Tolong dibaca aturan di footer dibawah --------------------------------------
Memanfaat ilmu untuk mencari rezeki halal Oleh Lokman Ismail MASALAH pengangguran siswazah adalah cabaran kepada sistem pendidikan negara. Ketika negara berbangga dengan pertambahan bilangan pusat pengajian tinggi awam dan swasta, pertambahan bilangan siswazah menganggur amat memalukan. Timbul persoalan adakah mutu siswazah amat rendah sehingga mereka tidak mampu menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menceburi bidang pekerjaan. Adakah bidang yang dipelajari di pusat pengajian tinggi tidak menepati konsep suruhan menuntut ilmu seperti dikehendaki agama. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik lapangan ilmu ialah yang memberi manfaat.” Ilmu yang bermanfaat pasti memberikan kebaikan kepada mereka yang memilikinya. Ada penjelasan oleh pihak kerajaan mengatakan kesilapan memilih kursus di pusat pengajian tinggi yang tidak sesuai dengan keperluan pasaran kerja adalah antara punca pengangguran siswazah. Islam melihat masalah pengangguran siswazah satu pembaziran ilmu. Sesiapa yang memiliki ilmu, tetapi tidak dimanfaatkan untuk kebaikan diri, keluarga, agama dan negara, sebenarnya menanggung beban amanah ilmu yang sepatut dimanfaatkan. Siswazah yang menganggur dianggap tidak melaksanakan amanah negara yang mengharapkan mereka menyumbangkan tenaga untuk kebaikan negara. Negara membelanjakan wang yang banyak untuk melahirkan seorang siswazah bermula daripada pendidikan sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi. Memang tiada siswazah yang ingin menganggur, tetapi keadaan memaksa ia berlaku. Apa pun alasan ia sebenarnya memperlihatkan sikap negatif mereka. Jika mereka yang kurang cemerlang dalam bidang akademik boleh mencari pekerjaan dan menyara hidup, mengapa pula siswazah gagal memperoleh pekerjaan. Sebenarnya sikap terlalu memilih pekerjaan dan mengharapkan gaji tinggi juga antara punca pe-ngangguran siswazah. Selain itu, tahap mutu siswazah yang tidak menepati kehendak pasaran pekerjaan adalah punca yang sering diungkapkan oleh pihak majikan. Apapun punca pengangguran siswazah, mereka perlu sedar tugas dan tanggungjawab masing-masing. Sesuai dengan usia dan keperluan hidup, mencari rezeki adalah tugas yang penting dilaksanakan. Pada usia awal dan pertengahan 20-an memang amat sesuai mula bekerja. Bekerja mencari rezeki halal penting bagi memenuhi keperluan hidup agar dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan mampu menjalankan amanah Allah dengan sebaik-baiknya. Islam tidak menetapkan bidang pekerjaan atau pendapatan, tetapi lebih diutamakan ia memberi rezeki halal dan memberi kebaikan kepada ummah. Tanpa pekerjaan yang memberi pendapatan, siswazah terpaksa terus mengharapkan bantuan daripada ibu bapa untuk mendapat wang bagi membeli sesuatu keperluan dan perkhidmatan. Setiap siswazah perlu berdikari mencari pekerjaan yang dapat memberi pendapatan, terutama mereka dari keluarga miskin. Pengorbanan ibu bapa menyediakan keperluan selama menuntut pengajian di pusat pengajian tinggi perlu dibalas seadanya. Amat besar pahala anak yang membantu keluarga dalam soal kewangan. Anak yang soleh (melakukan sesuatu mendatangkan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya) dijanjikan balasan kebaikan. Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka pada akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” – (Hadis riwayat at-Thabrani). Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup kerana dengannya Islam mampu berkembang, dipandang tinggi dan dipertahankan jika wujud ancaman. Sebab itu mencari rezeki satu tuntutan agama yang dikira ibadat. Kepentingan mencari rezeki diletakkan selepas kepentingan menunaikan solat. Ini dijelaskan melalui sabda Rasulullah saw bermaksud: “Mencari rezeki halal adalah fardu selepas fardu solat.” Ketegasan berkenaan memperlihatkan betapa pentingnya mencari rezeki yang seterusnya membawa kepada pelaksanaan ibadat lain. Ibadat zakat, haji, membantu golongan miskin dan kesempurnaan ibadat lain banyak bergantung kepada kekayaan yang dimiliki. Jika ditinjau bilangan paling ramai siswazah me-nganggur adalah pelajar Melayu. Jelaslah mereka gagal melaksanakan tuntutan agama yang sebenarnya. Mereka berjaya lulus dalam pelajaran, tetapi gagal memanfaatkannya. Mereka tidak menggunakan kelebihan yang diberikan Allah melalui ilmu yang dipelajari. Allah menganugerahkan ilmu kepada sesiapa yang berusaha mendapatkannya dan memberikan kebaikan yang banyak, tetapi ada yang tidak mendapat pengajaran atau kebaikan daripada ilmu itu disebabkan tidak menggunakan akal fikiran. Sesungguhnya Islam amat menggalakkan agar setiap umatnya mencari rezeki sebagai satu habuan dan anugerah Allah kepada hamba-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan pada akhi-rat yang Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu pada akhirat.” – (Surah al-Qashash, ayat 77). Tindakan bekerja sebaik tamat pengajian tanpa mengira jenis pekerjaan dianggap satu usaha permulaan untuk merintis kejayaan pada masa akan datang. Ketika usia muda dan masih bertenaga adalah peluang yang perlu digunakan sepenuhnya. Rasulullah saw pernah mengingatkan belia (pemuda) agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Ketika muda tenaga masih kuat, bersemangat, tahan cabaran dan bercita-cita. Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya untuk membina kejayaan hidup. Sebenarnya sekarang ini peluang pekerjaan masih terbuka luas, asalkan belia tidak terlalu memilih pekerjaan. Negara masih mengalami kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, teknologi maklumat, perladangan, perkilangan, perikanan, penternakan dan perkapalan. Siswazah kejuruteraan yang menyertai sektor pembinaan bukan bermakna perlu menjadi buruh binaan. Mungkin mereka boleh ditempatkan sebagai penyelia, penyelaras projek dan pembantu jurutera. Jawatan itu lebih rendah daripada jawatan jurutera yang sepatutnya disandang berdasarkan kelulusan dimiliki. Gajinya sudah tentu rendah. Bagaimanapun, itu hanya permulaan. Selepas memperoleh kemahiran dan mendapat keyakinan majikan, sudah pasti pangkat dan gaji akan naik. Sememangnya majikan amat berhati-hati untuk menggaji pekerja baru dengan jumlah yang tinggi memandangkan kelulusan belum tentu menjamin mutu kerja yang tinggi. Sebenarnya peluang bekerja daripada peringkat bawah adalah pengalaman amat berharga. Mereka yang bercita-cita tinggi berpeluang belajar daripada bawah untuk meningkat apabila tiba masanya. Pengalaman bekerja dari peringkat bawah penting untuk menjadi pengurus dan pentadbir yang baik. Kebanyakan orang yang berjaya dalam bidang masing-masing bermula dari bawah. Ada yang bermula sebagai pekerja paling rendah dalam syarikat, berjaya meningkat sehingga menjawat jawatan tertinggi dan menjadi pemilik syarikat. Sikap siswazah lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak diminati atau bergaji rendah jelas menunjukkan sikap tidak matang. Keangkuhan memiliki kelulusan tinggi menyebabkan mereka mengalami kehidupan lebih malang daripada rakan yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah. Mereka rela hidup melarat dan tidak menentu, selagi kerja yang diingini tidak diperoleh. Ibu bapa yang mulanya berbangga ada anak yang berkelulusan tinggi, bertukar kecewa dan menanggung banyak kerugian. Fenomena ini mewujudkan masalah sosial dalam masyarakat. Allah tidak memandang apakah jenis pekerjaan seseorang itu. Apa yang penting ia dilakukan secara halal dan memberikan kebaikan. Seorang buruh yang ikhlas melakukan kerja adalah lebih baik daripada pegawai yang menerima rasuah. Orang berkelulusan rendah yang bekerja lebih dipandang mulia daripada berkelulusan tinggi tetapi tidak bekerja. Rasulullah sendiri memilih menjadi pengembala kambing dan peniaga dalam usaha mencari rezeki. Rasulullah memilih bekerja sendiri kerana ia menjadi sebahagian daripada tugas setiap Muslim tanpa membezakan darjatnya. Rasulullah saw sebenarnya boleh memperoleh kemewahan dengan menggunakan kedudukannya. Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan daripada usaha tangannya sendiri.” – (Hadis riwayat Bukhari). -------------------------------------------------------------- Website: http://www.rantaunet.org ========================================================= * Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi keanggotaan, silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting * Posting dan membaca email lewat web di http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages dengan tetap harus terdaftar di sini. -------------------------------------------------------------- UNTUK SELALU DIPERHATIKAN: - Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply. - Posting email, DITOLAK atau DIMODERASI oleh system, jika: 1. Email ukuran besar dari >100KB. 2. Email dengan attachment. 3. Email dikirim untuk banyak penerima. ================================================