semoga kita bisa ambil manfaatnya...... 

Kisah Rasulullah sebagai pengajaran 
  
Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu 
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan 
keluarga mahupun untuk dijual. 
  
Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap 
di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan 
bajunya untuk membantu isterinya di dapur. 
  
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau 
selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat- 
cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai 
sembahyang." 
  
Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu 
itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah 
pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi 
bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan 
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang 
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada 
apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku 
puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. 
  
Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul 
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas 
soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. 
Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak 
bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau 
memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" 
  
Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan 
lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya 
baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun 
menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat. 
  
Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, 
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar 
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi 
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. 
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung 
bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat 
seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah 
ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar." 
"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami 
mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau 
sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat 
jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, 
kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan 
rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus 
setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan 
menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya 
buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. 
Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan 
aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi 
beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH 
buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini 
lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak." 
  
Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang 
tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila 
kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga 
berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda 
membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur 
dengan lembut perbuatan itu. 
  
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang 
sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa 
ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak 
dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan 
ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka 
seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu 
sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda 
terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak 
mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh 
Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin 
Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda 
dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? 
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur." 
  
  
--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
Berhenti, berhenti sementara dan konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: 
http://rantaunet.org/palanta-setting
--------------------------------------------------------------
UNTUK DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan Reply
- Besar posting maksimum 100 KB
- Mengirim attachment ditolak oleh sistem
=========================================================

Kirim email ke