Server mailing list RantauNet berjalan atas sumbangan para anggota, simpatisan dan 
semua pihak yang bersedia membantu. Ingin menyumbang silahkan klik: 
http://www.rantaunet.com/sumbangan.php
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dunsanak sadonyo , menarik menyimak pidato PM Malaysia
pada pembukaan sidang OKI di Puterajaya Malaysia.
Semoga bisa menjadi pelajaran bagi kita bersama, umat
Islam

HM
--------------

Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah, kerana atas
kebesaran dan rahmat-Nya dapat kita, para pemimpin
Pertubuhan Persidangan Islam, berkumpul hari ini untuk
berunding dengan harapan kita dapat merintis arah tuju
masa depan Islam dan ummah di seluruh dunia. Bagi
pihak kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dan pelbagai agama, izinkan saya mengucapkan selamat
datang kepada setiap dan semua hadirin ke sesi ke-10
Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam di
Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia.
Sememangnya ia satu penghormatan tinggi bagi Malaysia
untuk menjadi tuan rumah bagi sesi ini dan untuk
menjawat kedudukan sebagai Pengerusi OIC. Saya
berterima kasih kepada negara-negara anggota OIC atas
keyakinan mereka terhadap keupayaan Malaysia memikul
tanggungjawab itu. Juga izinkan saya untuk mengambil
kesempatan ini bagi merakamkan penghargaan istimewa
kepada negara Qatar, khususnya kepada Yang Maha Mulia
Shaikh Hamad Khalifa Al-Thani, Amir negara Qatar,
kerana kepimpinan cemerlang dalam menerajui pertubuhan
kita sepanjang tiga tahun yang lepas. Sebagai tuan
rumah, Malaysia sungguh terhutang budi dan bangga
dengan jumlah penyertaan yang tinggi daripada kalangan
anggota. Ini jelas menunjukkan keyakinan dan ketaatan
kita yang berterusan serta komitmen kita kepada
pertubuhan kita dan keinginan kita bersama untuk
memperkuat peranan kita demi maruah dan manfaat umat
Islam. Saya juga mengalu-alukan kedatangan para
pemimpin dan perwakilan daripada banyak negara yang
ingin hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat kali ini
berdasarkan besarnya jumlah penduduk mereka yang
beragama Islam. Sama ada mereka itu beragama Islam
atau tidak, kehadiran mereka akan menyumbang ke arah
mempertingkat kefahaman terhadap Islam dan umat Islam,
dengan cara itu menyangkal tanggapan kononnya Islam
agama yang mundur dan ganas. Seluruh dunia kini
menumpukan perhatian kepada kita. Sudah pasti 1.3
bilion umat Islam di seluruh dunia iaitu satu per enam
jumlah penduduk dunia menyandarkan harapan mereka
kepada kita pada mesyuarat ini, walaupun mereka
mungkin bersikap sinis terhadap keazaman dan keupayaan
kita, biarpun sekadar dapat mencapai keputusan untuk
menebus maruah Islam dan umatnya, apatah lagi untuk
membebaskan saudara seagama daripada penindasan dan
penghinaan yang mereka alami pada ketika ini. Saya
tidak hendak membilang satu persatu
peristiwa-peristiwa penghinaan dan penindasan terhadap
kita dan saya juga tidak ingin untuk sekali lagi
menghentam pengutuk atau penindas kita. Ia akan
menjadi usaha sia-sia kerana mereka tidak akan
mengubah sikap mereka terhadap kita semata-mata kerana
kita mengecam mereka. Jika kita ingin menebus kembali
maruah kita dan maruah Islam, agama kita, kitalah yang
mesti membuat keputusan, kitalah yang mesti bertindak.
Sebagai langkah awalan, kerajaan kesemua negara Islam
boleh merapatkan barisan dan mengambil pendirian
bersama sekurang-kurangnya mengenai isu-isu besar
seperti Palestin, kalau pun tidak mengenai semua isu.
Semua kita ini umat Islam. Kita semua ditindas. Kita
semua dihina. Tetapi kita, yang ditempatkan Allah
sebagai pemimpin umat Islam tidak langsung benar-benar
cuba bertindak secara bersatu untuk mempamerkan
persaudaraan dan perpaduan yang dituntut oleh Islam.
Bukan sahaja sesama kerajaan kita berpecah-belah,
malahan umat Islam sendiri berpecah-pecah, dan
dipecahkan lagi berulang kali. Sejak 1,400 tahun yang
lalu, pihak yang mentafsirkan Islam, para cerdik
pandai, para ulama telah mentafsirkan dan mentafsir
semula agama Islam yang tunggal yang dibawa oleh Nabi
Muhammad s.a.w. itu dengan sangat berlainan sekali
sehingga kita kini mempunyai beribu agama yang sering
bertelagah satu sama lain sehingga kita bergaduh dan
berbunuhan sesama sendiri. Daripada sebuah ummah yang
tunggal, kita membiarkan diri kita dipecah-pecah
kepada pelbagai golongan, mazhab dan tarikat, dengan
masing-masing lebih mengutamakan Islam siapa lebih
tulen daripada soal ummah yang satu. Kita gagal
melihat bahawa musuh dan pengkritik kita tidak ambil
peduli sama ada kita umat Islam sejati atau tidak.
Bagi mereka kita semua Islam, pemeluk suatu agama dan
pengikut seorang Nabi yang mereka isytiharkan sebagai
penggalak keganasan dan kita semua ini adalah musuh
ketat mereka. Mereka akan menyerang dan membunuh kita,
menakluk tanah air kita, menjatuhkan kerajaan kita,
tidak kira sama ada kita ini Sunni atau Syiah, Alawiah
atau Druze atau apa sahaja. Dan kita membantu dan
bersekongkol dengan mereka secara menyerang dan
memperlemah sesama kita sendiri, dan kadangkala kita
menjadi dalang dan bertindak sebagai tali barut untuk
menyerang saudara kita yang seagama. Kita cuba
menjatuhkan kerajaan kita sendiri melalui kekerasan
dan berjaya melemahkan serta memiskinkan negara kita.
Kita bulat-bulat mengabaikan dan terus mengabaikan
kehendak Islam supaya kita bersatu dan bersaudara
sesama kerajaan negara-negara Islam dan sesama ummah.
Tetapi bukan ini sahaja ajaran Islam yang kita
kebelakangkan. Kita disuruh membaca, Iqra' yakni untuk
menimba ilmu. Umat Islam zaman dahulu menganggap
suruhan ini bermaksud menterjemah dan mengkaji hasil
penyelidikan cerdik pandai Yunani dan ilmuwan sebelum
Islam. Dan para cerdik pandai Islam ini pula menokok
tambah kandungan ilmu pengetahuan melalui hasil
penyelidikan mereka sendiri. Umat Islam awal
menghasilkan banyak tokoh matematik, sains,
cendekiawan, ahli fizik dan kaji bintang serta
lain-lain, malah cemerlang dalam semua bidang ilmu
semasa di samping belajar dan mengamalkan agama Islam
sendiri. Hasilnya orang Islam mampu membangun dan
mengembangkan kekayaan dari tanah air hingga
perdagangan dunia, berkemampuan menguatkan pertahanan,
melindungi rakyat dan memberi kehidupan mengikut cara
Islam, Addin yang dikehendaki oleh Islam. Ketika orang
Eropah di Zaman Pertengahan masih anuti kepercayaan
tahyul dan mundur, kegemilangan orang Islam sudah
mewujudkan peradaban Islam yang hebat, dihormati dan
berkuasa, malah mampu menyaingi pihak lain di dunia
dan mampu melindungi ummah daripada pencerobohan
asing. Orang Eropah perlu melutut di kaki cendekiawan
Islam dalam mendapatkan warisan keilmuan sendiri. Umat
Islam dipimpin oleh tokoh-tokoh hebat seperti Abdul
Rahman III, Al-Mansur, Salahuddin Al Ayubi dan
lain-lain yang mengepalai bala tentera ke medan perang
demi melindungi bumi Islam dan ummah. Bagaimanapun di
pertengahan pembangunan tamadun Islam yang hebat,
timbul golongan baru pentafsir Islam yang mengajar
bahawa penguasaan pengetahuan oleh umat Islam cuma
bermaksud pengajian mengenai pengetahuan agama sahaja.
Pengajian sains, perubatan dan lain-lain tidak
digalakkan. Daya intelek umat Islam mula merosot.
Kemerosotan daya intelek ini meruntuhkan tamadun Islam
dan membuatkannya semakin layu. Kalau tidak kerana
kemunculan para pahlawan Uthmaniah, tamadun Islam
mungkin pupus sama sekali ekoran kejatuhan Granada
pada 1492. Kejayaan awal para pahlawan Uthmaniah tidak
seiring dengan kebangkitan semula daya intelektual
Islam. Sebaliknya tumpuan hanya kepada isu-isu kecil
seperti soal sama ada memakai seluar ketat atau
memakai topi tinggi bersesuaian dengan kehendak Islam,
sama ada mesin cetak boleh digunakan atau kuasa
elektrik boleh digunakan untuk menerangi
masjid-masjid. Umat Islam tertinggal sama sekali
semasa Revolusi Perindustrian. Kemerosotan itu
berterusan sehingga pihak British dan Perancis
mencetuskan pemberontakan terhadap pemerintahan Turki
dan menyebabkan kejatuhan empayar Uthmaniah, iaitu
satu-satunya kuasa Islam terakhir di dunia dan
menggantikannya dengan tanah jajahan Eropah dan bukan
negara merdeka sebagaimana yang mereka janjikan. Cuma
selepas Perang Dunia Kedua barulah tanah jajahan ini
mendapat kemerdekaan. Selain daripada negara-negara
yang baru wujud, kita juga menerima sistem demokrasi
Barat. Ini memecah-belahkan kita disebabkan parti dan
kumpulan politik yang kita sendiri wujudkan, yang di
antaranya mendakwa Islam cuma untuk mereka dan menolak
Islam yang diperjuangkan oleh pihak lain dan menolak
keputusan demokrasi, jika mereka gagal meraih kuasa
untuk diri mereka sahaja. Mereka bertindak ganas dan
kesannya, meranapkan dan melemahkan negara-negara
Islam. Perkembangan sejak berkurun lalu menyebabkan
ketamadunan Islam menjadi begitu lemah sekali sehingga
tiada langsung sebuah negara Islam yang tidak
ditakluki atau dijajah orang Eropah. Walaupun setelah
mencapai kemerdekaan kemudiannya, negara-negara Islam
gagal memperkuatkan ummah. Negara mereka lemah dan
disalahtadbirkan dengan teruk sekali menyebabkan
mereka sentiasa dilanda pergolakan. Orang Eropah
bertindak sewenang-wenangnya terhadap bumi Islam.
Tidak hairanlah apabila mereka merampas bumi Islam
untuk mencipta negara Israel bagi menyelesaikan
masalah mereka dengan orang Yahudi. Oleh kerana mereka
berpecah, umat Islam langsung tidak dapat berbuat
apa-apa untuk menyekat pencerobohan pihak Balfour dan
Zionis itu. Di sebalik hakikat ini, ada di antara kita
yang beranggapan bahawa kehidupan kita lebih baik
daripada musuh-musuh kita. Ada di antara kita percaya
bahawa kemiskinan, kesengsaraan dan hidup tertindas
adalah kehendak Islam. Dunia ini bukan untuk kita. Hak
kita cuma untuk merasakan nikmat di syurga di akhirat
nanti. Kita hanya perlu menunaikan amalan dan memakai
pakaian tertentu dan menonjolkan wajah tertentu
sahaja. Kelemahan, kemunduran dan kegagalan kita untuk
membantu saudara seagama yang tertindas adalah atas
kehendak Allah iaitu kesengsaraan yang perlu dirasai
sebelum menikmati hidup di syurga di akhirat nanti.
Kita mesti menerima takdir yang menimpa kita. Kita
tidak perlu berbuat apa-apa pun. Kita tidak boleh
membuat sesuatu yang menentang takdir Allah. Tetapi
adakah benar bahawa ini semua kehendak Allah dan kita
tidak boleh dan tidak harus buat apa-apa? Allah
menyatakan dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11 bahawa Dia
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah
kaum itu sendiri mencuba mengubah nasib mereka.
Senapang Seperti umat Islam zaman silam yang mengalami
penindasan, kita umat zaman sekarang juga tertindas.
Tetapi selepas mereka berusaha dengan jujur dan gigih
untuk membela nasib mengikut ajaran Islam, Allah telah
membantu mereka mengalahkan musuh-musuh dan
membangunkan ketamadunan Islam yang kuat dan
cemerlang. Tetapi apakah usaha yang kita lakukan,
khususnya dengan sumber kekayaan yang Dia telah
berikan kepada kita. Umat Islam kini berjumlah 1.3
bilion orang. Kita memiliki simpanan minyak terbesar
di dunia. Kita banyak kekayaan. Kita tidak lagi buta
ilmu seperti mana puak Jahilliah yang memeluk Islam
dahulu. Kita memahami cara perdagangan dan kewangan
dunia diuruskan. Kita menguasai 57 daripada 180 negara
di dunia. Undi kita boleh memperkuat atau melemahkan
pertubuhan antarabangsa. Tetapi kita nampaknya lebih
lemah daripada kumpulan kecil Jahilliah yang memeluk
Islam dan menerima Nabi Muhammad s.a.w sebagai
pemimpin mereka. Kenapa? Adakah ini kehendak Allah
atau kerana kita telah salah mentafsir agama kita,
atau gagal mematuhi ajaran sebenar agama kita atau
kerana kita telah membuat kesilapan? Islam menyuruh
kita bersiap sedia untuk mempertahankan ummah.
Malangnya kita kurang menekankan soal pertahanan
sebaliknya tertumpu pada jenis senjata pada zaman
junjungan besar Nabi Muhammad. Senjata dan kuda yang
digunakan ketika itu tidak boleh lagi mempertahankan
kita. Kita perlukan senapang dan roket, bom dan
pesawat pejuang, kereta kebal dan kapal perang untuk
pertahanan kita. Tetapi oleh kerana kita tidak
digalakkan mempelajari sains, matematik dan lain-lain
ilmu kerana perbuatan itu disifatkan sebagai tidak
mementingkan akhirat, akibatnya hari ini kita tiada
keupayaan untuk mengeluarkan senjata sendiri untuk
pertahanan kita. Kita terpaksa membeli senjata
daripada pengutuk dan musuh kita. Inilah akibat
tafsiran cetek al-Quran yang tidak menghiraukan isi
sunnah Nabi dan ajaran Quran tetapi mementingkan
bentuk, cara dan ikhtiar yang digunakan semasa abad
pertama Hijrah. Begitulah juga dengan ajaran Islam
yang lain. Kita lebih utamakan bentuk daripada isi
kata-kata Allah dan cuma mengikuti tafsiran
perkataan-perkataan dalam sunnah junjungan besar Nabi.
Kita mungkin mahu mengembalikan cara hidup pada abad
pertama Hijrah, untuk mengamalkan apa yang kita anggap
sebagai cara hidup Islam sebenar. Tetapi kita tidak
akan diizinkan berbuat demikian. Pengutuk dan musuh
kita akan mengambil kesempatan daripada kemunduran dan
kelemahan kita untuk menguasai kita. Islam bukan untuk
kurun ke tujuh Selepas Masihi sahaja. Islam untuk
semua zaman. Dan masa telah berubah. Sama ada suka
atau tidak, kita perlu berubah bukan dengan mengubah
agama kita tetapi mengamalkan ajarannya dalam konteks
dunia yang berlainan sekali daripada dunia pada abad
pertama Hijrah. Islam tidak salah tetapi tafsiran para
cerdik pandai kita yang bukannya daripada golongan
rasul walaupun mereka terpelajar, mungkin salah. Kita
perlu kembali kepada asas ajaran Islam untuk
mengetahui sama ada kita sebetulnya menganuti dan
mengamalkan ajaran Islam yang disebarkan oleh Nabi
Muhammad. Masakan kita semua mengamalkan ajaran Islam
sebenar dan yang betul jika kepercayaan kita berbeza
sekali antara satu sama lain. Hari ini seluruh umat
Islam dibenci dan tidak dihormati. Agama kita dihina.
Tempat-tempat suci kita dicemari. Negara kita
ditakluki. Umat Islam kebuluran dan dibunuh. Tiada
satu pun negara Islam benar-benar bebas. Kita
dikenakan tekanan supaya tunduk kepada kehendak
penindas kita yang menetapkan kelakuan kita, cara kita
mentadbir negara kita, hinggakan cara kita harus
berfikir. Hari ini jika mereka mahu menyerang negara
kita, membunuh orang kita, memusnahkan kampung dan
bandar kita, tiada apa yang boleh kita lakukan. Adakah
Islam punca segala ini? Atau adakah kerana kita
sendiri gagal menunaikan tanggungjawab mengikut agama
kita? Reaksi kita sekadar menjadi marah dan bertambah
marah. Orang yang marah tidak dapat berfikir dengan
waras. Jadi kita mendapati sesetengah orang kita
bertindak tidak rasional. Mereka melancarkan serangan,
membunuh sesiapa sahaja termasuk umat Islam sendiri
untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan mereka.
Kerajaan mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk
menyekat mereka. Pihak musuh bertindak balas dan
menambah lagi tekanan terhadap kerajaan mereka.
Kerajaan mereka tiada pilihan kecuali mengalah dan
mengikut telunjuk musuh, pendek kata, mereka tidak
bebas untuk bertindak. Kemarahan yang memuncak di
kalangan rakyat mereka dan umat Islam lain mendorong
mereka menentang kerajaan mereka pula. Sebarang usaha
damai disabotaj dengan serangan terancang lebih hebat
untuk mengapikan lagi amarah musuh dan menutup jalan
penyelesaian. Tetapi serangan-serangan itu tidak
menghasilkan apa-apa. Cuma umat Islam terus tertindas.
Timbul rasa kehampaan di kalangan negara Islam dan
rakyat mereka. Mereka merasakan tiada yang betul dapat
mereka lakukan dan keadaan akan hanya menjadi lebih
buruk. Sampai bila pun umat Islam akan tertindas dan
dikuasai orang Eropah dan Yahudi. Sampai bila pun
mereka akan terus miskin, mundur dan lemah. Sesetengah
daripada mereka percaya, seperti mana yang saya
katakan tadi, bahawa ini semua kehendak Allah, nasib
umat Islam di dunia ditakdirkan terus miskin dan
ditindas. Tetapi benarkah kita tidak harus dan tidak
boleh berbuat sesuatu untuk diri kita sendiri?
Benarkan 1.3 bilion umat Islam tidak berkuasa untuk
menyelamatkan diri mereka daripada penghinaan dan
penindasan yang dilakukan musuh yang lebih sedikit
bilangannya? Mustahil tidak ada jalan lain. Umat Islam
berjumlah 1.3 bilion orang tidak boleh dikalahkan oleh
beberapa juta Yahudi. Mesti ada jalan lain. Dan kita
akan nampak jalannya jika kita berhenti seketika dan
berfikir untuk mengukur kelemahan dan kekuatan kita,
untuk merancang, mengatur strategi dan kemudian
melancarkan serangan balas. Sebagai umat Islam, kita
mencari pedoman daripada al-Quran dan Sunnah Nabi.
Sudah pastinya pengalaman perjuangan Nabi selama 23
tahun boleh memberi panduan tentang apa yang kita
boleh buat dan patut buat. Kita tahu Nabi Muhammad dan
pengikut awalnya ditindas kaum Quraisy. Adakah beliau
melancarkan serangan balas? Tidak. Nabi bersedia untuk
berundur secara strategik. Baginda menghantar
pengikutnya ke sebuah negara Kristian dan baginda
sendiri kemudian berhijrah ke Madinah. Di situ beliau
menambahkan pengikutnya dan membangunkan keupayaan
pertahanan dan memastikan keselamatan pengikutnya. Di
Hudaibiah, baginda rela menerima perjanjian yang berat
sebelah walaupun tidak direstui para sahabatnya dan
pengikutnya. Semasa tempoh damai yang menyusul selepas
itu, baginda memperkukuhkan kekuatan dan akhirnya
berjaya memasuki Mekah dan menawan kota itu untuk
Islam. Namun demikian baginda tidak membalas dendam
dan menuntut bela. Dan kesemua rakyat Mekah menerima
Islam dan ramai di antara mereka menjadi penyokong
kuat melindungi umat Islam daripada musuh. Begitulah
secara ringkas sejarah perjuangan baginda Nabi. Kita
banyak bercakap tentang meneladani Sunnah Nabi. Kita
tidak putus-putus memetik peristiwa-peristiwa dan
sunnah baginda. Tetapi kita sebenarnya tidak
menghiraukan kesemuanya itu. Jika kita menggunakan
kebolehan berfikir yang dianugerahi Allah, kita patut
sedar bahawa tindakan kita tidak waras. Kita berjuang
tanpa matlamat selain untuk mencederakan musuh kerana
mereka mencederakan kita. Dengan mudah kita
mengharapkan mereka menyerah diri. Tanpa sebab kita
mengorbankan banyak nyawa dan tidak mencapai apa-apa
kecuali mengundang serangan balas dan penghinaan yang
lebih buruk. Sudah sampai masanya kita berhenti
sejenak dan berfikir. Tetapi adakah ini membuang masa?
Lebih separuh abad kita berperangan kerana Palestin.
Apa yang telah kita capai? Kosong. Kita lebih teruk
daripada sebelumnya. Jika kita berhenti seketika untuk
berfikir, kita mungkin telah pun merangka satu pelan,
satu strategi yang boleh membawa kita kepada
kemenangan muktamad. Berhenti sejenak untuk berfikir
bukanlah membuang masa. Kita perlu membuat pengunduran
strategik dan menilai kedudukan kita dengan tenang.
Kita sebenarnya masih sangat kuat. 1.3 bilion umat
Islam tidak boleh dihapuskan dengan mudah begitu
sahaja. Orang Eropah telah membunuh enam juta daripada
12 juta orang Yahudi. Tetapi hari ini puak Yahudi
memerintah dunia secara proksi. Mereka membiarkan
orang lain berjuang dan mati untuk mereka. Kita
mungkin tidak dapat melakukan sedemikian. Kita mungkin
tidak dapat menyatukan 1.3 bilion umat Islam. Kita
mungkin tidak berjaya menggabungkan kesemua kerajaan
Islam untuk bertindak seiring. Tetapi jika kita dapat
menggembleng sepertiga daripada umat Islam dan
sepertiga daripada negara Islam untuk bertindak
bersama-sama, kita memang boleh berbuat sesuatu.
Ingatlah bahawa baginda Nabi tidak mempunyai ramai
pengikut semasa baginda pergi ke Madinah. Tetapi
baginda menyatukan puak Ansar dan Muhajirin dan
kemudian baginda menjadi cukup kuat untuk
mempertahankan Islam. Selain daripada perpaduan yang
kita perlukan, walaupun tidak menyeluruh, kita juga
perlu menilai aset kita. Sebentar tadi saya telah pun
menyebut tentang jumlah umat Islam dan kekayaan minyak
kita. Dalam dunia hari ini, kita mempunyai banyak
kuasa politik, ekonomi dan kewangan dan semua ini
mencukupi bagi kita mengatasi kelemahan kita dalam
bidang ketenteraan. Kita juga tahu bahawa tidak semua
orang bukan Islam menentang kita. Sesetengah daripada
mereka lebih terdorong ke arah kita. Ada di antara
mereka melihat musuh kita sebagai musuh mereka juga.
Malahan sesama orang Yahudi sekalipun, banyak yang
tidak menyokong apa yang dilakukan Israel sekarang.
Jangan kita membangkitkan kemarahan sesiapa. Kita
perlu menawan hati dan minda mereka. Kita mesti
menarik mereka menyebelahi kita bukan secara menagih
bantuan mereka tetapi dengan berjuang untuk membela
nasib kita sendiri secara yang terhormat. Jangan kita
pula membantu memperkuatkan musuh dengan mendorong
semua pihak menyebelahi mereka hanya kerana tindakan
kita yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan
dengan Islam. Ingatlah akan Salahuddin dan cara beliau
melawan tentera Salib, khususnya Richard, Raja
Inggeris. Ingatlah akan sikap timbang rasa baginda
Rasulullah terhadap musuh Islam. Kita mesti turut
berbuat demikian. Yang penting ialah memenangi
perjuangan, bukan kemarahan tindak balas, bukan
membalas dendam. Kita perlu membina kekuatan dalam
setiap bidang, bukan sahaja kekuatan bersenjata.
Negara kita mestilah stabil dan ditadbirkan
sebaik-baiknya, mesti kukuh ekonomi dan kewangannya,
mesti cekap dalam bidang perindustrian dan teknologi.
Ini memerlukan masa tetapi ia mampu dilaksanakan dan
masa yang ditumpukan ke arah ini tidak akan sia-sia.
Agama kita menyuruh kita bersabar.
Innallahamaasabirin. Nyata sekali ada hikmah di
sebalik kesabaran. Tetapi dalam mempertahankan ummah,
kita tidak perlu menunggu sehingga kita selesai
memperbetulkan diri sendiri untuk memulakan serangan
balas. Malahan pada hari ini pun kita mempunyai harta
mencukupi untuk digunakan menentang musuh kita.
Terpulang kepada kita sahaja untuk mengenal pasti
aset-aset itu dan bagaimana hendak menggunakannya bagi
menghentikan kehancuran yang disebabkan musuh kita.
Kesemuanya ini boleh dilakukan sekiranya kita berhenti
sekejap untuk berfikir bagi merancang, merangka
strategi dan memulakan langkah-langkah yang genting.
Langkah-langkah yang kecil sekalipun mampu membawa
hasil yang berkesan. Kita mengetahui puak Arab
Jahiliah sering bermusuh-musuhan, saling berbunuh
hanya kerana mereka berlainan suku kaum. Baginda
Rasulullah mengajar mereka tentang persaudaraan Islam
dan kesannya mereka dapat menghapuskan kebencian
terhadap sesama sendiri, dan kemudian bersatu dan
membantu membentuk ketamadunan Islam yang cemerlang.
Bolehkah kita menyatakan bahawa kita, umat Islam yang
moden tidak boleh melakukan apa yang dicapai oleh puak
yang jahil itu? Jika tidak semua pun,
sekurang-kurangnya sebahagian daripada kita boleh
melakukannya. Kalaupun kita tidak mampu membangkitkan
semula kegemilangan Islam, sekurang-kurangnya kita
menjamin keselamatan ummah. Untuk melaksanakan semua
yang dicadangkan ini, kita tidak perlu mengenepikan
perbezaan pendapat sesama kita. Kita hanya perlu
mewujudkan waktu gencatan supaya kita seiring
menangani masalah kepentingan bersama yang tertentu
sahaja, misalnya masalah Palestin. Dalam mana-mana
perjuangan, mana-mana peperangan, tiada yang lebih
penting daripada tindakan yang seiring dan selaras.
Yang diperlukan hanya disiplin. Baginda Rasulullah
tewas di Jabal Uhud kerana pasukannya berpecah belah.
Kita tahu tentang hal ini tetapi kita masih enggan
mendisiplinkan diri dan berhenti bertindak tidak
menentu dan tidak selaras. Kita perlu berani tetapi
tidak terlalu berani hingga mengambil risiko yang
bodoh. Kita perlu memikirkan bukan sahaja tentang
balasan di akhirat tetapi kesan duniawi akibat
tindakan kita. Al-Quran mengajar kita bahawa apabila
musuh menuntut perdamaian, kita wajib menyambutnya
secara positif. Memang benar bahawa perjanjian damai
yang ditawarkan berat sebelah dan merugikan kita.
Tetapi kita boleh berunding. Baginda Nabi pun berbuat
demikian di Hudaibiah. Akhirnya Rasulullah beroleh
kemenangan. Saya sedar bahawa semua gagasan ini tidak
digemari ramai. Mereka yang marah akan menolaknya
bulat-bulat. Malahan mereka akan mendiamkan sesiapa
yang mengambil atau menyokong cadangan sedemikian.
Mereka mahu mengerahkan lebih ramai pemuda dan pemudi
supaya membuat pengorbanan tertinggi. Tetapi ke
manakah akhirnya semua ini? Sudah pasti bukan
kemenangan. Sejak 50 tahun peperangan di Palestin,
kita tidak mencapai sebarang hasil. Malahan kita telah
memburukkan lagi keadaan. Pihak musuh mungkin
mengalu-alukan cadangan-cadangan ini dan kita akan
membuat kesimpulan kononnya pihak yang menimbulkan
cadangan mahu bersekongkol dengan musuh. Tetapi
fikirkanlah. Kita menentang pihak yang menggunakan
fikiran. Mereka terselamat daripada pembunuhan kaum
selama 2,000 tahun bukan dengan cara menyerang balas
tetapi dengan berfikir. Mereka mencipta dan berjaya
menyebarkan fahaman sosia isme, komunisme, hak asasi
manusia dan demokrasi supaya sebarang tindakan
menindas mereka akan dilihat sebagai perbuatan yang
salah demi membolehkan mereka menikmati hak yang sama
dengan orang lain. Dengan cara ini mereka kini berjaya
menguasai negara-negara terkuat di dunia dan
masyarakat kecil ini sudah menjadi kuasa dunia. Kita
tidak dapat melawan mereka dengan kuasa kudrat sahaja.
Kita juga perlu menggunakan otak kita. Sejak
akhir-akhir ini, oleh kerana kuasa mereka dan kejayaan
mereka, golongan ini menjadi angkuh. Dan orang yang
angkuh, seperti juga orang yang marah, akan melakukan
kesilapan dan mereka akan lupa untuk berfikir. Mereka
telah pun mula melakukan kesilapan. Dan mereka akan
membuat banyak lagi kesilapan. Mungkin ada peluang
bagi kita sekarang dan pada masa hadapan. Kita mesti
merebut peluang-peluang ini. Tetapi untuk berbuat
demikian, langkah-langkah kita mestilah betul.
Perbincangan sesama kita memang baik. Ia membantu kita
mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan
terhadap kita, dan mungkin kita akan beroleh simpati
dan sokongan. Ia boleh menyemarakkan semangat, iltizam
dan keazaman kita bagi menghadapi musuh. Kita boleh
dan seharusnya berdoa kepada Allah s.w.t. kerana
akhirnya nanti Dialah yang akan menentukan sama ada
kita berjaya atau gagal. Kita memerlukan restu-Nya dan
bantuan-Nya untuk segala ikhtiar kita. Tetapi yang
menentukan sama ada Dia akan membantu dan memberi kita
kemenangan ialah bagaimana kita bertindak dan apa yang
kita lakukan. Yang Maha Kuasa telah pun menyatakan
demikian dalam al-Quran. Sekali lagi rujuk kepada
Surah ar-Ra'd ayat 11. Seperti yang saya katakan pada
awal ucapan tadi, seluruh dunia memerhati kita,
seluruh ummah menaruh harapan kepada persidangan para
pemimpin negara-negara Islam. Mereka mengharapkan kita
bukan sahaja untuk meluahkan kekecewaan dan kemarahan
kita menerusi kata-kata dan tindakan, tidak sekadar
berdoa kepada Allah memohon restunya. Mereka
mengharapkan agar kita berbuat sesuatu, agar kita
bertindak. Kita tidak boleh menyatakan yang kita ini,
iaitu para pemimpin negara-negara Islam, tidak dapat
berbuat apa-apa. Kita tidak boleh menyatakan yang kita
tidak boleh bersatu walaupun dalam ketika kita
berhadapan dengan kemusnahan agama dan umat Islam.
Kita tahu kita boleh melakukannya. Banyak perkara yang
boleh kita laksanakan. Ada banyak sumber kekayaan
untuk kita gunakan. Yang diperlukan cuma kesungguhan
untuk bertindak. Sebagai umat Islam, kita mesti
bersyukur atas pedoman yang dibawa agama kita, kita
harus melakukan apa yang perlu dibuat dengan kerelaan
dan keazaman. Allah tidak mengangkat kita, para
pemimpin, mengatasi yang lain supaya kita menikmati
kuasa untuk faedah diri kita sendiri sahaja. Kuasa
yang kita pegang ialah untuk rakyat kita, untuk ummah,
untuk Islam. Kita perlu ada kesungguhan untuk
menggunakan kuasa ini dengan bijaksana, adil, berhemah
dan berkesepakatan. Insya-Allah kita akan berjaya
akhirnya. Saya berdoa kepada Allah supaya Sidang
Kemuncak ke-10 Persidangan Pertubuhan Islam di
Putrajaya, Malaysia akan menunjukkan hala tuju yang
baru dan positif kepada kita, supaya direstui dengan
kejayaan oleh-Nya, Allah Yang Maha Kuasa, al-Rahman,
al-Rahim. Ñ Bernama 



__________________________________
Do you Yahoo!?
The New Yahoo! Shopping - with improved product search
http://shopping.yahoo.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ingin memasarkan produk anda di web RantauNet http://www.rantaunet.com 
Hubungi [EMAIL PROTECTED] atau [EMAIL PROTECTED]
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/daftar.php
----------------------------------------------------
Berhenti menerima RantauNet Mailing List, silahkan ke: 
http://www.rantaunet.com/unsubscribe.php
========================================

Reply via email to