INTISARI KITAB
Mau'izhatul Mu'minin min
"IHYA' ULUMIDDIN"
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)

Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du...
 
KITAB HALAL DAN HARAM (4/5)
 
Peringkat-peringkat syubhat
       
                Bersabda Rasulullah s.a.w.
       
                “Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah
      nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan, yang
      kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri
      dari perkara-perkara yang syubhat itu samalah seperti orang yang telah
      melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam
      perkara-perkara yang syubhat itu akan tergelincir pula ke dalam perkara
      yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar
      tempat larangan , akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”
       
                Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga
      bahagian dari peringkat-peringkat hukum, iaitu:
       
      (1)               Perkara syubhat, iaitu peringkat yang paling rumit
      sekali antara tiga bahagian itu. Perkara syubhat ini biasanya banyak orang
      ramai tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan
      seluas-luasnya, sebab perkara yang tiada diketahui pula orang sedikit,
      jadi patutlah ia dijelaskan kepada orang ramai.

      (2)               Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas
      hukumnya iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala
      sifat yang menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari
      sebab-sebab yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.

      (3)               Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas
      hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang
      sudah tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat
      pengaruhnya terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang
      kenajisannya. Ataupun yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang sama
      sekali oleh agama, seperti penghasilan sesuatu dengan jalan penganiayaan
      atau riba atau yang seumpamanya.

      Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya. Kemudian
      akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini mana yang telah ternyata
      perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak, dan
      kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang boleh
      menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat dicarikan
      dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.

      Ada pun perkara syubhat itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya
      perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang
      berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.

      Dalam persoalan syubhat ini ada beberapa hal yang harus diperhatikan,
      iaitu:

      Pertama: Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang
      mengharamkan
. Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya itu sama,
      maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada sebelumnya, dan
      hukum inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh ditinggalkan perkaranya
      terbiar di dalam keraguan terus-menerus. Kemudian andaikata suatu
      kemungkinan baru ditimbulkan, mengalahkan (mengatasi) kemungkinan yang
      telah ada serta dibuktikan dengan dalil-dalil yang kuat dan mu’tabar
      (sah), maka hendaklah dihukumkan menurut kemungkinan yang baru yang telah
      mengatasinya itu.

      Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan contoh-contoh
      dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan kepada empat
      bahagian:
      (1)               Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum itu,
      kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk menghalalkannya.
      Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhat yang harus dijauhi dan
      diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.

      (2)               Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu
      timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka
      hukumnya yang diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum yang
      tersebut.

      (3)               Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi
      timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan
      suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam keraguan,
      hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya. Dalam perkara serupa ini
      haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya kemungkinan
      penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu’tabar dalam hukum
      syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya menjauhinya
      dikira suatu kewara’an. Misalnya: Seseorang pemburu memanah seekor buruan,
      tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila ditemui di dapati
      binatang itu sudah mati, dan tidak ada tanda-tanda lain pada badan
      binatang itu  hanya anak panah pemburu itu saja, padahal berkemungkinan
      sekali bahwa binatang itu mati kerana jatuh terhempas atau kerana
      sebab-sebab lain, bukan kerana anak panah pemburu tadi. Maka dalam hal
      yang serupa ini, hukum yang dipilih oleh syariat ialah halal, kerana luka
      tersebab anak panah tadi adalah sebab yang lahir yang menjadikan binatang
      itu mati, dan yang demikian itu telah terbukti. Jadi diberatkan hukum
      matinya binatang itu kerana terkena anak panah, dan bukan kerana
      sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan matinya oleh sebab-sebab yang lain
      itu masih diragukan dan tidak ada buktinya. Dalam istilah hukum syariat,
      sesuatu yang telah ditentukan keyakinannya tidak boleh ditolak dengan
      lahirnya keraguan yang belum tentu betul.

      (4)               Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan tetapi
      timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan
      pengharamannya, bergantung atas sebab yang mu’tabar dalam syariat, maka
      hendaklah ditolak hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram. Misalnya:
      Seorang yang meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan ijtihadnya
      bersandarkan kepada sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat menentukan
      kemungkinan salah satu dari dua bejana itu mengandungi najis, maka dalam
      hal serupa ini hendaklah dihukumkan haram meminum air dari bejana itu,
      sepertimana diharamkan mengambil wudhu’ dari air tersebut.
 

      Kedua: Syubhat yang timbul kerana adanya percampur adukan antara yang
      halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh diperbedakan,
      ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.

      Percampuran itu ada bermacam-macam contohnya:

      (1)   Percampuran yang berlaku dengan bilangan yang tertentu, misalnya
      seekor bangkai yang bercampur aduk dengan seekor binatang yang disembelih,
      ataupun bercampur aduk dengan sepuluh ekor binatang yang disembelih.

      Misalannya yang lain: Seorang saudara perempuan sesusuan bercampur aduk
      dengan sepuluh orang wanita lain (yang tiada dikenali mana satu). Inilah
      syubhat yang wajib dijauhi menurut ijma’ para ulama, kerana amat sukar dan
      tidak ada jalan sama sekali untuk menyiasat atau berijjtihad lagi, apatah
      lagi jika tanda-tandanya tidak dapat dikenali.

      Menurut dasar hukum, yang bercampur aduk dengan bilangan yang tertentu
      (kecil) jadilah ia seperti benda yang satu, dan kemungkinan keyakinan
      penghalalanya dan pengharamannya sama sedarjat. Dengan itu hujah untuk
      memberatkan penghalalannya menjadi lemah, sedangkan wajah laranngannya
      dianggap lebih berat dalam kacamata syariat Islam, maka oleh itu hukum
      larangannya lebih diberatkan.

      (2)               Percampuran haram yang sedikit dengan halal yang banyak.
      Misalnya: Jika bercampur seorang saudara perempuan sesusuan atau sepuluh
      saudara perempuan sesusuan dengan sekian penduduk wanita sebuah negeri
      yang luas. Maka hukumnya tiadalah dilarang ia untuk berkahwin dengan
      sesiapa saja yang dipilihnya dari wanita-wanita negeri itu. Alasannya
      ialah kemungkinan halalnya lebih berat, dan keperluan kepada perkahwinan
      pula tidak boleh ditahan. Seorang yang kehilangan saudara sesusuannya atau
      adik beradiknya, atau mahramnya kerana sebab beripar-ipar, ataupun kerana
      sebab-sebab lain, tiadalah wajar untuk ditutup kepadanya pintu perkahwinan.
      Begitulah pula, jika ia meyakini bahwa semua harta kekayaan dunia ini
      telah bercampur aduk dengan yang haram, tidaklah wajib baginya
      meninggalkan membeli barang atau memakan sesuatu, kerana yang demikian itu
      akan menimbulkan kesukaran pada jiwa dan diri.
       
      Firman Allah Ta’ala:
       
      “Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama.”
                                                                                
        (al-Haj: 78)
       
      Perihal semacam ini pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w. iaitu
      pernah dicuri perisai dalam zamannya ataupun pernah digelapkan sehelai
      baju ‘aba’ah dari harta rampasan perang, maka tiada seorang pun yang
      menahan dirinya dari membeli perisai atau baju ‘aba’ah dalam dunia. Begitu
      pula halnya kepada segala barang-barang curian yang lain. Demikianlah
      halnya dengan keadaan Rasulullah s.a.w., baginda mengetahui adanya orang
      yang ber mu’amalah dengan riba (bunga) pada hartanya, dirhamnya atau
      dinarnya tetapi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak pernah
      meninggalkan penggunaan dirham datu dinar sekali.

      Adapun jika bercampur antara haram yang banyak dengan halal yang banyak
      yang tak dapat dihitung banyaknya, iaitu sebagaimana yang berlaku pada
      zaman kita ini, maka hukumnya tiadalah terlarang menggunakan sesuatu hanya
      semata-mata disebabkan percampuran itu, sama ada berkemungkinan ia dari
      yang haram ataupun yang halal, sehingga dapat dikesan atau terbukti pada
      benda itu tanda-tanda yang menunjukkan ia itu haram.

      Jika ada orang yang mendakwa, bahwa kebanyakann harta kekayaan pada zaman
      kita ini haram, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah dan keliru.
      Mungkin dakwaan itu timbul kerana kebanyakan manusia hari ini telah rosak
      moralnya, dan mereka membanggakan keadaan itu, sekalipun perkara ini,
      jarang-jarang berlaku pada sesuatu tempat yang tertentu. Mungkin sekali
      kerana ia menganggap bahwa penzina-penzina dan peminum-peminum arak telah
      berleluasa di mana-maa tempat, sebagaimana berleluasanya perbuatan
      perkara-perkara haram yang lain, sehingga ia mengira orang-orang yang
      membuat kesalahan ini lebih banyak dari yang lainnya. Ternyata sangkaan
      serupa ini adalah salah, kerana mereka ini adalah sedikit bilangannya,
      jika dibandingkan dengan yang lain-lainnya, meskipun jumlahnya semakin
      bertambah.

      Kesimpulannya, sesuatu benda itu dihukumkan halal selagi tidak ada padanya
      tanda-tanda yang tertentu yang menunjukkan bahwa ia itu haram.

      Ketiga: Syubhat yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat, iaitu
      seperti berjual-beli di waktu azan sembahyang Jum’at, atau menyembelih
      bintang dengan pisau yang dirampas atau dicuri, atau berjual beli ke atas
      barang yang sudah dibeli atau dijual kepada orang lain, ataupun menawarkan
      harga yang lebih atas harga yang ditawar oleh orang ramai. Semua ini
      adalah terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun akad jual beli itu
      tidak rosak, yakni tetap sah. Hanya larangan melakukan seumpama ini dikira
      sebahagian dari hukum wara’ saja, sebab mendapatkan keuntungan dengan
      melakukan perkara-perkara seumpama ini adalah makruh, sedangkan makruh
      itu hampir dekat dengan haram.

      Misal yang lain ialah umpamanya membuat sesuatu yang boleh menarik kepada
      maksiat, seperti menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata
      kepada perompak atau lanun.

      Para ulama bertelingkah pendapat dalam perkara mengesahkan penjualan
      serupa itu, dan pada menentukan halalnya harga yang diterima dari
      penjualan itu. Tetapi kias yang diberatkan, ialah penjualan itu sah dan
      harganya halal, hanya orang yang melakukannya dikira menderhakanya orang
      yang menyembelih dengan pisau yang dirampas atau dicuri, maka
      penyembelihan itu tetap dikira halal. Walau bagaimanapun, si penjual itu
      tetap dihukumkan menderhaka kerana dia telah menolong orang lain untuk
      melakukan maksiat. Perbuatannya itu tiada bergantung sama sekali dengan
      akad jual beli itu sendiri, manakala harga yang diterimanya itu dihukumkan
      makruh secara berat sekali. Meninggalkan melakukan serupa ini, dikira
      suatu tanda kewara’an.
 
Suatu peringatan
       
                Tiada boleh seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan
      kewara’an, melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab
      kiranya ia melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa
      berpandukan kepada arahan-arahan yang tertentu, niscaya akan timbul
      perkara-perkara yang membaikkan.

                Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara’an dikhuatirkan
      akan termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta’ala
      dalam firmanNya:
       
                “Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam
      kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan
      sesuatu perkara yang baik.”                                               
                  (al-Kahf: 104)
       
                Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
       
                “Keutamaan orang alim ke atas orang ‘abid (banyak ibadatnya)
      seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”
 
 
(Bersambung)
       


Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila terus diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau mampu.




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke