Pantun dan bahasa berirama sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua 
majlis. Pada zaman dahulu, pantun dan bahasa berirama dituturkan oleh 
masyarakat Melayu pada setiap masa tidak kira di mana-mana sahaja. Bahasanya 
yang indah, lembut dan tersusun menyebabkan masyarakat menggemarinya. 
Sememangnya, pantun dan bahasa berirama merupakan unsur keindahan bahasa yang 
amat sesuai digunakan dalam apa-apa jua teks. Penggunaan pantun dan bahasa 
berirama dalam teks pengacara majlis sudah tentu dapat menarik perhatian dan 
tumpuan hadirin agar terus bersama-sama menjayakan majlis tersebut dengan 
jayanya. Oleh itu, di sini diberikan sedikit panduan tentang teknik mencipta 
pantun dan bahasa berirama agar teks pengacara yang dihasilkan tidak terlalu 
sterotaip dan hambar.


Mencipta Pantun

Pantun ialah puisi berirama yang berangkap. Pantun boleh dibahagikan kepada 
pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan berkait. Dalam 
penulisan teks pengacara majlis, pantun yang kerap digunakan ialah pantun empat 
kerat. Hal ini kerana pantun empat kerat lebih mudah untuk dicipta. Sebelum 
mencipta pantun, kita harus mengetahui dengan jelas ciri-ciri pantun. Yang 
berikut merupakan ciri-ciri pantun yang perlu dipatuhi agar pantun yang 
terhasil tidak kedengaran sumbang.

1. Binaan pantun terdiri daripada pembayang dan maksud. Dalam pantun empat 
kerat, dua baris di atas ialah pembayang dan dua baris di bawah ialah maksud.

2. Rima akhir pantun empat kerat ialah ab ab, iaitu jika dalam baris pertama 
suku kata akhir ialah -kan (a) maka suka kata akhir dalam baris ketiga juga 
ialah -kan (a). Begitu juga jika suku kata akhir bagi baris kedua ialah -ri (b) 
maka suku kata akhir keempat juga semestinya -ri (b).

3. Setiap satu baris terdiri daripada tiga hingga enam patah perkataan sahaja.

4. Suku kata dalam sebaris pula antara lapan hingga 12 suku kata.

Pantun yang ingin dicipta pula harus bergantung kepada agenda sesuatu acara. 
Jika pantun yang ingin dicipta adalah untuk tujuan alu-aluan maka dalam maksud 
pantun harus disebut ucapan selamat datang. Pembayang pantun pula lebih baik 
menggunakan unsur keindahan alam. Jika tidak mampu, anda boleh menggunakan 
apa-apa sahaja unsur yang dirasakan sesuai dan menarik.

Contoh pantun:

Memasang pukat terkena lokan,
Lokan dibawa ke Tanjung Puri; } Pembayang
Selamat datang kami ucapkan,
Ke Majlis Anugerah Guru Bestari. } Maksud


Mencipta Bahasa Berirama

Bahasa berirama ialah kata-kata ibarat yang mempunyai rentak dan keindahannya 
yang tersendiri. Selalunya, kata-kata berirama ini diambil daripada ungkapan 
atau peribahasa yang digubah menjadi bahasa yang menarik.

Bahasa berirama sebenarnya tidak terikat seperti penciptaan pantun. Rima akhir 
bahasa berirama boleh berbentuk bebas atau terikat, iaitu aaaa. Yang penting 
dalam bahasa berirama, kata-kata yang digunakan harus indah dan sesuai dengan 
acara.

Contoh:

Benar kata orang, jika tak kenal maka tak cinta,
Kalau dah cinta, ingin pula bertentang mata,
Pabila bertentang mata, ingin pula mendengar suara.

Namun begitu, bahasa berirama tidak semestinya dicipta seperti di atas. Anda 
juga boleh menggunakan frasa-frasa menarik seperti meluah rasa mengungkap 
bicara, segera ditampilkan, namun apakan daya, kita telah di penghujung acara 
dan sebagainya.

Artikel di atas dipetik daripada Bahagian 2: Teknik Penulisan dalam buku Aneka 
Contoh Teks Pengacara Majlis. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati 
di www.books.perintis.com.my.

Kirim email ke