http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
Suspek pengganas dibicara Mohammed Jibril Abdurahman bersalaman dengan bapanya,, Abu Jibril semasa tiba di kamar mahkamah di Jakarta, semalam untuk menghadapi tuduhan membiayai serangan pengganas ke atas dua hotel mewah di Jakarta tahun lalu. - AFP -------------------------------------------------------------------------- JAKARTA 23 Feb. - Seorang lelaki Indonesia yang dituduh menaiki penerbangan ke Arab Saudi bagi memungut wang untuk membiayai serangan berani mati di dua buah hotel mewah di sini mendakwa kes terhadapnya telah 'diada-adakan'. Pendakwa raya berkata, Mohammad Jibriell Abdul Rahman menjalin hubungan dengan ketua militan, Noordin Mat Top dan cuba memungut wang untuk membiayai serangan-serangan bom di Hotel J.W. Marriott dan Ritz Carlton pada 17 Julai, 2009. Tujuh orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera dalam serangan pengebom berani mati itu. Mohammad, 25, yang dituduh melanggar Undang-undang Antikeganasan negara ini, mendakwa dia tidak bersalah ketika tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan untuk dibicarakan. "Saya anggap kes ini diada-adakan. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan," kata Mohammad kepada wartawan di luar mahkamah, sejurus sebelum perbicaraan bermula. Dia boleh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan. Menurut kertas pendakwaan, Mohammad menemui Noordin yang didakwa mendalangi beberapa serangan bom di Indonesia sebelum dia terbunuh dalam pertempuran dengan polis pada tahun lepas, kira-kira setahun sebelum serangan bom di kedua-dua hotel mewah tersebut. Pada pertemuan itu, Mohammad didakwa mengirim e-mel kepada saudara lelakinya, Ahmad Isrofil Mardhotillah yang berada di kota suci Mekah. "Saya sudah menemui N, kami berbincang lama di dalam kereta. N memerlukan 100 juta rupiah (RM36,618)...," kata Mohammad dalam e-mel itu. Mohammad dan seorang lagi suspek serangan, Syaefudin Zuhrithen kemudian berlepas ke Mekah untuk mendapatkan pembiayaan bagi serangan tersebut, kata pendakwa. Syaefudin kemudian terbunuh dalam satu serbuan polis. Kertas pendakwaan tidak menyatakan jumlah wang yang dipungut dan sama ada wang itu sampai ke tangan Noordin atau tidak. Pendakwa raya berkata, Mohammad menemui Noordin buat kali pertama pada 1998 sewaktu dia belajar di sebuah sekolah agama di Malaysia dan Noordin menjadi guru di situ. Polis telah membunuh enam orang dan menangkap lebih 12 suspek dalam siasatan mengenai letupan bom di hotel-hotel mewah tersebut. - AP ++++++ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm Indonesia tahan 4 suspek pengganas JI BANDA ACEH 23 Feb. - Polis Indonesia menahan empat orang dalam satu serbuan ke atas fasiliti latihan pengganas di kawasan pedalaman wilayah Aceh. "Kami menahan empat orang yang disyaki terlibat dalam latihan pengganas. Mereka dikhuatiri adalah sebahagian daripada kumpulan Jemaah Islamiah (JI). Kami masih menyiasat perkara ini," kata ketua polis Aceh, Aditya Warman kepada pemberita. Lebih 100 anggota polis bersenjata berat mengambil bahagian dalam serbuan itu sebelum tengah malam tadi di kawasan hutan daerah Aceh Besar, kira-kira 70 kilometer di utara Banda Aceh. Warman berkata, kira-kira 50 militan dipercayai berada di kawasan sekitar untuk menjalani latihan ala-tentera termasuk penggunaan senjata api. Hanya empat berjaya ditangkap dalam serbuan itu, manakala yang lain berjaya melarikan diri ke dalam hutan. Polis menemui senapang, pakaian seragam angkatan tentera Malaysia dan propaganda pengganas seperti video pengeboman Bali pada 2002 yang meragut lebih 200 nyawa, kebanyakannya pelancong Barat. "Kami menerima maklumat latihan ini disertai 50 orang dari kumpulan yang disyaki mempunyai kaitan dengan JI. Mereka menukar lokasi bagi mengelak dari dikesan dan telah bergerak ke empat daerah. "Kami menemui buku mengenai jihad, cakera padat pengeboman Bali dan beberapa kawasan lain, uniform tentera Malaysia, jaket dengan perkataan 'Jemaah' dan beberapa benda lain," kata Warman lagi. Ketua polis itu berkata, operasi akan diteruskan bagi mengesan suspek-suspek lain. Ini bukan kali pertama kawasan pedalaman Aceh digunakan oleh pengganas untuk berlatih dan bersembunyi namun wilayah paling konservatif Indonesia tidak dikenali sebagai sarang ekstremis. Kebanyakan aktiviti JI tertumpu di sekitar masjid dan pesantren radikal di Jawa. - AFP [Non-text portions of this message have been removed]