http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

14 Januari 2010 / 28 Muharam 1431

Lagi tokoh Kristian gesa gugur kalimah Allah

Oleh ZULHISHAM ISHAK
pengar...@utusan.com.my


KOTA KINABALU 13 Jan. - Seorang lagi tokoh Kristian dari negeri ini, Webley 
Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah hari ini 
menggesa akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan 
kalimah Allah di mahkamah.

Tegasnya, langkah itu, penyelesaian terbaik bagi mengelak pertelingkahan atau 
konflik antara agama terus berlaku sehingga mencetuskan ketegangan.

"Sebagai tanda hormat kepada agama rasmi negara ini iaitu Islam dan juga 
masyarakat pelbagai kaum, Herald-The Catholic Weekly wajar menimbang tindakan 
ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos 
Malakun menyarankan akhbar itu menggugurkan kes berkenaan sebagai jalan 
penyelesaian yang terbaik.

Menurut tokoh Kristian dari Sabah itu, tindakan tersebut perlu, memandangkan 
perkembangan isu berkenaan semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan 
beberapa gereja dibakar dan turut menerima ugutan.

Webley yang juga Naib Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Malaysia mengakui, 
tindakan akhbar itu sememangnya mempunyai motif untuk menarik penganut Islam 
kepada Kristian.

"Saya difahamkan oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, tindakan akhbar itu adalah 
untuk menguji orang Melayu dan Islam, dengan menyatakan 'kita' menyembah tuhan 
yang sama iaitu Allah," katanya.

Menurutnya, perbuatan tersebut akan mengelirukan umat Islam kerana Allah bagi 
penganut Islam dan Kristian adalah berbeza mengikut kepercayaan masing-masing.

"Ini tidak baik, kenapa perlu menarik orang yang sudah beragama, sepatutnya 
kita (Kristian) menarik orang yang masih tiada agama seperti Orang Asli di 
Semenanjung atau Bumiputera di Sabah atau Sarawak," katanya.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Joseph Pairin Kitingan ketika menjadi 
Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak bersetuju jika penggunaan kalimah 
Allah diharamkan terus dalam agama Kristian kerana ia akan menimbulkan 
kemarahan penganut agama itu pula.

"Saya bersetuju jika akhbar tersebut menggugurkan tuntutan itu tetapi tidak 
secara keseluruhan, maksudnya dalam upacara-upacara sembahyang di gereja, 
kalimah Allah masih boleh digunakan," katanya.

Webley menggesa semua pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan 
Zainal Abidin supaya rakyat Malaysia bertenang dan menghormati semua rumah 
ibadat.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu berterima kasih kepada 
kerajaan atas kebebasan beragama yang mereka nikmati sejak pembentukan Malaysia.


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke