KUALA LUMPUR: Sebanyak 26,224 orang telah diberhentikan kerja di negara

ini sejak 19 Mac lalu, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan

Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan semalam. 



Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 12,674 orang adalah

rakyat tempatan dan 6,651 warga asing diberhentikan kerja begitu saja,

manakala selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS). 



Shamsuddin berkata, beliau menjangka lebih banyak pekerja akan

hilang pekerjaan beberapa minggu akan datang sekiranya keadaan ekonomi

semasa tidak segera diperbaiki. 



Katanya, bajet mini yang diumumkan baru-baru ini juga tidak banyak

memberi kesan terhadap syarikat atau memberi rangsangan segera kepada

mereka bagi mengekalkan pekerja masing-masing. 



Selain pengurangan sumbangan sebanyak 0.5 peratus kepada Tabung

Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), tiada apa yang diperoleh daripada

bajet itu,-katanya. 



Beliau berkata, walaupun pengurangan kadar sumbangan kepada tabung

berkenaan boleh menyumbang kira-kira RM300 juta setahun kepada sektor

pembuatan, namun ia tidak mencukupi kerana syarikat terjejas teruk

akibat kejatuhan ekonomi kebelakangan ini. 



Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar syarikat yang mengekalkan

pekerja masing-masing diberi subsidi secara langsung, seperti yang

dilaksanakan di negara jiran. 



Shamsuddin berkata, majikan sedang berusaha sedaya upaya untuk

tidak memberhentikan pekerja dan mengekalkan perniagaan masing-masing. 



Mengenai cadangan bajet mini untuk menaikkan levi bagi pekerja

asing, beliau berkata langkah itu tidak akan menghalang majikan

daripada terus mengambil warga asing sebagai pekerja kerana rakyat

tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor tertentu. 



Contohnya, kata beliau, dalam sektor pembuatan kaca, rakyat

Malaysia tidak mahu bekerja sebagai pengendali acuan kerana ia

memerlukan mereka bekerja dalam persekitaran yang amat panas dan lembab

bagi tempoh yang panjang. 



Melalui bajet mini itu, kerajaan bercadang meningkatkan sekali

ganda kadar levi terhadap pekerja asing iaitu daripada RM1,600 kepada

RM3,600 setahun. 



Satu lagi cadangan ialah levi yang sebelum ini dibayar pekerja akan dibayar 
majikan.- Bernama 



Harian Metro, 30 Mac 2009 




      

Kirim email ke