Pemimpin Hizbollah Menghantar SMS Terbaru

Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Setelah SMS-nya yang pertama, yang meminta umat Islam
Malaysia membaca ayat 26 surah al-Fath, pemimpin
Hizbollah menghantar SMS yang kedua. Ia berbunyi: 

“Syukran jazilan kerana sudi membantu kami yang
diserangi rejim Zionis yang zalim dengan bacaan ayat
26 surah al-Fath. Sebenarnya saya tersilap. Sepatutnya
saya minta kalian membaca surah al-Taubah yang
dipenuhi dengan ayat-ayat berkenaan keutamaan jihad.
Tak mengapa, lain kali sajalah. (Sebarkan).”

Apabila saya menerima sms pertama yang kononnya
pemimpin Hizbollah, Syaikh Hasan Nasarullah, meminta
kita membaca ayat 26 surah al-Fath, saya sangkakan ia
adalah kes terpencil. Sekali pun ia berulang-ulang
memasuki inbox talifon bimbit saya, saya masih
menganggap ia adalah kes terpencil. Namun apabila saya
bertanya kepada para hadirin dalam kuliah-kuliah,
ternyata sangkaan saya adalah salah. Ia bukan kes
terpencil tetapi sesuatu yang amat meluas. Majoriti
daripada mereka menerima sms tersebut dan hampir
majoriti daripada mereka turut meng-forward-kannya
kepada rakan-rakan yang lain.

Jika kita meluangkan sedikit masa untuk menilai sms
tersebut secara kritis, kita akan mengetahui bahawa ia
adalah dongeng belaka. Pertama, apakah pemimpin
Hizbollah memiliki suasana duduk bersantai di sebuah
kondominium mewah di Beirut sehingga memiliki masa
yang banyak untuk ber-sms? Kedua, seandai benar beliau
ingin menghantar sms kepada kita di Malaysia, bukankah
lebih wajar jika mesej sms tersebut menjemput kita
turun serta ke medan jihad di Lubnan demi meraih
kedudukan yang terpuji di sisi Allah? 

Ketiga, amalan membaca sesuatu ayat atau surah dan
kemudiannya mengharapkan kuda putih bersayap empat
turun dari langit memberikan apa yang diharapkan
daripada bacaan tersebut adalah sinonim dengan amalan
masyarakat Islam Malaysia. Ringkas kata,
kebarangkalian sms tersebut “Made in Malaysia” adalah
amat tinggi.

Di sini tumpuan saya bukan kepada orang pertama yang
mengarang sms tersebut, tetapi kepada orang ramai yang
menerima, membenar dan meng-forward-kannya. Apakah
kita umat Islam memiliki jati fikir yang amat lemah
sehingga tidak mampu menilai sesuatu khabar secara
kritis sama ada ia sahih atau tidak? Persoalan ini
tidak terhad kepada sms di atas tetapi kepada pelbagai
sms lain daripada wasiat penjaga kubur Nabi s.a.w.
sehinggalah kepada gosip-gosip sekitar kes Lina Joy
dan tindakan kumpulan Artikel 11.

“Cukuplah seorang itu menjadi pendusta apabila dia
menceritakan setiap sesuatu yang didengarnya”,
demikian maksud pesan Rasulullah s.a.w. yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim di awal kitab Shahihnya.
Hadis ini pendek, tetapi memiliki maksud yang
bertepatan dengan kehidupan harian kita. Iaitu, jangan
mudah percaya semua cerita atau khabar, sebaliknya
hendaklah kita menilai kesahihannya. Sms tidak
terkecuali daripada pesan hadis di atas. 

Selain itu, bukankah sen-sen yang kita belanja untuk
meng-forward sms-sms tersebut, yang jika dihimpunkan
pasti sudah mencapai jumlah beberapa ringgit, lebih
baik dan bermanfaat jika kita masukkannya ke dalam
tabung kebajikan rakyat Palestin dan Lubnan?


Sms Oh Sms!

Mesej yang ingin saya sampaikan dalam coretan ringkas
ini tidak sekadar menilai kesahihan sesebuah sms yang
kita terima, tetapi juga bersangkutan dengan beberapa
etika lain yang patut kita perhatikan apabila
berinteraksi dengan sms. Tentu saja hal ini bersifat
relatif, justeru anggap sajalah ia sebagai pandangan
dan bukannya ketetapan. 


Sms Bukan Azan.

Berapa ramai di antara kita yang memiliki tindakbalas
automatik, dimana sebaik sahaja nada sms berbunyi di
talifon bimbit, kita terus membaca dan menjawabnya?
Seterusnya, berapa ramai di antara kita yang menjawab
“Ya” bagi soalan di atas juga terus bergegas
mendirikan solat atau ke masjid apabila mendengar
azan?

Saya biasa melihat orang yang sedang bermesyuarat,
memandu, tawaf dan Sa‘ei, duduk makan malam
sekeluarga, menghadiri kuliah dan di atas pentas
sebagai pembentang kertas kerja berbalas sms. Bahkan
yang saya anggap kemuncak adalah apabila saya pernah
menemani salah seorang rakan ke rumah bakal ayah
mertuanya. 

Ia adalah pertemuan yang pertama, lebih kepada si ayah
ingin berkenalan dengan siapa bakal menantunya. Sambil
berbincang-bincang bersama hidangan teh O dan karipap,
tiba-tiba nada sms berbunyi di talifon bimbit rakan
saya. Umpama tendangan kecil kepala lutut yang
diketuk, dia terus mengambil talifon dari koceknya,
membaca dan membalas. Ini berlaku dua kali. Bakal ayah
mertuanya terpandang sahaja. 

Dalam perjalanan balik, saya mencelah: “Tak sopan
berbalas sms di hadapan orang tua, apatah lagi anta
memang sedang berbual dengannya.” Dia menjawab:
“Ya-lah, betul tu. Entah macam mana….dah biasa terus
jawab”. 

“Sms yang urgent ke?”

“Tak pun, sekadar rakan-rakan yang ingin bertanya
bagaimana hasil pertemuan”.

Di sini saya bukannya menegah para pembaca daripada
berinteraksi secara serta merta terhadap sms. Akan
tetapi yang ingin saya kongsikan adalah kita perlu
bijak memberi prioriti kepada apa yang kita lakukan.
Perkara yang patut didahulukan, dahulukanlah ia.
Perkara yang patut ditangguhkan, tangguhkanlah ia. 

Bagaimana kita berinteraksi dengan sms memberi
gambaran tentang kemampuan kita mengurus masa dan
memprioritikan usaha. Ingat! Muslim yang cemerlang
bukanlah seseorang yang memiliki banyak masa, tetapi
adalah seseorang yang bijak mengatur masanya mengikut
prioriti.


Sms Bukan Piggy Bank.

Betulkah jika saya katakan, antara sebab ramai orang
memilih sms sebagai medium komunikasi adalah untuk
menjimatkan wang? Tetapi anehnya, apabila saya membaca
laporan kewangan syarikat-syarikat komunikasi, antara
punca pendapat mereka yang utama adalah daripada sms.
Jadi benarkah kita selama ini berjimat dengan sms?

Sekali lagi di sini saya bukannya menegah para pembaca
daripada ber-sms, jauh sekali daripada bersikap
kedekut dalam ber-sms. Akan tetapi yang ingin saya
sarankan adalah kita sepatutnya berada di pertengahan
antara bersikap boros dan kedekut: “Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan
hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil
kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah
sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil)
itu.” [Maksud ayat 67 surah al-Furqan]

Bagaimana kita berinteraksi dengan sms adalah cerminan
tentang kemampuan kita mengurus belanjawan. Ini kerana
Muslim yang cemerlang bukanlah seseorang yang memiliki
harta banyak, tetapi adalah seseorang yang bijak
mengurus nafsu dan hartanya.

Seterusnya saya ingin sarankan dua perkara menyangkut
belanjawan sms. Pertama, kepada para pengguna
“pre-paid”, jangan ber-sms sehingga sifar, sebaliknya
tinggalkan sedikit baki untuk digunakan dalam suasana
kecemasan atau penting. Pastikan baki ini tidak
dicerobohi sehinggalah anda dapat “top-up” baki
“pre-paid” anda. Ini sebagaimana belanjawan harian,
kita tidak berbelanja semua RM yang ada melainkan
menyimpan sebahagian untuk kegunaan kecemasan dan masa
depan. 

Kedua, cuba audit semula jumlah RM yang dibelanjakan
untuk sms. Ini kerana dalam sebahagian kes, mungkin RM
tersebut dapat dikurangkan jika penggunanya beralih
dari “pre-paid” kepada “post-paid” atau beralih dari
menaip kepada bercakap. Sedarlah, apa yang zahirnya
kelihatan murah kepada penguna (kita), itulah yang
sebenarnya mahal kepada pemberi (syarikat komunikasi).


Sms Bukan Zikrullah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
an-Nasai dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syaikh
al-Albani (ash-Shahihah, 315), Rasulullah s.a.w.
bersabda, maksudnya: “Segala sesuatu tidak termasuk
zikir kepada Allah Azza wa Jalla, maka ia adalah
permainan dan kelalaian kecuali empat perkara: orang
yang belajar memanah, meningkatkan kehandalan berkuda,
bergurau dengan keluarga dan mengajar berenang.”

Hadis ini mengajar bahawa umat Islam tidak mengenal
perbuatan yang sia-sia. Apa jua yang kita lakukan
hendaklah memiliki tujuan demi kebaikan agama dan umat
kerana Allah s.w.t.. Sikap menjauhi perbuatan sia-sia
akan membuka jalan bagi kita menempuh kedudukan
sebagai umat yang berjaya, sebagaimana firman Allah
s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk
dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri
dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
[al-Mukminun 23:1-3]

Di sini perlu kita fikirkan sama ada sms termasuk
sesuatu yang zikrullah atau sia-sia. Jika ia adalah
zikrullah, iaitu komunikasi demi kebaikan agama dan
umat kerana Allah, maka teruskanlah. Akan tetapi jika
ia adalah sia-sia, maka sudah tiba masanya untuk kita
berfikir secara lebih matang lagi jauh kehadapan.

Tiga etika di atas saya rasa perlu untuk dikongsi
dengan para pembaca sekalian. Pada pengamatan saya,
sebahagian umat Islam telah benar-benar kecanduan
dengan sms. Kecanduan ini perlu dibetulkan dengan
segera agar prioriti kita adalah kepada Allah,
Rasulullah, Islam dan umat, bukan butang-butang di
talifon bimbit.

Oh ya! Sms kedua daripada pemimpin Hizbollah di atas
adalah dongeng juga, sekadar membangunkan minda yang
lena. Jangan forward-kannya.


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke