Sebagaimana yang kita ketahui, seseorang itu tentunya akan meletakkan keutamaan 
masing-masing apabila memilih pekerjaan. Untuk mengetahui sama ada pekerjaan 
atau kepuasan yang diperoleh daripada pekerjaan yang penting kepada anda, sila 
buat latihan yang telah disediakan di bawah. Latihan di bawah HANYA memberikan 
anda gambaran kasar tentang kepentingan pekerjaan anda dan kepuasan yang anda 
kecapi daripada pekerjaan anda itu.


Baca setiap soalan dengan teliti dan tandakan (a) untuk jawapan 'ya' atau (x) 
untuk 'tidak'.

Bagaimanakah Anda Menilai Pekerjaan Anda?

1. Mahukah anda membatalkan cuti anda jika anda mendapat peluang untuk kenaikan 
pangkat pada waktu yang sama?

2. Adakah anda menaruh harapan untuk hidup seperti seorang bintang filem pada 
satu hari nanti?

3. Pernahkah anda idamkan untuk membeli sebuah rumah yang lebih besar pada masa 
hadapan?

4. Adakah anda bekerja dengan harapan untuk membuka perniagaan anda sendiri 
pada satu hari nanti?

5. Apabila tiba masanya untuk membuat sesuatu keputusan, adakah mudah bagi anda 
untuk melakukannya?

6. Adakah anda mempunyai nilai-nilai diri yang boleh membuatkan anda berjaya 
dalam kerjaya anda?

7. Adakah menjadi terkenal itu menarik perhatian anda?

8. Adakah anda seorang yang sanggup menerima pujian daripada kerja yang telah 
dilakukan oleh rakan sekerja anda?

9. Adakah anda seorang yang suka memberi arahan kepada orang lain?

10. Bolehkah anda bekerja dengan orang yang anda tidak suka jika keadaan ini 
dapat meningkatkan lagi kedudukan anda di pejabat/syarikat itu?

11. Mahukah anda menerima tawaran pekerjaan yang lebih baik walaupun pekerjaan 
itu akan memisahkan anda daripada keluarga anda?

12. Adakah anda berasa yang anda lebih berkebolehan daripada orang lain?

13. Adakah anda akan menghadiri majlis atau perjumpaan yang diadakan oleh 
ketua/majikan anda daripada menghadiri majlis yang diadakan oleh rakan-rakan 
anda?

14. Adakah anda berasa bosan jika anda mengambil bahagian dalam permainan yang 
tidak mendapat perhatian ketua anda?

15. Pernahkah anda memikirkan bagaimana anda hendak meraikan kejayaan anda 
sebagai seorang jutawan?


Bagaimanakah kedudukan anda?

Setelah melakukan latihan yang diberikan, anda dikehendaki mengira jumlah 
markah yang anda peroleh. Untuk setiap jawapan 'Ya', berikan diri anda 1 markah.

Jika markah anda di antara 9 hingga 15, anda seorang yang bercita-cita tinggi 
dan mempunyai azam yang kuat. Anda menggunakan pekerjaan anda untuk mendapatkan 
kejayaan dan kekayaan. Anda mungkin kecapi kepuasan bekerja tetapi kepuasan 
bekerja itu tidak memainkan peranan yang penting dalam hidup anda.

Markah di antara 5 hingga 8 menunjukkan bahawa anda bekerja hanya untuk 
mendapatkan wang dan tidak lebih daripada itu. Hal ini bukan bermakna anda 
tidak ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, tetapi anda 
masih belum bersedia untuk melakukan pengorbanan yang diperlukan dalam 
pekerjaan itu nanti. Pada banyak ketika, anda mendapat kepuasan daripada 
pekerjaan yang anda lakukan.

Jika markah anda ialah 4 dan ke bawah, anda seorang yang tidak mementingkan 
darjat atau gaji yang lumayan. Anda lebih suka memilih pekerjaan yang 
memberikan anda masa lapang. Anda mendapat kepuasan daripada pekerjaan yang 
anda lakukan.


Artikel di atas dipetik dari buku MENILAI POTENSI SEBENAR ANDA terbitan 
Perintis Books Sdn. Bhd.

Kirim email ke