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, 
“Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada 
kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya 
dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai 
sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau 
ni kosong sahaja”.

Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal 
semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak 
ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara 
yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati 
dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk 
menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam 
Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang 
terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga 
akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah 
dan mengajar murid-murid yang lain.

Pengajaran:

1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam 
Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan 
ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu sebaik-baiknya biarlah 
berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana 
sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat 
mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis 
merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.

2. Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada 
penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya 
dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran 
kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun 
sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya 
ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain yang tidak 
berkaitan semasa pengajaran.

3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan 
anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan 
dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari 
kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie 
ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga 
akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat. 
 
 
 
Nasihat Imam Syafie
 
Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu, 
penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar dalam bidang fekah. Beliau 
banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada para 
pelajar. Antaranya ialah :
 
1. Imam al-Syafie pernah bersyair:
 
Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’
 
2.Beliau Berkata :
 
Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia 
harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, 
menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang 
dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah 
akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. 
Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.”
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat Imam al-Syafie ialah :
 
1. Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan hijab atau penghalang untuk 
mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpan ilmu 
yang bermanfaat. 
 
2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya 
masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.
 
3. Melakukan amalan-alaman sunat secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh 
sesiapapun. Ini antara cara untuk ikhlas dalam beramal soleh.
 
4. Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa menghabiskan masanya dengan 
ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau akhiratnya.
 
5. Orang yang berilmu juga hendaklah selalu mengingati mati kerana mati itu 
akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara yang bermanfaat untuk 
kehidupannya selepas mati.
 

Kirim email ke