Berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah, aktiviti treasure hunt ini ialah satu 
permainan yang sangat versatile dan boleh dimainkan di mana-mana sahaja, 
termasuk di dalam taman! Di negara ini terdapat banyak taman tasik atau taman 
bunga yang besar yang terbuka untuk kegunaan orang ramai. Taman-taman ini juga 
banyak mempunyai tempat beriadah dan sesuai untuk seisi keluarga dan pelbagai 
peringkat umur.

Treasure hunt juga sesuai untuk dilakukan di taman bunga, terutama sekali taman 
yang mempunyai landskap yang menarik dengan rimbunan pelbagai jenis pohon dan 
aksesori lain yang menarik seperti gua buatan, terowong, parit besar, rumah di 
atas pokok, pondok rehat dan sebagainya. 

Yang penting, gunakan kreativiti anda untuk menganjurkan permainan ini di taman 
dengan mengambil kira pelbagai faktor. Lazimnya, keputusan untuk menjalankan 
aktiviti treasure hunt di taman dibuat untuk memudahkan peserta yang 
berkeluarga untuk turut serta. Selain kemudahan yang ada untuk kanak-kanak, 
taman juga merupakan satu tempat yang selamat untuk kanak-kanak berlari-lari 
tanpa perlu ibu bapa risau akan keselamatan mereka. 


Yang berikut disenaraikan tip berguna jika anda perlu menyorokkan klu untuk 
permainan treasure hunt ini sekiranya diadakan di dalam taman.

1. Tiada kanak-kanak 

Pastikan tidak ada kanak-kanak yang nampak anda menyembunyikan klu atau menanam 
sesuatu objek. Sudah menjadi fitrah kanak-kanak, mereka mempunyai sifat ingin 
tahu yang tinggi dan akan berusaha untuk mencari jawapan kepada sifat ingin 
tahu mereka.

Jadi, tidak hairanlah apabila ada kanak-kanak yang akan mengambil klu yang 
telah anda sorokkan atau menggali kembali objek yang telah ditanam untuk 
mendapatkan jawapan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut akan bergegas ke 
tempat yang telah anda sorokkan barang-barang dan mengambilnya. 

Ingat, bukan salah mereka kerana mencari sesuatu yang misteri atau berjaya 
menggali sesuatu benda yang berharga ialah satu pengalaman yang sangat 
menyeronok-kan mereka. 


2. Tahu waktu taman beroperasi

Kebanyakan taman mempunyai waktu buka dan tutup tertentu, ada yang ditutup 
dengan lebih awal dan ada yang tidak. 

Jadi, adalah penting bagi anda untuk mengetahui-nya kerana anda harus berada di 
sana lebih awal daripada orang lain untuk menyorokkan 'harta karun' anda. 


3. Jauhi paip pancuran air (sprinkler) 

Sebelum anda menyorokkan sebarang klu atau objek, pastikan anda tahu tempat 
letaknya paip pancuran air (sprinkler) yang selalunya tersembunyi di 
celah-celah pokok. 

Kebanyakan pancuran diprogramkan untuk menyiram air pada waktu malam. Oleh itu, 
pastikan klu anda tidak akan dibasahi air, jika tidak anda akan mendapati 
semuanya telah hancur ataupun rosak keesokan paginya.


4. Cari taman yang sesuai dengan tema 

Bergantung kepada tema yang telah anda pilih, cari taman yang banyak mempunyai 
kolam air atau anak sungai yang kecil jika tema yang anda gunakan berkaitan 
dengan lanun dan air. Anda boleh menyembunyikan klu di dalam botol yang 
direndamkan di dalam air sungai.

Namun, berhati-hati kerana anda tidak mahu botol tersebut dihanyutkan air! 
Untuk mengelakkan daripada perkara ini terjadi, anda mempunyai beberapa 
pilihan, iaitu:

i. Mengikat muncung botol dengan tali atau benang halus pada batu atau pada 
dahan pokok. Tetapi pastikan benang atau tali ini tidak kelihatan kerana jika 
tidak, hal ini akan menjadi seperti jejak yang membawa peserta kepada botol 
tersebut! Pastinya permainan akan menjadi hambar dan tidak mencabar.

ii. Memasukkan sesuatu benda yang berat di dalam botol tersebut sehingga botol 
tersebut tenggelam dan tidak boleh dibawa arus. Anda boleh mengisi dengan pasir 
ataupun batu kecil. 

iii. Meletakkan botol tersebut di celah-celah batu agar tidak boleh bergerak 
dan tidak akan dibawa arus.


5. Perkara penting ketika memilih taman

Jika anda menggunakan taman awam yang besar dan banyak mempunyai pokok atau 
rimbunan pohon yang boleh menjadi tempat berteduh kepada orang yang tidak 
mempunyai rumah seperti pengemis atau orang yang tidak siuman, anda mesti 
berhati-hati kerana anda tentu tidak mahu mengganggu tempat persembunyian 
mereka. Selain itu, anda juga tidak mahu mereka melihat apa-apa yang ingin anda 
sorokkan kerana seperti kanak-kanak, orang dewasa juga kadang-kadang mempunyai 
sifat ingin tahu yang menebal! 

Sebelum anda memilih taman, pastikan taman tersebut diketahui oleh semua 
peserta agar tidak ada yang sesat nanti. Sediakan peta untuk ke taman tersebut 
untuk mengelakkan sebarang kelewatan yang tidak diingini. 

Sebelum memilih tempat, fikirkan tentang festival lain atau acara lain yang 
mungkin berlangsung di taman tersebut pada waktu yang sama. Jika terdapat 
festival yang dianjurkan di tempat yang dipilih, hal ini bermakna taman 
tersebut akan mempunyai lebih banyak pengunjung berbanding dengan hari biasa 
dan kesesakan akan berlaku. 

Jika terlalu banyak pengunjung, pastinya berlaku kekecohan dan jangan terkejut 
sekiranya tempat yang anda gunakan untuk menyembunyikan klu akan digunakan oleh 
orang lain. 

Jadi, sebelum anda membuat keputusan dan perancangan, semak dahulu dengan pihak 
pengurusan taman atau pihak berwajib lain untuk memastikan tiada acara utama 
lain yang berlangsung pada masa yang sama. Gunakan kebijaksanaan anda untuk 
memujuk mereka mengehadkan jumlah pengunjung yang datang supaya treasure hunt 
anda akan dapat berjalan dengan amannya.

Jika boleh, cari lokasi yang mempunyai trek semula jadi atau buatan untuk 
memudahkan peserta. Hal ini dapat mengelakkan peserta daripada sesat di dalam 
taman sekiranya taman tersebut terlalu luas.

Pastikan juga tiada syarikat lain yang menganjurkan sebarang hari keluarga pada 
hari yang sama untuk mengelakkan masalah yang sama. 


6. Buat dengan sempurna

Sebelum anda meletakkan sebarang klu di seluruh taman, pastikan anda sendiri 
berjalan mengikut trek yang bakal digunakan supaya anda mampu membuat anggaran 
tentang jarak yang harus ditempuhi oleh kesemua peserta. Jika ada peserta yang 
sudah berumur atau kurang upaya, anda juga harus mengambil kira keupayaan dan 
tenaga mereka. 


7. Pastikan tempat meletak kereta mencukupi

Perkara yang dianggap kecil tetapi penting ialah tempat meletak kereta bagi 
peserta dan pengunjung lain. Pastikan tempat meletak kereta mencukupi dan 
berdekatan dengan pintu keluar dan masuk taman untuk memudahkan pergerakan 
peserta dan penghantaran barang seperti makanan dan sebagainya.


8. Bersihkan taman awam sesudah tamat acara

Apabila acara treasure hunt ini sudah selesai, minta kerjasama peserta untuk 
membersihkan kawasan sekeliling daripada sampah sarap dan botol-botol minuman. 
Sebagai warga yang bertanggungjawab, kebersihan taman merupakan tanggungjawab 
bersama. 

Jika tidak pandai menjaga kemudahan yang ada, pihak pengurusan taman mungkin 
akan menyenarai-hitamkan syarikat anda untuk aktiviti-aktiviti seterusnya pada 
masa hadapan. 

Harga senaskhah buku CARA MUDAH MENGENDALIKAN MAJLIS RASMI & AKTIVITI RIADAH 
SYARIKAT ini ialah RM20. Jumlah muka surat ialah 160. Maklumat lanjut tentang 
buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.

Kirim email ke