Biarkan PAS Menang Di Kelantan Demi Kebaikan Malaysia - Tun Dr M
Tiada yang lebih kontroversi dan boleh disalahtafsirkan di dalam ucapan Tun Dr. 
Mahathir Mohamed di Kota Bharu selain dari kerelaannya dengan berat hati 
melihat PAS sekali lagi menumbangkan UMNO di Kelantan di dalam pilihanraya umum 
ke 12 akan datang.

Saya tidak pasti bagaimana media arus perdana akan melaporkan pernyataan Tun 
yang dibuat sewaktu menjawab soalan daripada salah seorang daripada hampir 500 
orang yang hadir mendengar ucapannya di majlis Syarahan Perdana Majlis Tindakan 
Rakyat Kelantan.Tetapi kenyataannya ialah sebaik sahaja Tun membuat pernyataan 
tersebut, hadirin yang hadir, termasuklah Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh 
Hamzah menyambutnya dengan tepukan gemuruh.

 
Menurut Tun, sebagai ahli UMNO dan bekas pemimpin tertinggi UMNO, beliau tidak 
rela melihat UMNO tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang. 
Tetapi, sekiranya ketewasan UMNO adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan 
kepimpinan UMNO sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka, rakyat 
Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara 
Malaysia tercinta.

Di dalam menjawab satu lagi soalan daripada hadirin yang hadir, Tun berkata, 
tiada apa yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Kelantan sekarang di dalam 
menghadapi globalisasi kerana masalah menghadapi globalisasi adalah satu 
cabaran yang hanya mampu ditangani oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu Kerajaan 
Kelantan seperti mana Kerajaan Negeri-Negeri lain seharusnya terus memberi 
tekanan kepada Kerajaan Pusat supaya menangani cabaran globalisasi dengan lebih 
bijak.



Secara berseloroh, di dalam ucapannya Tun berkata, jika Kerajaan Kelantan 
menerajui negeri ini seperti Proton pada hari ini, ranaplah Kota Bharu. Proton 
di bawah teraju YM Tengku Mahaleel, seorang anak Kelantan berjaya membuat 
keuntungan demi keuntungan sehingga memperolehi wang simpanan tunai berjumlah 
RM4 billion. Malangnya, Proton di bawah teraju yang dilantik oleh Perdana 
Menteri sekarang hanya mampu membuat kerugian berjumlah setengah billion 
ringgit setiap tahun.

Tun Dr. Mahathir juga menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terpedaya dengan 
janji yang ditabur oleh Kerajaan Pusat yang berjumlah RM3 billion untuk 
pembangunan lebuhraya dan empangan di Kelantan. Sebaliknya Tun meminta rakyat 
Kelantan untuk bertanya, mana duitnya? Tunjukkan dahulu duit tersebut!



Ramai pemerhati politik menyangka ucapan terbaharu Tun Dr. Mahathir sebagai 
lanjutan kepada serangan-serangan kritikalnya terhadap Perdana Menteri Abdullah 
Haji Ahmad dan anak menantunya, sebaliknya satu perubahan ketara dilihat 
daripada ucapan Tun kali ini.Peri pentingnya majlis pada 6 Mei 2007 ini ialah, 
buat pertama kalinya setelah sekalian lama, Tun Dr. Mahathir dan Tengku 
Razaleigh Hamzah berkongsi pentas dan duduk sebelah menyebelah semenjak Tun 
memulakan serangan demi serangan terhadap kelemahan kepimpinan UMNO dan negara 
Malaysia sekarang. Bukan itu sahaja, Tun Dr. Mahathir kali ini memberi ucapan 
di atas platform yang dinaungi oleh Tengku Razaleigh Hamzah sendiri.

Satu lagi perbezaan ketara di dalam siri ucapan Tun yang bermula semenjak Jun 
2006 ini, ialah ucapannya kali ini lebih bercorak amanat dan nasihat kepada 
rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya di dalam menghadapi 
pilihanraya umum ke 12.

Tanpa berselindung, Tun memerli keputusan pengundi di Pilihanraya Kecil Dewan 
Undangan Negeri Ijok yang sanggup menggadai maruah mereka untuk wang berjumlah 
RM200 dan mesin-mesin jahit. Tun menasihatkan hadirin yang hadir supaya 
mempertahankan maruah negara di dalam pilihanraya dengan menolak sebarang 
tawaran membeli undi mereka. Membeli undi adalah rasuah, pemberi dan penerima 
sama-sama melakukan kesalahan. Tun juga mahu para pengundi tidak membuat 
pilihan secara membabi buta kerana ia hanya akan memberi mandat kepada 
pemerintah untuk melakukan apa sahaja secara membabi buta.

Di dalam ucapannya kali ini Tun tidak lagi menumpu perhatian kepada mengulangi 
kritikan-kritikannya terhadap kelemahan Perdana Menteri sekarang, sebaliknya 
lebih kepada menyedarkan hadirin yang hadir tentang peri pentingnya mereka 
menghargai hak mereka sebagai pengundi.

Di dalam kata lain, sekiranya ahli-ahli UMNO, para pengundi dan rakyat Malaysia 
bersetuju bahawa kepimpinan Kerajaan Malaysia sekarang adalah lemah dan tidak 
berwibawa, mereka seharusnya bersedia mendesak perubahan tersebut menerusi 
proses demokratik dan memangkah undi secara bijaksana.Tun mengungkap kembali 
insiden sewaktu beliau tewas ketika bertanding di dalam pilihanraya umum Kota 
Setar pada tahun 1969 dahulu. 

Pengundi Cina di situ lebih rela mengundi parti PAS daripada mengundi beliau 
(UMNO) walaupun PAS membawa isu membina Kerajaan Islam. Pengundi Cina waktu itu 
lebih rela menerima Kerajaan Islam daripada mengundi seorang yang di cap 
Ultra-Malay.Adalah tidak salah bagi ahli UMNO sendiri mengundi ahli dari parti 
lain, jika mereka tiada pilihan lain di dalam menyuara ketidakpuasan mereka 
terhadap pimpinan UMNO sekarang. Demi cinta mereka terhadap UMNO dan negara, 
mereka perlu bersedia berkorban.

Jelaslah bahawa pilihanraya akan datang adalah satu-satunya peluang bagi rakyat 
Malaysia amnya dan peyokong UMNO khasnya menyuarakan protes mereka terhadap 
kebobrokan kepimpinan Abdullah sekeluarga.Hari ini, rakyat Kelantan telah 
menyaksikan kembalinya terjalin secara rasmi ikatan siratul rahim dua negarawan 
Malaysia, Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah. Membenarkan Tun Dr. 
Mahathir menggunakan platform naungannya untuk menasihatkan rakyat Kelantan 
mempertahankan maruah Malaysia sebenarnya membuktikan Tengku Razaleigh Hamzah 
sendiri merelakan kesinambungan pemerintah Kerajaan Negeri Kelantan sekarang.

Dengan mempertahankan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan di dalam 
pilihanraya umum ke 12, dan mengurangkan majoriti Barisan Nasional di peringkat 
Parlimen dan peringkat Dewan-Dewan Undangan Negeri, adalah satu-satunya cara 
untuk menggegarkan Abdullah dan keluarganya. Inilah satu-satunya proses 
demokratik yang tinggal untuk ahli-ahli UMNO mengusulkan perubahan kepada parti 
mereka. Secara tidak langsung juga, Tun Dr. Mahathir menyedari, kesilapan 
kepimpinannya sewaktu menjadi Presiden UMNO dengan menyukarkan jawatan pucuk 
pimpinan parti ditandingi. Hari ini, adalah lebih mudah membawa perubahan di 
dalam UMNO menerusi pilihanraya umum berbanding dengan menerusi pemilihan pucuk 
pimpinan parti. Adalah hampir mustahil mengalahkan Abdullah Haji Ahmad menerusi 
sistem demokratik di dalam UMNO. Tetapi tidak mustahil untuk menumpaskan 
Abdullah Haji Ahmad sekeluarga menerusi pilihanraya umum ke 12.

Adakah dengan mengungkap kembali ketewasannya di dalam pilihanraya umum 1969 di 
Kota Setar, Tun cuba memberi jawapan kepada kita semua? Masyarakat Cina tidak 
seharusnya takut mengundi parti yang memperjuangkan Negara Islam, masyarakat 
Melayu pula tidak harus takut untuk tidak mengundi Parti yang ditubuhkan untuk 
membela Agama, Bangsa dan Negara. Justeru, kita semua harus berani berkorban 
demi Agama, Bangsa dan Negara! 

//sumber http://penembakbadak.wordpress.com

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Reply via email to