Malin Kundang dan Dunia Kini UMAR JUNUS sambungan ...
MENDEKONSTRUKSI CERITA MK Domba Yang Pulang Menjadi Batu oleh Syahril (1978) adalah cerita tentang seorang pemuda Minang. Dia memasuki Teluk Bayur - Air Manis yang terletak di sebalik bukit - dan disapa Malin Kundang yang mengatakan dia juga anak derhaka. Tetapi, Malin Kundang kecewa, bila pemuda itu menjawab dia bukan anak derhaka. Dia mengasihi ibunya, meskipun ini dia ucapkan sambil menangis, kerana teringat telah bertahun-tahun dia meninggalkan ibunya yang tua renta dan miskin. Dalam matanya bermain peristiwa Malin Kundang menjadi batu setelah dipanah kilat dengan tiba-tiba tanpa ibunya mengucapkan kutukannya. Sebaliknya, ibunya berdoa meminta Malin Kundang menjadi manusia semula. Namun, Malin Kundang tetap menjadi batu. Dengan itu, cerita ibu dalam sajak itu lebih baik berbanding dengan cerita MK yang lain. Ibu dalam kebanyakan cerita MK 'jahat', sampai hati mengutuk anaknya. Syahril telah juga mendekonstruksi cerita MK . Citra ibunya lebih baik daripada dalam cerita MK yang biasa dikenali. Walaupun Malin Kundang tetap derhaka, tetapi dia menjadi batu bukanlah kerana dikutuk ibunya. Ibunya mengasihi Malin Kundangsehinggakan dia mendoakan kepada Tuhan untuk memanusiakan Malin Kundang semula. Ternyata Syahril tidak ingin menjadi Malin Kundang yang dihukum Tuhan kerana menderhakai ibunya. Namun, mitos Malin Kundang tetap utuh. Hal itu agak berbeza dalam drama Wisran Hadi (1978). Meskipun Malin Kundang salah satu wataknya, namun rujukan terhadapnya dalam hubungan penderhakaan kepada ibu hanya ada pada beberapa bahagian. Di halaman 576 Lelaki, bapa Malin Kundang, berkata kepada Ibu II, ibu Malin Kundang, tentang kemungkinan Malin Kundang menderhakai ibunya dan orang akan menyalahkan Malin Kundang kerana sebagai anak, posisinya lemah di depan ibunya. Di halaman 603 diceritakan kepulangan Malin Kundang untuk mencari ibunya. Tetapi, ibunya hairan kerana anaknya telah dikutuknya untuk menjadi batu. Oleh sebab itu, dia menjadi ragu-ragu sama ada yang dikutuknya itu anaknya, Malin Kundang, atau anaknya yang turun ke kapal bersama isterinya, lantas dilihat mata tuanya sebagai lakinya yang menggandeng isteri muda, lalu dia mengutuk kerana kecewa. Oleh itu, ibu tua itu hairan bila Malin Kundang mencarinya dan mengenalnya. Malin Kundang berkata tidak mungkin anak melupakan ibu dan kasih ibu. Bila ibu bertanya siapa yang datang ke pelabuhan, maka Malin Kundang berkata "pelabuhan tempat berhenti sesaat buat para pelaut". Yang dikutuk ibunya hanya impiannaya atau bayangan kekecewaan masa lalu. Batu itu adalah kaki bukit berbatu cadas dan juga penahan gelombang laut yang keras. Bila ibu berkata: "Kalau kau tak datang anakku, tentu kau akan tetap dianggap anak durhaka", Malin Kundang menjawab "Memang sulit mencegah kebodohan". Cerita Wisran itu bersilang siur. Di halaman 576, disarankan Malin Kundang akan derhaka kepada ibunya, tetapi ini ditolak di halaman 603-5. Yang dikutuk ibu Malin Kundang bukan Malin Kundang, tetapi bapa Malin Kundang yang turun ke kapal menggandeng isteri mudanya. Mata perempuan tua itu tidak dapat membezakan antara anaknya, Malin Kundang dan suaminya. Ini ditambah dengan catatan lain di halaman 603-5: anak tidak mungkin melupakan ibunya kerana ibu mengasihinya. Yang dikutuk ibu hanya impian dan kekecewaan masa lalu ibunya. Batu yang dikatakan batu Malin Kundang itu adalah batu cadas penahan gelombang keras dan bukan Malin Kundang. Lantas ini ditutup Wisran dengan mengatakan: "Memang sulit mencegah kebodohan". Dengan kata lain, hanya orang bodoh akan percaya batu cadas itu Malin Kundang yang membatu. Dengan cerita itu, Wisran mendekonstruksi cerita MK yang berakhirkan Malin Kundang menjadi batu. Dekonstruksi Wisran itu lebih komplek dari Syahril kerana Wisran mengajak khalayak agar tidak mempercayai batu Malin Kundang adalah pembatuan Malin Kundang, tetapi batu cadas yang biasa. Selain itu, Wisran juga mengajak khalayak berfikir tentang cerita MK justeru ada dekonstruksi lain yang dilakukannya. Malin Kundangdalam drama ini sebapa dengan Malin Deman (= MD ) dan Puti Bungsu (=PB ), dan bapa itu adalah Lelaki. Oleh kerana bapa MD dalam cerita MD yang biasa adalah Malin Dewa, maka Malin Dewa adalah juga bapa Malin Kundang dan PB. Oleh kerana PB adalah wanita yang terakhir dan juga isteri Malin Kundang yang kaya, tetapi melahirkan Malin Duano, anak MD , pemancing yang miskin. Kisah PB diperisteri Malin Duano telah saya perkatakan dalam Realitas dan Mitos dalam Puti Bungsu (1979) dan Mitos dan Komunikasi (1981). PB adalah pembalikan Lelaki. Sekiranya Lelaki mempunyai tiga orang isteri, Ibu I, Ibu II dan Ibu III, PB pula mempunyai tiga orang 'suami', Malin Kundang, MD dan Malin Duano. Dekonstruksi Wisran itu menyebabkan khalayak mempertanyakan cerita MK . Ini terjadi pada tahun 1985. Selama lima bulan semasa berada di Padang masa itu, saya bergaul dengan Wisran dan kawan-kawannya. Terkadang-kadang perbualan kami menyimpang ke Malin Kundang, sama ada kerana mungkin cuba mengolokkan kebodohan orang Minang untuk menolak Malin Kundang yang kaya, atau mempertanyakan kemungkinan Malin Kundang hanya membawa mas jawa, bukan (e)mas. Perkataan mas digunakan orang Jawa untuk memanggil seseorang, selain membatu perlu difahami secara simbolik. Orang Minang pulang ke kampung dan membatu, sama ada menjadi kepala batu, menang sendiri, atau diam membatu, tidak menghasilkan apa-apa. Ini seperti sarjana yang kurang kreatif pulang ke kampung: kurang aktif dalam bidang ilmu. Pertemuan informal itu membuat orang ramai melatah. Menurut Wisran, seorang Malin KundangCina, Liem Khoon Doang namanya, telah mengupah seorang sasterawan untuk mengarang mitos bertaraf nasional tentang dirinya tanpa informasi dia telah menjadi kaya kerana memiskinkan orang lain. Tetapi, oleh kerana gagal membayar sasterawan itu, dia dikutuk sehingga menjadi batu. Saya teringat hal ini setelah membaca cerpen A. A. Navis Malin Kundang, Ibunya Durhaka dalam Bianglala (1990). Peristiwa itu telah juga membuat saya melatah, lalu mengarang Malin Kundang Menantang Mitosnya dalam Catatan Malin Kundang (1989). Saya bosan dengan orang yang masih lagi mengutuk Malin Kundang dalam lagu yang sepatutnya menghiburkan. Malin Kundang juga akan menyesal dalam kubur. Ia perlu bangkit dari kubur untuk membela diri dan juga menentang mitosnya. Tetapi, oleh kerana dia berasal dari masa lampau yang jauh, tidaklah lagi kita mengerti bahasanya. Demikian juga dia tidak mengerti bahasa orang masa kini, meskipun bahasa itu bahasa Minang. Lalu orang marah-marah kepadanya. Menurut Malin Kundang, ini akan merosakkan tugasnya mencegah orang daripada memarahinya. Kesalahfahaman ini perlu ditegah dengan membeli pemahaman orang. Tetapi Malin Kundang telah lupa yang khalayak kini sudah tidak mempunyai pemahaman lagi setelah pemahaman mereka dibeli. Lalu digalinya (bekas) kuburnya, diambilnya hartanya, mas dengan dikerumuni orang yang inginkan mas. Tetapi orang ramai itu kecewa kerana mas itu mas murahan, yang merah atau abang dalam bahasa Jawa, lebih-lebih lagi jumlah masMalin Kundang sangat sedikit. Kini ada mas berbungkal-bungkal besarnya, selain boleh berjalan dan diperjalankan - catatan: ini adalah mas Jawa. Oleh sebab Malin Kundang gagal membeli pemahaman orang, maka salah faham orang lain itu terus membara. Yang untung segalanya itu terjadi pada zaman teknologi kerana ucapan Malin Kundang yang dicatat itu boleh dibaca lagi setelah Malin Kundang menghilang. Singkatan ceritanya itu adalah seperti yang diperturunkan seterusnya. Melalui pendengaran dari alam fana, Malin Kundang melihat orang mengedarkan cerita palsu tentangnya. Lalu dia menceritakan fakta: dia sengaja pulang ke kampung kerana mencari ibunya. Tetapi, setelah lama merantau, dia terlupa wajah ibunya. Demikian juga ibu-ibu kampung pun sudah tidak ingat anak mereka kerana sudah lama merantau. Tetapi, kerana anak-anak yang pulang itu amat kaya, ibu-ibu berebut-rebutan mengakui diri ibu Malin Kundang. Tingkah laku itu membingungkan Malin Kundang. Dia merasa perlu ada cara untuk membuktikan siapa ibu kandungnya. Atas usul seorang anak muda yang akan merantau tidak lama lagi, ibu-ibu itu diminta mengucapkan formula pembuktian berikut: Seandainya yang baru pulang ini, yang sangat kaya ini, dan kekayaannya Memang sangat saya perlukan, memang adalah anak saya, Oh Yang Maha Berkuasa, buktikanlah bahawa dia benar-benar anak saya dengan mengubahnya… Dengan bahagian akhir formula itu mereka rumuskan sendiri. Cara ini baru berhasil setelah seorang ibu melengkapkan formula itu dengan menambah 'jadi batu'. Oleh kerana dia itu mungkin ibu kandung Malin Kundang, Malin Kundang dan hartanya jadi batu. Meskipun gagal mendapatkan harta Malin Kundang sang ibu itu puas. Dia boleh memegahkan diri sebagai ibu yang berhasil melahirkan anak yang berjaya. Menurut Malin Kundang fakta ini telah diputarbalikkan oleh pencerita selama ini, maka. dia menyesali kutukan itu. Andai tidak ada kutukan itu, kekayaan yang dibawanya boleh membebaskan orang Minang dari dilema perantau, cinta kampung tetapi tak mungkin menghuni kampung. Yang paling dibenci Malin Kundang ialah orang menggunakan nama dan ceritanya untuk tujuan komersil. Orang tua yang impoten dan tidak mampu mendidik anak mereka telah menggunakan nama dan cerita itu untuk membuat anak mereka patuh kepada mereka. Dengan berbuat demikian, mereka dapat menghalang anak mereka mempunyai fikiran sendiri. Saya ikut mendekonstruksi cerita MK yang biasa dikenal sebelumnya (1989 & 1994). Saya mengatakan Malin Kundang bukan anak derhaka, tetapi Malin Kundang sengaja pulang untuk mencari ibunya. Tetapi, kelamaan perantauan telah menyebabkannya melupakan wajah ibunya. Disebabkan banyak pemuda kampung itu telah merantau, ibunya juga lupa anaknya. Di sini perlu ada pembuktian ibu kandung Malin Kundang. Dalam proses ini Malin Kundang telah menjadi batu. Yang ada bukan kutukan, tetapi pembuktian. Oleh kerana itu, ibu Malin Kundang merasa bangga biarpun Malin Kundang sudah menjadi batu, kerana dapat dibuktikan dia adalah seorang ibu yang telah melahirkan anak yang berjaya. Sehubungan itu, A.A. Navis ikut menyambung bicara tentang Malin Kundang dengan mengarang Malin Kundang, Ibunya Durhaka. Judul ini mengingatkan saya kepada Kaba Amai Cilako 'Kaba ibu celaka' oleh Syamsuddin (1961) yang pertama kali terbit pada tahun 1920an. Judulnya jelas merupakan pembalikan pengertian orang selama ini tentang Malin Kundang. Pada cerita yang biasa, Malin Kundang yang derhaka. Ini diterbalikkan Navis. Jawapan kepada soalan mengapa Navis merumuskan sedemikian boleh dibaca pada cerpennya itu. Menurut Navis, cerita MK sangat popular berikutan permintaan orang kampung mahu menghidangkan sandiwara yang segar sehabis lebaran. Ada orang kampung menyusulkan cerita MK. Usul itu ditolak kerana didapati songsang, lagipun cerita itu dongeng kanak-kanak, kerana si ibu yang derhaka dan bukannya Malin Kundang. Malin Kundang pulang dari merantau membawa isteri yang cantik. Malin Kundang menceritakan kemegahan kampungnya kepada isterinya sebelum mereka balik, dan tentang ibunya yang mandiri setelah ditinggal mati suaminya. Setelah balik, mereka mendapati kapal yang berlabuh itu tanah tandus. Dengan itu, isterinya merasa kesal dan mengatakan Malin Kundang membohonginya. Dan begitu kapal merapat datang seorang perempuan renta menanti di bawah tangga. Diiringi seorang lelaki dari kejauhan. Malin Kundang tahu perempuan renta itu ibunya. Tetapi, Malin Kundang bertanya siapa lelaki itu. Jawab ibunya, itulah satu-satunya lelaki yang rela menemaninya sampai Malin Kundang datang kerana dijanjikannya akan diberi bagian harta Malin Kundang. Dia lalu meradang dan berkata: 'Engkau perempuan laknat. Kalau benar kau ibuku, aku kutuk diriku menjadi batu. Biar semua orang tahu, Malin Kundang lahir dari perut yang keliru'. Navis tidak lupa memberikan alasan Malin Kundang yang dikutuk dan bukan sang ibu. Navis tidak berhenti di situ. Diceritakannya juga reaksi khalayak yang menonton sandiwara itu. Sekiranya khalayak wanita menutup muka dengan selendang untuk menutup malu, tetapi khalayak lelaki perantau pada malam itu akan tidur di surau sampai keesokan pagi dan terus merantau. Mereka merantau lagi sebagai Malin Kundang kini yang mengutuk ibunya sendiri. Dekonstruksi ini yang lebih kurang ajar berbanding dekonstruksi sebelumnya. Navis tentu mempunyai alasannya, seperti pengarang lain, mendekonstruksi cerita MK sedemikian. Selain permainan, ia menyebabkan kita memikirkan sesuatu tentang suasana yang mereka lukiskan. Ini tidak mungkin dibicarakan kini, lagipun ia akan menyimpang dari topik perbincangan kini. MALIN KUNDANG 2000 Dekonstruksi yang terbaru yang saya ketahui ialah Malin Kundang 2000 oleh Irwansyah Budiar Putra (2000), yang telah dikarangnya pada 27 Ogos 1999, iaitu empat bulan lebih sebelum kejadian yang diceritakan cerpen tadi. Pantai Air Manis heboh bila batu Malin Kundang hilang dengan tiba-tiba. Meskipun ada berbagai spekulasi tentang kehilangan itu, tetapi tiba-tiba ada seorang mengaku Malin Kundang dan Dunia Kini dirinya Malin Kundang. Dia mengatakan dia tidak mati selama ini dan orang lain sahaja yang mengatakan dia sudah mati, malahan disamakan dengan batu. Dia merasa kecewa setelah dianggap menderhaka. Dia tidak mengakui ibu tua yang menantinya di tangga kapal itu adalah ibunya kerana dia telah lupa wajah ibunya. Ibunya seharusnya tidak mengutuknya, katanya. Dia akan menuntut ibunya di depan Tuhan. Bila dikatakan orang yang ibunya sudah berada di syurga, dia dengan sinis berkata: 'Kerana mengutuk anaknya menjadi batu seseorang masuk sorga?' Dengan menghidupkan Malin Kundang, Malin Kundang 2000 telah mendekonstruksi cerita Malin Kundang yang selama ini biasa dikenal orang. Cerita baru itu bukan sahaja ditambah dengan dialog Malin Kundang dengan seorang ibu muda, tetapi juga dilanjutkan oleh Irwansyah dengan Malin Kundang berpindah ke Pulau Pisang Kecil, tidak jauh dari Pantai Air Manis. Dengan biaya sukarela dari pelancong Padang dan Indonesia dia membina sebuah kapal, yang pada lambungnya terukir Rajo Mudo. Selesai salat Jumat di awal tahun 2000, dia dengan lapan orang perkasa belayar meninggalkan Pantai Air Manis. Di sebelah malam itu, bertiup puting beliung hingga orang berdoa 'Semoga kiamat bukan hari ini'. Pada keesokan paginya, sesudah angin tenang, seorang bocah lelaki menemukan pecahan kapal dan mayat Malin Kundang di Pantai Air Manis. Peristiwa itu membuatnya menolak hakikat batu yang dikatakan batu Malin Kundang itu sebagai hasil pembatuan Malin Kundang. Malin Kundang tidak menjadi batu, kerana tubuhnya menjadi mayat sebagaimana biasa seorang yang mati. Selain itu, ada cerita MK dekonstruksi lagi. Tidak pasti sama ada Malin Kundang dalam cerita sebelumnya itu kaya kerana dia menjadi menantu orang kaya, atau berkat usaha sendiri. Tetapi Malin Kundang 2000 yang mem- bangunkan kapal dengan sedekah orang itu adalah pengemis. Citra Malin Kundang di sini sudah berubah dari seorang yang berusaha kepada seorang yang mengemis kebaikan hati orang. Pengemisan kini telah mencirikan Malin Kundang 2000. Hal itu menarik untuk dibaca bersama catatan saya (1988) tentang apa yang saya temui dalam kaba-kaba dengan cerita baru yang diproduksi dan dijual dalam bentuk kaset. Kaba-kaba cetakan awal 1920an dengan setengahnya diulang cetak tahun 1960an itu membawa cerita baru, yang tidak ada dalam kaba yang berasal dari masa lampau. Kaba-kaba baru itu bercerita tentang kegigihan pemuda Minang mencari harta. Mereka kaya atas usaha sendiri. Ini dihilangkan dalam kaba-kaba pada kaset yang diterbitkan dan beredar akhir 1970an dan 1980an. Pemuda gigih itu digantikan dengan pemuda yang lebih mengharapkan bantuan orang lain. Pemuda yang saya katakan itu mempunyai mentaliti pengemis. Dekonstruksi ini tidak akan saya bincangkan lebih lanjut lagi di sini kerana sudah saya perkarakan dalam rencana saya dahulu (1988). Pembicaraan tadi memperlihatkan bagaimana cerita MK dihidupkan di dunia kini kerana adanya dekonstruksi terhadap sikap orang selama ini terhadap cerita itu. Khalayak biasanya berasa malu untuk mengatakan diri mereka itu Malin Kundang, tetapi lainlah halnya dengan Goenawan dan Muhammad. Mereka menerima hakikat diri mereka sebagai Malin Kundang. Mereka berbangga dengan kemalinkundangan mereka. Dekonstruksi Sapardi lain, kerana dia inginkan orang ramai tidak lagi mengutuk Malin Kundang. Biarlah batu Malin Kundang diam dalam ketenteraman dan kesunyian. PENUTUP Orang dari budaya Minang umumnya takut dikatakan Malin Kundang. Hal itu jelas kelihatan pada sajak Syahril. Oleh kerana itu, seorang pemuda enggan mengaku diri Malin Kundang bila dia didekati Malin Kundang begitu dia menjejakkan kaki di Teluk Bayur. Dia mengingat dan mengasihi ibunya. Ini dilanjutkannya dengan dekonstruksi citra ibu yang biasa yang terdapat dalam cerita MK .Malin Kundang menjadi batu bukan kerana kutukan ibu, tetapi hukuman Tuhan kerana dia menderhaka kepada ibunya. Hal ini ditemui juga pada Wisran, Umar Junus, Navis dan Irwansyah. Rasa takut mereka dikaitkan dengan Malin Kundang telah mendorong mereka memperolokkan cerita itu. Sehubungan itu, Irwansyah memberikan sifat lain pada Malin Kundang 2000, hingga dia kelihatan berbeza dari cerita MK orang lain. Yang mereka dekonstruksikan hanya ceritanya. Batunya tetap utuh. Dekonstruksi itu pasti memungkinkan cerita MK dapat menghidupi dunia kini. Ia bukan hanya sebahagian daripada masa lampau. Hal ini boleh dilakukan dengan melihatnya daripada berbagai perspektif dan secara kreatif, lantaran dapat mengolah kemungkinan yang disediakannya. Dengan perlakuan cerita MK yang dibicarakan tadi, cerita MK yang dikatakan berasal dari masa lampau telah menjadi bahagian kehidupan kini. Ia mempunyai tempat dalam kehidupan hari ini. Sikap itu sekaligus mengekalkan kehadirannya. Ia mungkin lebih kepada Cerita Malin Kundang yang tadinya hanya sebahagian budaya Minangkabau yang kini juga merantau ke luar wilayah budaya asalnya. Ini barangkali juga boleh dilakukan terhadap cerita rakyat lain dan ini menunggu pengolahan selanjutnya. RUJUKAN A. Samad Ahmad. 1970. Nakhoda Tenggang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. . 1976. Zaman Gerhana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Crimmins, Cathy & Tom Maeder. 1995. Newt Gingrich's bedtime stories for orphans. New York: Dove Books. Damono, Sapardi Djoko.1994. Hujan bulan Jun. Jakarta, Grasindo. Dharmono Hardjowidjono. 1989. Kisah runtuhnya Melaka (1511) menurut sumber- sumber Portugis. Humaniora: Buletin Fakultas Sastra, Univisitas Gadjah Mada, 1: 41-54. Ezrahi, Sidra de Koven. 1980. By word alone, holocaust in literature. Chicago: University of Chicago Press. Fisher, David.1996. Legally correct fairy tales, bedtime classics translated into the legalese. New York: Warner Books. Frayn, Michael. 2000. Copenhagen. New York: Anchor Books. Garner, James Finn. 1994. Politically correct bedtime stories, modern tales for our life & times. NewYork: Macmillan. . 1995a. Once upon a more enlightened time, more political correct bedtime storie. New York: Macmillan. . 1995b. Politically correct holiday stories, for an enlightened Yuletide season. New York: Macmillan. Glanz, James. 2000. Of physics, friendship and Nazi Germany's atomic bomb efforts. The New YorkTimes, 21 Mac. Goenawan Mohamad. 1972. Potret seorang penyair muda sebagai si Malin Kundang. Jakarta: Pustaka Jaya. Hadi, Wisran. 1978. Puti Bungsu (wanita terakhir). Budaya Jaya.124/5, September/Oktober. Limbak Tuah, ny. [tt] Cerita-cerita Puti Rubiah. Jakarta: [tp]. Lloyd, Joan Elizabeth. 1996. Bedtime stories for lovers. New York: Warner Books. Muhammad Hj. Salleh. 1975. Perjalanan si Tenggang II. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. . 1981. Sajak-sajak Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Navis, A.A. 1990. Bianglala. Jakarta: Pustakakaarya Grafikatama. Powers, Thomas. 2000. 'The unanswered question', a review of 'Copenhagen', The New York Review of Books, Mei. Putra, Irwansyah Budiar. 2000. Malin Kundang 2000. Kompas Minggu, 20 Februari. Radjo Endah, Sjamsuddin St. 1961. Kaba amai cilako. Bukittinggi: Indah. Ravvin, Norman. 1997. A house words: Jewish writing, idenity and memory. Montreal: McGill-Queen's University Press. Shulevitz, Judith. 2000. The Copenhagen interpretation Slate June. Suryadi, 1998. Naskah tradisi basimalin: pengantar teks dan transliterasi. Jakarta: Fakultas Sastra, Universitas Indonesia. Syahril Latif. 1978. Silungkang, elegi untuk Nurhayati. Jakarta: Puisi Indonesia. Umar Junus. 1979. Realitas dan mitos dalam 'Puti Bungsi'. Budaya Jaya, June (dimuat juga dalam Mitos dan komunikasi. 1982. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan. . 1988. A comparison between the Minangkabau and the Riau-Malay folkales, an ideologicalinterpretation. Singapura: Southeast Asian Studies. . 1989. Catatan si Malin Kundang diedit oleh Jaafar Rahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. . 1994. Kaba: an unfinished (his)tory. Tonan Ajiaa Kenkyu (Southeaast Asian Studies, 32(3): 399-415. Wilford, John Noble. 2000. Greek myth: not necessarily mythical. The New York Times, 4 July. Dr. Umar Junus 20, Jalan SSI /41 Petaling Jaya Malaysia e-mail: [EMAIL PROTECTED] _____________________________________________________ Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting ------------------------------------------------------------ Tata Tertib Palanta RantauNet: http://rantaunet.org/palanta-tatatertib ____________________________________________________