Makam bersejarah perlu dipelihara
sebagai warisan agama dan bangsa
24 Mac 2013 

Kota – PAS DUN Kota dengan kerjasama
Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Rembau hari ini telah mengadakan
gotong royong di makam Dato Lela Balang di Kg Kota Lama. Program
gotong royong tersebut yang diketuai oleh Hj Ghazali Mohd Shom selaku
Penyelaras PAS DUN Kota adalah sebahagian dari projek pemuliharaan
tempat-tempat yang bersejarah di Rembau.

Dato Lela Balang menurut Hj Ghazali
adalah merupakan pembesar dari Sumatera yang telah berkahwin dengan
anak Tok Batin Sekudai dari suku Jakun yang merupakan peneroka awal
di Negeri Sembilan iaitu Dato Bungkal binti Tok Batin Sekudai. Hasil
perkahwinan antara Dato Lela Balang dan Dato Bungkal ini lahirlah
seorang putera yang diberi nama Dato Seri Rama yang dilantik menjadi
Undang Rembau yang pertama pada tahun 1540 masihi.

Menurut Hj Ghazali, makam Dato Lela
Balang yang telah lama terbiar ini dan hampir dilupakan oleh generasi
kini perlu dipulihara dan dijadikan sebagai tempat warisan
bersejarah. 

Ianya bukan hanya dapat menjadi tempat
tarikan pelancong yang boleh menjana ekonomi setempat malahan ianya
dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi generasi kini apabila
mereka dapat belajar dari sejarah bagaimana pelbagai suku kaum
masyarakat di Negeri Sembilan ini sejak dari dulu dapat hidup dalam
suasana permuafakatan berlandaskan syariat Islam bak kata pepatah
“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak. Syarak mengata,
adat menurut”.

Menurut Hj Ghazali lagi, generasi kini
tidak menyedari banyak fakta sejarah , antaranya betapa pentingnya
peranan yang dimainkan oleh masyarakat di Rembau yang terdiri dari
orang asli suku Jakun dan kaum pendatang dari Sumatera pada zaman
kejatuhan kerajaan Islam Melaka untuk menghalau penjajah Portugis
pada ketika itu dari bumi Tanah Melayu dan Nusantara.

Andainya generasi kini belajar dari
sejarah silam, pasti mereka akan menghargai para pejuang terdahulu
dan memelihara tempat-tempat bersejarah di daerah ini. 

Hj Ghazali juga menegaskan sekiranya
Pakatan Rakyat menang dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti, PAS DUN
Kota akan mengusulkan beberapa cadangan dan kertas kerja berkaitan
Adat Perpatih dan tempat bersejarah bukan sahaja di Rembau malahan di
seluruh Negeri Sembilan agar ianya akan dapat memberi manafaat kepada
semua pihak, baik dari sudut keagamaan, kebudayaan serta ekonomi. 

Selepas gotong royong tersebut satu
majlis tahlil telah diadakan di makam Dato Bungkal yang dipimpin oleh
Hj Ghazali sendiri.

Turut hadir dalam majlis gotong royong
tersebut ialah penduduk setempat serta ahli PAS dan PKR di DUN Kota
antaranya Izamri bin Med yang merupakan Pengarah Pilihanraya PAS DUN
Kota dan Rozmal bin Malakan selaku Pengarah 2 Sekretariat Pakatan
Rakyat Parlimen Rembau yang juga merupakan anak kelahiran Kg Kota
Lama dan merupakan generasi turun temurun Dato Lela Balang dan Dato
Bungkal dari suku Biduanda Lela Maharaja.

Lagi gambar sekitar gotong royong
tersebut di 
http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2013/03/makam-bersejarah-perlu-dipelihara.html
 

Kirim email ke