Di hadapan khalayak, Fairuz berdiri kaku. Wajahnya pucat lesi. Tangannya 
menggeletar memegang kertas yang mengandungi teks untuk ucapannya pada hari 
itu. Entah bagai ada yang tidak kena, perutnya terasa memulas dan hatinya 
berdebar-debar. Peluh dingin memercik keluar dari tapak tangan dan dahinya. 
Fairuz mengeluarkan sapu tangan dari kocek dan ditekapkan pada dahinya. 
Titik-titik peluh baru muncul semula. 

Dia mencuba untuk menenangkan perasaannya yang gugup. Hadirin masih lagi 
menanti dengan sabar tetapi tertanya-tanya sebab Fairuz masih belum memulakan 
ucapannya. Fikirannya buntu. Sudah berkali-kali Fairuz membaca teks ucapannya 
pada malam sebelumnya tetapi semuanya bagaikan sudah hilang. Dia tidak lagi 
ingat apa-apa. Fairuz tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Patutkah dia 
melarikan diri? Tidak! Peristiwa ini sungguh memalukan. Dia tidak pernah 
menyangka bahawa nasibnya pada hari tersebut sebegitu malang.


Bab 1    PENDAHULUAN

Adakah anda pernah mengalami keadaan seperti Fairuz? Jika pernah, jangan 
bimbang kerana anda tidak keseorangan. Banyak individu di luar sana yang petah 
berkata-kata apabila bercakap dengan rakan taulan, tetapi jika disuruh bercakap 
di hadapan khalayak, sepatah perkataan pun tidak mampu hendak diucapkan. 

Memang benar, banyak cerdik pandai yang ternama dan terkenal, yang nampak 
berkeyakinan dan petah bercakap tiba-tiba menjadi bisu dan lidah mereka kelu 
tidak terkata apabila menghadapi hadirin yang ramai. Kebolehan seseorang itu 
bercakap di hadapan khalayak sangat penting kerana kebolehan itu melambangkan 
imej mereka. Kebolehan berpidato lazimnya dikaitkan dengan golongan politik 
tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kerjaya lain seperti guru, pensyarah, ejen 
pemasaran dan sebagainya juga perlu mempunyai kebolehan ini. Kerja seharian 
menuntut mereka berinteraksi dengan pelbagai pihak dan selalunya melibatkan 
lebih daripada seorang pendengar. Kegagalan untuk mempengaruhi pelanggan supaya 
membeli produk yang dipromosikan misalnya, akan menjejaskan pendapatan dan 
karier mereka. 

Bagi golongan yang menjalankan perniagaan sendiri, kemahiran berkomunikasi 
sangat penting agar dapat mempengaruhi pelanggan untuk membeli produk tersebut 
ataupun tidak. Secara profesional, golongan ini harus berkemahiran 
berkomunikasi untuk memasarkan produk dengan cara yang berkesan kerana selain 
pengiklanan, pembentangan latar belakang produk (presentation) secara audio dan 
visual juga memberikan kesan yang positif terhadap penjualan produk. Kajian 
menunjukkan bahawa jualan melalui ejen yang mempromosikan secara terus kepada 
pengguna adalah lebih tinggi daripada jualan yang didapati daripada pengiklanan.

Buku ini bertujuan untuk memberikan petunjuk tentang cara untuk menyedia dan 
menyampaikan ucapan, mengembangkan informasi yang ada, memikat pendengar untuk 
terus mendengar ucapan anda, menambah unsur-unsur lain dalam ucapan secara 
impromtu dan sebagainya. Buku ini juga akan membincangkan gerak-geri tubuh dan 
cara untuk menjadikan ucapan anda menarik dan akan terus diingati oleh setiap 
pendengar.

Selain itu, anda juga akan diberikan tips cara untuk mengingati keseluruhan 
teks ucapan anda tanpa menghafal. Sudah pasti agak sukar bagi seseorang untuk 
menghafal berkajang-kajang ucapan dalam tempoh masa yang singkat.


Bab 2    TUJUH ASPEK PENYAMPIAN YANG DINAMIK

Ada tujuh aspek yang harus dikuasai oleh seorang penceramah apabila menyediakan 
dan menyampaikan sesuatu pembentangan. Seorang penceramah yang efektif mampu 
untuk menguasai ketujuh-tujuh perkara tersebut dalam masa yang sama. Kegagalan 
untuk memberikan tumpuan kepada kesemua aspek ini akan mengakibatkan kegagalan 
sesuatu pem-bentangan. Kegagalan untuk memberikan tumpuan kepada kesemua aspek 
ini juga akan mengakibatkan pembentangan terjejas dengan teruk sehingga 
memberikan kesan kepada kredibiliti dan reputasi seseorang penceramah. 

Aspek-aspek ini ialah:

1. Penceramah 
2. Mesej yang disampaikan
3. Hadirin
4. Saluran
5. Maklum balas
6. Bunyi bising
7. Setting/susun atur tempat


2.1 Penceramah

Salah satu daripada komponen utama sesuatu pembentangan atau ucapan ialah 
penceramah itu sendiri. Kebanyakan penceramah lupa bahawa mereka lebih penting 
daripada alat visual lain yang ada. Mereka terdorong untuk menyediakan alat 
bantuan visual yang canggih sehingga terlupa bahawa semua itu hanyalah 
merupakan bantuan kepada mereka semata-mata. 

Terdapat tiga faktor utama yang perlu dipertimbangkan semasa memilih 
penceramah, iaitu:

(a) Tahap motivasi semasa memberikan ucapan/ceramah
(b) Kredibiliti sebagai seorang penceramah dan personalitinya
(c) Stail penyampaian dan bercakap


2.1.1 Tahap motivasi

Pendekatan untuk menilai tahap motivasi seseorang penceramah boleh dilakukan 
dengan mengambil kira dua faktor yang berikut:

Sama ada imbuhan peribadi (contoh: wang) atau imbuhan tidak langsung (kepuasan 
dalam membantu orang lain) terlibat. 

Sama ada imbuhan segera (mendapat wang hari ini) ataupun imbuhan tertunggak 
(sebagai contoh, mendapat ijazah selepas empat tahun belajar di kolej) 
mempengaruhi. 

Kesimpulannya, seseorang penceramah itu mesti mempunyai tahap motivasi yang 
didorong oleh salah satu atau kedua-dua faktor di atas. Sebelum anda membuat 
penyampaian, anda harus tahu jenis motivasi anda sendiri. 


2.1.2 Kredibiliti penceramah dan personalitinya

Idea seseorang penceramah diterima dan dipercayai oleh pendengar hanya jika 
reputasi penceramah tersebut adalah baik. Kredibiliti seseorang penceramah 
bergantung pada kejujuran, kecekapan dan niat baik yang ada pada dirinya. 
Penceramah yang berdisiplin dan mampu menguruskan diri dengan baik dianggap 
sebagai berkebolehan. Begitu juga dengan penceramah yang menarik dan dinamik 
akan dilihat sebagai mempunyai kredibiliti yang tinggi berbanding dengan 
penceramah yang tidak mempunyai nilai-nilai ini.

Sebenarnya, faktor yang paling penting yang ada pada diri seseorang penceramah 
ialah sikap mereka sendiri. 

Faktor personaliti juga penting. Walaupun definisinya agak kabur, faktor ini 
menonjolkan penampilan keseluruhan seseorang individu; kelakuan, pengalaman, 
kesungguhan, pemikiran dan segala yang merangkumi aspek-aspek kehidupannya.

Personaliti seseorang banyak bergantung pada faktor genetik. Hal ini ditentukan 
sebelum lahir dan kemudiannya dipengaruhi oleh persekitaran. Oleh sebab itu, 
kadang-kadang kita lihat perangai seseorang sangat sukar untuk diubah. Namun, 
bagi individu yang mempunyai personaliti yang menarik, perkara ini akan kekal 
sebegitu sehingga dipengaruhi oleh faktor lain. Penceramah yang mempuyai 
personaliti yang menarik akan menjadi pilihan mungkin kerana faktor mudah 
didekati yang ada pada dirinya. 


2.1.3 Penyampaian

Cara sesuatu mesej itu disampaikan sepatutnya seiring dengan objektif ucapan 
itu sendiri. Walaupun sesuatu ucapan itu telah ditulis dengan baik tetapi cara 
penyampaian yang lemah akan menyebabkan ucapan tersebut hilang keberkesanannya.


Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH BERUCAP DI KHALAYAK ini boleh 
didapati di www.books.perintis.com.my. Harga senaskhah ialah RM16.

Kirim email ke