Industri batik negara bernafas semulaOleh Pauzi Mohd Isa

APA yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi wajar 
dipertahankan terutama membabitkan seni dan budaya tempatan. Contohnya seni 
batik tempatan yang terkenal bagi masyarakat Melayu suatu ketika dulu.

Seperti diketahui jiwa sesuatu masyarakat selalunya digambarkan menerusi seni 
yang dihasilkan, apa lagi menjadi lumrah sifat manusia suka menerangkan sesuatu 
menerusi seni.

Kita perlu akui hakikat seni dan budaya tempatan adalah komponen penting yang 
perlu dipertahankan ketika Malaysia menuju ke arah menjadi negara maju.

Pemimpin kita sering menyatakan kebimbangan dengan penghayatan masyarakat 
terhadap kesenian dan budaya tempatan yang semakin menurun. Tidak ada gunanya 
jika Malaysia maju dengan mengambil kira nilai asing yang ada kalanya 
bertentangan dengan budaya dan ajaran Islam.

Sehubungan itu, langkah kerajaan mewajibkan pemakaian batik kepada kakitangan 
awam dan anggota pentadbiran negara kecuali anggota badan beruniform seperti 
polis setiap Sabtu berkuat kuasa 1 November lalu adalah antara tindakan bijak 
dan tepat pada masanya demi memperkasa seni tempatan negara. 

Usaha ini bukan saja memartabatkan kembali seni batik, ia sekali gus menjadi 
wahana kepada pembangunan perusahaan batik tempatan secara menyeluruh di negara 
ini yang keadaanya kini bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’.

Sabtu, 27 November lalu lebih 900,000 kakitangan awam di seluruh negara mula 
mengenakan persalinan batik ke pejabat bagi memenuhi arahan kerajaan itu 
sebagai pakaian rasmi pada Sabtu bekerja.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 9 
November lalu, ia telah menggariskan bahawa batik yang hendak dipakai mestilah 
batik keluaran tempatan.

Ketika merasmikan festival batik di Kuala Lumpur Disember tahun lalu, Perdana 
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata sudah sampai masanya 
industri batik tempatan yang kita usahakan secara turun temurun, kembali 
berdaya maju seperti yang pernah dilalui sebelum ini, dan batik pernah menjadi 
industri utama orang-orang kita (Melayu) terutama di sebelah Pantai Timur.

Bertitik tolak dari festival batik itu, ia telah membuka lembaran baru kepada 
industri ini. Apatah lagi mendapat sokongan Perdana Menteri dan isteri, Datin 
Seri Endon Mahmood, juga penaung Pergerakan Batik Malaysia bagi merangka 
tindakan ke arah membawa batik kita ke persada dunia.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata 
arahan pemakaian batik selaras usaha kerajaan menyokong mengembangkan industri 
batik di negara ini. Ia sekali gus mempopularkan semula pakaian itu yang 
semakin dilupakan.

Rentetan itu, hasrat kerajaan akan merangka dasar khusus mengenai pembangunan 
industri batik bagi menonjolkan identiti warisan bangsa itu pada peringkat 
nasional mahupun antarabangsa, amat dialu-alukan demi memelihara warisan budaya 
sezaman kita. 

Hal yang demikian telah memberi petanda positif kepada industri batik yang 
biasanya diusahakan secara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang selama ini 
semakin malap jika sesuatu tidak dilakukan oleh kerajaan.

Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru 
kepada perkembangan industri batik negara untuk berkembang maju. Dengan ini, ia 
diharap dapat meningkatkan ekonomi pengusaha batik secara kecil-kecilan 
khususnya di luar bandar yang kebanyakannya dipelopori orang Melayu di Pantai 
Timur.

Melihat kembali sejarah dan asal-usul batik, Ila Keller dalam bukunya, Batik: 
The Art and Craft, menyatakan seni batik berasal dari Mesir sebelum tersebar ke 
Iran sejak lebih 2,000 tahun dulu. 

Di rantau Asia Tenggara, batik mula diusahakan oleh penduduk Indonesia 
sehinggalah pada kurun ke-17 apabila Kesultanan Mataram memilih batik sebagai 
pakaian rasmi dalam adat istiadat istana.

Sejarah industri batik di Malaysia pula mula dirintis pada 1911 oleh seorang 
rakyat Kelantan, Su Ishak yang membawa pekerja dari Indonesia untuk bekerja di 
bengkel batiknya sehinggalah ia berkembang hingga ke hari ini.

Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah budaya bangsa, seni batik perlulah 
dipelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan 
generasi selepas ini. 

Sejak dulu, fungsi batik tidak pernah berubah iaitu sebagai busana bagi kaum 
Hawa dalam menggayakan apa saja fesyen yang digemari mengikut peredaran zaman.

Di kalangan kakitangan awam, tradisi pemakaian batik pernah dilaksanakan ketika 
kepemimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein 
sehingga batik ketika itu terputus bekalan berikutan sambutan cukup 
memberangsangkan daripada pekerja awam.

Ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah menggalakkan kakitangan awam 
memakai batik pada Sabtu bekerja tetapi amalan ini seketika saja apabila ia 
lenyap secara beransur-ansur tanpa disedari.

Selain meningkatkan tahap ekonomi pembatik sedia ada di negara ini yang 
rata-ratanya pengusaha Melayu, industri ini juga berpotensi menarik kedatangan 
pelancong ke Malaysia dan sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri 
pelancongan negara.

Ternyata, arahan kabinet ini dapat memberi sinar baru kepada pengusaha batik 
tempatan agar mereka dapat menghasilkan produk yang lebih ke hadapan terutama 
dari segi jenis corak dan cara penghasilan produk sejajar kehendak semasa. Ini 
penting supaya ia sesuai dengan cita rasa pemakai zaman ini.

Sejak enam tahun lalu, kegemilangan industri batik negara mula merudum 
berikutan kesan langsung daripada kegawatan ekonomi yang teruk pada 1997. 
Industri batik negara pada pertengahan 1990-an berada dalam keadaan tenat dan 
bermasalah. 

Ramai pengusaha batik tidak dapat menjelaskan hutang bank menyebabkan 
perniagaan ini tidak dapat diteruskan akibat kerugian. Bekalan batik pula tidak 
mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai dek tempias ekonomi dunia 
yang mengalami kegawatan yang teruk ketika itu.

Langkah mewajibkan pemakaian batik diharap dapat membantu industri batik terus 
bertahan dan berkembang pesat seiring peredaran zaman dengan proses tranformasi 
kepada penghasilan batik yang lebih canggih dan berkualiti.

Selama ini pun, industri batik hanya diusahakan di kampung terutama di 
Terengganu dan Kelantan. Ia belum mampu menembusi tembok gedung pakaian bukan 
milik kerajaan melainkan hanya dipamerkan di gerai kaki lima dan di kompleks 
beli-belah Mara.

Berikutan perhatian yang diberikan oleh kerajaan, selepas ini diharapkan produk 
batik tradisional kita dapat dipamer dan dipasarkan ke serata tempat, termasuk 
ke pasar raya dan gedung pakaian terkenal sebagaimana dilakukan pengusaha 
pakaian bukan Melayu selama ini.

Batik tradisional mempunyai makna simbolik berdasarkan status sosial pemakai 
dalam masyarakat daerah tertentu. Lagi pun, seni batik dapat menggali aneka 
budaya tempatan sehingga masyarakat mula melihat batik sebagai alternatif untuk 
digunakan secara lebih meluas.

Oleh itu, tugas kita sekarang adalah menyambut baik arahan kerajaan supaya 
memakai batik pada setiap Sabtu bekerja bagi kakitangan kerajaan atau swasta 
dan juga ketika menghadiri sesuatu majlis. 

Pihak berkaitan pula seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan 
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia perlu bekerja keras untuk 
mempromosi batik, di samping hasil kraf lain agar ia terus mendapat tempat di 
kalangan orang luar, khususnya pelancong asing. 

Sayugia diingatkan, jika bukan kita menyokong industri batik sebagai salah satu 
akar budaya kita, siapa lagi? Jika orang luar sanggup bersusah payah datang 
menuntut ilmu mengenai cara pembuatan batik, mengapa warga kita sendiri 
memandang sebelah mata khazanah ini daripada terus hanyut ditelan masa.


                
---------------------------------
Do you Yahoo!?
 The all-new My Yahoo! – Get yours free!    

[Non-text portions of this message have been removed]






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Make a clean sweep of pop-up ads. Yahoo! Companion Toolbar.
Now with Pop-Up Blocker. Get it for free!
http://us.click.yahoo.com/L5YrjA/eSIIAA/yQLSAA/BRUplB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

***************************************************************************
Berdikusi dg Santun & Elegan, dg Semangat Persahabatan. Menuju Indonesia yg 
Lebih Baik, in Commonality & Shared Destiny. www.ppi-india.uni.cc
***************************************************************************
__________________________________________________________________________
Mohon Perhatian:

1. Harap tdk. memposting/reply yg menyinggung SARA (kecuali sbg otokritik)
2. Pesan yg akan direply harap dihapus, kecuali yg akan dikomentari.
3. Lihat arsip sebelumnya, www.ppi-india.da.ru; 
4. Posting: [EMAIL PROTECTED]
5. Satu email perhari: [EMAIL PROTECTED]
6. No-email/web only: [EMAIL PROTECTED]
7. kembali menerima email: [EMAIL PROTECTED]
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/ppiindia/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke