Israk Pembersih Hati 

PERISTIWA Israk Mikraj yang dialami Rasulullah s.a.w. ribuan tahun dahulu, ketika ini tetap segar dalam ingatan orang-orang yang beriman, kerana ia diperingati setiap tahun. 

Peristiwa yang berlaku hanya dalam tiga suku malam itu sudah cukup untuk memberikan pengajaran bukan sahaja kepada Baginda Rasulullah s.a.w., malah kepada seluruh umatnya sehingga ke hari kiamat. 

Mengingati dan mempelajari semua peristiwa Israk Mikraj bukan hanya sekadar mengulangi cerita-cerita itu seperti mengulangi cerita-cerita legenda yang kosong dan usang. Tetapi sebenarnya peristiwa yang dialami Nabi Besar SAW kita adalah merupakan peristiwa yang amat bererti, yang pada kenyataan dan simboliknya merupakan kisah dan peristiwa umat manusia sendiri dalam menjalani liku-liku hidupnya di semua peringkat masa dan tahapnya. 

Kehidupan manusia dimulai dan sentiasa diwarnai oleh hatinya sendiri. Tingkah laku, tutur kata dan segala gerak gerinya adalah merupakan refleksi hati nuraninya. Hati nuraninya sentiasa mencorakkan perbuatannya, tindakannya dan keseluruhan amalannya. 

Sekiranya hati nuraninya hitam dan kotor, maka perbuatannya juga akan menjelma dalam bentuk yang kotor dan cemar. Demikianlah sebaliknya, apabila hati nuraninya bersih dan suci, maka kelakuannya juga akan menjadi baik dan murni. 

Hal inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang termasyhur tentang seketul daging dalam diri manusia yang memberi kesan besar kepada keseluruhan jasadnya, sama ada menjadi baik atau menjadi rosak, bergantung kepada keadaan seketul daging itu yang dikenali sebagai hati nurani. 

Peristiwa Israk memperlihatkan keadaan ini pada peringkat yang paling awalnya, iaitu sebelum Rasulullah s.a.w dibawa menjelajahi perjalanan malam yang dipenuhi berbagai-bagai peristiwa dan gelagat manusia iaitu ketika baginda didatangi malaikat Jibrail. 

Malaikat Jibrail menjelma di hadapan baginda, dan baginda dibelah dadanya, lalu dibersihkan dadanya dengan air zamzam sebagai persiapan bagi baginda untuk seterusnya mengikuti perjalanan malam yang bakal menyaksikan seribu satu gelagat umatnya dalam menghadapi perintah dan larangan Allah s.w.t. iaitu sama ada mematuhinya atau mengingkarinya. 

Membersihkan dada tentunya mengandungi makna dan lambangnya yang tersendiri, kerana membersih dada bukanlah sekadar membasuh sesuatu yang lahir dari kekotoran dan najis, tetapi membersih dan mencuci keseluruhan dada dalam pengertian lahir dan batin, luaran dan dalamannya. 

Dada dalam takrifan maknawinya adalah merangkumi perasaan, emosi, akal fikiran, wawasan, bisikan hati dan sebagainya. Maka dada dalam pengertian ini melambangkan hati nurani manusia yang sering mendorong manusia untuk bersikap positif atau negatif, menurut kehendak nafsu melulu dan menimbangkan segala tindakannya secara rasional atau sebaliknya, malah menjadikannya manusia yang baik atau manusia yang rosak. 

Pada hati nurani manusialah terletaknya diri manusia itu keseluruhannya, sebab itulah ketika Rasulullah s.a.w. akan dibawa seterusnya dalam perjalanan malamnya ini, maka persiapan yang dilakukan ialah membersihkan dadanya yang melambangkan hati dan perasaan, pemikiran dan minda, untuk menyaksikan kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini dengan penuh ikhtibar dan pengajaran. 

Manusia sendiri sebelum mengenali dunia iaitu ketika ia berada dalam perut ibunya sebagai bayi maka ia akan dipastikan kesihatannya yang normal dengan diperiksa denyutan jantung dan nadinya. Jantung yang berdenyut secara sistematik dan teratur, memberi gambaran tentang keadaan kesihatannya yang sebenar, dan demikianlah sebaliknya. 

Di dalam menghadapi liku-liku hidup pada semua peringkatnya, manusia amat bergantung kepada pemikiran dan perasaannya untuk menjelma menjadi manusia yang berguna atau sebaliknya. Pemikiran dan perasaan serta pandangan hidup yang berada dalam diri dan jiwa raga manusia itu sendiri sebenarnya yang merencanakan tindakan dan kelakuannya. 

Bagaimanapun dalam mempertingkatkan pemikiran dan pandangan hidup manusia, satu proses pendidikan yang teratur haruslah dilakukan dengan penuh teliti. Membasuh dada Baginda Rasulullah s.a.w. dengan air zamzam merupakan satu proses cucian yang dilakukan dengan satu formula dan 'bahan cucian' yang kudus dan mulia. 

Mendidik hati nurani dan pandangan hidup manusia yang tinggi dan mulia, juga memerlukan bahan yang baik dan terpilih. Proses pendidikan manusia haruslah mempunyai matlamat untuk melahirkan orang-orang yang berguna dunia akhirat, yang dapat membezakan di antara nafsu buruk dan baik, perasaan emosi melulu dan pertimbangan akal yang rasional, keimanan dan ketakwaan atau dosa dan durjana. 

Semuanya ini tidak mungkin dilakukan tanpa panduan yang baik dari ajaran yang diwahyukan Allah dan dari pemikiran manusia sendiri yang diterokai oleh akal fikiran mereka berasaskan dasar-dasar umum ajaran Allah itu. Proses pendidikan yang berdasarkan teori cuba-cuba (trial and error) ternyata gagal memberikan hasil yang positif dan konkrit. 

Sebaliknya teori ini melahirkan manusia yang kecewa dan separuh mantap. Di sinilah agama mengambil peranannya dalam membentuk keperibadian manusia melalui nilai-nilai moral dan akhlak, dan dasar umum yang meletakkan asas-asas penting tentang makna dan konsep manusia, iblis, dunia, akhirat, dosa, pahala, halal, haram dan sebagainya. 

Air suci zamzam yang digunakan untuk membersih dada Rasulullah s.a.w. melambangkan formula rohani dan jasmani yang harus digunakan untuk membersih dan membangun hati nurani dan pandangan hidup manusia. 

Manusia harus dibekalkan dengan berbagai-bagai unsur duniawi dan ukhrawi bagi mempersiapkan dirinya mengharungi kehidupan dunia yang penuh cabaran ini, juga dalam persiapannya menuju hari akhirat yang memerlukan amal soleh hasil dari kemantapan iman dan takwa. 

Kegawatan hidup di dunia ini dan kekecohan yang berlaku dalam masyarakat manusia di Timur dan di Barat, adalah akibat dari tindakan dan sikap manusia sendiri yang dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan nafsu badani yang tidak bertepi. Sikap menyembah benda secara melulu sehingga menimbulkan salah laku yang menjelma dalam sifat gelojoh, tamak haloba, tipu muslihat, tindas menindas, tidak mengenal belas kasihan, tidak bertimbang rasa, semuanya merupakan manifestasi sifat buruk yang lahir dari orang-orang yang menghidap 'penyakit hati' yang disifatkan Allah sebagai golongan manusia yang munafik dan kufur nikmat. 

Sudah sewajarnyalah hati manusia dibersihkan dengan sebaik-baiknya dengan basuhan yang bukan hanya suci, tetapi kudus, agar kekotoran yang dibasuh, bukan hanya kekotoran lahiriah, fizikal dan jasmani, tetapi lebih daripada itu ialah membersihkan kekotoran dalaman, rohani dan jiwa. 

Hati dan jiwa yang bersih dan cekal, rohani yang mantap dan kuat, dapat mengatasi segala cabaran, baik yang merupakan cabaran kebendaan atau kejiwaan. 

Hari ini kita menghadapi cabaran getir dalam perekonomian dan kebendaan, di samping cabaran sosial dan moral yang memerlukan benteng ketahanan diri yang perkasa. 

Hari ini kita dapat melihat ramai orang yang binasa akibat cabaran benda dan jiwa, cabaran sosial dan moral. Ramai orang yang terjebak ke dalam perangkap gejala sosial dan kebendaan, dan ramai pula yang tidak tahu kepada siapa yang harus dituju untuk mengatasi krisis yang melanda diri mereka, malah ajaran mana yang harus diambil sebagai panduan hidup supaya berbahagia dan damai. 

Jadi, alangkah baiknya dalam mengingati peristiwa Israk ini, kita dapat mengambil pelajaran yang amat baik, yang berlaku kepada Nabi kita, yang walau pun telah menjadi manusia sempurna dan agung, tetapi sebagai manusia biasa, Baginda perlu dipersiapkan dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan misi dan tugasnya sebagai pemimpin, pemandu dan contoh yang unggul untuk manusia seluruhnya. 

Sekurang-kurangnya kita dapat mempelajari peringkat pertama peristiwa Israk, iaitu membersihkan hati nurani sebersih-bersih yang mungkin, sebelum menjelajahi seluruh peristiwa itu selengkapnya yang terlalu banyak memberi kita pengajaran dan keinsafan.


Do you Yahoo!?
Y! Messenger - Communicate in real time. Download now.

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
click here


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke