http://ilmudanulamak.blogspot.com/2006/12/soalan-apa-pandangan-ustaz-berkenaan.html
   
  KOMEN ISU SIASATAN DAN TANGKAPAN KHALWAT 
  
    Soalan: Apa pandangan Ustaz berkenaan kenyataan Dr. Asri (Mufti baru 
Perlis) sebagaimana disiarkan dalam New Straits Times, 15hb Disember2006, 
mukasurat 11 yang bertajuk: STOP SNOOPING AROUND FOR KHALWAT COUPLES (HENTIKAN 
TINDAKAN MENGENDAP PASANGAN KHALWAT)

Jawapan

Saya telah membaca pandangan beliau tersebut sebagaimana yang tersiar dalam 
akhbar berkenaan. Kesimpulan yang dapat saya buat adalah seperti berikut;
(*Mohon maaf kepada para pembaca yang tidak suka artikel panjang. Bagi isu ini 
saya rasa perlu mengulas dengan panjang lebar. Bacalah dengan sabar.)

“Banyak kenyataan di dalam artikel tersebut mengelirukan. Saya tidak tahu 
kenyataan-kenyataan tersebut terbit dari mulut Dr. Asri sendiri atau hanya 
olahan pengarang berita. Jika ia benar-benar terbit dari mulut Dr. Asri 
sendiri, maka amat mengecewakan kita kenyataan-kenyataan sebegitu dibuat.

Pertama; Ia boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik 
Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan 
orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan ‘aib 
orang lain. Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab 
rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang 
berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul, 
bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan 
menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.

Kedua; Ia jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas 
membenteras maksiat. Penggunaan bahasa “mengintip, mengendap atau mencari-cari 
pasangan….”, jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka. 
Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa 
yang sepatutnya ialah “menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik…”.

Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau 
mendapat laporan tentang su kes di mana dua orang (lelaki dan wanita) yang 
meragukan di dalam sebuah bilik (di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka 
berdua bukan pasangan suami-isteri), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat, 
ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat 
atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan 
sebagai mengintip atau mengendap.

Jika hendak dikatakan ‘aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk 
mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan 
suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita 
memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka ‘aib bagi kita? Jika memberi 
surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang ‘aib, maka 
tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga 
tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan 
melanggar hak individu.

Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat 
awam (taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi) yang menjadi sarang maksiat dari 
orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat 
tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakana mengintai dan 
mengintip. Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang 
sedang bercumbu-cumbuan (beromen), apakah tangkapan tersebut salah di sisi 
Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan 
di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan 
besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak. Di 
dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan (seks) 
antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri 
menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah 
dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di
 hadapan orang lain.

Ketiga; ada kenyataan-kenyataan beliau –sebagaimana tulisan akhbar tersebut- 
bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;

(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.

Artikel akhbar tersebut menyebutkan; “Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin 
mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi 
menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan”.

Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah 
dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau 
kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya 
diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari 
tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain 
terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

دَعْ ما 
يَرِيبُكَ 
إلى ما لا 
يَرِيبُكَ
“Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam 
Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi 
munkar); “Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi 
munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita 
di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu 
yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia 
menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas 
mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya. Jika ia dapati 
wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; 
‘Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan’. Adapun 
jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada 
lelaki itu; ‘Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan 
mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan
 maksiat kepada Allah’. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut 
hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya”. (Halaman 376)

Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana 
jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang 
yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih 
meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak 
peribadi?

(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; “Islam tidak 
menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat”.

Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun 
harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku 
atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab 
yang amat besar di dalam Islam. Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam 
al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa 
an-Nahyu ‘Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar). 
Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh 
Allah di dalam al-Quran.

Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu 
bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan 
alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila 
telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak 
haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?

Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan 
maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat 
yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk 
menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar 
berlaku. Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh 
ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak, 
peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang 
wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci 
tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.

(3) Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; “Prinsip amr makruf nahi 
munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah 
dilakukan secara terbuka”.

Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan 
lanjut untuk mengelak kekeliruan.

Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan 
al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah 
tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk 
mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah 
munkar dan maksiat.

Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat 
jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut. 
Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain. 
Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ‘ain yang tidak boleh 
diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa 
pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat 
Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)

Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; “Harus 
al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara 
zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf 
(perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai 
melaksanakannya…”.

Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah 
munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar 
yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;

a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.
b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni 
bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi 
tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.

Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu “Hendaklah munkar 
itu zahir”), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di 
depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah. Secara tepatnya, syarat 
tersebut bermaksud; “Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau 
sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya”. Menurut penjelasan Dr. 
Abdul-Karim Zaidan; “Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah 
mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib 
bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat 
tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan 
perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum 
berlaku atau belum diketahui…”. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).

Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam 
al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah 
(maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak 
sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.

Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah 
seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.

Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika 
al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau 
pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan 
tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka 
dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;

Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika 
dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan. Contohnya; al-Muhtasib telah 
diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki 
sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina 
dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat 
intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.

Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah 
harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)

Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup. 
Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi 
jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari 
tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara 
terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali. Menjadi kewajipan 
al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan 
tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman 
jika perlu. Malah beliau menyebutkan; “Jika seorang lelaki terang-terangan 
meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah 
dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir 
zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan 
(bukan atas kesalahaan meminumnya)”. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).
Wallahu-a’lam
  

    Posted by USTAZ AHMAD ADNAN BIN FADZIL


 
---------------------------------
Never miss an email again!
Yahoo! Toolbar alerts you the instant new Mail arrives. Check it out.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke