http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

ARKIB : 10/12/2009 
Tunjuk perasaan antirasuah berterusan di Indonesia

     
      PENUNJUK-PENUNJUK perasaan membakar gambar Presiden Susilo Bambang 
Yudhoyono dan timbalannya, Bodiono semasa membantah gejala rasuah di Jakarta, 
semalam manakala gambar kanan menunjukkan polis menggunakan meriam air untuk 
menyuraikan penunjuk perasaan di Makassar, Sulawesi yang juga membantah 
tindakan kerajaan menyelamatkan Bank Century. - AP 

--------------------------------------------------------------------------
     


JAKARTA 9 Dis. - Beribu-ribu rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di 
beberapa bandar utama hari ini bagi memperingati hari antirasuah antarabangsa 
dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan serius mengenai skandal Bank Century.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengalami tekanan semakin hebat sementara 
ahli Parlimen menyiasat dakwaan rasuah berhubung tindakan kontroversi kerajaan 
membelanjakan AS$700 juta (RM2.38 bilion) bagi menyelamatkan Bank Century tahun 
lepas.

Susilo yang lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY menafikan 
sekeras-kerasnya dakwaan sebahagian wang tersebut disalurkan untuk membiayai 
kempen beliau dalam pilihan raya Presiden pada Julai lepas, yang dimenanginya 
dengan 60 peratus undi bagi menduduki penggal kedua, berlandaskan janji untuk 
membanteras rasuah.

Di ibu kota Sulawesi Selatan, Makassar, sekitar 5,000 pelajar dan aktivis 
antirasuah membanjiri sebatang jalan di pusat bandar untuk menuntut kerajaan 
menyiasat skandal bank tersebut.

Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan membawa sepanduk dan poster dengan 
tulisan 'Siasat kes Bank Century untuk menyelamatkan wang negara' dan 'SBY 
tidak mampu mentadbir negara ini'.

Di Jakarta, lebih seribu penunjuk perasaan berarak ke istana negara dengan 
membawa sepanduk menggesa Susilo bertindak, dengan tulisan pada satu sepanduk 
mendakwa '90 peratus penguat kuasa undang-undang di sini adalah korup'.

Susilo malam tadi merayu kepada rakyat supaya menunjuk perasaan secara aman, 
sambil menegaskan kerajaan beliau bersungguh-sungguh mahu membanteras rasuah.

Presiden sebelum ini melahirkan kebimbangan pihak tertentu merancang untuk 
memperalatkan tunjuk perasaan itu bagi menjatuhkan beliau.

Penganjur demonstrasi sebaliknya berkata, Susilo bersikap paranoid dan beliau 
sepatutnya menyertai mereka dalam rapat umum itu dan bukannya memburuk-burukkan 
sebuah gerakan popular.

Demonstrasi turut berlangsung di beberapa bandar besar lain di seluruh 
Indonesia, negara yang menduduki tangga ke-126 bersama-sama Honduras dan Libya 
di kalangan 180 negara dalam indeks persepsi rasuah yang disediakan oleh 
Transparency International. - AFP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke