Dalam apa-apa juga penulisan, pasti ada cara dan formatnya. Begitulah juga 
dengan teks ucapan. Teks ucapan mempunyai formatnya yang tersendiri. Anda telah 
mengetahui bahawa kandungan teks ucapan terdiri daripada empat bahagian, iaitu:

1. Kata alu-aluan
2. Pendahuluan
3. Isi-isi
4. Penutup 

Dalam menghuraikan panduan penulisan ini, saya akan menerangkannya mengikut 
bahagian teks ucapan. 

1. Kata alu-aluan

Dalam bahagian kata alu-aluan, senarai panggilan mestilah mengikut protokol. 
Bahagian ini selalunya dimulakan dengan ucapan terima kasih kepada saudara 
Pengacara Majlis dan kemudiannya tamu kehormat barulah diikuti senarai nama 
yang lain. Panggilan hormat bagi tamu kehormat bergantung pada gelaran atau 
pangkat individu tersebut. Jika tamu kehormat merupakan Perdana Menteri, maka 
panggilan hormat yang sesuai ialah Yang Amat Berhormat. Namun, jika tamu 
kehormat merupakan pegawai kerajaan yang berjawatan atau berpangkat, maka 
panggilan hormat yang sesuai ialah Yang Berbahagia. Begitu juga sekiranya 
majlis yang diadakan bertujuan meraikan pegawai bawahan, maka panggilan hormat 
yang digunakan ialah Yang Diraikan. Senarai panggilan hormat yang lain akan 
dibicarakan dengan lebih mendalam dalam Bab 3 buku ini. 


2. Pendahuluan

Terdapat pelbagai cara untuk memulakan ucapan. Ucapan bukan sahaja boleh 
dimulakan dengan rasa kesyukuran, tetapi juga boleh dimulakan dengan imbasan 
pengalaman, kisah berunsur ringan, latar belakang sesebuah institusi dan pantun.

i. Pendahuluan dengan rasa kesyukuran

Banyak antara kita memulakan ucapan dengan memanjatkan rasa kesyukuran terhadap 
limpah kurnia Ilahi. Sebagai contohnya;

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. 
kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul beramai-ramai pada malam 
ini bagi menjayakan program Makan Malam Negeri sempena Perhimpunan Perpaduan 
dan Integrasi Pemimpin Murid Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran 
Malaysia. 

ii. Pendahuluan dengan imbasan pengalaman

Pendahuluan dengan imbasan pengalaman selalunya dibuat oleh seseorang tokoh 
berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh beliau. Pendahuluan dengan 
imbasan pengalaman ini sebenarnya dapat mendekatkan diri seseorang dengan 
khalayak. Sebagai contohnya;

Apabila saya masuk ke dalam dewan ini dan melihat cikgu-cikgu, saya teringat 
pada zaman saya berkhidmat sebagai guru kira-kira 30 tahun yang lalu. Saya mula 
berkhidmat di SMK (P) Jalan Bunga. Pada ketika itu, saya diminta mengajarkan 
Sains sedangkan opsyen saya ialah Bahasa Malaysia. Namun, hal itu tidak 
melunturkan semangat saya. Saya sahut cabaran tersebut. Pada tahun pertama, 
saya memang macam budak baharu belajar, tetapi cabaran ini menjadikan saya 
lebih berusaha menjadi seorang guru. 

iii. Pendahuluan dengan kisah berunsur ringan

Pendahuluan dengan kisah berunsur ringan pastinya amat menarik jika digunakan. 
Pendahuluan ini sebenarnya bertujuan untuk menarik perhatian khalayak agar 
mendengar ucapan yang akan disampaikan. Sebagai contohnya;

Saya berasa serba salah untuk berucap di hadapan ini kerana pada pagi ini, 
salah seorang tetamu kita merupakan pakar dalam bidang penampilan. Dari pagi 
tadi, saya membelek diri saya di hadapan cermin dan bertanya-tanya pada diri 
sendiri sama ada tudung yang saya pakai pada pagi ini sesuai atau tidak dengan 
baju yang saya kenakan. Takut juga saya ketika ini beliau sedang menilai 
penampilan saya di hadapan ini. 

iv. Pendahuluan dengan latar belakang

Pendahuluan berbentuk latar belakang merupakan pendahuluan yang kerap digunakan 
apabila menulis teks ucapan bagi majlis perasmian bangunan, institusi dan 
pertubuhan, dan majlis perpisahan. Sebagai contohnya;

Kepada tetamu yang pertama kali menjejakkan kaki di Sekolah Perintis, selamat 
datang saya ucapkan. Untuk makluman semua, Sekolah Perintis ditubuhkan pada 
tahun 2000 yang pada mulanya hanya mempunyai 120 orang murid dan 12 orang guru. 
Pada ketika itu, Sekolah Perintis hanya mempunyai sebuah blok pentadbiran dan 
sebuah blok bilik darjah. Kelengkapan untuk proses pengajaran dan pembelajar-an 
juga tidak seberapa lengkap. Dalam keadaan yang serba terhad ini, Sekolah 
Perintis mula beroperasi untuk mendidik anak bangsa. 

v. Pendahuluan dengan pantun

Pantun merupakan puisi Melayu tradisional yang boleh digunakan untuk memulakan 
sesuatu ucapan. Pantun yang biasa digunakan ialah pantun empat kerat. Sebagai 
contohnya;

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Selamat datang kami ucapkan,
Awal bismilah pembuka bicara.


Maklumat lanjut berkenaan buku Koleksi Contoh Teks Ucapan Berserta Panduan Asas 
Penulisan Teks Ucapan  ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau 
sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.

Kirim email ke