http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Pelantikan anak Susilo jadi isu

JAKARTA 18 Jun - Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, beliau tidak campur 
tangan dalam soal pelantikan anak lelakinya Edi Baskoro Yudhoyono (gambar) 
sebagai Setiausaha Agung Parti Demokrat.

Pelantikan Edi Baskoro yang diumumkan oleh Ketua Umum Parti Demokrat yang baru, 
Anas Urbaningrum pada Khamis lalu, telah menyebabkan banyak pihak menyuarakan 
keraguan terhadap kemampuan pemuda berusia 29 tahun itu yang dikatakan kurang 
berpengalaman. 

Ibas, nama panggilan kepada Edi Baskoro, menggantikan Marzuki Alie yang juga 
Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.

"Saya tidak mencampuri hal-hal teknikal pengurusan yang selama ini diketuai 
oleh ketua terpilih, Anas Urbaningrum," katanya di Cipanas, Bogor, hari ini.

Susilo, yang juga pengasas Demokrat berkata, beliau hanya menguruskan hal 
berkaitan tugasnya sebagai Ketua Majlis Tinggi dan Dewan Pembina parti itu.

Katanya, proses pemilihan Ketua Umum parti terbesar di Indonesia itu pada bulan 
lalu berjalan secara demokratik dan beliau tidak mengarahkan bahawa calon 
tertentu harus dipilih.

Pemilihan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anas, yang ketika 
itu menyandang Ketua Dewan Pimpinan Pusat parti Demokrat, Marzuki Alie dan Andi 
Mallarangeng yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet Susilo sekarang.

"Pasukan Marzuki Alie, Andi Mallarangeng atau Anas Urbaningrum, ketiga-tiganya 
meminta Ibas menjadi Setiausaha Agung," katanya. 

Sosilo berkata, beliau menyedari bahawa banyak pihak meragukan kemampuan 
anaknya itu dan sehubungan itu meminta Ibas membuktikan kemampuannya 
sebagaimana beliau sendiri membuktikan kemampuannya ketika dilantik sebagai 
Panglima Komando Tentera Negeri sewaktu beliau masih muda dahulu. - BERNAMA


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke