Pendahuluan

Dalam sesuatu acara atau majlis pasti kita biasa mendengar ucapan daripada tuan 
rumah dan ucapan tamu kehormat selain ucapan pengacara majlis. Pernahkah anda 
terfikir bahawa suatu hari nanti anda yang perlu menyampaikan ucapan atau anda 
ditugaskan untuk menulis teks ucapan untuk ketua anda atau tamu kehormat dalam 
majlis yang dianjur oleh organisasi tempat anda bertugas? Apakah yang perlu 
anda lakukan pada ketika itu? Adakah anda akan mencuba memberikan pelbagai 
alasan untuk menolak? Kemungkinan kali pertama, kedua atau ketiga anda berjaya 
melepaskan diri, tetapi kali yang seterusnya, anda mungkin akan perlu 
melakukannya juga. Oleh itu, apa kata jika anda bersedia dari sekarang 
menyiapkan diri anda untuk menulis teks ucapan yang berkesan untuk diri anda 
sendiri atau untuk ketua anda.

Lazimnya, terdapat banyak jenis ucapan; ada ucapan tahniah, ucapan penghargaan, 
ucapan politik, ucapan perpisahan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buku ini 
hanya berfokus kepada teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian dan teks 
ucapan perpisahan.


Jenis-jenis teks ucapan

Telah dinyatakan tadi bahawa buku ini hanya berfokus kepada tiga jenis teks 
ucapan.

Yang berikut merupakan ciri-ciri teks ucapan tersebut.

Teks ucapan alu-aluan ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tuan rumah dalam 
sesuatu majlis. Teks ucapan ini selalunya ditulis dengan ringkas tetapi ada 
juga yang panjang bergantung pada kehendak pihak penganjur majlis. Teks ucapan 
ini mengandungi ucapan alu-aluan selamat datang dan ucapan terima kasih kepada 
tamu kehormat dan para jemputan.

Selain itu, dalam teks ucapan alu-aluan juga akan disampaikan harapan pihak 
penganjur, objektif majlis dan penghargaan kepada orang yang membantu 
melaksanakan majlis. Kadangkala dalam teks ucapan alu-aluan juga turut 
dimasukkan laporan kejayaan sesuatu organisasi atau institusi.

Teks ucapan perasmian ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tamu kehormat 
bagi sesuatu majlis. Teks ucapan perasmian selalunya lebih panjang daripada 
teks ucapan alu-aluan.

Teks ucapan perasmian mengandungi ucapan terima kasih kepada tuan rumah yang 
mengundang, maklumat yang berkaitan dengan majlis, perkembangan institusi yang 
mengundang dan harapan tetamu.

Teks ucapan perpisahan merupakan teks ucapan yang disampaikan dalam majlis 
perpisahan. Teks ucapan perpisahan terbahagi kepada teks ucapan pihak yang 
menganjurkan majlis dan teks ucapan yang dibalas oleh orang yang diraikan.

Teks ucapan perpisahan yang disampaikan oleh pihak penganjur selalunya 
mengandungi ucapan terima kasih dan puji-pujian atas jasa yang disumbangkan 
oleh orang yang diraikan. Selain itu, terdapat juga harapan penganjur kepada 
orang yang diraikan.

Teks ucapan balas yang disampaikan oleh orang yang diraikan pula mengandungi 
ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan puji-pujian terhadap rakan 
setugas dan kaki-tangan bawahan. 

Selain itu, dalam teks ini juga lazimnya dimasukkan permohonan maaf dan 
menyatakan detik-detik indah atau manis ketika berkhidmat serta pelawaan kepada 
semua rakan dan kakitangan untuk berkunjung ke rumah.


Isi kandungan buku sepintas lalu

Buku ini ditulis untuk memberi anda sedikit panduan tentang cara menulis teks 
ucapan dan contoh teks ucapan. Terdapat lima bab dalam buku ini, iaitu:

Bab 1 - Penulis teks ucapan
Bab 2 - Panduan asas penulisan
Bab 3 - Senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan
Bab 4 - Pincang bahasa, pincanglah teks ucapan
Bab 5 - Koleksi contoh teks ucapan

Bab 1 memperkenalkan penulis teks ucapan dan kriteria yang ada pada penulis 
teks ucapan.

Dalam Bab 2, diberikan panduan asas penulisan teks ucapan termasuk cara 
menyediakan teks ucapan dan isi kandungan teks ucapan. Dalam bahagian ini juga 
diterangkan serba ringkas tentang format penulisan teks ucapan secara umum.

Dalam Bab 3, diberikan senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks 
ucapan. Bahagian ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu:
1. Senarai panggilan hormat tamu kehormat
2. Senarai panggilan hormat audiens
3. Pantang larang dalam teks ucapan

Bab 4 pula menyentuh tentang kesalahan bahasa yang perlu dielakkan dalam teks 
ucapan agar teks yang disediakan tidak pincang. Kesalahan bahasa yang disentuh 
melibatkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan semasa bercakap dan menulis.

Akhir sekali, dalam Bab 5, dimuatkan 16 contoh teks ucapan yang berfokus kepada 
teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian pelbagai majlis dan teks ucapan 
perpisahan untuk bacaan dan rujukan anda. Hal ini bertujuan untuk membantu anda 
menyediakan dan menulis teks ucapan dengan baik dan berkesan.


Di samping itu, cadangan majlis lain yang bersesuaian dengan setiap contoh teks 
ucapan turut diberikan.


Petikan dari Bab 2: Panduan Asas Penulisan

Kita sering terpegun dan tertawan apabila mendengar ucapan daripada tetamu atau 
tokoh-tokoh tertentu. Tahukah kita bahawa ada antara teks yang kita dengar 
dalam majlis-majlis tertentu bukan ditulis sendiri oleh penyampai ucapan tetapi 
ditulis oleh orang lain? Soalnya, siapakah yang menulis teks ucapan tersebut?

Anda telah pun mengenali penulis teks ucapan. Kini, tiba masa untuk anda 
mengetahui cara penulisan teks ucapan.

Teks ucapan yang menarik dan berkesan bukan sesuatu yang mudah untuk dihasilkan 
tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika setiap daripada 
kita mengetahui cara menghasilkan dan menulis teks ucapan yang menarik dan 
berkesan. Sebenarnya, tidak banyak daripada kita mengetahui cara menghasilkan 
teks ucapan yang baik dan berkesan. Oleh itu, marilah kita mempelajari cara 
penulisan teks ucapan yang betul dan mudah.


Prapersediaan dalam menyediakan teks ucapan

Sebagai penulis teks ucapan, anda harus mengetahui beberapa perkara sebelum 
menyediakan teks ucapan. Perkara yang perlu anda ketahui ialah:


i. Untuk siapakah teks ucapan itu disediakan?

Sebagai penulis teks ucapan, anda perlu mengetahui orang yang akan membaca teks 
tersebut. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis mesti selari dengan 
jawatan, perawakan dan latar belakang pendidikan orang tersebut.


ii. Siapakah audiens yang mendengar ucapan tersebut?

Penulis teks ucapan perlu mengetahui audiens yang mendengar ucapan tersebut 
sebelum mula menulis teks ucapan tertentu. Hal ini demikian kerana teks ucapan 
yang ditulis perlu juga sesuai dengan tahap pengetahuan audiens. Jika teks yang 
ditulis untuk disampaikan kepada audiens yang dalam golongan pelajar sekolah 
menengah, maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan tahap 
pemikiran pelajar sekolah menengah. Dengan kata lain, penulis teks ucapan 
mestilah memastikan bahawa teks yang ditulis sesuai dengan tahap pemikiran 
audiens yang akan mendengar ucapan tersebut.


iii. Siapakah tetamu yang akan hadir?

Tetamu yang akan hadir juga perlu diambil tahu oleh penulis teks ucapan. Oleh 
itu, penulis teks ucapan perlu mendapatkan nama tetamu dengan tepat berserta 
jawatan dan kedudukan tetamu mengikut peringkat yang ditetap-kan oleh pihak 
penganjur. Dengan mengetahui tetamu yang akan hadir, penulis teks ucapan dapat 
menyusun bahagian kata alu-aluan tersebut mengikut protokol dan hal ini dapat 
memastikan tiada pihak yang berkecil hati kerana nama mereka tidak disebut atau 
tersalah panggilan hormatnya.


iv. Apakah tujuan majlis tersebut?

Tujuan majlis juga perlu diketahui oleh penulis teks ucapan. Tujuan majlis 
penting dalam penulisan teks ucapan. Teks ucapan alu-aluan terutamanya perlu 
menyentuh tujuan majlis tersebut diadakan. Jadi, jika penulis teks ucapan tidak 
mengetahui tujuan majlis diadakan, maka longgarlah isi teks ucapan yang 
ditulis. 


v. Berapa lamakah ucapan tersebut perlu berlangsung?

Setiap teks ucapan yang ditulis bergantung pada masa yang diperuntukkan oleh 
penganjur. Teks ucapan yang baik ialah teks ucapan yang dapat mengikut masa 
yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Jadi, penulis teks ucapan perlu 
mengetahui masa yang ditetapkan oleh penganjur bagi setiap teks ucapan yang 
diperlukan. Sebagai contohnya, jika masa yang diperuntukkan selama lima minit 
untuk tamu kehormat menyampaikan ucapan, maka teks yang ditulis hendaklah dalam 
lingkungan 10 muka surat bersaiz setengah A4 yang ditaip dengan tulisan bersaiz 
16 dengan langkauan dua baris. 


vi. Apakah bahan atau maklumat yang perlu dicari?

Bahan atau maklumat yang perlu dicari bergantung pada majlis. Jika majlis yang 
akan dilangsungkan berkaitan dengan sambutan kemerdekaan, maka bahan atau 
maklumat yang perlu dicari mestilah berkaitan dengan kemerdekaan atau semangat 
patriotisme.


Maklumat lanjut berkenaan buku Koleksi Contoh Teks Ucapan Berserta Panduan Asas 
Penulisan Teks Ucapan  ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau 
sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.

Kirim email ke