ISU KESELAMATAN DI SELAT MELAKA : YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT
SN (24062005) Kejayaan Polis Marin Malaysia menumpaskan sekumpulan 10 orang lanun di dalam kejadian rampasan kapal tangki Nepline Delima pada pagi 14hb Jun minggu lepas mendapat liputan meluas oleh media cetak dan elektronik tempatan. Kapal tangki tersebut yang membawa muatan 6,300 tan diesel bernilai RM12 juta dirampas oleh kumpulan lanun terbabit ketika berada 23 batu nautika ke barat daya Pulau Rebak, di kawasan perairan Langkawi. Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan, terdapat kemungkinan dimana kumpulan lanun tersebut mempunyai hubungan dengan sindiket antarabangsa (BH Jun 17, 2005). Pada bulan Mac yang lepas pula, sebuah kapal tunda Jepun diserang oleh sekumpulan 35 orang lanun lengkap bersenjata dan telah menculik dan menawan tiga anak kapalnya yang terdiri daripada dua orang rakyat Jepun dan seorang pekerja Filipina. Begitu juga pada bulan April tahun ini, tentera laut Thailand telah berjaya menangkap 10 orang lanun warga Indonesia yang sedang berada di dalam sebuah bot nelayan menuju ke selatan Pulau Lipe berdekatan daerah Muang Satun.
Masalah lanun bukanlah suatu masalah yang baru, ia telah
berlaku sejak zaman dahulu kala lagi apabila jalan laut mula dijadikan
sebagai laluan perkapalan dan perdagangan. Lanun dahulu tidaklah
secanggih dan lengkap seperti yang ada pada hari ini. Pada masa kini,
mereka mempunyai senjata api yang canggih, bergerak dengan cekap,
pantas dan tangkas. Mereka begitu arif dengan cara untuk bertindak.
Mereka tahu bahagian kapal yang perlu ditawan terlebih dahulu. Mereka
juga mengetahui dengan tepat laluan ke bilik kawalan dan pantas
menyelesaikan operasi. Dengan kepantasan dan kecanggihan ini, tidak
hairanlah jika kegiatan lanun mula mendapat perhatian yang serius dari
pihak-pihak berkuasa kawasan perairan yang terlibat. Ini memandangkan
operasi yang mereka lakukan adalah seolah-olah seperti operasi
ketenteraan dengan ahli-ahli yang mendapat latihan sempurna dan
mempunyai ketangkasan seperti anggota pasukan komando serta mempunyai
sokongan kewangan yang mencukupi. Tidak hairanlah juga sekiranya kes
lanun di Selat Melaka ini kerapkali dikaitkan dengan sindiket
antarabangsa - bahkan kerapkali juga ia dikaitkan dengan aktiviti
pengganas yang menampakkan kecenderungan untuk menguasai selat tersibuk
di dunia itu.
LANUN DAN HUKUMNYA DI DALAM ISLAM
Aktiviti lanun boleh diertikan sebagai jenayah merompak, merampas dan melakukan tindakan kekerasan di laluan laut yang boleh juga disebut sebagai perompak jalanan (qat'u thariq). Ia dikategorikan sebagai hirabah. Hirabah adalah tindakan sekelompok orang yang bersenjata di dalam daerah Daulah Islam dan melakukan kekacauan, penumpahan darah, merampas harta, merosak kehormatan, merosak tanaman, ternakan, keharmonian agama, akhlaq, dan keamanan masyarakat, baik dari kalangan muslim ataupun kafir (zimmi atau harbi). (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, bab Hirabah). Termasuk didalam hirabah adalah kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh sindiket jenayah, mafia, kongsi gelap, dan lain-lain.
Hukuman hirabah dan tata cara menjatuhkannya telah disebut dengan jelas di dalam al-Qur'an al-karim. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerusakan di muka bumi, tidak lain mereka itu dibunuh, atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya); yang demikian itu adalah sebagai suatu penghinaan untuk mereka di dunia. Dan di akhirat mereka memperoleh hukuman yang berat." (TMQ al-Ma'idah [5]: 33)
Atas dasar itu, hukuman bagi orang yang melakukan hirabah
adalah (1) dibunuh atau (2) disalib atau (3) dipotong tangan dan
kakinya bersilangan atau (4) dibuang negeri. Inilah hukuman yang wajib
dijalankan keatas lanun-lanun yang menjalankan aktiviti mereka di Selat
Melaka menurut hukum Allah. Walaubagaimanapun, Sautun Nahdhah minggu
ini bukanlah ingin membincangkan dengan mendalam hukuman ke atas
lanun-lanun yang menjalankan aktiviti mereka di Selat Melaka. SN minggu
ini ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk mendalami isu
keselamatan selat yang tersibuk di dunia hari ini. Isu ini bukanlah
sahaja tertumpu kepada masalah lanun, malah, lebih dari itu berkisar
disekitar isu penguasaan selat yang strategik ini.
SELAT MELAKA DAN CITA-CITA AMERIKA SYARIKAT (AS)
Mengapakah isu lanun di Selat Melaka ini semakin hangat
diperbincangkan? Selat Melaka adalah merupakan laluan strategik yang
menjadi nadi kepada kebanyakan aktiviti perdagangan dunia. Ia
menyediakan jalinan rangkaian pengangkutan dagangan kritikal diantara
pengeluar dan pengeksport dunia Timur dan Barat. Jumlah trafik
kapal-kapal dagangan di perairan ini mengatasi Terusan Suez dan Terusan
Panama, menjadikannya laluan dagangan yang paling sibuk di dunia. Selat
Melaka mengelolakan jumlah trafik lebih tiga kali ganda daripada trafik
Terusan Suez dan lebih lima kali ganda dari Terusan Panama. Trafik
kapal tangki melalui Selat Melaka mencatatkan peningkatan mendadak
sejak kebelakangan ini dengan kebangkitan China sebagai sebuah kuasa
besar ekonomi rantau ini. Jadual dibawah menunjukkan kadar laluan
trafik di Selat Melaka untuk setiap tahun sejak dari tahun 1999.
Kuasa-kuasa ekonomi rantau ini seperti Jepun dan Korea Selatan
bergantung sepenuhnya kepada bekalan minyak dari Timur Tengah dan
kebanyakannya dibawa dengan kapal tangki melalui laluan Selat Melaka.
Bilangan kapal melalui Selat Melaka, 1999 – 2004. [ Jabatan Laut Malaysia]
Dengan populasi seramai 1.2 bilion orang, China hari ini merupakan pengguna ketiga terbesar minyak dunia selepas US dan Jepun. China kini sedang melalui proses perindustrian antara yang terpesat di dunia dengan perkembangan ekonomi (KDNK) sebanyak 7% setahun. Penggunaan minyaknya meningkat 7.5% setiap tahun, 7 kali lebih tinggi dari US [www.iags.org/china.htm]. Pada tahun 2003, import minyak China meningkat 30% dibandingkan tahun 2002. Dianggarkan pada tahun 2005 peningkatan ini akan bertambah sebanyak 10% menjadi 7 juta tong sehari [China Brief, The Jamestown Foundation Mac 29, 2005]. Apabila ditambah dengan penggunaan negara Asia Pasifik lain bermakna kira-kira 20 juta tong diperlukan setiap hari. Sejumlah 45 buah kapal tangki minyak China melalui Selat Melaka setiap hari masa kini dan dijangkakan menjelang tahun 2010 ianya akan meningkat kepada 60 buah sehari [Iskandar Sazlan, Jun 2004].
Di samping itu, Selat Melaka juga telah menjadi laluan laut yang paling sesuai berbanding pengangkutan darat untuk mengangkut barangan yang berat dengan jumlah yang banyak dari Lautan Hindi ke Laut China Selatan. Selat Melaka, terlindung dari ombak besar dan tiupan angin kuat; dengan kata lain, risiko dan kos menggunakannya sebagai laluan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan laluan alternatif yang lebih jauh dan memakan masa yang lama serta melibatkan kos yang lebih tinggi. Laluan alternatif melalui Sunda, Lombok atau Selat Makassar ke Laut China Selatan boleh digunakan sekiranya penggunaan Selat Melaka terhalang. Namun, penutupan Selat Melaka akan serta-merta menyebabkan peningkatan mendadak kos pengangkutan. Pengalaman penutupan Terusan Suez semasa perang Arab-Israel pada tahun 70an menunjukkan yang harga pengangkutan kapal meningkat berlipat kali ganda. Penutupan Selat Melaka sudah pasti akan memberikan kesan yang sama. Ini akan membawa kepada peningkatan harga minyak yang tentunya mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi dunia. Oleh yang demikian, laluan melalui Selat Melaka merupakan pilihan yang tepat dengan kos yang lebih rendah berbanding dengan laluan darat, udara dan laluan alternatif yang lain.
Faktor strategik inilah yang memaksa AS untuk masuk campur dalam pengurusan keselamatan Selat Melaka. Walaupun kapal-kapal AS hanya mewakili 4% dari jumlah kapal yang melalui Selat Melaka, namun kepentingan sekutu perdagangannya, Korea dan Jepun, serta kedudukan syarikat-syarikat besarnya yang berpusat di sekitar Asia Pasifik adalah merupakan faktor-faktor yang lebih utama dalam keputusannya untuk turut masuk campur di dalam perkara ini. Dan inilah menjadi faktor yang akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, politik dan ketenteraannya, seperti yang digambarkan di dalam dokumen rasminya "… US secara tradisi merupakan pemimpin dalam penggubalan polisi lautan antarabangsa dan telah melibatkan diri di dalam pembangunan perjanjian antarabangsa yang mengurusi berbagai kawasan lautan dunia dan sumber-sumbernya. Kepimpinan ini hendaklah dikekalkan dan digalakkan. Cabaran abad 21 memerlukan peningkatan kerjasama antara penggubal polisi di mana sahaja untuk merealisasikan objektif ini dan mengambil tindakan yang perlu untuk mencapainya…" [U.S Commision on Ocean Policy, September 2004]
Pada tahun 1990, General Norman Schwarzkopf, jeneral yang bertanggungjawab menyerang Iraq pada tahun 1991, telah memberitahu Kongress AS bahawa "Minyak di Timur Tengah adalah bagaikan nyawa untuk Barat. Ia merupakan sumber tenaga kita hari ini dan sebagai kawasan yang mengandungi 77% simpanan minyak dunia, ia akan terus memberikan tenaga pada kita sedangkan tempat-tempat lain sudah kehabisan minyak". Itu adalah pada tahun 1990. Kini, Amerika sudahpun mencerobohi Iraq dalam rancangannya untuk mengawal minyak di Timur Tengah. Ia juga sedang bergerak untuk menguasai minyak dunia dan jalan-jalan sempit tenaga (energy chokepoints). China dan India, seperti yang kita ketahui begitu cepat membangun dan mula menjadi kuasa pengimport minyak yang besar pada ketika bekalan minyak AS dari Laut Utara ke Alaska mula merosot. Dari sini kita sudah dapat menggambarkan konflik tenaga berskala global mula terlukis….
Kerajaan AS sudahpun mengenalpasti Selat Melaka sebagai "world oil transit chokepoint" dan menganggapnya sebagai laluan yang paling strategik di dunia. Di dalam sebuah penulisan oleh William Engdahl di Asia Times, berkaitan dengan perkara ini, beliau menyebut; "Penguasaan ke atas Malaysia, Indonesia dan Myanmar akan memberikan tentera AS penguasaan ke atas laluan laut paling sibuk dari Teluk Parsi ke China dan Jepun. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada China dalam usahanya untuk memperoleh tenaga yang beas dari pengaruh AS. China bukan sahaja telah kehilangan konsesi minyak di Iraq, kini bekalan mereka dari Sudan sedang mengalami tekanan yang hebat dari Amerika" ("Oil Factor in Bush's War on Tyranny", F William Engdahl, Asia Times, 3rd March 2005).
Walaupun gambaran ini hanya sekadar sebuah analisis,
fakta-fakta yang dihuraikan menunjukkan bahawa strategi AS sememangnya
dibangunkan untuk menuju kearah ini. Kenyataan di atas dengan jelas
menunjukkan bahawa penguasaan perairan strategik seperti Selat Melaka
akan dapat memperkukuhkan hegemoni ekonomi, politik dan ketenteraan AS
– sesuai dengan cita-cita mereka dalam memastikan penguasaan dunia AS
yang berterusan. Apatah lagi dengan kehadiran India dan China sebagai
pencabar kuasa ekonomi Amerika – ini turut mendesak AS bukan sahaja
untuk terus berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai pembuat polisi
malah lebih dari itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab mengurusinya.
SENARIO POLITIK NUSANTARA DALAM MENGHADAPI AS
Di dalam sebuah tulisan yang dikeluarkan oleh The National Intellegence Council (NIC), sebuah badan CIA, yang bertajuk Mapping the Global Future suatu senario digambarkan mengenai penegakkan sebuah Khilafah Islam yang muncul pada tahun 2020 untuk mentadbir dan menguasai dunia. Senario ini muncul kerana AS dapat merasakan bahawa Khilafah Islam adalah merupakan suatu kepastian yang hanya menunggu masa penegakkannya. Penegakkan Khilafah sudah pasti menjadi faktor politik yang akan membahayakan kepentingan AS pada masa akan datang. Oleh kerana kawasan Nusantara diduduki oleh kaum muslimin dengan bilangan yang sangat besar, dan kawasan Nusantara juga menempatkan selat yang paling strategik di dunia, secara logiknya, dengan penguasaan Selat Melaka, AS akan dapat menempatkan diri mereka di salah satu tempat yang paling sesuai untuk mengekang, menyerang dan menghancurkan Khilafah apabila ia berdiri kelak. Tambahan pula, beberapa negara di Nusantara ini seringkali dihubung-kaitkan dengan tindakan terorisme; ini boleh menjadi justifikasi yang cukup mudah bagi AS untuk masuk campur secara lebih meluas dalam perjalanan politik, ekonomi dan ketenteraan Asia Tenggara. Sebelum ini, AS telahpun bekerjasama secara ketenteraan dengan Thailand dan Filipina. Singapura pula, yang menjadi sekutu kuat AS di Nusantara, dijadikan sebagai jurucakap bagi mendesak Malaysia dan Indonesia untuk menerima kehadirannya. Namun begitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia tetap dengan pendirian tidak bersetuju soal kedaulatan negara digugat dengan penempatan kuasa ketiga di kawasan perairan tersibuk di dunia itu. Disamping itu, kehadiran pihak ketiga juga tidak akan memberi keuntungan kepada negara pesisir [Bernama.com.my Jun 5, 2005].
Dari pengalaman yang dilihat di negara-negara kaum muslimin di Timur Tengah, tindakan campur tangan US juga boleh menjurus kepada tindakan ketenteraan ke atas negara-negara lain, terutamanya negara umat Islam. Lihatlah apa yang berlaku pada Iraq dan Afghanistan. AS dengan mudah dapat menghancurkan sesebuah negara yang tidak disukainya sekiranya jiran tetangga negara tersebut membenarkan Amerika membuka pengkalan tenteranya disitu. Selat Melaka dan persisirannya amat strategik dan dapat berfungsi sebagai pengkalan tentera untuk menyerang negara-negara Asia Tenggara jika pemimpin negara tersebut tidak mahu mengikuti kehendak dan keputusan AS. Ini seperti yang pernah dinyatakan juga oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa Asia Tenggara khususnya negara-negara pesisir Selat Melaka, perlu belajar dari kegagalan tentera penjajah yang diketuai AS dalam apa yang didakwa sebagai misi membebaskan Iraq [UM Jun 7, 2004]. Walaubagaimanapun, di Singapura baru-baru ini, Datuk Seri Mohd Najib mula membuka sedikit ruang kepada pihak luar dengan menyeru masyarakat antarabangsa dan mereka yang paling banyak mendapat manfaat daripada laluan menerusi selat tersebut untuk tampil membantu usaha-usaha berterusan oleh negara-negara pesisir dengan memberikan sumber-sumber yang besar daripada segi aset, keupayaan dan sumber manusia untuk mengawal keselamatan di perairan itu ke satu tahap yang akan menjadikannya tidak lagi menarik bagi lanun dan pengganas [Bernama.com.my Jun 5, 2005]. Beliau bagaimanapun tetap menekankan keyakinannya bahawa negara-negara persisir masih mampu mengawal keselamatan Selat Melaka.
Mungkin buat masa ini tekanan antarabangsa, khususnya AS masih
mampu ditahan oleh Malaysia sebagai salah sebuah negara pesisir Selat
Melaka. Namun sampai bilakah pemimpin negara akan terus memberikan
alasan-alasan untuk menolak camputangan AS? Dari fakta-fakta yang
diberikan, adalah suatu kepastian tekanan AS akan terus meningkat hari
demi hari. Banyak kawasan kaum muslimin pada hari ini telah di kuasai
oleh kaum kuffar. Terusan Suez di Mesir sekarang ini dalam kawalan
antarabangsa sedangkan Selat Gibraltar (Jabal Tariq) menjadi kawasan
Sepanyol dan Britain. Dan siapakah pula yang akan bertanggungjawab
sepenuhnya ke atas Selat Melaka??
WAHAI KAUM MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN!
Sampai bilakah kita harus tunduk dan patuh dengan kehendak kaum kuffar. Siapakah yang akan menjaga dan memerhatikan umat Islam dan kawasannya dengan sebenar-benarnya? Sesungguhnya, pada suatu waktu dahulu umat Islam bebas dari sebarang penguasaan kecuali kekuasaan Allah SWT dan tidak pernah bergantung kepada kehendak dan telunjuk kaum kuffar. Dahulu umat Islam digeruni dan disegani oleh kaum kuffar. Dahulu umat Islam dijaga dan tanah mereka sentiasa dipertahankan oleh Daulah Khilafah. Daulah Khilafah pernah menjadi sebuah kuasa besar dunia dan umat Islam dipandang tinggi dan hidup dengan penuh kemuliaan di muka bumi....
Hanya penerapan hukum Allah melalui penubuhan Daulah Khilafah sahajalah yang akan dapat melindungi kaum muslimin dengan sebenar-benar perlindungan.
"Sesungguhnya imam/khilafah itu adalah perisai, yang dengannya manusia berlindung dan berperang dibelakangnya" (Riwayat Muslim)
"Setiap kamu adalah pengembala, dan akan ditanyakan kepadamu apa yang kamu gembalakan, Imam adalah pengembala, dan ia akan ditanyakan atas apa yang digembalakan" (Riwayat Mutaffaq 'alaih)
Wahai kaum muslimin yang dimuliakan, adalah wajib keatas kita untuk mengambil berat tentang urusan kaum muslimin baik di dalam mahupun di luar negeri. Sikap berdiam diri kita bukanlah tindakan yang terbaik. Sikap mementingkan diri akan membawa kebinasaan kepada diri kita dan umat Islam keseluruhannya. Janganlah kita leka dan tidak mengendahkan isu ini hanya kerana kesenangan hidup yang sedang kita kecapi hari ini. Ingatlah pesanan junjungan besar kita Rasulullah SAW :
"Siapa sahaja yang bangun di pagi hari dan perhatiannya adalah kepada selain Allah, maka ia tidak berurusan dengan Allah. Dan barangsiapa yang bangun dan tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka ia tidak termasuk dari golongan mereka (golongan muslimin)" (Riwayat Hakim dari al-Khatib dari Hudzaifah ra)
Sudah sampai masanya kekuasaan Islam itu didirikan kembali. Sudah sampai masanya sejarah gemilang Islam berulang kembali.
Wallahua'lam bissawab
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
- To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.