Istimewa Maulidur Rasul 1427 Hijrah: Mengapa Kita Perlukan Rasul Allah?
   
  Rabiul Awal kembali menemui kita. Bulan ini pastinya menggamit memori kita 
kepada sambutan Maulidur Rasul yang amat tipikal kepada rakyat Malaysia. Iklan 
ceramah-ceramah agama dan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan bersempena 
dengan ulangtahun kelahiran Rasul terakhir ini telah mula kelihatan samada di 
televisyen, media cetak, internet, kain rentang dan lain-lain. Tiba hari yang 
ditunggu, yang merupakan cuti umum, gema selawat ke atas Nabi, marhaban dan 
qasidah yang memuji-muji junjungan besar Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam 
mula kedengaran dan perarakan warna-warni kelihatan di mana-mana. Selepas itu, 
ceramah yang menceritakan sedutan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu 
‘alaihi wa Sallam selepas kelahiran dan zaman kanak-kanak baginda mula 
berputar, sama seperti tahun-tahun yang lalu. 
   
  Ada juga pihak yang menganjurkan konsert sempena Maulidur Rasul dengan 
menggandingkan penyanyi nasyid dan diva popular tanahair yang tampil dengan 
imej bertudung. Konsert pada 1hb April 2006 lepas yang dilaporkan telah menarik 
lebih 8,000 penonton itu diserikan dengan kehadiran Ustazah Siti Nor Bahyah 
Mahamod yang menyampaikan tazkirah mengenai perjalanan hidup Rasulullah 
Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sejak dilahirkan sehingga kewafatan baginda 
[www.hmetro.com.my, 5 April 2006]. Nampaknya di zaman ini, untuk ‘menimbulkan 
kecintaan’ kepada kekasih Allah, perlu diadakan konsert sebagai satu uslub. 
Tazkirah juga perlu disampaikan dalam majlis yang mana wanita bebas mempamerkan 
kecantikan dan kelunakan suara melalui nasyid yang berkemundang di hadapan 
ribuan penonton yang terdiri dari wanita dan laki-laki ajnabi.
   
  “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan 
bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Surah Al-Ahzab: 33]
   
  Kepada masyarakat umumnya, apakah sebenarnya erti Maulidur Rasul itu? Adakah 
ia hanya rutin tahunan dengan aktiviti sama saban tahun? Adakah Maulidur Rasul 
dapat menumbuhkan keinsafan dalam diri mereka betapa beruntungnya mereka kerana 
kehidupan dalam kegelapan yang disulami dengan seribu warna perilaku jahiliyyah 
berubah wajah menjadi suatu kehidupan bermartabat tinggi setelah diutusnya para 
anbiya’? Atau apakah sambutan ini hanyalah seperti sambutan-sambutan lain yang 
datang dan pergi tanpa memberikan kesan kepada umat? Malah, pernahkah kita, 
umat Islam hari ini memahami Maulidur Rasul dengan memerhatikan hakikat 
kelahiran Rasul itu sendiri? Bersempena dengan kehadiran 12 Rabiul Awal 1427H 
ini, Sautun Nahdhah ingin mengupas isu ini – isu yang bersangkutan dengan 
fitrah manusia dan mengapa manusia amat memerlukan seorang Rasul untuk 
menjalani kehidupan sejahtera di dunia dan berbahagia di akhirat. 
   
  Beragama Sebagai Satu Fitrah
   
  Sejak zaman berzaman, kita menyaksikan manusia itu sebagai makhluk yang 
mempunyai naluri beragama (gharizah tadayyun/spritual instinct). Belum pernah 
ada suatu masa pun, manusia hidup tanpa mensucikan sesuatu, samada dengan cara 
menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Tuhan yang Hakiki, 
Yang Maha Suci, Allah Azza wa Jalla. Juga, belum pernah ada satu zaman pun yang 
mana manusia tidak menyembah sesuatu. Buktinya, penganut sosialisme yang 
menolak agama dan Tuhan, bukan bermakna tidak mempunyai ‘tuhan’. Akan tetapi, 
mereka mengganti objek penyucian mereka dari satu bentuk ‘tuhan’ kepada bentuk 
‘tuhan’ yang lain. Mereka juga mengubah bentuk ta’zim dan taqdis (pensucian) 
dari Tuhan kepada pahlawan, pemimpin dan benda-benda yang mereka anggap 
memanifestasikan keagungan. 
   
  Titik Ketuhanan (God Spot)
   
  Para ahli sains percaya mereka telah menemui ‘Modul Ketuhanan’ (God Module) 
di dalam otak yang menyebabkan manusia percaya pada agama. Dikatakan bahawa 
terdapat saraf di dalam lobus temporal (temporal lobe) yang berkaitan dengan 
agama, bertujuan untuk mengwujudkan aturan dan keamanan dalam masyarakat 
[http://cas.bellarmine.edu]. Sekumpulan pakar neuro (saraf) di Universiti of 
California di San Diego juga telah mengenal pasti kawasan di dalam otak manusia 
yang berkaitan dengan pemikiran spiritual (kerohanian) dan ibadah. Penemuan 
mereka mendapati bahawa manusia telah diprogramkan secara genetik untuk percaya 
kewujudan Tuhan. [www.parascope.com]. Apabila seseorang menjejakkan kaki ke 
tempat suci seperti masjid atau gereja, perasaan ta’zim dan rendah hati ujud 
dalam diri. Lobus ini mempunyai kaitan dengan frontal cortex yang mengawal 
pusat penumpuan (attention centre) dan juga pusat kognitif (cognition centre) 
yang mengawal pemikiran logik (logical thinking). Eksperimen yang
 dijalankan mendapati wujud aktiviti elektrik di lobus temporal ini ketika para 
pesakit mengatakan mereka mengalami perasaan ‘ketuhanan’. Aktiviti elektrik 
turut dikesan di kawasan ini ketika pesakit mengalami krisis peribadi dan 
kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia). [www.islamonline.net]. Namun tidak 
kira apa jua yang ditemukan oleh para saintis, yang jelas, Allah Subhanahu wa 
Ta’ala telahpun menjelaskan kepada manusia, di dalam Al-Kitab yang tidak ada 
keraguan di dalamnya bahawa naluri mencari Rabb (Tuhan) sememangnya wujud pada 
manusia sebagai salah satu dari naluri yang di kurniakan Allah ke atasnya.. 
   
  “Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, maka ianya memohon kepada Tuhannya 
dengan kembali kepadaNya” [TMQ Surah Az-Zumar:8]
   
  Tegasnya, memeluk agama merupakan fitrah manusia yang tidak dapat disangkal. 
Persoalannya adalah, siapakah sebenarnya yang berhak menurunkan agama yang 
hakiki bagi manusia dalam mengatur keperluan naluri beragamanya? Oleh kerana 
pemenuhan atau pemuasan naluri ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan Zat 
Yang Maha Agung Allah Subhanahu wa Ta’ala, justeru, pemenuhannya mestilah 
datang hanya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Aktiviti untuk memenuhi naluri 
beragama ini dinamakan ibadah, yang berfungsi sebagai tali penghubung antara 
manusia dengan Penciptanya. Apabila hubungan ini dibiarkan tanpa aturan, 
pastinya akan menimbulkan kekacauan dan kekeliruan. Fitrah manusia yang 
sentiasa mahu mencari perlindungan pada kuasa yang lebih kuat dan sempurna, 
tanpa bimbingan dan petunjuk dari seorang nabi, akan membawa Bani Adam kepada 
mencari perlindungan daripada makhluk-makhluk tak bernyawa, haiwan atau pun 
sesama manusia sebelum dia dapat mencari Tuhan yang hakiki. Selagi seseorang
 itu belum menemui jalan sebenar kepadaNya, fitrah naluri beragamanya akan 
sentiasa menunjukkan mana-mana objek/makhluk yang ‘agung’ sebagai ‘tuhan’nya.
   
  Justeru itu, bila kita telusuri perjalanan dakwah yang dirintis oleh pada 
Nabi ia bukanlah hanya untuk meyakinkan manusia tentang adanya Pencipta alam 
semesta malah, lebih dari itu, peranan para anbiya’ adalah membebaskan manusia 
dari cengkaman syirik dan penyembahan kepada selain Allah Yang Maha Suci. 
Sebagai contoh, masyarakat Arab yang mengakui kewujudan Allah, melahirkan 
‘keimanan’ mereka melalui sembahan terhadap berhala sebagai perantara; lantas 
Allah menurunkan Rasul-rasul yang datang untuk memberitahu umat manusia, “Wahai 
manusia! Allah yang kita imani kewujudanNya adalah ini, bukan itu. Ia Maha Esa, 
bukan berbilang. Jangan memberi status Allah kepada makhluk. Terimalah Allah 
sebagai yang Esa. Jangan menerima sekutu apapun bagiNya”.
   
  Kisah Nabi Ibrahim
   
  Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dilahirkan di Babylon dalam lingkungan kegelapan 
penyembahan berhala dan penyembahan manusia. Manusia merendahkan dirinya kepada 
berhala yang dibuat dengan tangannya sendiri atau kepada bintang-bintang. 
Pemerintah di waktu itu adalah Namrud putra Kan’an yang mengaku dewa sungguhpun 
dia juga menyembah berhala. Sokongan dari para ahli nujum yang dianggap sebagai 
golongan intelektual di zaman itu dimanfaatkan oleh Namrud untuk memperbodohkan 
masyarakat ketika itu. Dalam situasi seperti inilah, Nabi Ibrahim dilahirkan.
   
  Ketika berusaha membawa masyarakat ke jalan kebenaran, pada suatu masa, Nabi 
Ibrahim pernah menatap ke langit sewaktu terbenam matahari dan terus berjaga 
sehingga ia terbenam lagi di hari berikutnya. Baginda berdebat dengan umat 
ketika itu dengan mengemukakan hujjah-hujjah yang mantap. Tatkala kegelapan 
malam mula menyelimuti dan menyembunyikan segala tanda kehidupan, bintang yang 
bersinar cemerlang muncul dari suatu sudut cakrawala. Untuk memenangi hati 
pemuja bintang, baginda mengikuti kaedah berfikir mereka sambil berkata, “Itu 
adalah pemeliharaku”. Namun ketika bintang itu tenggelam dan menghilang, 
baginda berkata, “Aku tidak dapat menerima tuhan yang tenggelam”. Baginda 
mematahkan hujjah pemuja bintang yang menganggap bintang itu sebagai tuhan. 
Setelah itu, matanya tertuju kepada sinar sang rembulan yang bersinar dengan 
cahaya yang memukau. Baginda bersikap seakan bulan itu tuhan tetapi kemudiannya 
meruntuhkan kepercayaan itu dengan hujjah yang memuaskan akal mereka.
 Ketika Sang Pencipta membenamkan bulan di sebalik cakrawala dan keindahannya 
lenyap dari muka bumi, tanpa menyinggung perasaan pemuja bulan, baginda 
berkata, “Apabila Tuhanku yang hakiki tidak membimbing aku, tentulah aku 
tersesat kerana ‘tuhan’ ini terbenam seperti bintang dan tunduk pada suatu 
aturan dan sistem yang secara pasti dibentuk oleh sesuatu yang lain”. 
   
  “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku 
termasuk orang-orang yang sesat” [TMQ Surah Al-An’am:77]
   
  Kegelapan malam berakhir dan matahari pun muncul, membuka cakrawala dan 
menyebarkan sinar keemasannya ke muka bumi. Para pemuja matahari kemudiannya 
terus memalingkan wajah mereka mengadap ‘tuhan’ mereka. Nabi Ibrahim turut 
melakukan hal yang sama, seolah-olah bersetuju dengan pemikiran mereka. Namun, 
terbenamnya matahari mengukuhkan bahawa ia tunduk pada suatu sistem alam 
semesta yang umum dan Nabi Ibrahim terus mengatakan bahawa ia (matahari) tidak 
layak disembah. 
   
  “Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata “Inilah Tuhanku”, 
ini yang lebih besar”, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata, 
“Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan” [TMQ 
Surah Al-An’am :78]
   
  Kegelapan dan kehidupan yang terpesong dari kebenaran pastinya kekal 
berterusan tanpa adanya seorang Nabi yang memberi petunjuk akan wujudnya Tuhan. 
Para anbiya’ juga memberi manusia ilmu pengetahuan dalam bentuk hujjah 
intelektual berdasarkan wahyu, yang memuaskan akal dan memberikan ketenangan 
dalam hati untuk memenuhi keperluan jasmani dan naluri manusia seiring dengan 
pemenuhan naluri beragamanya . 
   
  Naluri, keperluan jasmani dan peranan Rasul
   
  Aktiviti seharian manusia dimotivasikan oleh dua perkara yang ingin dipenuhi 
olehnya. Dua perkara tersebut adalah naluri dan keperluan jasmani. Selain dari 
manifestasi naluri keagamaan, manusia juga hidup untuk memenuhi dua perkara 
tersebut. Sekiranya manusia dibiarkan memenuhi dua perkara ini sesuka hati 
mereka nescaya akan hancurlah bumi ini. Di sinilah perlunya kita kepada seorang 
Rasul yang akan menjelaskan kepada manusia cara-cara pemenuhan naluri dan 
keperluan jasmani dengan cara yang betul.
   
  Manusia diciptakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memiliki keperluan 
jasmani (al-hajat al-udhuwiyyah) seperti makan, minum dan lain-lain yang mesti 
dipenuhi. Contohnya, apabila tubuh manusia kekurangan air yang serius, dia akan 
mengalami gangguan seperti mendapat penyakit buah pinggang. Apabila manusia 
mengalami kekurangan oksigen pula, dia akan mengalami sesak nafas dan boleh 
membawa kematian. Inilah hakikat manusia yang lemah. 
   
  “Ini adalah manusia biasa, yang masih memerlukan makan sama dengan apa yang 
kamu makan, dan minum sama dengan apa yang kamu minum” [TMQ Surah 
Al-Mukminun:33].
   
  Dalam keadaan tertentu, keperluan jasmani ini wajib dipenuhi kerana 
kemusnahaan struktur organ badan boleh membawa kematian. Dalam hal ini, Rasul 
yang diutus akan menunjukkan jalan melalui sumber wahyu bahawa dalam memastikan 
keperluan jasmani ini dapat dipenuhi, sesuatu yang asalnya haram seperti 
khinzir menjadi halal demi untuk mengelak kemudaratan. Dengan kata lain, dalam 
situasi ini, memakan yang haram hanyalah sekadar untuk meneruskan hidup 
(survival). 
   
  “Maka sesiapa sahaja yang dalam keadaan terpaksa, tanpa unsur kesengajaan dan 
penentangan, maka tiada dosa baginya” [TMQ Surah Al-Nahl:106].
   
  Dari wahyu juga, kita mendapati bahawa orang yang mencuri untuk makan pada 
masa kebuluran tidak dijatuhi hukuman kerana ia hanya ingin mendapatkan 
keperluan asasnya. “Tiada hukuman potong tangan” (kepada pencuri apabila 
mencuri pada zaman kebuluran yang amat sangat). [HR Makhul]
   
  Naluri pula merupakan satu fitrah yang terdapat dalam diri manusia agar 
manusia dapat melanjutkan keturunan, mempertahankan diri (survival) dan mencari 
petunjuk akan kewujudan Sang Pencipta. Naluri ini tidak dapat diindera secara 
langsung oleh manusia tetapi dapat dijangkau oleh akal berdasarkan realiti 
manifestasinya. Naluri ini tidaklah seperti keperluan jasmani (al-hajat 
al-udhiwiyyah) – ia tidak akan menjejaskan nyawa manusia jika tidak dipenuhi 
sebaliknya hanya akan menimbulkan kegelisahan dan kegawatan fikiran terutamanya 
apabila wujud rangsangan dari realiti luaran. Perbincangan mengenai naluri 
keagamaan telahpun ditelusuri. Perlunya seorang Rasul dalam membimbing dan 
menyampaikan hukum Allah bagi memastikan dua lagi naluri manusia dapat di kawal 
dalam pemuasannya secara syar’i boleh diperhatikan dari contoh di bawah.
   
  i.          Naluri Mempertahankan Diri
   
  Allah telah mewahyukan kepada labah-labah:
   
  ”Kamu ambillah gunung, pokok dan apa sahaja yang mereka jadikan sebagai atap 
untuk menjadi tempat tinggal (rumah)-nya [TMQ Surah An-Nahl:68]. Di sini, kita 
melihat bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan ciri-ciri khusus 
kepada labah-labah untuk membuat tempat tinggal di mana pun yang 
memungkinkannya berlindung dari serangan makhluk lain sebagai bukti wujudnya 
naluri mempertahankan diri (survival instincts) atau gharizatul baqa’. 
Manifestasi wujudnya naluri ini ditunjukkan dengan rintihan rakyat Malaysia 
apabila harga runcit minyak petrol dinaikkan sebanyak 30 sen kerana kenaikan 
harga minyak yang memberi kesan domino ke atas harga barang dan perkhidmatan 
yang lain, telah menjejaskan kuasa membeli (purchasing power) kerana pendapatan 
boleh-guna (disposable income) mereka turut terjejas. Dalam konteks ini, Islam, 
melalui perantaraan RasulNya, menetapkan hukum-hukum yang berkaitan dengan 
kepemilikan dan jaminan keperluan asas bagi memastikan bahawa naluri
 mempertahankan diri manusia diperhatikan dengan betul.
   
  ii.         Naluri Melanjutkan Keturunan
   
  Manusia juga memiliki naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizatun 
nau’/procreation instincts) termasuk menyukai lawan jenis dan menyayangi 
kaum-kerabat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Al Quran: “Sesungguhnya 
wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf dan Yusuf pun 
bermaksud (melakukannya) dengan wanita itu, seandainya dia tidak melihat 
tanda-tanda (dari) Tuhannya” [TMQ Surah Yusof:24]. Kehadiran seorang Rasul 
dapat memberi petunjuk untuk memenuhi naluri ini dengan jalan yang syari’e. 
“Wahai para pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka 
bernikahlah. Sebab bernikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi 
kemaluan. Namun sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa sebab 
puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang)” [HR Bukhari]. Naluri yang 
cuba dikekang atas alasan keagamaan ternyata bertentangan dengan fitrah manusia 
yang mahukan pemenuhan naluri seksual sebagaimana kisah seorang lelaki
 yang telah didera secara seksual selama 10 tahun oleh seorang paderi bernama 
Father Christopher Clonan, paderi di Christ The King Church di Coventry, United 
Kingdom. Pemenuhan naluri seksual di luar tabi’i bukan sekadar menyebabkan 
mangsa mengalami “schizophrenia” dan “post-traumatic stress disorder”, malah 
pihak gereja terpaksa membayar lebih £600,000 pampasan kepada mangsa. 
[http://u.tv/newsroom/indepth.asp]. Naluri melanjutkan keturunan ini juga 
mendorong seorang ibu, Jacqueline Pascarl-Gilespie dan seorang anak, Raja 
Shahirah Aishah Raja Bahrin Shah untuk berusaha menjalin semula hubungan 
sehingga dapat bertemu selepas 14 tahun terpisah [www.hmetro.com.my, 8 April 
2006]. Islam meletakkan berbagai hukum yang menetapkan hubungan lelaki dan 
wanita yang syar’ie berjalan sesuai dengan fitrah manusia.
   
  Khatimah
   
  Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah, peri pentingnya kehadiran seorang 
Rasul kepada manusia amat jelas sekali. Rasul datang untuk menerangkan kepada 
manusia agar beriman dengan Pencipta dengan cara yang sebenar-benarnya tanpa 
ada unsur wijdan (sangka-sangka). Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa 
petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. " [TMQ 
Surah Al-Fath: 28]. Sayugia, hendaklah kita menjadikan baginda sebagai contoh 
terbaik. “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu 
bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keredhaan di Hari Kiamat " [TMQ 
Surah Al-Ahzab: 21]. Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna baginda hanya layak 
dijadikan sebagai idola yang dikenang di hari ulangtahun kelahiran sahaja, 
diikuti untuk melaksanakan ibadah ritual atau disanjung seperti tokoh-tokoh 
tertentu di atas jasa-jasa yang telah disumbangkan sebaliknya kita sebagai umat 
Islam sejati hendaklah mengambil contoh teladan yang
 telah ditunjukkan baginda dalam semua urusan termasuk sistem pemerintahan, 
ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain yang mana 
kesemua ini hanya dapat direalisasikan secara hakiki dalam sebuah Negara Islam 
(Daulah Islamiyyah). Pemahaman yang benar mengenai Islam dengan jalan yang 
ditunjukkan oleh nabi (manhaj nubuwwah) pastilah selari dengan firman Allah, 
“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat 
kepada seluruh alam.” [TMQ Surah al-Anbiya’ : 107]. 

                        
---------------------------------
Yahoo! Messenger with Voice. PC-to-Phone calls for ridiculously low rates.

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke