dibawah ini file yang sudah lama, namun insya Alloh bermanfaat untuk tetap mempererat ukhuwah Islamiah....
http://aljoofre.blogdrive.com/archive/108.html Friday, September 16, 2005 Nisfu Sya'ban datang lagi.. Nisfu Sya'ban hampir menjelang. Suara-suara yang tidak enak didengar pun mula berkumandang lagi. Seperti mana Awal tahun, maulid nabi dan lain-lain sambutan hari-hari kebesaran Islam, suara-suara ini juga akan muncul seolah-olah siaran ulangan yang tetap waktunya. Musim menghina para ulamak terdahulu pun muncul lagi. Inilah masanya kononnya mengembalikan ummah ke jalan yang betul dan fikrah yang soheh. Suci dari kekotoran yang dilakukan oleh ulamak nusantara kita. Bersih dari penyelewangan yang diajarkan oleh tok-tok guru dan habaib yg mengajar kita. Na'udzubillah. Alangkah murninya niat mereka ya! Alangkah indah seruan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang soheh. Alangkah moleknya fikrah yang dibawa mereka. Biarlah orang hendak kata apa pun kepada mereka. Yang penting bagi mereka, aku membawa kefahaman Islam yang sebenar. Lebih benar dari kalian semua. Justeru, panggillah aku apa nama sekalipun, aku akan tetap fanatik kepada fahaman ini. Fahaman yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang soheh. TETAPI, alangkah indahnya jika benar-benar begitu!!! Hakikat tidak sama dengan apa yang diwar-warkan. Kebenaran tidak sama dengan apa yang dipertuturkan. Perbuatan tidak sama dengan niat yang disuarakan. Fikrah Islam sebenar tidak selari dengan apa yang diyakini. Malah teknik dan pendekatan juga terlalu jauh dari keindahan Islam yang cantik lagi sempurna. Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah bukanlah dengan menolak kalam ulamak terdahulu dari kita (tak kira dari zaman mana dan di mana pun beliau, tak kira ulamak nusantara mahupun ulamak tanah Arab). Kembalilah kita kepada dua rujukan utama ini berpaksikan fahaman dan ajaran yang telah diterangkan oleh jutaan ulamak terdahulu. Tidak kan lari kita dari paksi kebenaran selagi mana kita berpegang kuat dengan tali-tali ini. Tali yang menghubungkan kita dengan kebenaran Islam yang takkan putus. Tali-tali yang menjadi waris para Nabi dalam membimbing ummah ke arah kebenaran. Jika kita tidak mengerti atau memahami apa yang dilakukan oleh tali-tali ini, dan melihat seolah-olah ia bersalahan dengan kebenaran yang diajar oleh sesetengah pihak, tak semestinya tali-tali ini yang sebenarnya salah. Tetapi letakkan kebarangkalian kesalahan tali-tali ini dengan kebarangkalian kesalahan pada kita sendiri yang lemah dan tidak mengerti. Tentu sekali kebarangkalian kita salah jauh lebih banyak dari mereka. Maka belajarlah sifat tawadhu' dan rendah diri dalam mencari ilmu. Amalkan sifat menghormati para ulamak terdahulu. InsyaAllah Allah Ta'ala akan membukakan pintu hati kita kepada kebenaran. Amalan pada malam Nisfu Sya'ban antara perkara yang sering kali dihebohkan bahawa ia merupakan amalan yang tertolak. Ini kerana suatu perkara baru dalam agama ini yang tidak diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maka ia tertolak. Maka terzahirlah kelantangan pihak-pihak tertentu mengharamkan segala ibadah yang dilakukan khusus pada malam tersebut. Kita katakan bahawa terdapat malam-malam tertentu yang dimuliakan oleh Allah lebih dari malam-malam yang lain sepanjang tahun. Antara malam tersebut adalah malam Nisfu Sya'ban. Perkara ini disepakati oleh kesemua ulamak terdahulu (sejauh pengetahuan ana yang faqir). Ini kerana terdapat hadis sohih mengkhabarkan pengampunan diberikan oleh Allah kepada semua manusia kecuali yang kafir dan yang ada sifat dengki. Maka ini bukanlah mahallul khilaf (titik perselisihan). Kemuliaan malam ini tidak boleh diingkari oleh sesiapa jua. Adapun amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (solat sunnah, bacaan Quran serta zikir) mempunyai sandaran-sandaran tertentu yang diperselisihkan. Secara ringkasnya, para ulamak yang menganjurkannya bersandarkan kepada banyak hadis yang menceritakan amalan-amalan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri pada malam tersebut. Walaupun ada di kalangan hadis-hadis ini yang lemah, tetapi menurut mereka hadis-hadis yang sekian banyak ini menguatkan satu sama lain, selain dikuatkan pula oleh hadis kemuliaan Nisfu Sya'ban yang soheh. Selain itu para ulamak juga berpegang kepada dalil bahawa malam yang dimuliakan oleh Allah mempunyai kelebihan sendiri. Maka itu perlulah kita membuat seberapa banyak amalan yang termampu dalam mengharap keredhaan dan maghfirah Allah Ta'ala. Oleh yang demikian, perlulah kita sedaya mampu melebihkan malam Nisfu Sya'ban dari malam-malam lain dalam menggarap kemuliannya ini. Walaupun ada di kalangan ulamak yang membantah amalan-amalan ini sekarang, namun bantahan tersebut adalah bantahan yang lemah. Ini kerana mereka hanya mengatakan hadis-hadis tersebut lemah dan tidak boleh dijadikan hujjah. Lantas amalan tersebut tertolak. Kita katakan amalan soleh dengan fadhailul a'mal dibolehkan (selain hadis-hadis tersebut sebenarnya sudah dikuatkan). Amalan yang dilakukan oleh generasi-generasi dari zaman salaf sehingga sekarang membuktikan kebenaran perkara ini. Lagipun ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulamak silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu. Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam. Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam iktilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki. Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin. Posted at 07:06 pm by aljoofre ________________________________________________________ Kunjungi halaman depan Yahoo! Indonesia yang baru! http://id.yahoo.com/ [Non-text portions of this message have been removed]

